3. Ayat al-Mubahalah
Iaitu firmanNya yang di dalam (surah Ali Imran (3): 61)"Sesiapa yang membantahmu mengenai (kisah 'Isa) sesudah datang ilmu (yang menyakinkan kamu), maka katakanlah (kepadanya): Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, wanita-wanita kami dan wanita-wanita kamu, diri kami dan diri kamu; kemudian marilah kita bermubalahah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta."
Semua ulama Tafsir Sunnah dan Syi'ah bersepakat bahawa ayat al-Mubahalah diturunkan kepada lima manusia suci; Muhammad, 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain. Di sana terdapat para sahabat lelaki tetapi beliau tidak memanggil seorang pun daripada mereka selain daripada 'Ali, Hasan dan Husain. Kemudian di sana juga terdapat Ummahat al-Mukminin dan wanita-wanita Bani Hasyim, tetapi beliau tidak memanggil seorangpun daripada mereka selain daripada anak kandungnya Fatimah al-Zahra' AS.
Satu hakikat yang tidak dapat disembunyikan lagi oleh orang yang mempunyai pandangan yang tajam bahawa maksud Anfusa-na (diri kami) di sini ialah saudara Rasulullah SAWAW yang kedudukannya di sisi Rasulullah SAWAW samalah dengan kedudukan Harun di sini Musa. Beliau ialah Imam Amiru l-Mukiminin 'Ali AS kerana Allah menjadikannya ('Ali AS) di dalam ayat ini nafs Muhammad SAWAW (diri Muhammad itu sendiri).
Demi Allah sesungguhnya itu adalah keistimewaan yang besar yang dikhususkan oleh Allah SWT kepada mereka dan tidak ada orang lain selain daripada mereka dari umat ini. Ibn Hajr telah menyebutkannya di dalam al-Sawa'iq al-Muhriqah di dalam bab kesebelas riwayat daripada al-Dar al-Qutni bahawa 'Ali di majlis Syura ('Umar) telah berhujah dengan menyatakan: Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian seorang yang lebih hampir kepada Rasulullah dari segi kekeluargaan selain daripadaku? Dan siapakah yang telah dijadikan dirinya oleh beliau seperti dirinya sendiri? Anak-anaknya seperti anak-anaknya dan wanita-wanitanya seperti wanita-wanitanya selain daripadaku? Mereka menjawab: Allahuma la. Wahai Tuhanku! Tidak ada seorang pun selain daripada anda sekeluarga. Seorang penyair yang memuji Imam 'Ali AS mengemukakan syairnya:
Dia di dalam ayat al-Tabahul adalah diri Nabi sendiriTiada selain daripadanya ('Ali) yang dimaksudkan dengannya.
Kemudian hadith al-Mubahalah adalah masyhur dan disebutkan oleh Ahli Tafsir, Hadith dan Sirah. Mereka menulis peristiwa itu pada tahun kesepuluh Hijrah iaitu tahun Mubahalah. Fakhruddin al-Razi di dalam Mafatih al-Ghaib50 berkata: Ketahuilah, sesungguhnya riwayat ini adalah seperti disepakati kesahihannya di kalangan Ahli-ahli Tafsir, Hadith dan lain-lain.
Al-Zamakhsyari di dalam al-Kasysyaf51 mengenai ayat al-Mubahalah berkata: Ianya diriwayatkan manakala Rasulullah SAWAW menyeru Kristian Najran untuk bermubahalah, mereka berkata: Kami akan pulang dan kami akan membuat keputusannya. Manakala mereka pergi, mereka berkata kepada 'Aqib seorang yang pintar mereka, wahai hamba al-Masih apa pandangan anda? Dia menjawab: Demi Allah sesungguhnya kalian telah mengetahui bahawa sesungguhnya Muhammad adalah seorang Nabi yang diutuskan. Dia telah mendatangi kalian dengan keterangan daripada Tuhan kalian. Demi Allah tidak ada satu kaumpun yang pernah bermubahalah dengan seorang Nabi sehingga yang kecil dan besar mereka dapat hidup. Sekiranya kalian lakukan, nescaya kalian akan binasa. Dan sekiranya kalian enggan bermubahalah maka dia akan membiarkan agama kalian dan kalian kekal dengan agama kalian. Lantaran itu ucaplah selamat tinggal kepada lelaki itu dan kembalilah ke tempat kalian.
Maka merekapun datang kembali menemui Rasulullah SAWAW pada ketika itu beliau sedang mendukung Husain, memegang tangan Hasan, Fatimah berjalan di belakangnya dan 'Ali di belakang Fatimah AS. dan bersabda:Tidakkah aku telah menyeru kalian maka berimanlah. Lalu Bisyop Najran menjawab: Wahai kaum Nasara! Sesungguhnya aku sedang melihat kepada muka-muka mereka, sekiranya Allah mahu menghilangkan bukit dari tempatnya, nescaya Dia akan menghilangkannya melalui kemuliaan muka-muka mereka. Justeru itu janganlah kalian bermubahalah, nanti kalian akan binasa, dan tidak tinggal lagi seorang Nasranipun di bumi ini hingga di Hari Kiamat. Mereka berkata: Wahai Abu Qasim, kami fikir kami tidak akan bermubahalah dengan anda sebaliknya kami mengakui anda di atas agama anda sementara kami kekal di atas agama kami. Nabi SAWAW menjawab:"Sekiranya, kalian enggan bermubalahah, maka masuklah Islam. Kalian akan dilayani dengan baik dan mendapat hak seperti mereka."
Lantas mereka menolaknya, kemudian beliau SAWAW bersabda: Aku melepaskan kalian. Mereka menjawab: Kami tidak mampu untuk memerangi Arab, justeru itu kami membuat perdamaian dengan anda supaya anda tidak memerangi kami, menakut-nakutkan kami dan memaksa kami supaya meninggalkan agama kami. Sebagai balasan kami akan memberikan kepada anda setiap tahun dua ribu Hillah, seribu pada bulan Safar, dan seribu pada bulan Rajab, dan tiga puluh baju besi biasa.
Maka beliau SAWAW mengadakan perdamaian dengan mereka dengan syarat-syarat tersebut. Beliau bersabda: Demi diriku di tangannya sesungguhnya kebinasaan telah jelas ke atas ahli Najran. Dan sekiranya mereka bermubahalah, nescaya mereka bertukar menjadi kera dan babi serta lembah ini menjadi api membakar mereka. Allah SWT akan melenyapkan Najran dan penduduk-penduduknya sekali sehingga burung yang hinggap di atas pokok." Manakala genap setahun mereka dibinasakan (kerana tidak menepati janji mereka).
Daripada 'Aisyah RD: Sesungguhnya Rasulullah SAWAW keluar dengan meletakkan kain hitam di atasnya. Maka Hasan pun datang, lalu beliaupun memasukkannya, kemudian Husain maka beliau memasukkannya, kemudian Fatimah, kemudian 'Ali, lalu beliau membaca ayat at-Tathir (Surah al-Ahzab (33):33)"Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan segala dosa dari kamu wahai Ahlu l-Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya."
Ini menunjukkan tidak ada dalil yang lebih kuat daripada ini tentang kelebihan Ashab al-Kisa' AS. Aku berkata: Ianya suatu kemuliaan yang sejati dan penghormatan yang agung di mana Dia tidak akan mengurniakan seorangpun dengannya sebelum dan selepas mereka. Dan ketahuilah sesungguhnya hadith-hadith muktabar yang diriwayatkan adalah mutawatir tentang turunnya ayat ini mengenai Ahlu l-Bait AS, 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain AS. Ianya telah dicatat oleh Ahli-ahli Tafsir, Hadith dan Sirah. Semuanya mencatat peristiwa-peristiwa tahun kesepuluh Hijrah iaitu Tahun Mubahalah.
Di sini aku ingin mengemukakan kepada pembaca yang budiman, sebahagian daripada nama-nama para imam Ahlu s-Sunnah wal-Jama'ah yang menulis mengenai seperti berikut:
Muslim di dalam Sahihnya52 mengatakan bahawa Qutaibah bin Sai'd dan Muhammad bin 'Ubbad telah memberitahukannya kepada kami dengan lafaz yang hampir sama. Mereka berdua berkata: Hatim telah memberitahukan kami (iaitu anak lelaki Ismail) daripada Bakir bin Miswar daripada 'Amir bin Sa'ad bin Abi Waqqas daripada bapanya dia berkata: Muawiyah bin Abu Sufyan memerintahkan Sa'ad bahawa dia berkata: Apa yang menegah anda dari mencaci Abu Turab ('Ali AS)? Maka dia menjawab: Aku mengingati tiga perkara di mana Rasulullah SAWA mengucapkan kepadanya. Justeru itu aku sekali-kali tidak akan mencacinya kerana jikalaulah aku mempunyai satu perkara sahaja adalah lebih aku cintai daripada segala nikmat; sehingga dia berkata: Manakala turun ayat al-Mubahalah: Maka katalah:"Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, wanita-wanita kami dan wanita-wanita kamu." Maka Rasulullah SAWAW menyeru 'Ali, Fatimah, Hasan, dan Husain. Dia bersabda:Allahumma Haula' Ahli (Wahai Tuhanku! Mereka itu adalah keluargaku).
Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya53 berkata:'Abdullah telah memberitahukan kami dia berkata:Bapaku memberitahuku dia berkata: Qutaibah bin Sa'id dan Hatim bin Isma'il telah memberitahukan kami daripada Bakir bin Mismar daripada Amir bin Saad daripada bapanya dia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAWAW bersabda kepadanya: Dia berkata: Manakala turun ayat al-Mubahalah maka beliau SAWAW menyeru 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain dan bersabda:Wahai Tuhanku, mereka itulah keluargaku.
Al-Tabari di dalam Jami' al-Bayan54 telah mengeluarkan banyak hadith-hadith mengenai ayat al-Mubahalah dengan saluran yang bermacam-macam daripada Zaid bin 'Ali al-Sudi, Qatadah, Thana bin Zaid dan daripada al-Yasykari.
Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur55 daripada Jabir dia berkata di akhirnya: Jabir berkata:Anfusa-nawa anfusa-kum (diri kami dan diri kamu):Rasulullah SAWAW dan 'Ali AS wa abnaa-na(anak-anak lelaki kami):Hasan dan Husain dan Nisaa-ana(wanita-wanita kami): Fatimah.
Al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul56 berkata pada akhirnya:Sya'bi berkata: Abnaa-na (anak-anak lelaki kami):Hasan dan Husain dan Nisaa-na (wanita-wanita kami):Fatimah, Wa anfusa-na (diri-diri kami):'Ali bin Abi Talib AS.
Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah57 meriwayatkan bahawa 'Ali bin Abi Talib AS adalah nafs Rasulullah (diri Rasulullah sendiri) sejajar dengan nas tersebut.
Al-Syablanji di dalam Nur al-Absar58 menyatakan bahawa maksud Nisaa-na (wanita-wanita kami) ialah Fatimah, Abnaa-na (anak-anak lelaki kami) ialah Hasan dan Husain, Anfusa-na (diri-diri kami) ialah nafsu-hu dirinya sendiri dan diri 'Ali AS.
Muhibbudin al-Tabari di dalam Dhakha'ir al-'Uqba.59
Al-Kanji al-Syafi'i di dalam Kifayah al-Talib.60
al-Hakim di dalam al-Mustadrak.61
Abu Nu'aim di dalam Dala'il al-Nubuwwah.62
al-Baghawi di dalam Ma'alim al-Tanzil.63
Fakhruddin al-Razi di dalam Mafatih al-Ghaib.64
Al-Dhahabi di dalam al-Talkhisnya.65
Ibn al-Athir al-Jazari di dalam Usd al-Ghabah.66
Sibt al-Jauzi di dalam Tadhkirah al-Huffaz.67
Al-Qurtubi di dalam Jami' li Ahkam al-Qur'an.68
Al-Baidhawi di dalam Anwar al-Tanzil.69
Ibn Hajr al-'Asqalani di dalam al-Isabah.70
Syaikh Muhammad bin Talhah al-Syafi'i di dalam Matalib al-Su'ul,71 menyatakan bahawa ayat al-Mubahalah telah diriwayatkan oleh perawi-perawi yang thiqah bahawa ianya diturunkan pada 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain AS.
Dan ramai lagi bilangan para imam Ahlu s-Sunnah yang aku tidak dapat menyebutkan nama mereka di dalam buku ini. Semuanya menegaskan bahwa ayat ini diturunkan kepada lima manusia yang suci. Imam Bahrani telah menyatakan di dalam Ghayah al-Maram72 bahawa ayat ini telah diturunkan kepada 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain AS. melalui sembilan belas hadith menurut Ahlu s-Sunnah dan lima belas hadith menurut Syi'ah. Ayatullah al-Najafi telah menyebutkan nama-nama para ulama Ahlu s-Sunnah yang menyatakan bahawa ayat al-Mubahalah diturunkan kepada lima manusia yang suci di dalam Ta'liqatuhu 'Ala Ihqaq al-Haq.73
Justeru itu aku membuat kesimpulan bahawa khalifah yang wajib selepas Rasulullah SAWAW ialah 'Ali bin Abi Talib AS kerana 'Ali di dalam ayat tersebut ialah nafs Muhammad SAWAW. Dengan ilmunya, akhlaknya, kemuliaannya, keberaniannya, lemah lembutnya, kasihan belasnya terhadap orang-orang yang lemah, garangnya terhadap orang yang zalim dan kedudukannya yang tinggi di sisi Allah selain daripada kenabian, bersandarkan sabda Nabi SAWAW maksudnya:"Anda di sisiku sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa hanya tiada Nabi selepasku." Lantaran itu seorangpun tidak harus mendahuluinya kerana 'mendahuluinya' sepertilah mendahului Rasulullah SAWAW. Oleh itu berwaspadalah anda dan insaflah wahai pembaca yang budiman.
4. Ayat al-Muwaddah/Mawaddah
Iaitu firmanNya dalam (Surah al-Syu'ara (42): 23):"Katakanlah: Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan (al-qurba). Dan siapa yang mengerjakan kebaikan (al-Hasanah) akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri."
Ahli Tafsir Syi'ah bersepakat bahawa ayat tersebut diturunkan secara khusus kepada Ahlu l-Bait; 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain. Demikian juga kebanyakan Ahli Tafsir Ahlu s-Sunnah wal-Jama'ah di dalam buku-buku Sahih dan Musnad mereka mengakui bahawa ayat tersebut diturunkan kepada 'itrah yang suci. Tetapi terdapat sebilangan kecil daripada mereka yang membuat pentafsiran yang menyalahi apa yang diturunkan Allah SWT.
Ahlu l-Bait AS dan para ulama Syi'ah bersepakat bahawa perkataaan al-Qur'ba di dalam ayat tersebut ialah kerabat Rasulullah SAWAW; 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain. Merekalah orang yang paling rapat dengan Rasulullah SAWAW. Dan perkataan al-Hasanah (kebaikan) bererti kasih sayang kepada mereka dan menjadikan mereka imam, kerana Allah amat mengampuni orang yang mewalikan mereka.
Dan ini adalah satu perkara yang disepakati oleh kami kerana ianya merupakan suatu kepastian kerana banyak hadith-hadith muktabar mengenainya. Kami akan kemukakan kepada pembaca kami yang budiman beberapa hadith yang muktabar menurut Ahlu s-Sunnah wa l-Jama'ah seperti berikut:
Ahmad bin Hanbal telah meriwayatkan di dalam Manaqib, al-Tabrani, al-Hakim dan Ibn Abi Hatim daripada 'Abbas sebagaimana telah diriwayatkan oleh Ibn Hajr di dalam pentafsiran ayat 14 daripada ayat-ayat yang telah dinyatakan di dalam fasal pertama daripada bab sebelas daripada al-Sawa'iqnya dia berkata: Manakala turunnya ayat ini mereka bertanya: Wahai Rasulullah! Siapakah kerabat anda yang diwajibkan ke atas kami mengasihi mereka? Beliau SAWAW menjawab: 'Ali, Fatimah dan dua anak lelaki mereka berdua.
Hadith ini juga telah dicatatkan oleh Ibn Mardawaih,74 diriwayatkan daripada Ibn 'Abbas oleh Ibn Mundhir, al-Muqrizi, al-Baghawi, al-Tha'labi di dalam tafsir-tafsir mereka. Al-Suyuti di dalam Durr al-Manthur, Abu Nu'aim di dalam Hilyahnya, al-Hamawaini di dalam al-Fara'id, al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul dan Ibn Maghazili di dalam al-Manaqib, al-Zamakhsyari di dalam al-Kasysyaf,75 Muhibbuddin al-Tabari di dalam Dhakha'ir al-'Uqba,76 Talhah al-Syafi'i di dalam Matalib Su'ul,77 Abu Sa'id di dalam Tafsirnya,78 al-Nasafi di dalam Tafsirnya,79 Abu Hayyan di dalam Tafsirnya,80 Ibn Sibagh al-Maliki di dalam Fusul al-Muhimmah,81 al-Hafiz al-Haithami di dalam al-Majma',82 al-Kanji al-Syafi'i di dalam Kifayah al-Talib.83
Al-Qastalani di dalam al-Mawahib, berkata: Allah memastikan kasih sayang kepada semua kerabat Rasulullah SAWAW dan mewajibkan kasih sayang sebahagian daripada Ahlu l-Baitnya AS dan zuriatnya. Justeru itu Dia berfirman dalam (Surah al-Syura'(42):23)....."Katakanlah: Aku tidak meminta upahmu sesuatu upahpun ke atas seruanku kecuali kasih sayang kepada kekeluargaan." al-Zurqani di dalam Syarh al-Mawahib,84 al-Syablanji di dalam Nur al-Absar,85 Ibn Hajr di dalam Sawa'iq al-Muhriqah,86 al-Suyuti di dalam 'Ihya al-Mayyit di Hamisy al-Ithaf.87
Al-Bukhari di dalam Sahihnya,88 daripada Ibn 'Abbas RD bahawa dia ditanya mengenai firmanNya:..."kecuali kasih sayang kepada kekeluargaan." Dia menjawab: Ianya adalah kerabat Rasulullah SAWAW. Al-Tabari di dalam Tafsirnya,89 daripada Sa'id bin Jubair tentang firmanNya, Surah al-Syura'(42):23)....."Katakanlah: Aku tidak meminta upahmu sesuatu upahpun ke atas seruanku kecuali kasih sayang kepada kekeluargaan." Dia menjawab: Ianya adalah kerabat Rasulullah SAWAW.
Ibn Hajr al-'Asqalani di dalam al-Kafi al-Syafi fi Takhrij Ahadith al-Kasysyaf,90 berkata: al-Tabrani, Ibn Abi Hatim dan al-Hakim telah meriwayatkannya di dalam Manaqib al-Syafi'i daripada Husayn Asyqar daripada Qais bin al-Rabi' daripada A'masy daripada Sa'id bin Jubair daripada Ibn 'Abbas ditanya: Wahai Rasulullah! Siapakah kerabat anda yang diwajibkan ke atas kami mengasihi mereka? Beliau menjawab:'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain.
Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah,91 berkata: Ahmad telah meriwayatkan di dalam Musnadnya dengan sanadnya daripda Sa'id bin Jubair daripada Ibn 'Abbas RD bahawa ayat ini diturunkan kepada lima orang. Al-Tabrani di dalam Mu'jam al-Kabirnya menyatakan ayat ini diturunkan kepada lima orang.
Ibn Abi Hatim di dalam Tafsirnya dan al-Hakim di dalam al-Manaqibnya menyatakan ayat ini diturunkan kepada lima orang. Al-Wahidi di dalam al-Wasit, Abu Nu'aim di dalam Hilyah al-Auliya', al-Tha'labi di dalam Tafsirnya, al-Hamawaini di dalam Fara'id al-Simtin, Abu Bakar bin Syahabbuddin al-Syafi'i dalam Rasyfah Sadi92 semuannya meriwayatkan bahawa ayat tersebut di turunkan kepada lima orang.
Al-Mulla di dalam Sirahnya meriwayatkan sebuah hadith:"Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas kalian kasih sayang terhadap kerabatku dan aku bertanyakan kalian tentang mereka di hari esok." Ahmad di dalam Manaqib dan al-Tabrani di dalam al-Kabir meriwayatkan daripada 'Abbas RD dia berkata: Manakala turunnya ayat ini mereka bertanya: Wahai Rasulullah SAWAW siapakah kerabat kamu yang diwajibkan ke atas kami mengasihi mereka? Beliau menjawab: 'Ali, Fatimah, dan kedua-dua anak lelaki mereka.
Al-Baghawi dan al-Tha'labi meriwayatkan di dalam Tafsir mereka daripada 'Ibn Abbas RD dia berkata: Manakala turunnya ayat (Surah al-Syu'ara'(42):23), sebahagian orang ramai pula berkata: Beliau hanya menghendaki supaya kita mengasihi kerabatnya. Lantas Jibrail memberitahukan Nabi SAWAW tentang tuduhan mereka. Maka turunlah ayat (Surah al-Syu'ara'(42):24) "Bahkan mereka mengatakan: Dia (Muhammad) telah mengada-adakan dusta terhadap Allah." Maka sebahagian mereka pula berkata: Wahai Rasulullah kami menyaksikan sesungguhnya anda adalah seorang yang benar. Maka turunlah pula (Surah al-Syu'ara'(42):25): "Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan."
Al-Tabrani di dalam al-Ausat dan al-Kabir telah meriwayatkan daripada Abu Tufail sebuah khutbah Hasan AS:Kami daripada Ahlu l-Bait yang telah difardhukan Allah untuk mengasihi mereka dan menjadikan mereka pemimpin. Maka beliau berkata:Di antara apa yang telah diturunkan ke atas Muhammad SAWAW ialah:Katakanlah:"Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun ke atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan." Di dalam riwayat yang lain:Kami adalah daripada Ahlu l-Bait yang telah fardhukan Allah ke atas setiap Muslim mengasihi mereka. Maka turunlah ayat (Surah al-Syu'ara(24):23):"Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun ke atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan." Dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri."
Al-Sudi meriwayatkan daripada Ibn 'Abbas mengenai firmanNya:"Dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri" dia berkata: al-Muawaddah (cinta) terhadap kerabat keluarga Muhammad SAWAW.
Al-Hakim di dalam al-Mustadrak93 dengan membuang sanad-sanadnya daripada 'Umar bin 'Ali daripada bapanya daripada 'Ali bin Husain dia berkata:Hasan bin Ali berpidato ketika pembunuhan 'Ali AS. Beliau memuji Tuhan hingga akhirnya beliau berkata:"Kami adalah daripada Ahlu l-Bait yang dihilangkan kekotoran mereka oleh Allah dan membersihkan mereka dengan sebersih-bersihnya. Dan kamilah Ahlu l-Bait yang difardhukan Allah ke atas setiap Muslim supaya mengasihi mereka. Maka beliau berkata: Allah berfirman kepada NabiNya: Katakanlah 'Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun....."
Al-Dhahabi juga meriwayatkan hadith tersebut di dalam al-Talkhisnya.94 Al-Zamakhsyari di dalam al-Kasysyaf95 berkata: Manakala ayat tersebut diturunkan, ada orang bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah kerabat anda yang diwajibkan ke atas kami mengasihi mereka? Beliau menjawab:'Ali, Fatimah, dan kedua-dua anak lelaki mereka.
Dan diriwayatkan daripada 'Ali AS: Aku merayu kepada Rasulullah SAWAW tentang hasad dengki manusia terhadapku. Maka beliau menjawab: Tidakkah anda meridhai bahawa anda di kalangan empat orang yang pertama akan memasuki syurga? Aku, anda, Hasan dan Husain.....
Al-Karimi meriwayatkan daripada 'Aisyah dengan sanadnya daripada 'Ali RD. al-Tabrani meriwayatkannya daripada Abi Rafi' di dalam Takhrij al-kasysyaf daripada Nabi SAWAW: Diharamkan syurga ke atas orang yang menzalimi Ahlu l-Baitku dan menyakitiku pada itrahku. Hadith ini juga telah diriwayatkan oleh al-Tha'labi di dalam al-Takhrij al-Kasysyat. Al-Khawarizmi di dalam Maqtal al-Husain,96 Ibn Batriq di dalam al-Umdah97 daripada Musnad Ahmad dengan membuang beberapa sanad daripada Sa'id bin Jubair daripada Ibn 'Abbas bahawa ayat tersebut telah diturunkan kepada lima orang.
Muhammad bin Talhah al-Syafi'i dalam Matalib al-Su'ul98 berkata: Merekalah dhawi l-Qurba di dalam ayat tersebut, ianya telah diterangkan dan diperakui oleh perawi-perawi hadith di dalam musnad-musnad mereka daripada Jubair daripada 'Ibn 'Abbas manakala turunnya firmanNya:"Katakanlah: Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan. Dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri." Mereka bertanya wahai Rasulullah SAWAW: Siapakah mereka yang diwajibkan ke atas kami mengasihi mereka? Beliau SAWAW menjawab:'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain.
Al-Wahidi dan al-Tha'labi meriwayatkan hadith ini dengan sanadnya al-Tha'labi menyatakan: Ketika Rasulullah SAWAW melihat kepada 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain beliau bersabda: Aku memerangi orang yang memerangi kalian dan berdamai dengan orang yang berdamai dengan kalian. Al-Hijazi di dalam al-Wadhih99 berkata: Mereka itu ialah 'Ali, Fatimah kedua-dua anak lelaki mereka berdua. Dia berkata lagi: Pengertian ini telah diriwayatkan oleh Rasulullah SAWAW yang telah diterangkan oleh Allah SWT.
Al-Kanji al-Syafi'i di dalam Kifayah al-Talib100 dengan membuang beberapa sanad daripada Jabir bin 'Abdullah, berkata: Seorang badwi datang kepada Nabi SAWAW dengan berkata: Wahai Muhammad bentangkan ke atasku Islam. Maka dia berkata: Kami naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Dia yang Tunggal tiada sekutu bagiNya dan sesungguhnya Muhammad adalah hambaNya dan pesuruhNya. Dia bertanya: Adakah anda meminta upah dariku ke atasnya? Beliau menjawab: Tidak! Melainkan mengasihi kerabatku. Dia bertanya: Kerabatku atau kerabat anda? Beliau menjawab: Kerabatku. Dia menjawab: Sekarang aku membai'ah anda, dan bagi orang yang tidak mencintai anda dan mencintai kerabat anda, maka laknat Allah ke atas mereka. Maka Nabi SAWAW bersabda: Amin.....Buatlah rujukan kepada buku-buku hadith karangan Ahlu s-Sunnah wal-Jama'ah, nescaya anda akan mendapati hadith-hadith yang banyak mengenainya.
Ayatullah Mar'asyi al-Najafi di dalam Ta'liqatuhu 'Ala Ihqaq al-Haqa'iq101 karangan al-Sa'id al-Syahid Nur Allah al-Tastari, telah mengumpulkan hadith-hadith yang banyak dari rujukan-rujukan Ahlu s-Sunnah dengan menyebutkan perawi-perawi mereka. Begitu juga al-'Allamah al-Amini di dalam al-Ghadir.102
Justeru itu rujukan-rujukan Ahlu s-Sunnah sendiri telah mengukuhkan dakwaan Syi'ah kerana terdapat hadith-hadith yang muktabar dan mutawatir tentang hak 'Ali dan keluarganya AS. Sesungguhnya kebenaran terserlah wa l-hamdulillah.
Ringkasnya, dengan ayat ini orang yang menjadi imam dan khalifah selepas Rasulullah SAWAW secara langsung ialah imam 'Amiru l-Mukmimin 'Ali AS. Kerana ayat tersebut membuktikan bahawa mengasihi 'Ali AS adalah wajib kerana Allah memberikan pahala kepada orang yang mengasihi kerabatnya. Oleh itu jika kesalahan berlaku daripada mereka maka kasih sayang kepada mereka wajib dihentikan kerana firmanNya di dalam (Surah al-Mujadalah(58): 22):"Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya."
Dan selain daripada 'Ali AS adalah tidak maksum. Oleh itu, beliaulah imam secara langsung. Ayatullah al-'Uzma al-Syahid al-Nur al-Tastari di dalam buku Ihqaq al-Haqa'iq berkata: Orang-orang Syi'ah mengemukakan dalil-dali tentang keimamahan 'Ali AS terhadap Ahlu s-Sunnah bukanlah suatu perkara yang wajib, malah ianya suatu amalan sukarela kerana Ahlu s-Sunnah wal-Jama'ah telah bersetuju sesama mereka tentang keimamahan 'Ali AS selepas Rasulullah SAWAW. Tetapi perbezaannya Syi'ah menafikan wasitah103 sedangkan Ahlu s-Sunnah menetapkannya. Justeru itu ianya dikemukakan oleh orang-orang yang menetapkannya (al-Muthbit) dan bukan orang yang menafikannya sebagaimana telah ditetapkan di dalam kaedah usul fiqh melainkan mereka telah mencari ijmak dengan mengingkari keimamahannya secara mutlak. Lantaran itu Syi'ah wajib mengemukakan dalil. Dan Allah adalah Penunjuk kepada jalan yang benar.
5. Ayat Salawat
Iaitu firmanNya di dalam (Surah al-Ahzab (33):56):"Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya bersalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya."
Syi'ah bersepakat bahawa ayat ini telah diturunkan kepada Nabi SAWAW dan Ahlu l-Baitnya AS. Begitu juga sebahagian besar ulama Ahlu s-Sunnah sependapat dengan Syi'ah bahawa ayat tersebut diturunkan kepada Muhammad, 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain AS.
Imam Syafi'i dalam Musnadnya berkata: Ibrahim bin Muhammad telah memberitahukan kami bahawa Safwan bin Sulaiman telah memberitahukan kami daripada Abi Salmah daripada 'Abdu r-Rahman daripada Abu Hurairah dia bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana kami bersalawat ke atas anda? Maka Rasulullah SAWAW menjawab: Kalian berkata: Allahumma Salli 'Ala Muhammad wa Ali Muhammad.104
Ibn Hajr di dalam al-Sawa'iq ah-Muhriqah105 mencatat riwayat daripada Ka'ab bin Ijrah. Dia berkata: Apabila turun ayat ini, kami bertanya wahai Rasulullah! Kami mengetahui bagaimana kami memberi salam ke atas anda. Tetapi kami tidak mengetahui bagaimana kami bersalawat ke atas anda? Maka beliau SAWAW bersabda: Kalian katakanlah Allahumma Salli 'Ala Muhammad wa Ali Muhammad. Dan diriwayatkan daripada Nabi SAWAW, berliau bersabda: Janganlah kalian bersalawat ke atasku dengan salawat yang terputus. Lalu mereka bertanya: Apakah salawat terputus itu? Beliau menjawab: Kalian berkata: Allahumma Salli 'Ala Muhammad, kemudian kalian berhenti. Justeru itu katakan: Allahumma Salli 'Ala Muhammad wa Ali Muhammad.
Al-Qurtubi di dalam Jami' li-Ahkam al-Qur'an106 menegaskan bahawa Ahlu l-Bait Nabi SAWAW dihubungkaitkan dengan Nabi SAWAW di dalam salawat ke atasnya. Sementara Ibn 'Arabi di dalam Ahkam al-Qur'an107 mengatakan bahawa ayat al-Mawaddah diturunkan kepada Nabi SAWAW dan Ahlu l-Baitnya yang disucikan.
Di sini dikemukakan sebahagian daripada riwayat-riwayat para ulama Ahlu s-Sunnah yang mengatakan bahawa ayat tersebut diturunka kepada Nabi SAWAW dan Ahlu l-Baitnya seperti berikut:
1. al-Bukhari dalam Sahihnya, VI, hlm. 12
2. Al-Wahidi dalam Asbab al-Nuzul, hlm. 271.
3. al-Baghawi dalam Ma'alim al-Tanzil, V, hlm. 225.
4. al-Hakim dalam al-Mustadrak, III, hlm. 148.
5. Fakhruddin al-Razi dalam Mafatih al-Ghaib, XV, hlm. 226.
6. al-Hafiz Abu Nu'aim al-Isfahani dalam Akhbar Isfahani, I, hlm. 31.
7. al-Hafiz Abu Bakr al-Khatib dalam Tarikh Baghdad, VI, hlm. 216.
8. Ibn 'Abd al-Birr dalam Tajrid al-Tawhid, hlm. 85.
9. al-Nisaburi dalam al-Tafsir, XX, hlm. 30.
10. al-Alusi dalam Ruh al-Ma'ani, XXII, hlm. 22.
11. Muhibuddin al-Tabari dalam Dhakha'ir la-'Uqba, hlm. 19.
12. al-Nawawi dalam Riyadh al-Salihin, hlm. 155.
13. Ibn Kathir dalam al-Tafsir, III, hlm. 506.
14. Al-Tabari dalam al-Jami' li Ahkam al-Qur'an, XX, hlm. 27.
15. al-Khazin dalam al-Tafsir, V, hlm. 226.
16. al-Suyuti dalam al-Durr al-Manthur, V, hlm. 215; Bughyah al-Wu'at, hlm. 442.
17. al-Syaukani dalam Fath al-Qadir, IV, hlm. 293.
18. Abu Bakr al-Hadhrami dalam Rasyfah al-Sadi, hlm. 24.
19. al-Sayyid Ibrahim Naqib, dalam al-Bayan wa Ta'rif, I, hlm. 134.
20. Muhammad Idris al-Hanafi dalam al-Ta'liq al-Sahih fi Syarh al-Masabih, I, hlm. 401 & 402 telah meriwayatkan hadith ini dengan sanad yang banyak dan bermacam-macam. Semuanya meliputi salawat ke atas Nabi SAWAW dan Ahlu l-Baitnya.
Aku berpendapat: "menyebut mereka" di dalam sembahyang dan bukan orang yang selain daripada mereka adalah dalil yang terang betapa tingginya kedudukan mereka. Lantaran itu tidak sah sembahyang seorang mukallaf sama ada dahulu ataupun sekarang tanpa pengucapan salawat ke atas mereka Ahlu l-Bait AS sama ada dia seorang yang bergelar al-Siddiq (Abu Bakr), al-Faruq (Umar atau dha-nur atau anwar ('Uthman).
Al-Nisaburi dalam Tafsirnya108 menyatakan ayat al-Mawaddah sudah cukup sebagai tanda penghormatan kepada Ahlu l-Bait Rasulullah SAWAW kerana tasyahhud di akhiri dengan 'menyebutkan' mereka dan selawat ke atas mereka pada setiap sembahyang.
Muhibbuddin al-Tabari di dalam Dhakha'ir al-'Uqba109 meriwayatkan daripada Jabir dia berkata: Jika aku sembahyang dan tidak berselawat ke atas Muhammad dan Ahlu l-Baitnya, maka aku fikir sembahyangku tidak diterima.
Qadhi 'Iyad telah menyatakan di dalam al-Syifa' daripada Ibn Mas'ud secara marfu': Sesiapa yang mengerjakan solat tanpa berselawat ke atasku dan Ahlu l-Baitku (di dalamnya), nescaya solatnya tidak diterima.110
Ibn Hajr di dalam al-Sawa'iq al-Muhriqah111 menyatakan bahawa al-Dar al-Qutni dan al-Baihaqi meriwayatkan hadith: Sesiapa mengerjakan solat dan tidak berselawat ke atasku dan Ahlu l-Baitku, maka solatnya tidak akan diterima." Hadith ini merupakan sumber rujukan Imam Syafi'i rd. yang mengatakan bahawa selawat ke atas Al (Ahlu l-Bait) adalah sebahagian daripada kewajipan solat sepertilah selawat ke atas Nabi SAWAW. Pada hakikatnya ia adalah lemah kerana sumber rujukan yang sebenar ialah hadith Nabi SAWAW yang disepakati: Katakanlah Allahumma Salli 'Ala Muhammad wa 'Ali Muhammad. Perintah (amr) di dalam hadith tersebut adalah wajib.
Fakhruddin al-Razi di dalam Mafatih al-Ghaib112 menegaskan bahawa selawat ke atas Ahlu l-Bait AS adalah satu kedudukan yang tinggi. Oleh itu selawat ke atas mereka dijadikan sebagai penamat tasyahhud. Dan sabdanya: 'Allahumma Salli 'Ala Muhammad wa Ali Muhammad wa r-ham Muhammad wa 'Ali Muhammad,' adalah suatu kemuliaan yang tidak boleh terjadi kepada selain daripada keluarga Muhamma SAWAW. Ini menunjukkan bahawa cinta kepada Muhammad dan 'Ali Muhammad adalah wajib. Dan beliau bersabda: Ahlu l-Baitnya SAWAW menyamai di dalam lima perkara:
1. Di dalam Tasyahhud; selawat ke atas Nabi SAWAW dan ke atas mereka.2. Di dalam Salam (Salam).3. Di dalam kesucian at-Taharah4. Di dalam pengharaman Sadqah5. Di dalam kasih sayang al-Mahabbah
Apa yang telah kami kemukakan tadi menunjukkan bahawa selawat ke atas mereka adalah dituntut di dalam solat. Dan banyak lagi hadith-hadith di dalam buku-buku Ahlu s-Sunnah yang menjelaskan hakikat ini.
Setelah aku membaca kesemua rujukan-rujukan di atas, aku dipenuhi kehairanan. Kenapa 'mereka' mendahului orang yang bukan Ahlu l-Bait daripada Ahlu l-Bait? Dan apa yang lebih menghairan ialah kata-kata Ibn Abi al-Hadid di dalam muqadimmah Syarh Nahj al-Balaghah113 di mana dia berkata: Segala puji bagi Allah yang telah mendahului al-Mafdhul (kurang baik) ke atas al-Fadhil (lebih baik).' Kata-katanya adalah menyalahi al-Qur'an dan Sunnah Nabi SAWAW kerana Allah tidak meredhai pengutamaan al-mafdhul ke atas al-Fadhil (pengutamaan Abu Bakr, Umar, dan Uthman ke atas 'Ali) begitu juga RasulNya, dan orang yang mempunyai akal yang sejahtera dan mempunyai hati yang bebas.
Dan apa yang menghairankan juga ialah kenapa mereka begitu berani mencaci Syi'ah Ahlu l-Bait Rasulullah SAWAW yang mewalikan Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman. Sebagaimana firmanNya di dalam (Surah al-Maidah (5): 56)"Sesiapa yang mewalikan Allah dan RasulNya, maka parti Allah pasti mendapat kemenangan." Syi'ah mengambil apa yang datang daripada Allah dan RasulNya, mereka tidak berganjak walau sedikitpun.
Ringkasnya Khilafah 'Ali AS sabit selepas Rasulullah SAWAW menurut ayat Salawat kerana Allah SWT mengiringinya ('Ali) bersama Rasulullah SAWAW dalam selawat ke atasnya. Justeru itu tidak seorangpun harus mendahuluinya sebagaimana ia tidak harus mendahului Rasulullah SAWAW. Berfikirlah wahai pembaca yang budiman jika anda orang yang berfikiran bebas.
6. Ayat Tabligh atau Hadith al-Ghadir
Iaitu firmanNya (Surah al-Mai'dah (5:67)"Hai Rasul, sampaikan apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, bererti) kamu tidak menyampaikan anamatNya. Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang kafir."
Allah SWT telah memerintahkan NabiNya di Ghadir Khum supaya menyampaikan ayat yang mulia ini kepada umat Muslimin. Semua ahli Tafsir Sunnah dan Syi'ah bersepakat bahawa ayat ini diturunkan di Ghadir Khum mengenai 'Ali AS bagi melaksanakan urusan Imamah. Ianya merupakan nas bagi jawatan khalifah yang besar dan pimpinan agama yang mulia. Tidak akan mengesyakinya melainkan orang yang mengikut hawa nafsu atau kerana fanatik kepada mazhab yang dianuti. Sikap tersebut adalah menyalahi Qur'an dan mengingkari hadith-hadith Nabi SAWAW yang mutawatir yang disepakati kesahihannya kecuali orang fanatik yang dikuasai oleh nafsu al-Ammarah. Lantaran itu dia akan binasa kerana pengingkarannya terhadap asas agama.
Al-'Allamah al-Sayyid al-'Abbas al-Kasyani menyatakan di dalam buku Masabih al-Jinan114 bahawa hari perayaan al-Ghadir adalah perayaan Allah yang besar dan perayaan Ahlu l-Bayt Muhammad SAWAW. Ianya sebesar-besar perayaan dan semulia-mulia perayaan di sisi mereka. Iaitu hari di mana Rasulullah SAWAW telah melantik 'Ali sebagai imam dan khalifah selepasnya dengan kehadiran beribu-ribu kaum Muslimin yang datang dari segenap pelusuk dunia.
Beliau telah memerintahkan mereka supaya membai'ahnya dan menyerahkan kepadanya urusan pemerintahan Mukminin. Peristiwa ini berlaku semasa Haji Wida' di suatu tempat bernama Ghadir Khum, tiga batu dari Juhfah berhampiran Rabigh selepas beliau kembali daripada mengerjakan haji di antara Makkah dan Madinah. Jibra'il datang kepada beliau untuk tujuan tersebut. Nabi SAWAW merasa takut untuk menyalahi kaumnya, lalu beliau berdoa: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya kaumku masih baru dengan zaman Jahiliyyah. Apabila aku melakukan perintah ini, mereka akan berkata: Beliau melakukannya kepada sepupunya. Kemudian Jibra'il AS datang kepadanya kali kedua di mana lima jam berlalunya siang dan berkata: Ya Muhammad! Sesungguhnya Allah menyampaikan salam kepada anda dan berfirman maksudnya: Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhanmu (iaitu tentang 'Ali) dan sekiranya kamu tidak melaksanakannya maka kamu tidak menyampaikan risalahNya."
Bilangan hadirin adalah melebihi satu ratus ribu orang. Jibra'il memberitahu Nabi SAWAW supaya orang ramai berhenti di tempat itu, dan mengisytiharkan 'Ali sebagai khalifah kepada mereka, dan menyampaikan kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah memeliharanya 'Asamahudaripada orang ramai. Manakala tiba di Ghadir Khum, azan berkumandang di udara dan solat berjama'ah didirikan.
Di hari itu panas terik, sekiranya daging dicampakkan ke tanah nescaya ia akan masak. Nabi SAWAW menyuruh mereka supaya menyusun batu seperti mimbar kemudian diteduhi dengan kain di atasnya. Lalu beliau berdiri di atasnya manakala mereka berhimpun, beliau memberi khutbahnya yang paling bersejarah, menguatkan suaranya supaya dapat didengari oleh seratus ribu lebih Muslimin yang datang dari setiap pelusuk. Selepas memuji Allah, beliau menyampaikan nasihat dan mengisytiharkan kepada ummah tentang kematiannya seraya berkata: Aku telah dipanggil dan hampir aku menyahutinya dan denyutan jantung hatiku kian memuncak di hadapan kalian." Kemudian beliau mengangkat tangan 'Ali AS sehingga orang ramai melihat keputihan ketiak Rasulullah SAWAW sambil berkata: Wahai manusia! Tidakkah aku lebih aula daripada diri kalian? Mereka menjawab: Ya! Wahai Rasulullah (SAWAW). Beliau bersabda: Wahai Tuhanku, siapa yang aku telah menjadi maulanya, maka 'Ali adalah maulanya. Wahai Tuhanku, cintailah mereka yang mewalikannya dan memusuhilah mereka yang memusuhinya. Dan tolonglah orang yang menolongnya. Hinalah orang yang menghinanya. Marahilah orang yang memarahinya. Cintailah orang yang mencintainya. Muliakanlah orang yang memuliakannya. Sesungguhnya Allah menyempurnakan bagi kalian agama kalian dengan wilayah dan imamahnya. Tidak memarahi 'Ali melainkan orang yang celaka. Tidak mewalikan 'Ali melainkan orang yang bertaqwa. Wahai manusia! Janganlah kalian kembali selepasku dalam keadaan kafir, bunuh membunuh sesama kalian. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang beharga jika kalian berpegang teguh kepadanya, kalian tidak akan sesat selama-lamanya: Kitab Allah dan Itrah Ahlu l-Baitku. Kedua-duanya tidak akan berpisah sehingga kedua-duanya dikembalikan di Haudh.
Wahai manusia! Telah sesat kebanyakan orang-orang yang terdahulu. Akulah Sirat al-Mustaqim di mana Allah telah memerintahkan kalian supaya berjalan di atasnya untuk mendapat petunjukNya. Ali selepasku, kemudian Hasan, Husain dan sembilan (manusia) imam daripada keturunannya yang menunjuk kebenaran. Sesungguhnya aku telah menerangkan kepada kalian dan memahamkan kalian. Dan inilah 'Ali yang akan memahamkan kalian selepasku. Sesungguhnya aku menyeru kalian supaya berjabat tanganku sebagai tanda membai'ahnya dan memperakuinya. Sesungguhnya aku telah membai'ah Allah dan 'Ali mengikut sama. Sesungguhnya bai'ah kalian kepadanya adalah daripada Allah. Justeru itu sesiapa yang mengingkari bai'ahnya maka dia sesungguhnya mengingkari dirinya sendiri. Dan sesiapa yang menepati apa yang telah dijanjikan Allah SWT maka Dia akan memberi ganjaran yang besar."
Tiba-tiba 'Umar bin al-Khattab berkata kepada 'Ali: Tahniah kepada anda wahai anak lelaki Abu Talib. Anda adalah maulaku dan maula setiap Mukmin dan Mukminat. Di dalam riwayat yang lain pula Umar berkata: Selamat bahagia untuk anda wahai 'Ali. Abu Sa'id al-Khudri berkata: Pada masa itu kami belum pulang sehingga turunnya ayat ikmalu d-Din (Surah al-Maidah (5):3) yang bermaksud:"Pada hari ini telahku sempurnakan bagimu agamamu, dan telahku cukupkan kepadamu nikmatku, dan telahku redha Islam itu agamamu."
Nabi bersabda: Allahu Akbar kerana menyempurnakan agama, menyempurnakan nikmat dan keredhaan Tuhan dengan risalahku dan dengan wilayah 'Ali AS selepasku. Kemudian Hasan bin Tsabit bangun dan berkata: Izinkan aku wahai Rasulullah SAWAW untuk mengemukakan beberapa rangkapan syair mengenai 'Ali supaya anda mendengarnya. Maka Rasulullah SAWAW menjawab: Katakanlah semoga anda di dalam keberkatan Allah. Maka Hasan mengemukakan syair berikut:
Mereka diseru di hari al-Ghadir oleh Nabi merekadi Khum aku mendengar bersama Rasul seorang penyeru.Dia berkata: Siapakah maula dan wali kalian?mereka menjawab: Mereka tidak melahirkan di sana sebarang kesamaran.Tuhan anda ialah maula kami dan anda adalah wali kami hanya penderhaka sahaja yang menentang kami di dalam wilayah.Maka dia berkata kepadanya: Berdirilah wahai 'Ali,maka sesungguhnya aku meredhai anda selepasku menjadi imam dan petunjuk.Maka sesiapa yang telah menjadikan aku sebagai maulanya, maka ini adalah walinya maka jadikanlah kalian baginya pembantu-pembantu yang benarDi sana beliau menyeru: Wahai Tuhanku perwalikanlah walinyadan jadikanlah orang yang menentang 'Ali sebagai musuhnya.
Al-Allamah al-Kasyani telah menyatakan di dalam Masabih al-Jinan115 bahawa ahli-ahli sejarah Islam dari berbagai mazhab telah menyebutkan pendirian Nabi SAWAW di Hari al-Ghadir dan perlantikan 'Ali sebagai khalifah memadailah di hari yang bersejarah itu satu kehormatan dan kemuliaan telah diberikan oleh pengarang-pengarang penyair-penyair mengenainya. Justeru itu amatlah sukar untuk dikemukakan sekaligus apa yang terkandung di dalam buku-buku Tafsir, Hadith, Musnad, Sirah dan sastera mengenai al-Ghadir. Buatlah rujukan kepada dua buku yang masyhur; al-'Aqabat dan al-Ghadir.
Aku berpendapat sebenarnya para ulama Islam telah bersepakat bahawa ayat al-Tabligh (Surah al-Maidah(5):67) telah diturunkan kepada 'Ali AS secara khusus bagi mengukuhkan khalifah untuknya. Di hari tersebut riwayat hadith al-Ghadir adalah Mutawatir. Ianya telah diriwayatkan oleh semua ahli sejarah dan ahli Hadith dari berbagai golongan dan ianya telah diperakukan oleh ahli Hadith dari golongan Sunnah dan Syi'ah. Ianya tidak dapat ditolak kecuali orang yang takbur, degil dan bodoh. Sebahagian meriwayatkannya dengan panjang dan sebahagian yang lain pula meriwayatkannya secara ringkas. Bilangan perawi-perawinya dari kalangan sahabat melebihi satu ratus sepuluh orang termasuk sahabat-sahabat yang terlibat di dalam peperangan Badr.116 Bilangan perawi-perawi dari kalangan tabi'in yagn meriwayatkannya ialah lapan puluh empat orang. Sementara bilangan ulama dan Muhaddithin di kalangan Ahlu s-Sunnah yang meriwayatkan hadith al-Ghadir ialah sebanyak tiga ratus enam puluh orang yang berdasarkan kepada buku-buku rujukan Ahlu s-Sunnah wal-Jama'ah.
Kemungkinan besar bilangan perawi-perawi yang tidak dapat dikesan adalah lebih ramai daripada itu. Sepatutnya bilangan perawi-perawi hadith tersebut berkali ganda ramai kerana bilangan mereka yang mendengar khutbah Nabi SAWAW adalah melebihi seratus ribu orang. Biasanya mereka menceritakan peristiwa tersebut apabila mereka kembali ke tanah air mereka sebagaimana seorang penyair berkata:
Dan ketahuilah sesungguhnya tetamu memberitahukan keluarga malam yang dilaluinya sekalipun
ianya tidak ditanya.
Ya! Semuanya akan melakukan sedemikian melainkan sebilangan daripada mereka yang mempunyai perasaan dendam kesumat di hati mereka. Lalu mereka menyembunyikannya kerana kemarahan dan hasad dengki mereka.
Adapun Syi'ah, mereka telah bersepakat tentang kemutawatirannya. Tetapi manakala sabitnya hadith al-Ghadir sehingga mencapai ke tahap di mana orang yang mempunyai perasaan iri hati tidak dapat menolaknya, lalu ditanamkan perasaan curiga kepada perawi-perawi dan riwayat-riwayat mereka pula. Mereka menakwilkan perkataan al-Maula menurut hawa nafsu mereka. Kadangkala mereka mentafsirkannya dengan pencinta (al-Muhibb), pembantu (al-Nasir) dan dengan perkataan al-Aula (lebih utama).
Demikianlah sekiranya mereka tidak ada jalan lain lagi untuk melakukan kecacatan dan 'kelemahan' di dalam penafsiran ayat dan hadith. Mereka juga mengatakan bahawa Nabi SAWAW berada di Ghadir Khum, dan berkhutbah bagi menerangkan kepada orang ramai tentang kedudukan 'Ali dan memperkenalkannya ('Ali) kepada orang ramai dan bukan bertujuan untuk menjadikannya khalifah selepasnya.
Adapun orang yang syak tentang perkataan al-Waliyy sebagaimana telah disebutkan, sekalipun ianya mungkin memberi pengertian-pengertian tersebut sebagaimana dikatakan oleh lawan yang angkuh, maka ianya pasti memberi pengertian 'orang yang lebih berhak dengan khalifah'. Dan tidak harus seorangpun melakukan perkara tersebut selain daripadanya ('Ali AS). Dalil kami ialah ayat al-Wilayah (Surah al-Maidah (5):55). Adapun pendapat lawan yang menyatakan bahawa Rasulullah SAWAW berada di Ghadir Khum adalah untuk menerangkan kepada orang ramai tentang kedudukan 'Ali AS sahaja dan bukan sebagai pengganti Nabi SAWAW adalah rekaan semata-mata. Lantaran itu percakapannya adalah batil, tidak sampai kepada hakikat dan ianya tidak dapat diterima.
Kerana seolah-olah 'Ali AS tidak dikenali sebelumnya sehingga Rasulullah SAWAW berada di tempat tersebut dan memperkenalkannya kepada orang ramai pada masa yang mencemaskan dengan suhu yang tinggi. Sebagaimana telah diterangkan kepada kalian sesungguhnya 'Ali lebih dikenali di dalam peperangan-peperangannya, disaksikan oleh peristiwa-peristiwa tersebut dan beliau ('Ali AS)lah yang telah mengukuhkan agama ini dengan pedangnya.
Oleh itu dalil yang paling kuat tentang kebenaran dakwaan kami ialah 'Ali AS sendiri berdiri memberi khutbahnya di atas mimbar di Rahbah sebagaimana telah disebutkan oleh semua ahli sejarah selepas beliau menjadi khalifah.
Dia berkata: Aku menyeru kerana Allah bagi setiap orang yang mendengar Rasulullah SAWAW bersabda di Hari al-Ghadir supaya berdiri dan mempersaksikan apa yang telah didengarinya. Dan tidak boleh berdiri melainkan orang yang melihatnya (Nabi SAWAW) dengan matanya dan mendengar dengan kedua telinganya. Maka tiga puluh sahabat berdiri termasuk dua belas orang yang telah mengambil bahagian di dalam peperangan Badr. Maka mereka telah menyaksikan bahawa beliau SAWAW telah memegang 'Ali dengan tangannya dan berkata kepada orang ramai: Tidakkah anda mengetahui bahawa sesungguhnya aku lebih aula dengan Mukminin daripada diri mereka sendiri? Mereka menjawab: Ya. Beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya.
Pembaca yang budiman tentu seklai tidak akan mengatakan bahawa tiga puluh sahabat itu telah berbohong, kerana ini tidak dapat diterima oleh akal yang waras. Lantaran itu pencapaian tahap kemutawatiran hadith al-Ghadir yang berlaku semata-mata dengan penyaksian mereka adalah Qat'i. Dan tidak syak lagi bahawa hadith ini pula diambil oleh semua orang yang berada di Rahbah di dalam perhimpunan tersebut, dan menyebarkannya selepas mereka pulang ke tempat-tempat mereka.
Sebagaimana Sayyid Syarafuddin al-Musawi berkata di dalam bukunya al-Murujaat117 (Dialog Sunnah-Syi'ah); Tidak dapat disembunyikan lagi bahawa hari Rahbah itu berlaku semasa Khalifah Amiru l-Mukminin. Beliau telah dibai'ah pada tiga puluh lima hijrah. Hari al-Ghadir ialah pada Haji Wida' tahun kesepuluh. Dan jarak masa di antara dua hari tersebut (hari al-Ghadir dan hari Rahbah) ialah dua puluh lima tahun.
Di sepanjang masa tersebut telah menular penyakit taun dan berlaku beberapa peperangan yang telah meragut nyawa sebahagian besar para sahabat yang telah menyaksikan hari al-Ghadir dan pemuda-pemuda mereka yang terlibat di dalam peperangan meninggal dunia. Sehingga tinggal bilangan kecil yang masih hidup dan yang masih hidup pula tinggal di merata-rata tempat. Justeru itu mereka yang menyaksikan hari Rahbah ialah mereka yang tinggal bersama Amiru l-Mukminin di Iraq. Meskipun begitu tiga puluh sahabat berdiri dan memberikan penyaksian mereka. Dua belas daripada mereka terlibat di dalam peperangan Badr, telah menyaksikan hadith hari al-Ghadir dan mendengarnya daripada Nabi SAWAW.118 Memang terdapat sahabat-sahabat seperti Anas bin Malik yang enggan memberi penyaksian tersebut di mana 'Ali AS berkata kepadanya: Kenapa anda tidak berdiri bersama-sama sahabat-sahabat Rasulullah SAWAW untuk memberi penyaksian kepada apa yang telah anda dengari daripadanya di hari itu? Dia menjawab: Wahai Amiru l-Mukminin. Aku telah tua dan pelupa pula. Lantas 'Ali AS berkata: Sekiranya anda berbohong, nescaya Allah akan mengenakan anda dengan penyakit keputihan kulit yang tidak dapat ditutupi serban. Dia tetap tidak berdiri sehingga mukanya di hinggapi keputihan kanser. Selepas itu dia berkata: Aku ditimpa penyakit ini disebabkan berkat hamba yang soleh ('Ali AS).119 Jikalaulah Imam 'Ali AS membuat persiapan bagi menghimpunkan semua sahabat yang masih hidup di masa itu, kemudian beliau menyeru mereka sebagaimana beliau telah melakukannya di hari Rahbah, nescaya bilangan mereka akan berlipat ganda lagi. Apatah lagi jika beliau membuat persiapan itu di Hijaz sebelum berlakunya Hari al-Ghadir. Lantaran itu hakikat ini nescaya anda akan mendapatinya sekuat-kuat dalil kemutawatiran hadith al-Ghadir.
Di sini aku akan kemukakan kepada pembaca yang budiman sebahagian daripada pendapat-pendapat ahli Tafsir dan ahli hadith mengenai ayat al-Tabligh (Surah al-Mai'dah (5):56)"Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu...." dan ayat Ikmaluddin dalam (Surah al-Mai'dah(5):3)"Pada hari ini telah aku sempurnakan bagimu agamamu...." dan ayat (Surah al-Ma'arij (70):1)"Seorang telah meminta kedatangan azab...." serta hadith: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya.....dan lain-lain hadith yang telah dikaitkan secara khusus mengenai 'Ali AS untuk jawatan khilafah dan Imamah selepas Rasulullah SAWAW secara langsung di Hari al-Ghadir.
Hadith al-Ghadir telah diriwayatkan oleh para ulama besar Muslimin dengan sanad yang mutawatir dan dikhususkan kepada Imam Amiru l-Mukminin 'Ali AS.
Al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul120 berkata: Sesungguhnya ayat al-Tabligh (Surah al-Mai'dah(5):67) telah diturunkan di hari al-Ghadir pada 'Ali bin Abi Talib RD. Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur121 berkata: Ibn Abi Hatim, Ibn Mardawaih dan Ibn Asakir telah meriwayatkannya daripada Abu Sa'id al-Khudri bahawa ayat al-Tabligh (Surah al-Mai'dah(5): 67) telah diturunkan ke atas Rasulullah di hari al-Ghadir mengenai 'Ali bin Abu Talib AS.
Fakhruddin al-Razi di dalam Mafatih al-Ghaib122 berkata: Ahli Tafsir telah menyebutkan bahawa sebab turun ayat ini sehingga dia berkata: (kesepuluh) ayat ini telah diturunkan tentang kelebihan 'Ali bin Abi Talib AS. Manakala ayat ini diturunkan Nabi SAWAW memegang tangan 'Ali AS dan bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya. Hormatilah orang yang mewalikannya dan musuhilah orang yang memusuhinya. Kemudian Umar (RD) memujinya dan berkata: Tahniah kepada anda wahai anak Abu Talib. Anda telah menjadi maulaku dan maula semua mukmin dan mukminah. Ini adalah riwayat Ibn 'Abbas, al-Barra' bin Azib dan Muhammad bin Ali.
Al-Nisaburi di dalam Tafsirnya123 menyatakan bahawa ayat ini telah diturunkan mengenai kelebihan 'Ali bin Abi Talib RD di hari al-Ghadir. Dia menyebutkan sebagaimana telah disebutkan oleh Fakhruddin al-Razi satu demi satu.
Al-Syaukani di dalam Tafsirnya124 menyebutkan bahawa Abu al-Syaikh meriwayatkan daripada al-Hasan bahawa Rasulullah SAWAW bersabda:"Sesungguhnya Allah telah mengutuskan (kepadaku) satu misi yang mencemaskan, aku mengetahui bahawa sesungguhnya orang ramai akan membohongiku. Maka Dia telah menjanjikan aku supaya aku menyampaikannya atau Dia akan menyiksaku. Maka turunlah ayat al-Tabligh (Surah al-Maidah (5):67)"Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu....Dia telah menyebutkan apa yang telah disebutkan oleh al-Suyuti bahawa ianya diturunkan di hari al-Ghadir Khum tentang 'Ali bin Abi Talib AS. Dan mereka membaca ayat tersebut dengan: Inna Aliyyan Maula al-Mukminin (Sesungguhnya 'Ali adalah wali Mukminin).
Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah125 menulis: al-Tha'labi telah meriwayatkan daripada Ibn Salih daripada Ibn 'Abbas daripada Muhammad al-Baqir RD mereka berdua berkata: Ayat ini diturunkan mengenai 'Ali AS.
Al-Alusi di dalam Ruh al-Ma'ani126 berkata: Ibn 'Abbas berkata: Ayat ini diturunkan kepada 'Ali AS. Allah SWT memerintahkan Nabi SAWAW supaya mengisytiharkan kepada orang ramai (para sahabatnya) mengenai wilayah 'Ali AS. Rasulullah SAWAW merasa takut bahawa mereka akan berkata bahawa beliau SAWAW memilih sepupunya. Mereka akan menentang beliau mengenainya. Lantaran itu Allah menurunkan ayat ini, maka beliau melaksanakan wilayahnya ('Ali AS) dan berkata: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya....Dia telah menyebutkannya sebagaimana telah disebutkan oleh al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur hingga ke akhirnya.
Nota kaki
50. Mafatih al-Ghaib, III, hlm. 20.
51. al-Kasysyaf, I, hlm. 482.
52. Sahih, VII, hlm. 120.
53. al-Musnad, I, hlm. 185.
54. Jami' al-Bayan, III, hlm. 192.
55. al-Durr al-Manthur, II, hlm. 38.
56. Asbab al-Nuzul, hlm. 47.
57. Yanabi' al-Mawaddah, hlm. 43.
58. Nur al-Absar, hlm. 101.
59. Dhakha'ir al-'Uqba, hlm. 25.
60. KIfayah al-Talib, hlm. 54.
61. al-Mustadrak, III, hlm. 150.
62. Dala'il al-Nubuwwah, hlm. 297.
63. Ma'alim al-Tanzil, I, hlm. 302.
64. Mafatih al-Ghaib, VIII, hlm. 85.
65. al-Takhis, III, hlm. 150.
66. Usd al-Ghabah, IV, hlm. 25.
67. Tadhkhirah al-Huffaz, hlm. 17.
68. Jami' li Ahkam al-Qur'an, III, hlm. 104.
69. Anwar al-Tanzil, II, hlm. 22.
70. Al-Isabah, II, hlm. 503.
71. Matalib, al-Su'ul, hlm. 7.
72. Ghayah al-Maram, hlm. 300.
73. Ta'Liqatuhu 'Ala Ihqaq al-Haq, hlm. 46.
74. al-Nabhan, al-Arba'in, hlm. 90.
75. al-Kasysyaf, II, hlm. 339.
76. Dhakha'ir al-'Uqba, hlm. 25.
77. Matalibal-Su'ul, hlm. 8.
78. Hamisyh Mafatih al-Ghaib, VI, hlm. 665.
79. Tafsir al-Nasafi, hlm. 99.
80. Tafsir Abu Hayyan, VII, hlm. 156.
81. al-Fusul al-Muhimmah, hlm. 12.
82. Majma' al-Zawaid, IX, hlm. 168.
83. Kifayah al-Talib, hlm. 31.
84. Syarh al-Mawahib, VII, hlm. 3 & 21.
85. Nur al-Absar, hlm. 112.
86. al-Sawa'iq al-Muhriqah, hlm. 105.
87. Ihya' al-Mayyit, 101 & 135.
88. Sahih, VI, hlm. 129.
89. Jami' al-Bayan, XXV, hlm. 14-15.
90. al-Kafi al-Syafi'i, hlm. 145.
91. Yanabi' al-Mawaddah, hlm. 106.
92. Rasyfah al-Sadi, hlm. 21...106.
93. al-Mustadrak, III, hlm. 172.
94. al-Talkhis, III, hlm. 172.
95. al-Kasysyaf, III, hlm. 402.
96. Maqtal al-Husain, hlm.1.
97. al-Umdah, hlm. 23.
98. Matalib al-Su'ul, hlm. 3.
99. al-Wadhih, XXV, hlm. 19.
100. Kifayah al-Talib, hlm. 31.
101. Ta'liqatuhu 'Ala Ihqaq al-Haqa'iq, III, hlm. 2 & 23.
102. al-Ghadir, II, hlm. 306.
103. Syi'ah mengatakan bahawa Imamah 'Ali AS adalah selepas Rasulullah SAWAW secara langsung tanpa wasitah iaitu tidak didahului oleh orang lain. Sementara Ahlu s-Sunnah mengatakan Imamah 'Ali AS adalah selepas Rasulullah SAWAW secara wasitah (perantaraan) iaitu telah didahului oleh Khalifah AbuBakr.
104. al-Musnad, II, hlm. 97.
105. al-Sawa'iq al-Muhriqah, hlm. 144
106. al-Jami' li-Ahkam al-Qur'an, XIV, hlm. 233.
107. Ahkam al-Qur'an, I, hlm. 184.
108. Tafsir al-Nisaburi, XX, hlm. 30.
109. Dhakha'ir al-'Uqba, hlm. 19.
110. al-Ghadir, II, hlm. 303.
111. al-Sawa'iq al-Muhriqah, hlm. 144.
112. Mafatih al-Ghaib, VII, hlm. 391.
113. Syarh Nahj al-Balaghah, I, hlm. 1.
114. Masabih al-Jinan, hlm. 560.
115. Masabih al-Jinan, hlm. 560.
116. Lihat Lampiran B.
117. al-Muruja'at (Dialog Sunnah-Syi'ah), hlm. 262 dan seterusnya.
118. al-Musnad, IV, hlm. 370; Dialog Sunnah-Syi'ah, hlm. 254.
119. Ibn Qutaibah, Kitab al-Ma'arif, hlm. 251.
120. Asbab al-Nuzul, hlm. 150.
121. al-Durr al-Manthur, II, hlm. 298.
122. Mafatih al-Ghaib, hlm. 636.
123. Tafsir al-Nisaburi, VI, hlm. 194.
124. Tafsir al-Syaukani, VI, hlm. 194.
125. Yanabi al-Mawaddah, hlm. 120.
126. Ruh al-Ma'ani, VI, hlm. 172.
0 comments:
Catat Ulasan