Welcome to My lovely Blog

Random

create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
http://adf.ly/EWRNQ

Hadiths/aLQur'an

Hadiths/aLQur'an
Dhul Hijja

Mengapa aku memilih Ahlu l-Bait? oleh Syeikhal-Antaki, bab 2, Syi'ah dan al-Qur'an ( A)


BAB KEDUA

Syi'ah dan al-Qur'an
Syi'ah mengambil hukum-hukum agama mereka selepas Nabi SAWAW daripada al-Qur'an dan Sunnah Nabawiyyah. Adapun daripada al-Qur'an para mujtahid mereka mengambil hukum-hukum daripada nas-nas yang terang. Adapun nas-nas yang memerlukan penafsiran, mereka merujukkan kepada penafsiran al-Itrah yang suci.
Bagi orang yang bukan mujtahid, sama ada dia seorang muhtat yang memilih hukum untuk dirinya sendiri atau seorang muqallid yang mentaklidkan kepada seorang mujtahid yang adil menurut syarat-syarat yang ditetapkan di dalam buku-buku mereka. Apa yang paling penting baginya ialah mujtahid tersebut mestilah mengambil fiqhnya daripada Nabi SAWAW dan Ahlu l-Baitnya yang suci bersama al-Qur'an dan membuat kesimpulan dengan cahaya akal: Syi'ah mempunyai hujah-hujah yang kuat di dalam buku-buku mereka. Justeru itu aku kemukakan kepada kalian sebahagian daripada ayat-ayat al-Qur'an dan hadith-hadith Nabi SAWAW yang menunjukkan sabitnya hak dan dakwaan mereka.
Di sini dikemukakan ayat-ayat al-Qur'an yang menyokong dakwaan Syi'ah yang telah ditafsirkan oleh para ulama Ahlu l-Sunnah yang sejajar dengan pentafsiran Syi'ah seperti berikut:
1. Ayat al-Wilayah
FirmanNya di dalam (Surah al-Maidah (5): 55):"Sesungguhnya wali kamu adalah Allah, RasulNya, dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan memberi zakat dalam keadaaan rukuk."
Telah sepakat semua Ahlu l-Bait AS, para ulama Tafsir dan Hadith dari golongan Syi'ah dan kebanyakan para ulama tafsir Ahlu s-Sunnah, malah keseluruhan mereka bahawa ayat ini telah diturunkan pada Amiru l-Mukminin Ali AS, ketika beliau memberi sadqah cincinnya kepada si miskin di dalam keadaan beliau (Ali AS) sedang solat di Masjid Rasulullah SAWAW. Peristiwa ini telah diakui oleh para sahabat pada zaman Nabi SAWAW, para tabi'in dan penyair-penyair yang terdahulu sehingga mereka memasukkan peristiwa ini ke dalam syair-syair mereka.
Di sini diperturunkan kenyataan para ulama Ahlu s-Sunnah mengenai perkara tersebut seperti berikut:
Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur1 berkata: al-Khatib telah mengeluarkannya di dalam al-Muttafaq daripada Ibnu Abbas, dia berkata:'Ali AS telah menyedekahkan cincinnya dalam keadaan rukuk. Maka Nabi SAWAW bersabda: Siapakah yang memberikan kepada anda cincin ini? Lelaki ini menjawab: Lelaki yang sedang rukuk itu. Maka Allah SWT menurunkan ayat "Sesungguhnya wali kamu adalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan memberi zakat di dalam keadaan rukuk (Surah al-Maidah(5): 55).
Al-Tabrani telah menulisnya di dalam al-Ausat.2   Ibn Mardawaih daripada 'Ammar bin Yassir berkata: Seorang peminta sadqah berdiri di sisi Ali yang sedang rukuk di dalam sembahyang sunat. Lalu beliau mencabutkan cincinnya dan memberikannya kepada peminta tersebut. Kemudian dia memberitahukan Rasulullah SAWAW mengenainya. Lalu ayat tersebut diturunkan. Kemudian Nabi SAWAW membacakannya kepada para sahabatnya. Beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka Ali adalah maulanya. Wahai Tuhanku, hormatilah orang yang memperwalikannya dan musuhilah orang yang memusuhinya, cintailah orang orang mencintainya, bencilah orang yang membencinya, tolonglah orang yang menolongnya, tinggallah orang yang meninggalkannya dan penuhilah kebenaran bersamanya di mana saja dia berada."
Begitu juga Abdu l-Razzaq, 'Abd b. Hamid, Ibn Jarir dan Abu Syaikh telah mengesahkan bahawa Ibn Mardawaih meriwayatkannya daripada Ibn Abbas, dia berkata: ayat "Sesungguhnya wali kamu adalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman.....(Surah al-Maidah (5):55) telah diturunkan ke atas 'Ali bin Abi Talib.
Hadith ini telah dikeluarkan juga oleh Ibn Abi Hatim, Abu Syaikh dan Ibn 'Asakir daripada Salmah bin Kuhail. Dia berkata: Ali menyedekahkan cincinnya dalam keadaan rukuk. Kemudian ayat (Surah al-Ahzab (33): 33) diturunkan.
Begitu juga Ibn Jarir, daripada Sudi dan 'Atbah bin Hakim telah mengeluarkan hadith yang sama, sementara Abu Syaikh dan Ibn Mardawaih meriwayatkan hadith ini daripada 'Ali bin Abi Talib. Dia berkata: Ayat (Surah al-Maidah (5):55) "Sesungguhnya wali kami adalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman....." adalah diturunkan kepada Rasulullah SAWAW di rumahnya. Lalu Rasulullah SAWAW keluar dari rumahnya dan memasuki masjid. Orang ramai bersembahyang di antara rujuk dan sujud, malah ada yang berdiri. Tiba-tiba datang seorang peminta sadqah, adakah seseorang telah memberikan kepada anda sesuatu? Dia menjawab: Tidak, selain daripada lelaki yang sedang rukuk iaitu 'Ali bin Abi Talib telah memberikan cincinnya kepadaku.
Ibn Mardawaih telah mengeluarkan hadith ini melalui al-Kalbi daripada Abi Salih daripada Ibn Abbas dia berkata: 'Abdullah bin Salam dan beberapa orang Ahlu l-Kitab datang kepada Nabi SAWAW di waktu zuhur. Mereka berkata: Sesungguhnya jarak rumah-rumah kami jauh sekali. Kami tidak dapati orang yang ingin duduk bersama kami dan bergaul dengan kami selain di masjid ini. Dan sesungguhnya kaum kami apabila mereka melihat kami telah membenarkan Allah dan RasulNya, dan meninggalkan agama mereka, lalu mereka melahirkan permusuhan mereka dan bersumpah supaya mereka tidak bergaul dengan kami, mereka tidak makan bersama-sama kami. Lantaran itu ianya menimbulkan kesulitan kepada kami. Dan di kalangan mereka ada yang merayu perkara itu kepada Rasulullah SAWAW. Dan kemudian ayat yang bermaksud: Sesungguhnya wali kami adalah Allah, RasulNya dan orang yang beriman..[al-Maidah (5): 55] diturunkan. Kemudian azan diadakan bagi menunaikan solat Zuhr.
Kemudian Rasulullah SAWAW keluar ke masjid, tiba-tiba beliau melihat peminta sadqah lalu beliau bersabda: Adakah seseorang telah  memberikan anda sesuatu? Dia menjawab: Ya. Beliau bertanya: Siapa? Dia menjawab: Lelaki yang sedang berdiri itu. Beliau bertanya lagi: Di dalam keadaan manakah dia memberikannya kepada anda? Dia menjawab: Dalam keadaan rukuk. Beliau bersabda: Itulah 'Ali bin Abi Talib AS. Lalu Rasulullah SAWAW bertakbir dan di masa itu beliau membaca ayat al-Qur'an (Surah al-Maidah (5): 55):"Sesiapa yang mewalikan Allah dan RasulNya dan orang-orang yang beriman, maka sesungguhnya parti Allah itulah yang pasti kemenangan."
Al-Kanji al-Syafi'i telah menyebutkannya di dalam Kifayah al-Talib3  daripada Anas bin Malik: Sesungguhnya ada seorang peminta sadqah di masjid bertanya: Siapakah yang akan memberikan sadqah kepadanya. 'Ali yang sedang rukuk memberikan isyarat kepadanya supaya mencabutkan cincin di tangannnya. Rasulullah SAWAW bersabda: Wahai 'Umar! Sesungguhnya telah wajib baginya ('Ali) syurga kerana Allah tidak mencabutkannya daripada tangannya sehingga Dia mencabutkan segala dosa dan kesalahan daripadanya. Dan ayat (Surah al-Maidah (5):55) diturunkan.
Kemudian penyair Hasan bin Tsabit memperkatakan syairnya:
Wahai Abu l-Hasan! Jiwa ragaku berkorban untukmu dan setiap pencinta petunjuk
Adakah akan sia-sia orang yang memujimu?
Orang yang memuji pada zat Allah tidak akan sesat

Kaulah yang telah memberi di dalam keadaan rukuk
seluruh jiwa ragaku berkorban untukmu
wahai sebaik-baik orang yang rukuk.
Di antara perawi-perawi yang menegaskan bahawa ayat ini telah diturunkan pada Amiru l-Mukminin Ali AS ialah Fakhruddin al-Razi di dalam tafsirnya.4  Dia telah meriwayatkannya daripada 'Ata' daripada Ibn Abbas bahawa sesungguhnya ayat ini diturunkan pada 'Ali bin Abi Talib AS. Dia meriwayatkan bahawa 'Abdullah bin Salam berkata: Manakala ayat ini diturunkan, aku bertanyakan Rasulullah SAWAW wahai Rasulullah SAWAW! Aku melihat Ali memberikan cincinnya kepada seorang yang memerlukannya di dalam keadaan rukuk, maka kamipun mewalikannya.
Dia juga meriwayatkan daripada Abu Dhar RH bahawa dia berkata: Pada suatu hari aku menunaikan solat Zuhr bersama Rasulullah SAWAW. Maka seorang peminta sadqah di masjid meminta (sesuatu), tidak seorangpun memperdulikannya. Lantas peminta itu mengangkat tangannya ke langit dan berkata: Wahai Tuhanku persaksikanlah sesungguhnya aku telah meminta di masjid Rasulullah SAWAW, tetapi tidak ada seorangpun yang memberi sesuatu kepadaku. Dan 'Ali AS pada ketika itu sedang rukuk lalu beliau memberikan isyarat kepadanya dengan anak jari tangan kanannya yang bercincin. Maka lelaki tadi datang mencabutnya dan ianya dilihat oleh Nabi SAWAW lalu beliau bersabda: Sesungguhnya saudaraku Musa telah meminta kepada Engkau dan berkata:(Surah Taha (20): 25): Wahai Tuhanku lapangkanlah untukku dadaku dan jadikanlah dia sekutu di dalam urusanku. Maka ayat (Surah al-Qasas (28): 35)"Kami akan membantumu dengan saudaramu dan kami berikan kamu berdua kekuasaan yang besar" diturunkan.
"Wahai Tuhanku, aku adalah Muhammad Nabi kalian dan pilihan kalian,  maka lapangkanlah dadaku dan permudahkanlah urusanku dan jadikanlah untukku seorang pembantuku (wazir) daripada keluargaku 'Ali dan perkukuhkanlah dengannya kekuatan." Abu Dhar berkata:"Demi Allah sebaik saja Rasulullah SAWAW selesai membaca doa itu, Jibra'il turun dan berkata: Wahai Muhammad "Sesungguhnya wali kamu adalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat, dan memberikan zakat di dalam keadaan rukuk (al-Maidah (5): 55).
Hadith ini juga telah diriwayatkan oleh al-Syablanji di dalam Nur al-Absar5  sanadnya sampai kepada Abu Dhar. Di antara orang-orang yang meriwayatkan hadith ini diturunkan pada Amiru l-Mukminin 'Ali AS ialah al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul,6   al-Zamakhsyari di dalam tafsirnya al-Kasysyaf 7  bahawa ayat ini diturunkan kepada 'Ali ketika peminta sadqah meminta kepada beliau di dalam keadaan rukuk di dalam solatnya, maka beliaupun mencampakkan cincinnya. Ibn Hajr al-Asqalani, di dalam al-Kafi al-Syafi fi Takhrij Ahadith al-Kasysyaf 8  ketika mengeluarkan hadith ini, dia berkata: Hadith ini telah diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Salmah bin Kuhail dia berkata: 'Ali bersadqah dengan cincinnya dalam keadaan rukuk. Maka ayat "Sesungguhnya wali kamu adalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman" [al-Maidah (5): 55] diturunkan.
Hadith ini juga diriwayatkan daripada Ibn Mardawaih dan Sufyan al-Thauri daripada Ibn Sinan daripada al-Dhahak daripada Ibn 'Abbas, dia berkata:"Ali AS sedang menunaikan solat di dalam keadaan berdiri, tiba-tiba datang seorang peminta sadqah ketika 'Ali sedang rukuk. Maka beliaupun memberikan cincinnya kepada orang itu. Lalu ayat yang bermaksud:"Sesungguhnya wali kamu adalah Allah, RasulNya....."[al-Maidah (5): 55] diturunkan.
Abu Bakar Ahmad bin 'Ali al-Razi al-Hanafi di dalam Ahkam al-Qur'an 9  mengeluarkan beberapa riwayat yang menunjukkan bahawa ayat ini diturunkan mengenai hak 'Ali AS. Sanad-sanadnya berakhir kepada Mujahid, Sudi, Abu Ja'far, 'Atbah bin Abi Hakim dan lain-lain.
Al-Qurtubi al-Andalusi di dalam al-Jami' li Ahkam al-Qur'an,10  memindahkan hadith ini daripada Imam al-Baqir AS bahawa ayat ini diturunkan kepada Amiru l-Mukminin 'Ali AS dan keluarganya. Dia berkata: Mereka memberi zakat di dalam keadaan rukuk menunjukkan bahawa sadqah sunat dinamakan zakat kerana 'Ali AS telah bersadqah sunat dengan cincinnya semasa rukuk.
Rasyid Ridha yang bermazhab Wahabi di dalam tafsirnya al-Manar,11  al-Alusi di dalam Ruh al-Ma'ani12menyatakan bahawa ayat ini diturunkan kepada hak Amiru l-Mukminin 'Ali AS dengan berbagai riwayat yang berakhir setengahnya kepada Ibn 'Abbas dan setengahnya kepada Abdullah bin Salam.
Muhibbuddin al-Tabari di dalam Dhakha'ir al-'Uqba,13   telah meriwayatkan beberapa riwayat yang sahih di dalam bab ini. Sibt Ibn al-Jauzi di dalam Tadhkirah al-Huffaz.14
Fakhruddin al-Razi di dalam Mafatih al-Gha'ib,15  mengatakan bahawa ayat ini menunjukkan bahawa imam selepas Rasulullah SAWAW ialah 'Ali bin Abi Talib AS. Justeru itu untuk mengukuhkannya, aku berkata: Bahawa sesungguhnya ayat ini menunjukkan bahawa apa yang dimaksudkannya ialah seorang imam. Dan apabila ianya menunjukkan sedemikian maka imam tadi mestilah 'Ali bin Abi Talib AS.
al-Bahrani di dalam Ghayah al-Maram 16  telah mengemukakan hadith-hadith yang menunjukkan ayat ini telah diturunkan kepada Amiru l-Mukminin 'Ali AS. Dia meriwayatkan sebanyak dua puluh empat hadith menurut saluran Ahlu s-Sunnah dan dua puluh hadith menurut saluran Syi'ah.

Begitu juga al-Allamah al-Amini di dalam al-Ghadir 17  telah mencatat enam puluh enam nama-nama ulama Ahlu s-Sunnah yang masyhur yang telah menyebutkan hadith ini dan mereka pula menegaskan bahawa ayat ini telah diturunkan kepada Amiru l-Mukminin 'Ali AS dengan menyebutkan perawi-perawinya sekali.
 

Aku berkata: Ini sahajalah peluang yang mengizinkan kami menyebutkan kata-kata Ahlu s-Sunnah di dalam bab ini. Adapun sahabat-sahabat kami Imamiyyah, Syi'ah keluarga suci, mereka bersepakat di dalam buku-buku Hadith, Tafsir dan ilmu l-Kalam bahawa ayat tersebut diturunkan pada hak 'Ali AS. Sesungguhnya beliaulah yang dimaksudkan dengan ayat ini. Tidak seorangpun menyalahinya. Kadangkala mereka mendakwa bahawa hadith ini telah sampai ke peringkat kemutawatirannya. Lantaran itu tidak ada ruang dan helah bagi seseorang itu untuk mengesyaki dan menolaknya melainkan ianya seorang pemarah, penentang ataupun terlalu rendah daya pemikirannya.
Aku berkata: Ayat ini menentukan bahawa sesungguhnya imam dan khalifah selepas Rasulullah SAWAW ialah 'Ali bin Abi Talib AS kerana Allah SWT mengiringi wilayah 'Ali dengan wilayahNya dan wilayah RasulNya.

  Perkataan innama (bahawa sesungguhnya) di dalam ayat tersebut memberi maksud al-Hasrdengan persetujuan ahli bahasa. Lantaran itu wilayah adalah ditentukan untuk mereka. Dan maksud dengan wali di sini adalah orang yang paling utama (aula) untuk mengurus sesuatu  dan seseorang itu tidak dikatakan aula (lebih utama) melainkan apabila dia adalah khalifah dan imam. Ini adalah pengertian yang masyhur menurut ahli bahasa.
Dari segi syarak mereka berkata: Sultan adalah wali kepada orang yang tidak mempunyai wali. Dan mereka berkata: Wali darah dan wali mayat, si anu adalah wali urusan rakyat dan si anu adalah wali bagi orang yang kurang daya kecerdikan. Nabi bersabda: Mana-mana perempuan yang mengahwini dirinya tanpa keizinan walinya, maka nikahnya adalah batil. Apa yang dimaksudkan dengan wali di dalam contoh-contoh tadi ialah al-Aula sebagaimana kata Mibrad di dalam buku al-'Ibarah tentang sifat-sifat Tuhan bahawa wali ialah aula.
Wali sekalipun sah dikaitakan dari segi bahasa dengan al-Nasr (pembantu) dan muhibb (pencinta) tetapi kedua-kedua pengertian itu tidak sesuai di tempat ini kerana kedua-duanya adalah umum, tanpa terbatas kepada orang yang dikehendaki di dalam ayat yang mulia ini iaitu firmanNya di dalam (surah al-Taubah (9):71):"Dan mukminin dan mukminah setengah mereka  menjadi Auliya' ke atas setengah yang lain."
Jika ditanya bagaimana dikehendaki dengan al-Ladhi na amanu (orang-orang yang beriman) itu Imam Amiru l-Mukminin AS seorang sahaja, sedangkan perkataan itu adalah umum? Maka kami menjawabnya:

1. Banyak terdapat di dalam percakapan Arab penggunaan perkataan jamak tetapi dikehendaki seorang sahaja berserta Qarinah dan sebaliknya. Ini adalah masyhur di kalangan mereka. Di dalam al-Qur'an firmanNya (Surah Ali Imran(3): 173):"Orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan sesungguhnya "manusia" telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada "mereka." Apa yang dimaksudkan dengannya ialah Nu'aim bin Mas'ud al-Asyja'i sahaja dengan ijmak ahli Tafsir dan Hadith.
2. Sesungguhnya Allah SWT telah mensifatkan al-Ladhi na amanu di dalam ayat yang mulia ini dengan sifat yang tidak menyeluruh kepada semua iaitu yuqimu s-Solah wa yu'tuna z-Zakat wa hum raki'un (yang mendirikan solat dan menunaikan zakat di dalam keadaan rukuk).
3. Ahli bahasa menggunakan perkataanjamak kepada seseorang adalah untuk ta'zim (penghormatan) sebagaimana disebutkan oleh al-Tabarsi di dalam Tafsirnya 18  mengenai ayat ini dengan menerangkan bahawa penggunaan perkataan jamak kepada Amiru l-Mukminin 'Ali AS adalah untuk tafkhim(kemuliaan) dan penghormatan. Dia berkata: Cara ini adalah paling masyhur di dalam percakapan mereka tanpa memerlukan dalil lagi.
4. Apa yang pasti jika dikehendaki dengan "semua" jami' ialah penyatuan wali dan mutawalli tetapi yang lazimnya ialah menyalahi kedua-duanya.
Al-Zamakhsyari di dalam al-Kasysyaf 19  mengatakan bahawa ayat ini diturunkan kepada Amiru l-Mukminin 'Ali AS. Jika anda bertanya: Bagaimana boleh ianya untuk 'Ali AS sedangkan perkataaan di dalam ayat tersebut adalah jamak? Aku menjawab:Ianya dibawa dengan perkataan jamak sekalipun sebabnya seorang lelaki sahaja adalah untuk menerangkan kepada orang ramai supaya mengikuti perbuatannya  ('Ali AS). Maka dengan ini, mereka akan mendapat pahala setanding dengan pahalanya. Dan menyedarkan bahawa tabiat Mukminin mestilah mempunyai matlamat bagi melakukan kebaikan, ihsan, dan melayani faqir miskin sehingga tidak menangguhkannya meskipun di dalam solat sehingga selesai solat.
Jika ditanya: Sesungguhnya Amiru l-Mukminin 'Ali AS telah menunaikan solat menghadapi Tuhannya dengan sepenuh hatinya tanpa merasai sesuatu di luar solatnya. Maka bagaimana beliau "merasai" perkataan peminta sadqah dan memahaminya. Maka jawapannya: Fahamannya tentang percakapan peminta sadqah tidak menafikan kekhusyukannya di dalam solat kerana ianya ibadah di dalam ibadah. Tidak ada jawapan yang lebih baik daripada apa yang telah dijawabkan oleh Abu l-Faraj al-Jauzi ketika ditanya mengenainya:
Dia menuang dan meminum tanpa dilalaikan oleh kemabukkannya
daripada minuman dan tidak melupai gelasnya.
Kemabukan yang mematuhinya sehingga membolehkannya
(melakukan) perbuatan orang yang segar, maka ini seunik-unik manusia.
Al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul mencatatkan wa man yatawalla iaitu sesiapa yang mencintai Allah dan RasulNya dan al-lladhina amanu iaitu 'Ali, fa inna hizballah (sesungguhnnya parti Allah) iaitun Syi'ah Allah dan RasulNya dan walinya hum al-Ghalibun (mereka yang pasti menang) iaitu merekalah yang mendapat kemenangan.(Di dalam naskhah yang lain) al-'Alimun (mengetahui) sebagai ganti al-Ghalibun yang mendapat kemenangan. Dan di dalam perkiraannya (al-Hisab);"Sesungguhnya wali kami adalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat, mengeluarkan zakat di dalam keadaan rukuk penilaiannya ialah Muhammad SAWAW selepasnya 'Ali bin Abi Talib dan itrahnya AS.
Di dalam al-Kafi daripada Ja'far bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya AS, beliau berkata: Manakala ayat innama wa liyyukumu llah wa Rasuluh diturunkan beberapa orang sahabat Rasulullah SAWAW berkumpul di Masjid Madinah. Sebahagian mereka berkata kepada sebahagian yang lain: Apa pendapat kalian tentang ayat ini? Sebahagian mereka menjawab: Sekiranya kita mengingkari ayat ini nescaya kita mengingkari kesemuanya (al-Qur'an). Dan sekiranya kita mempercayainya, maka ianya merupakan satu kehinaan kepada kita manakala 'Ali menguasai ke atas kita. Mereka menjawab: Sesungguhnya kalian telah mengetahui bahawa Muhammad adalah benar apa yang diucapkannya. Justeru itu kita menjadikannya wali tetapi kita tidak akan mematuhi 'Ali tentang yang diperintahkannya. Maka turunlah ayat (Surah al-Nahl (16): 83):"Mereka mengetahui nikmat Allah, kemudian mereka mengingkarinya" iaitu wilayah Muhammad SAWAAW (dan kebanyakan mereka mengingkarinya) iaitu wilayah 'Ali AS.
Al-Saduq di dalam al-Amali berkata:"Umar bin al-Khattab berkata:Aku telah bersadqah cincin dalam keadaan rukuk supaya diturunkan (ayat) sebagaimana telah diturunkan kepada 'Ali bin Abi Talib AS, tetapi ia tidak juga turun.
Aku berkata: Apabila anda mengetahui dalil-dalil Sunnah dan Syi'ah yang telah aku kemukakan, maka aku berkata:Tidak harus mendahului selain daripada 'Ali ke atas 'Ali sebagaimana tidak harus mendahului seseorangpun ke atas Nabi SAWAW kerana sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan Muhammad dan 'Ali bersamaNya di dalam ayat al-Wilayah. Adapun orang-orang yang bertentangan dengan kami sekalipun mereka mengetahui sesungguhnya ayat al-Wilayah telah diturunkan pada 'Ali AS secara Qat'i sebagaimana telah aku kemukakan tadi, mereka sengaja mengubah maknanya menurut mazhab mereka dan hawa nafsu mereka.
2. Ayat at-Tathir
FirmanNya di dalam (Surah al-Ahzab (33): 33):"Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan segala dosa dari kamu ('an-kum) wahai Ahlu l-Bait, dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya."
Menurut tafsir-tafsir Syi'ah, ayat ini diturunkan secara khusus kepada Ahlu l-Bait AS sahaja. Sementara orang lain tidak termasuk di dalam ayat-ayat tersebut. Manakala tafsir-tafsir Ahlu s-Sunnah pula, ada yang mengakui bahawa ayat tersebut dikhususkan untuk Ahlu l-Bait AS sahaja, ada yang menyatakan ayat tersebut termasuk isteri-isteri Nabi (SAWAW), dan ada yang mengatakan ianya dikhususkan kepada isteri-isterinya (SAWAW) sahaja. Lantaran itu ianya bertentangan dengan kaedah Bahasa Arab yang tidak menggunakan Dhamir Ta'nith (gantinama perempuan) untuk perempuan di dalam ayat tersebut. Malah Allah SWT menggunakan Dhamir Tadhkir (gantinama lelaki) iaitu perkataan 'an-kum (daripada kamu) dan perkataan yutahhira-kum membersihkan kamu (lelaki).
Kaedah ini memang diketahui oleh penuntut-penuntut yang kecil dan kebanyakan orang awam. Di dalam ertikata yang lain, jikalau Allah SWT di dalam ayat tadi menghendaki isteri-isteri Nabi (SAWAW), nescaya Dia menggunakan dhamir Ta'nith'an-kunna (daripada kamu isteri-isteri) danyutahhirakunna Dia membersihkan (kamu isteri-isteri) sebagaimana Dia menggunakan dhamir Ta'nith sebelumnya (Surah al-Ahzab (33):32. Lantaran itu Allah telah menggunakan dhamir tadhkir untuk mengeluarkan isteri-isteri daripada ayat tersebut.
'Ali bin Ibrahim di dalam Tafsirnya 20  daripada Zaid bin 'Ali AS dia berkata: Sesungguhnya orang-orang yang jahil mengatakan bahawa Allah menghendaki dengan ayat ini isteri-isteri Nabi SAWAW. Pada hakikatnya mereka berbohong dan mereka berdosa. Demi Allah sekiranya Dia maksudkan isteri-isteri Nabi SAWAW, nescaya Dia akan berkata: an kunna al-Rijs (daripada kalian isteri-isteri) dan yutahhira-kunna (membersihkan kalian isteri-isteri dengan sebersih-bersihnya. Dan Dia menggunakan perkataanmuannathan (ganti nama perempuan) sebagaimana Dia berfirman: Wazkurna mayutla fibuyuti-kunna, wa la Tabarrajna, wa lastunna Kaahadin min l-Nisa.' Oleh itu ayat Tathir (Surah al-Ahzab (33):33) tidak harus pada isteri-isteri Nabi SAWAW sekalipun ianya ditafsirkan sebagai berkongsi dengan Ahlu l-Bait AS. Kerana Allah SWT telah mengancam mereka sebelum ayat Tathir dalam firmanNya (Surah al-Ahzab (33): 28-30).
Dan Dia juga telah mengancam mereka dengan firmanNya (Surah al-Tahrim (66):4-5):"Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sesungguhnya hati kamu berdua telah condong (untuk menerima kebaikan); dan jika kamu berdua bantu membantu menyusahkan Nabi, maka sesungguhnya Allah adalah Pelindungnya dan (begitu pula) Jibril dan orang-orang Mukmin yang baik; dan selain dari itu malaikat-malaikat adalah penolongnya pula. Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang mengerjakan ibadah, yang berpuasa, yang janda dan yang perawan."
Inilah adalah menurut apa yang difirmankanNya (al-Mantuq). Adapun mafhumNya: Wahai-wahai isteri-isteri Nabi kalian tidaklah mukminat, qanitat, ta'ibat, sekiranya kalian masih menyakitinya SAWAW. Dan diriwayatkan bahawa Nabi SAWAW tidak mencampuri mereka selama sebulan kerana mereka menyakiti hatinya SAWAW. Rujuklah kepada tafsir-tafsir Ahlu s-Sunnah mengenai ayat ini.
Dan apa yang jelas terdapat di kalangan isteri-isteri tersebut yang telah memerangi Khalifah 'Ali, Hasan dan Husain AS. Memerangi mereka bererti memerangi Allah menurut hadith Rasulullah (SAWAW): Jangan anda melupai bahawa 'Aisyah telah mengetuai angkatan bersenjata kerana memprotes jenazah Hasan untuk disemadikan di samping datuknya Rasulullah SAWAW.21  Jikalau 'Aisyah masih hidup di hari peperangan Husain AS di Karbala, nescaya dia akan memerangi Husain bin 'Ali AS pula kerana sifatnya yang sentiasa memerangi Ahlu l-Bait AS.
Justeru itu tidak hairanlah jika Ibn 'Abbas berkata kepada 'Aisyah:
Anda menaiki unta, menaiki baghal,
dan sekiranya anda hidup anda akan menaiki gajah.
Bagi anda sepersembilan daripada seperlapan tetapi anda memiliki kesemuanya.
Iaitu anda memiliki rumah anda sedangkan anda memiliki sepersembilan daripada seperlapan dan bakinya adalah untuk isteri-isterinya (SAWAW). Dan tujuh perlapan adalah untuk Fatimah kemudian untuk anak-anaknya.
  Jikalau setengah daripada isteri-isteri beliau bertindak begitu keadaannya, bagaimana mereka termasuk di dalam ayat at-Tathir yang disucikan daripada segala dosa? Telah diriwayatkan bahawa 'Aisyah RD berkata kepada Nabi SAWAW di dalam keadaan marah:"Tidakkah anda sahaja yang menyangka anda seorang Nabi Allah?"22
Adakah mereka layak dengan tindakan mereka yang menyalahi peradaban sebagai isteri, lebih-lebih lagi suami mereka itu adalah Rasulullah SAWAW, dimasukkan ke dalam ayat Tathir (Surah al-Ahzab (33):33) daripada dosa sedangkan mereka berlumuran dengannya? Jikalau ayat itu termasuk "isteri-isteri" khususnya 'Aisyah, nescaya dia berpesta dan memberitahukannya kepada orang yang masih hidup dan orang yang telah mati. Dan tentu sekali Umm Salmah lebih berhak untuk dimasukkan di dalam ayat tersebut. Kerana kedudukannya di sisi Rasulullah SAWAW dan ayat Tathir telah diturunkan di rumahnya. Manakala mereka tidak dimaksudkan di dalam ayat tersebut, Rasulullah SAWAW mengeluarkannya (Umm Salmah) dengan menarikkan al-Kisa' daripada tangannya lantas Umm Salmah bertanya: Tidak. Berdirilah di tempat anda. Mudah-mudahan anda berada di dalam kebaikan.
Sebagaimana juga beliau menegah 'Aisyah dan Zainab dari memasuki bersama mereka dan memberi jawapan kepada mereka berdua sebagaimana jawapan beliau terhadap Umm Salmah.
Rasulullah SAWAW telah menutup ke atas 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain dengan al-Kisa'(pakaian) dan mengangkatkan tangannya ke atas mereka sambil membaca ayat Tathir yang bermaksud:"Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan segala dosa dari kami ('an-kum) wahai Ahlu -Bait, dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya" adalah semata-mata untuk memisahkan mereka daripada isteri-isteri dan orang-orang Islam yang lain, dan sabdanya aku bermaksud: Wahai Tuhanku, mereka itulah Ahlu l-Baitku.
Di dalam riwayat yang lain (Ahli) keluargaku iaitu tidak ada selain daripada mereka. Penafsir kepada ayat ini ialah Rasulullah SAWAW sendiri. Manakah penafsiran yang diterima selepas penafsirannya? Adakah orang yang datang dengan al-Qur'an (Nabi SAWAW) yang mengeluarkan isteri-isterinya daripada ayat al-Tathir lebih diterima penafsirannya? Atau sebaliknya orang yang tidak mengetahui takwilannya sehingga memasukkan isteri-isterinya atau sebaliknya di dalam ayat tersebut?
Dan juga dalil yang lebih kuat bahawa isteri-isteri Nabi SAWAW tidak termasuk Ahlu l-Baitnya ialah  Nabi SAWAW tidak membawa mereka keluar di Hari Mubahalah dengan Kristian Najran kerana beliau menjanjikan mereka untuk membawa wanita-wanitanya bersama sebagaimana firmanNya di dalam (Surah Ali Imran (3):61):"maka katakanlah (kepadanya):Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, wanita-wanita kami dan wanita-wanita kamu, diri kami dan diri kamu; kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta."
Sebagaimana ketua Kristian Najran berpidato kepada kumpulannya: Sekiranya Muhammad keluar dengan Ahlu l-Baitnya, maka jangan kalian lakukan mubahalah. Dan sekiranya beliau keluar dengan sahabat-sahabatnya, maka lakukanlah mubahalah. Semua ahli tafsir dan sejarah bersepakat bahawa Nabi SAWAW tidak keluar bersamanya untuk mubahalah selain daripada Ali, Fatimah, Hasan dan Husain AS. Justeru itu merekalah Ahlu l-Baitnya bukan orang lain. Sekiranya ada orang lain selain daripada mereka nescaya Nabi SAWAW akan mengajak mereka keluar untuk "bermubahalah" bersama di sa'at yang paling genting bagi menentang kebatilan.

Oleh itu orang yang Nabi SAWAW bermubahalah bersama mereka bagi menentang Nasara Najran ialah orang yang Allah telah menghilangkan daripada mereka kekotoran di dalam al-Qur'an yang mulia. Lagipun apabila perkataan Ahlu l-Bait AS diucapkan secara langsung bererti al-itrah al-Tahirah AS;'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain Ali tidak termasuk isteri-isteri. Justeru itulah Nabi SAWAW memaksudkan mereka semenjak beliau mewasiatkan mereka dan menerangkan kelebihan-kelebihan mereka di dalam hadith-hadithnya yang mutawatir di dalam buku-buku Sahih "mereka." Dan tidak seorang pun memasukkan "isteri-isteri" di dalam hadith-hadith tersebut. Di antaranya dua hadith yang muktabar yang diriwayatkan oleh jumhur Muslimin"
1. Hadith Thaqalain: Sabda Nabi SAWAW yang bermaksud: Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang berharga; Kitab Allah dan 'Itrahku (Ahlu l-Baitku) selama kalian berpegang kepada kedua-duanya kalian tidak akan sesat selama-lamanya.23
2. Hadith al-Safinah: Sesungguhnya yang bermaksud: Umpama Ahlu l-Baitku sepertilah Bahtera Nuh, siapa yagn menaikinya akan berjaya, dan siapa yang tidak menaikinya akan sesat selama-lamanya.24
Adapun menjadi kebiasaan kepada kaum Muslimin apabila mereka menyebutkan Ahlu l-Bait di dalam majlis-majlis mereka, mereka tidak maksudkan isteri-isteri Nabi SAWAW.
Begitu juga penyair-penyair Ahlu s-Sunnah dan Syi'ah apabila mereka menyusun syair memuji Ahlu l-Bait AS mereka maksudkan lima Ahlu l-Kisa': Muhammad SAWAW, Fatimah, 'Ali, Hasan dan Husain AS. Perhatikanlah kenyataan yang dibuat oleh Imam Syafi'i mengenai Ahlu l-Bait AS:
Wahai Ahlu l-Bait Rasulullah cintamu suatu fardhu daripada Tuhan di dalam al-Qur'an telah diturunkan.
Memadailah kebesaran Nabimu sesungguhnya kami siapa yang tidak bersalawat ke atas kamu tidak sah sembahyangnya.
Dimaksudkan dengan Ahlu l-Bait AS ialah 'Ali, Fatimah, Hasan, dan Husain AS. Demikianlah juga beribu-ribu karangan para ulama Ahlu s-Sunnah menjelaskan bahawa maksud Ahlu l-Bait ialah Nabi SAWAW dan keturunan 'Ali yang disucikan.
Ya, memang terdapat orang-orang seperti 'Ikramah al-Barbari, Muqatil dan lain-lain yang terkenal dengan pembohongan ke atas Rasulullah SAWAW telah membuat hadith-hadith palsu. Rasulullah SAWAW bersabda maksudnya: Akan banyak pembohongan ke atasku, siapa yang membohongi ke atasku dengan sengaja maka hendaklah ia duduk di tempatnya di neraka.


 Oleh itu mengkhususkan "isteri-isteri" atau meletakkan mereka bersama Ahlu l-Bait AS di dalam ayat Tathir (Surah al-Ahzab (33): 33) adalah rekaan musuh-musuh Ahlu l-Bait. Malah mereka mencipta perkara-perkara yang berlawanan dengan Ahlu l-Bait AS, perkara ini adalah jelas. Lantaran itu menolak hadith-hadith palsu dan membersihkan buku-buku sirah dan sejarah daripadanya adalah perkara yang wajib dilaksanakan.
Justeru itu ianya suatu kepastian bahawa ayat Tathir dan pembersihan kekotoran daripada mereka adalah istimewa untuk para imam Ahlu l-Bait AS. Mereka adalah zuriat Rasulullah SAWAW dan mereka lebih berhak dengannya. Justeru itu perkataan innama di dalam ayat tersebut bermaksud al-Hasr(pengkhususan kepada mereka sahaja).
Ayat ini juga dengan jelas menunjukkan bersihnya "itrah Nabi SAWAW daripada keaiban dan kemaksuman mereka daripada dosa-dosa. Dan aku akan menerangkan dalam bukuku ini bahawaimamah tidak layak melainkan bagi mereka yang bersih daripada segala keaiban dan dosa. Justeru itu sabitnya imamah 'Ali dan anak-anaknya AS sama ada mereka memegang jawatan itu ataupun tidak disebabkan orang ramai tidak menyokong mereka sebagaimana sabdanya:"Hasan dan Husain kedua-duanya imam sama ada mereka memegang jawatan  ataupun tidak" kerana kedua-duanya telah dilantik oleh Allah SWT. Dan sesiapa yang mempunyai kedudukan sedemikian, keimamahannya tidak akan dicacatkan oleh penentangan orang ramai terhadapnya. Kerana imamah bukanlah melalui perlantikan orang ramai, malah melalui nas daripada Allah SWT.
Imam al-Bahrani di dalam Ghayat a-Maram25  telah mencatat lebih daripada satu ratus dua puluh hadith mengkhususkan  Ahlu l-Bait AS dengan "mereka" bukan isteri-isteri Nabi SAWAW dan lebih sepertiga daripada hadith-hadith tersebut adalah menurut saluran Ahlu s-Sunnah. Oleh itu buatlah rujukan kepada buku-buku tersebut wahai pembaca yang budiman.
Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur26  menegaskan bahawa ayat tersebut diturunkan kepada lima orang Ahlu l-Kisa melalui dua puluh saluran. Al-Tabari di dalam Jami' al-Bayan27   menyatakan ianya diturunkan kepada Nabi SAWAW, Fatimah, 'Ali, Hasan dan Husain melalui enam belas saluran. Al-Sayyid Syihabuddin dan al-Mar'asyi al-Najafi di dalam Ta'liqatuhu 'Ala Ihqaq al-Haq    karangan Qadhi Nur Allah al-Tastari RH telah menyebutkan riwayat-riwayat dan hadith-hadith yang banyak semuanya menurut saluran Ahlu s-Sunnah wal-Jama'ah bahawa ayat tersebut telah diturunkan kepada lima orang Ahlu l-Kisa';Muhammad, Fatimah,'Ali, Hasan dan Husain AS.

Di sini diperturunkan beberapa riwayat Ahlu s-Sunnah yang menunjukkan bahawa ayat Tathir diturunkan kepada lima orang Ashabu l-Kisa' seperti berikut:
1. Ahmad bin Hanbal telah mencatat dalam Musnadnya29   daripada Anas bin Malik bahawa Nabi SAWAW telah melalui rumah Fatimah AS selama enam bulan. Apabila beliau keluar untuk sembahyang Subuh, beliau bersabda: wahai Ahlu l-Bait! Sesungguhnya Allah menghendaki untuk menghilangkan daripada kamu kekotoran Ahlu l-Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya. Al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul30   telah menafsirkan ayat tersebut dengan menyatakan bahawa ianya diturunkan kepada lima orang Ashabu l-Kisa'.
2. Ibn Jarir telah mencatat di dalam Tafsirnya begitu juga Ibn al-Mundhir, Ibn Abi Hatim, Ibn Mardawaih,al-Tabrani, dan lain-lain. Al-Turmudhi dan al-Hakim menyatakan kesahihan hadith tersebut. Begitu juga al-Baihaqi di dalam Sunannya dengan bermacam-macam saluran. Umm Salamah berkata: Ayat Tathir telah diturunkan di rumahku. Di dalam rumah itu ada 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain. Maka Rasulullah SAWAW menyelimutkan mereka dengan al-Kisa' (kain berwarna hitam) dan bersabda: Wahai Tuhanku, mereka itulah Ahlu l-Baitku. Justeru itu hilanglah daripada mereka kekotoran dan bersihlah mereka dengan sebersih-bersihnya.
3. Muslim di dalam Sahihnya31  bab 'Fadhl Ahlu l-Bait AS' meriwayatkan daripada 'Aisyah dia berkata: Rasulullah keluar di waktu pagi, di atasnya kain hitam, maka datanglah Hasan bin 'Ali, maka beliau memasukkan ke dalamnya. Kemudian datang Husain, maka dia memasukkan bersamanya, kemudian datang 'Ali, maka beliau memasukkannya. Kemudian beliau bersabda: Sesungguhnya Allah menghendaki untuk menghilangkan daripada kamu kekotoran dosa Ahlu l-Bait dan membersihkan mereka dengan sebersih-bersihnya." Hadith ini telah dikeluarkan oleh Ahmad daripada hadith 'Aisyah di dalam Musnadnya. Dan ianya juga telah dikeluarkan oleh Ibn Jarir, Ibn Abi Hatim, al-Hakim pengarang al-Jami' baina al-Sahihaini, dan pengarang al-Jami' Baina al-Sihah al-Sittah. Dan sesiapa yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut, hendaklah membuat rujukan kepada Rasyfah al-Sadi karangan Abu Bakar Syahabuddin dan Muruja'at (Dialog Sunnah-Syi'ah) karangan Sayyid Syarafuddin tentang pengkhususan ayat Tathir kepada lima Ahlu l-Kisa'.Dan ianya sudah mencukupi bagi orang yang mempunyai mata hati.

Di sini aku akan mengemukakan sebahagian daripada nas-nas yang menerangkan tentang terkeluarnya isteri-isteri Nabi SAWAW dari ayat al-Tathir dan ianya tidak bertentangan dengan nas-nas yang telah lepas yang mengkhususkan ayat tersebut kepada lima orang AS. Sesungguhnya apa yang dikemukakan di sini adalah berdasarkan kepada penerangan Nabi SAWAW sendiri bahawa isteri-isterinya adalah terkeluar daripada ayat tersebut di antaranya:
Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya32  daripada 'Abdu l-Malik daripada 'Ata ibn Abi Rayah dia berkata: Orang yang telah mendengar Umm Salmah meriwayatkan kepadaku bahawa dia berkata: Sesungguhnya Nabi SAWAW berada di rumahnya. Maka Fatimah mendatanginya dengan cerek yang berisi makanan, maka dia memberikan kepadanya. Lalu beliau bersabda: Panggilkan suami anda dan dua anak lelaki anda. Dia berkata: Maka datanglah 'Ali, Hasan dan Husain, maka merekapun masuk dan memakan makanan tersebut. Nabi SAWAW berada di atas tempat tidurnya di penjuru di bawah al-Kisa' Khaibar. Dia bersabda: Aku sedang sembahyang di dalam kamarku, maka Allahpun menurunkan ayat (Surah al-Ahzab (33):33)"Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan segala dosa dari kamu wahai Ahlu l-Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya."
Maka dia berkata: Beliau (Nabi SAWAW) mengambil al-Kisa' dan membentangkannya ke atas mereka. Kemudian beliau mengeluarkan tangannya mengangkat ke langit sambil berkata: Wahai Tuhanku mereka itulah Ahlu l-Bait dan orang istimewaku. Hilanglah daripada mereka kekotoran dan bersihlah mereka dengan sebersih-bersihnya. Dia berkata: Aku memasukkan kepalaku di dalamnya maka aku berkata: Aku bersama kalian wahai Rasulullah. Beliau bersabda: Sesungguhnya anda akan mendapat kebaikan di akhirat kelak. Ahmad berkata selepas meriwayatkan hadith ini,"Abdu l-Malik berkata: Abu Laila telah meriwayatkan kepadaku daripada Umm Salmah seperti hadith 'Ata. 'Abdu l-Malik berkata: Daud bin Abi 'Auf al-Jahaf telah meriwayatkan kepadaku daripada Hausyab daripada Umm Salmah seumpamanya.
Ibn Kathir di dalam Tafsirnya33  telah meriwayatkan hadith ini. Al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul34daripada 'Ata. Ibn al-Sibagh al-Maliki dalam al-Fusul al-Muhimmah35  meriwayatkannya daripada al-Wahidi.
Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur,36  Ibn Jarir, Ibn al-Mundhir, Ibn Abi Hatim, al-Tabari dan Ibn Mardawaih daripada Umm Salmah RD isteri Nabi SAWAW: Sesungguhnya Rasulullah SAWAW berada di rumahnya (Umm Salmah) di atas tempat tidur dan di bawahnya al-Kisa' Khaibar. Maka Fatimah membawa kepadanya cerek yang berisi makanan. Maka Rasulullah SAWAW berkata: Panggillah suami anda dan dua anak lelaki anda, Hasan dan Husain. Maka beliaupun memanggil mereka dan ketika mereka sedang makan, tiba-tiba diturunkan ke atas Rasulullah (Surah al-Ahzab (33):33)"Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan segala dosa dari kamu wahai Ahlu l-Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya."
Maka Nabi SAWAW mengambil al-Kisa' dan membentangkannya ke atas mereka kemudian beliau mengeluarkan tangannya daripada al-Kisa' dan memberi isyarat ke langit sambil bersabda:"Wahai Tuhanku! Mereka itulah Ahlu l-Baitku dan orang istimewaku. Oleh itu hilanglah daripada mereka kekotoran dan bersihlah mereka dengan sebersih-bersihnya. Beliau berkata sebanyak tiga kali. Umm Salmah berkata: Aku memasukkan kepalaku ke dala al-Kisa' maka aku berkata; Wahai Rasulullah! Aku bersama kalian? Beliau menjawab: Sesungguhnya anda akan mendapat kebaikan (di akhirat kelak). Beliau mengulanginya sebanyak dua kali.
Hadith ini telah juga diriwayatkan oleh Sayyid Muhsin al-Amini di dalam A'yan al-Syi'ah37  daripada Usd al-Ghabah. Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur juga mengatakan: Al-Tabrani telah mengeluarkan hadith ini daripada Umm Salmah RD, sesungguhnya Rasulullah SAWAW bersabda kepada Fatimah AS: Panggillah suami dan dua anak lelaki anda. Maka beliaupun datang bersama mereka semua. Kemudian beliau bersabda: Wahai Tuhanku! Mereka itulah Ali Muhammad. Di dalam perkataan lain: Jadikanlah salawat Engkau ke atas Ali Muhammad sebagaimana Engkau telah menjadikannya untuk Ali IbrahimInnaka hamidun majid.
Maka Umm Salmah berkata: Akupun mengangkat al-Kisa' supaya aku memasuki bersama mereka. Tetapi beliau menariknya daripada tanganku dan bersabda: Sesungguhnya anda akan mendapat kebaikan (di akhirat kelak). Hadith ini telah diriwayatkan oleh Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya38  daripada Umm Salmah. Al-Kanji al-Syafi'i di dalam Kifayah al-Talib39  daripada Ahmad di dalam Manaqib 'Ali AS dan daripada Syahr bin Hausyab daripada Umm Salmah RD.
Al-Tabrani di dalam Dhakha'ir al-'Uqba,40  al-Muttaqi al-Hindi di dalam Kanz al-Ummal,41  Ibn Kathir di dalam Tafsirnya,42  Ibn Sibagh al-Maliki di dalam al-Fusul al-Muhimmah,43 al-Turmudhi di dalam Sahihnya,44  al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah,45 al-Syablanji al-Syafi'i di dalam Nur al-Absar,46 Syaikh Muhammad al-Siban di dalam As'af al-'Raghibin Hamisy Nur al-Absar,47 dan lain-lain pembesar-pembesar ulama Ahlu s-Sunnah yang meriwayatkan hadith tersebut dengan sedikit perbezaan dari segi lafaz.
Nas-nas yang sahih dan mutawatir yang dikemukakan adalah diriwayatkan oleh semua lapisan Muslimin dan ianya merupakan bukti-bukti yang jelas dan hujah-hujah yang kuat tentang terkeluarnya isteri-isteri Nabi SAWAW daripada ayat tersebut dan iannya diturunkan kepada lima manusia suci Ashabul l-Kisa' dssan iannya tidak dapat diingkari melainkan oleh orang-orang yang fanatik (muta'assib) kepada kebatilan.
Apa yang telah aku kemukakan tentang terkeluarnya 'isteri-isteri' daripada ayat al-Tathir dan turunnya ayat tersebut ke atas lima manusia suci Ahlu l-Kisa' AS, adalah mencukupi untuk menolak sangkaan yang menyatakan ianya diturunkan ke atas 'isteri-isteri' secara khusus atau secara perkongsian (al-Isytirak). Dan sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat yang lebih daripada apa yang telahku kemukakan, maka buatlah rujukan kepada bukuku yang berjudul al-Syi'ah wa hujjatu hum fi al-Tasyayyu' (Syi'ah dsan hujah mereka tentang Tasyayyu').
Oleh itu aku ingin menegaskan bahawa apa yang telahku kemukakan adalah menunjukkan bahawa ayat al-Tathir adalah dikhususkan kepada lima Ashab al-Kisa' dan juga menunjukkan bahawa mereka adalah maksum daripada segala dosa. Dan ianya menunjukkan bahawa khalifah selepas Rasulullah SAWAW secara terus ialah 'Ali bin Abi Talib AS. Selepas beliau ialah Hasan, kemudian Husain, kemudian sembilan daripada anak-anak Husain AS secara berturut-turut menuruti nas-nas yang wujud dalam buku-buku Sunnah dan Syi'ah.

Dalilku di atas dakwaan tersebut ada dua perkara:
1. al-'Ismah adalah menjadi syarat pada seorang imam menurut Syi'ah kerana imam yang diikuti selepas Nabi SAWAW bila tidak maksum, tidak boleh dipercayai kata-katanya. Oleh itu sabitnya 'ismah imam seperti sabitnya 'ismah Nabi SAWAW. Ayat tersebut telah menunjukkan kemaksuman Amiru l-Mukminin Ali dan dua anaknya Hasan dan Husain AS. Justeru itu, terbukti bahawa jawatan khalifah adalah untuk mereka bukan selain daripada mereka. Mereka itulah para imam dan khalifah-khalifah selepas Rasulullah SAWAW. Setiap orang daripada mereka mengnaskan kepada imam selepasnya. Begitulah seterusnya sehingga sampai kepada Imam Mahdi al-Muntazar AS. Oleh itu berpegang kepada pendapat mereka adalah wajib kerana orang lain tidak maksum. Dan apabila tidak wujudnya 'ismah maka berlakulah kesalahan. Oleh itu ianya tidak sah untuk menjadi khalifah yang mengendalikan syariat Rasulullah SAWAW tanpa 'ismah.
2. Imam Amiru l-Mukimin telah berulang-ulang kali menuntut jawatan khalifah untuk dirinya di tempat-tempat yang bermacam-macam. Di antaranya beliau berkata di dalam khutbah al-Syiqsyiqiyyah48  yang dicatat oleh jumhur Muslimin Sunnah dan Syi'ah seperti berikut:
" Demi Allah Ibn Abi Qahafah (Abu Bakar ibn Abi Qahafah) telah mengenakan pakaian khalifah itu, padahal ia mengetahui dengan yakinnya bahawakedudukanku sehubungan dengan (kekhalifahan) itu sama seperti hubungan pasak dengan roda. Air mengalir menjauhiku dan burung tidak dapat terbang kepadaku. Aku memasang tirai (terhadap kekhalifahan) dan melepaskan diri daripadanya."
" Aku pun mulai berfikir, apakah aku akan menyerangnya atau aku harus menanggung cubaan sengsara kegelapan yang membutakan itu hingga orang dewasa menjadi daif, orang muda mejadi tua, dan mu'min yang soleh hidup dalam kongkongan sehingga ia menemui Allah (di saat kematiannya). Aku pun berpendapat bahawa adalah lebih bijaksana untuk menanggungnya dengan tabah. Aku lalu menempuh jalan kesabaran, walaupun mata rasa tertusuk-tusuk dan kerongkong rasa tercekik. Aku menyaksikan perampasan terhadap warisanku hingga yang pertama (Abu Bakar) menemui ajalnya; namun ia menyerahkan kekhalifahan itu kepada Ibn Khattab (Umar al-Khattab) sendiri. (Lalu Ali mengutip syair A'sya:)
Hari-hariku kini berlalu di punggung unta,
       Dan berlalu sudah hariku bersama Jabir, saudara Hayyan." " Sungguh aneh, semasa hidupnya ia ingin terbebas dari jawatan khalifah, tetapi ia mengukuhkannya kepada yang lain itu (Umar) setelah kematiannya. Tidak syak lagi kedua orang ini hanya berbahagi puting susu di antara keduanya sahaja. Yang satu ini (Umar) mengunci  kekhalifahan rapat-rapat, di mana ucapannya sombong dan sentuhannya kasar. Kekeliruan sangat banyak, dan kerana itu maka dalihnya pun sangat banyak. Orang yang berhubungan dengan kekhalifahan itu ibarat menunggang unta yang degil. Apabila penunggang itu menarik kekangnya maka muncung unta itu akan robek; dan apabila penunggang itu membiarkannya maka ia sendiri akan jatuh terlempar. Sebagai akibatnya, demi Allah, rakyat terjerumus ke dalam ketidakpedulian, kejahatan, kegoyahan dan penyelewengan. Sekalipun demikian, aku tetap bersabar dalam waktu yang lama dengan cubaan yang keras, hingga ketika (Umar) menemui ajalnya ia menyerahkan urusan kekhalifahan itu kepada satu kelompok dan menganggap aku sebagai salah seorang daripada mereka."
" Tetapi, Ya Allah! Apa urusanku dengan syura ini! Di manakah keraguan tentang diriku dibandingkan dengan yang pertama dari antara mereka (Abu Bakar) sehingga sekarang aku harus dipandang sama dengan orang-orang ini? Namun, aku terus merendah sementara mereka merendah, dan membumbung tinggi ketika mereka terbang tinggi. Seorang dari mereka berpaling menentangku kerana hubungan kekeluargaannya, sedangkan yang lainnya cenderung memihak ke jalan lain kerana hubungan iparnya, dan ini, dan itu, sampai yang ketiga dari orang-orang ini berdiri dengan dada membusung di antaranya (Bani Umayyah) pun bangkit menelan harta Allah, bagaikan unta memakan dedaunan musim semi, sampai talinya putus, tindak tanduknya mengakhirinya dan keserakahannya menyebabkan ia terguling."
" Pada saat itu tiada yang mengejutkan aku lebih daripada (tindakan) orang ramai  yang berpusu ke arahku dari segala penjuru seperti serbuan sekumpulan rubah (hyena) sehingga Hasanain (Hasan dan Husayn, dua putra Fatimah dan Ali) terinjak dan kedua bahagian bahu pakaianku terkoyak. Mereka berkumpul di sekelilingku seperti kawanan domba dan kambing. Ketika aku memegang tampuk pemerintahan sebahagian memutuskan bai'ahnya (nakatsa) dan sebahagian lagi mengingkarinya (maraqa) dan yang lain bertindak salah (qasata), kerana mereka tidak mendengar firman Allah SWT yang berbunyi [bermaksud]:
(Kebahagian) di negeri akhirat Kami sediakan bagi mereka yang tidak suka menyombongkan diri dan melakukan kerosakan di bumi. Dan kesudahannya (adalah baik) bagi mereka yang bertaqwa." [Surah al-Qasas(28):83]
Tidak, demi Allah, mereka mendengarnya dan memahaminya tetapi dunia terlihat berkilau di mata mereka dan hiasan dunia menggoda mereka. Lihat, demi Dia yang mengembangkan biji-bijian dan menciptakan makhluk hidup, apabila orang-orang tidak datang kepadaku dan pendukung-pendukung tidak menegakkan hujah dalam bentuk penolong itu (pasukan yang membantu Ali) dan bila tidak ada perjanjian Allah dengan ulama bahawa mereka tidak boleh bungkam terhadap kerakusan seorang yang zalim dan kelaparan orang yang dizalimi maka aku akan melemparkan tali kekang (kekhalifahan) itu dan akan aku beri minum kepada yang terakhir dengan piala yang aku gunakan untuk orang yang pertama. Maka akan kamu lihat  bahawa dalam padanganku duniamu tidak lebih dari bersinnya seekor kambing."49
Begitu juga anak perempuan Rasulullah, dan kedua-dua anaknya Hasan dan Husain dan sembilan anak-anak Husain AS menuntut khalifah untuk Amiru l-Mukminin AS. Lantaran itu, ianya menjadi kewajipan kepada umat membenarkan mereka kerana kemaksuman mereka. Dan tidak harus ke atas mereka pembohongan kerana pembohongan adalah suatu kekotoran (rijsun) yang dinafikan daripada mereka oleh ayat tersebut.
Oleh itu jelaslah sabitnya khalifah selepas Rasulullah SAWAW bagi 'Ali bin Abi Talib AS. Dan ianya bukanlah mencukupi dengan ayat-ayat at-Tathir sahaja, malah banyak dalil-dalil dan hujah-hujah yang kuat yang menunjukkan 'Ali AS berhak menjadi khalifah selepas Rasulullah SAWAW sehingga diakui oleh musuh-musuhnya dan diketahui oleh yang terdekat dan yang jauh.

Dan buku-buku mengenainya telah ditulis dengan banyak. Di antaranya buku karangan Ayatullah al-'Uzma Muhammad bin Yusuf bin al-Mutahhar dikenali dengan al-'Allamah al-Hulli RH. Dia telah menulis dua ribu dalil menyokong 'Ali AS. sebagai khalifah selepas Rasulullah SAWAW. Satu daripadanya mengandungi dalil-dalil aqliyyah dan seribu lagi mengandungi dalil-dalil naqliyyah. Dan dia menamakan bukunya al-Faini.
 
Nota Kaki: 1. al-Durr al-Manthur, II, hlm. 293.
2. al-Ausat, hlm. 89-90.
3. Kifayah al-Talib, hlm. 106.
4. Mafatih al-Ghaib, III, hlm. 417.
5. al-Syablanji, Nur al-Absar, hlm. 105.
6. Asbab al-Nuzul, I, hlm. 422.
7. al-Kasysyaf, I, hlm. 422.
8. al-Kafi al-Syafi, hlm. 56.
9. Ahkam al-Qur'an, II, hlm. 543.
10. al-Jami' li Ahkam al-Qur'an, VI, hlm. 221.
11. Tafsir al-Manar, VI, hlm. 442
12. Ruh al-Ma'ani, VI, hlm. 149.
13. Dhakha'ir al-'Uqba, hlm. 88.
14. Tadhirah al-Huffaz, hlm. 18.
15. Mafatih al-Ghaib, III, hlm. 156.
16. Ghayah al-Maram, hlm. 103-107.
17. al-Ghadir, III, hlm. 156
18. Majma' al-Bayan, I, hlm. 148.
19. al-Kasysyaf, I, hlm. 422.
20. Tafsir 'Ali bin Ibrahim, hlm. 531.
21. Hasan AS disemadikan berjauhan dari datuknya SAWAW sebagai menyahuti protes 'Aisyah RD; Sibt Ibnu Jauzi, Tadhkirah al-Khawwas, hlm. 122.
22. Ihya' 'Ulum al-Din, II, hlm. 20.
23. Muslim, Sahih, VII, hlm. 123; Turmudhi, al-Sunan, II, hlm. 307; al-Darimi, al-Sunan, II, hlm. 332; Ibn Hanbal, al-Musnad, III, hlm. 14,17, dan 36.
24. al-Mustadrak, II, hlm. 343.
25. Ghayat al-Maram, hlm. 150.
26. al-Durr al-Manthur, V, hlm. 18.
27. Jami' al-Bayan, XXII, hlm. 198.
28. Ta'liqatuhu 'Ala Ihqaq, II, hlm. 502.
29. al-Musnad, II, hlm. 259.
30. Asbab al-Nuzul, hlm. 251.
31. Sahih, hlm. 331.
32. al-Musnad, VI, hlm. 292.
33. Tafsir Ibn Kathir, III, hlm. 484.
34. Al-Wahidi, op.cit. hlm. 268.
35. al-Fusul al-Muhimmah, hlm. 8.
36. al-Sayuti, al-Durr al-Manthur, V, hlm. 198.
37. A'yan al-Syi'ah, II, hlm. 433.
38. al-Musnad, VI, hlm. 32.
39. Kifayah al-Talib, hlm. 228.
40. Dhakha'ir al-'Uqba, hlm. 21.
41. Kanz al-Ummal, VII, hlm. 103.
42. Tafsir Ibn Kathir, III, hlm. 484.
43. al-Fusul al-Muhimmah, hlm. 7.
44. Sahih, II, hlm. 308.
45. Yanabi' al-Mawaddah, hlm. 78.
46. Nur al-Absar, hlm. 104.
47. As'af al-Raghibin, hlm. 104.
48. Seramai dua puluh lapan orang para ulama Ahlu s-Sunnah memperakui kesahihan Khutbah al-Syiqsyiqiyyah. Lihat al-Amini, al-Ghadir, I, hlm. 82-85.
49. Nahj al-Balaghah, hlm. 48-50.

Penulis : Unknown ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Mengapa aku memilih Ahlu l-Bait? oleh Syeikhal-Antaki, bab 2, Syi'ah dan al-Qur'an ( A) ini dipublish oleh Unknown pada hari 28 Ogos 2011. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Mengapa aku memilih Ahlu l-Bait? oleh Syeikhal-Antaki, bab 2, Syi'ah dan al-Qur'an ( A)
 

0 comments:

Catat Ulasan