Welcome to My lovely Blog

Random

create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
http://adf.ly/EWRNQ

Hadiths/aLQur'an

Hadiths/aLQur'an
Dhul Hijja

Mengapa Aku Memilih Ahlu l-Bait As? Oleh Syeikh al-Antaki,bab 2, Syi'ah Dan al-Qur'an (c)


Manusia diibaratkan seperti Bunga teratai ini yang malu apabila bersalah malah tidak mahu berpasrah....

Muhammad Rasyid Ridha di dalam Tafsir al-Manar127 menyatakan bahawa Syaikh Muhammad 'Abduh menyatakan bahawa ayat ini diturunkan di hari al-Ghadir mengenai 'Ali bin Abu Talib AS. Dia menyebutkannya daripada Abi Hatim, Ibn Mardawaih dan Ibn Asakir. Kemudian dia menyebutkan riwayat Ibn 'Abbas bahawa ayat yang mulia ini telah diturunkan mengenai ('Ali AS) di Ghadir Khum sebagaimana telah disebutkan oleh al-Alusi mengenai ayat Ikmal al-Din (Surah al-Maidah(5):3)"Pada hari ini telahku sempurnakan bagimu agamamu."
Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur128 mengaitkan riwayat Ibn Mardawaih daripada Ibn Asakir kepada Abu Sai'd al-Khudri. Dia berkata: Manakala Rasulullah SAWAW melantik 'Ali AS pada hari Ghadir Khum, maka beliau SAWAW mengisytiharkan wilayah 'Ali AS. Lalu Jibra'il AS menurunkan ayat Ikmalu d-Din (Surah al-Mai'dah(5):3)"Pada hari ini telah aku sempurnakan agamamu."
Melalui Ibn Mardawaih, Ibn Asakir dan al-Khatib kepada Abu Hurairah, dia berkata: Manakala Hari Ghadir Khum iaitu hari kelapan belas Dhul Hijjah, Nabi SAWAW bersabda:"Siapa yang telah menjadikan aku maulanya maka 'Ali adalah maulanya. Maka Allah pun menurunkan ayat Ikmalu d-Din (Surah al-Mai'dah(5):3)"Pada hari ini telah aku sempurnakan agamamu...."
Al-Khatib di dalam Tarikh al-Baghdad129 mengaitkan sanad secara langsung daripada Abu Hurairah: Mankala Nabi SAWAW memegang tangan Ali bin Abi Talib AS beliau bersabda: Tidakkah aku wali bagi Mukminin? Mereka menjawab:Ya! Wahai Rasulullah SAWAW. Beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya. Umar bin al-Khattab berkata: Selamat bahagia untuk anda anak lelaki Abu Talib. Anda menjadi maulaku dan maula setiap Muslim. Maka Allah pun menurunkan ayat Ikmalu d-Din (Surah al-Mai'dah(5):3)"Pada hari ini telah aku sempurnakan agamamu."Al-Samhudi di dalam Fara'id al-Simtin bab kedua belas dengan sanadnya berhubung dengan Abu Sa'id al-Khudri bahawa Rasulullah SAWAW telah menyeru orang ramai pada hari Ghadir Khum kepada (pimpinan) 'Ali AS. Nabi SAWAW meminta 'Ali AS berdiri. Peristiwa ini berlaku pada hari Khamis. Beliau SAWAW mengangkat tangan 'Ali AS sehingga orang ramai melihat keputihan ketiak Rasulullah SAWAW. Kemudian mereka tidak meninggalkan tempat itu sehingga turunnya ayat (Surah al-Mai'dah(5):3)"Pada hari ini telah aku sempurnakan agamamu." Maka Rasulullah SAWAW bersabda: Allahu Akbar kerana menyempurnakan agama dan menyempurnakan nikmat dan keridhaan Tuhan dengan risalahku dan wilayah 'Ali AS selepasku, kemudian beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Alilah maulanya...."
Al-Ya'qubi di dalam Tarikhnya130 berkata: Ada pendapat yang mengatakan bahawa ayat  yang akhir sekali diturunkan ialah "Pada hari ini telah aku sempurnakan bagimu agamamu." Ia adalah riwayat yang sahih dan telah diturunkan pada hari perlantikan Amiru l-Mukmini 'Ali bin Abi Talib AS di Ghadir Khum. Begitu juga mengenai ayat al-Ma'arij, mereka menyatakan bahawa ayat tersebut diturunkan mengenai hak 'Ali AS.
Al-Syablanji di dalam Nur al-Absar131 menjelaskan bahawa al-Tha'labi telah menyatakan bahawa Sufyan bin 'Uyainah ditanya tentang (Surah al-Ma'arij(70):1-2)"Seseorang telah meminta kedatangan azab yang akan menimpa orang kafir yang tidak seorangpun dapat menolaknya." Kepada siapakah ayat ini diturunkan ? Maka dia menjawab: Anda bertanya kepadaku tentang masalah yang tidak pernah ditanya oleh seorangpun mengenainya. Sebelum anda bapaku telah memberitahukannya kepadaku daripada Ja'far bin Muhammad AS daripada moyangnya bahawa Rasulullah manakala di Ghadir Khum, menyeru orang ramai supaya berhimpun. Maka beliau SAWAW memegang tangan 'Ali AS dan bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya..."
Perkara ini telah tersebar di seluruh negara sehingga sampai kepada al-Harith bin al-Nu'man al-Fihri. Lantas dia mendatangi Rasulullah SAWAW dengan menaiki untanya. Dia berkata: Wahai Muhammad! Anda telah memerintahkan kami supaya kami mengucap tiada tuhan yang lain melainkan Allah dan sesungguhnya anda pesuruhNya maka kami menerimanya daripada anda. Anda telah memerintahkan kami berpuasa pada bulan Ramadhan, maka kami menerimanya. Anda memerintahkan kami tentang Haji, maka kami menerimanya. Kemudian anda tidak puas lagi dengan ini semua sehingga anda mengangkat sepupu anda mendahului kami. Kemudian anda berkata: Siapa yang menjadikan aku maulanya, maka Ali adalah maulanya...Adakah ini daripada Allah atau daripada anda? Nabi SAWAW bersabda: Demi Tuhan, tiada tuhan yang lain selain daripada Dia sesungguhnya ini adalah daripada Allah 'Azza wajalla. Lantas al-Harith berpaling untuk meneruskan perjalanannya seraya berkata: Wahai Tuhan, sekiranya apa yang dikatakan oleh Muhammad itu benar 'maka hujanilah ke atas kami batu daripada langit atau datanglah kepada kami siksaan yang pedih.' Maka Allah 'Azza wajalla menurunkan ayat (Surah al-Ma'arij (70:1-2).
Ibn al-Sibagh al-Maliki dalam al-Fusul al-Muhimmah,132 Sibt Ibn al-Jauzi di dalam Tadhkirah al-Khawwas,133 Rasulullah SAWAW bersabda dalam keadaan dua matanya kelihatan merah: Demi Allah yang tiada tuhan melainkan Dia bahawa ianya daripada Allah dan bukan daripadaku. Beliau mengulanginya sebanyak tiga kali.
Adapun hadith Nabi SAWAW: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya, Ahmad bin Hanbal di dalam al-Musnadnya134  telah mengambil sanadnya daripada al-Barra' bin 'Azib dia berkata: Kami bersama Rasulullah SAWAW di dalam satu perjalanan. Maka kamipun sampai di Ghadir Khum. Kami 'diseru' supaya melakukan solat secara berjamaah dan dibersihkan untuk Rasulullah SAWAW satu tempat di bawah dua pokok. Maka beliau mengerjakan solat Zuhr kemudian memegang tangan 'Ali AS sambil bersabda: Tidakkah kalian mengetahui sesungguhnya aku lebih aula dengan Mukminin daripada diri mereka sendiri? Mereka menjawab: Ya! Beliau bersabda lagi: Tidakkah kalian mengetahui bahawa aku lebih aula daripada setiap mukmin daripada dirinya? Mereka menjawab: Ya! Maka beliau memegang tangan 'Ali AS dan bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya...Maka 'Umar menemuinya selepas itu dan berkata: Tahniah kepada anda wahai anak lelaki Abu Talib. Anda adalah maula setiap mukmin dan mukminat.
Ahmad bin Hanbal juga di dalam Musnadnya135 meriwayatkan hadith ini daripada 'Atiyyah al-'Aufi dia berkata: Aku bertanya Zaid bin Arqam. Dan aku berkata kepadanya bahawa menantuku telah memberitahukan kepadaku tentang anda mengenai hadith tentang 'Ali AS pada hari Ghadir Khum. Aku ingin mendengarnya daripada anda sendiri. Maka dia menjawab: Wahai orang-orang Iraq! Kalian telah mengetahuinya. Maka aku berkata kepadanya teruskanlah. Maka dia berkata: Ya! Kami berada di Juhfah. Rasulullah SAWAW memegang tangan 'Ali AS dan berkata: Wahai manusia! Tidakkah kalian mengetahui sesungguhnya aku lebih aula dengan Mukminin daripada diri mereka sendiri? Mereka menjawab: Ya! Beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya...
Ibn Majah di dalam Sunannya136  telah meriwayatkannya sehingga kepada al-Barra' bin 'Azib. Al-Nasa'i di dalam Khasa'is 'Ali137 meriwayatkan sanadnya kepada Sa'ad, dia berkata: Rasulullah SAWAW bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya...maka 'Ali adalah maulanya....Dia juga meriwayatkan sanadnya sampai kepada Zaid bin al-Arqam, dia berkata: Rasulullah SAWAW berdiri, memuji Allah kemudian bersabda: Tidakkah kalian mengetahui sesungguhnya aku aula dengan setiap mukmin daripada dirinya? Mereka menjawab: Ya! Wahai Rasulullah SAWAW kami menyaksikan bahawa anda adalah aula bagi setiap mukmin daripada dirinya. Maka beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya....Beliau lalu berlalu memegang tangan 'Ali AS.
Ibn 'Abd Rabbih di dalam al-'Aqd al-Farid138 telah meriwayatkan ketika menyebutkan hujah al-Mukmun ke atas fuqaha' mengenai kelebihan 'Ali bin Abi Talib dia berkata di antaranya: Rasulullah SAWAW bersabda: Siapa yang menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya...
Al-Suyuti di dalam Tarikh al-Khulafa'139 berkata al-Turmudhi telah meriwayatkannya daripada Abu Sarihah atau Zaid bin Arqam daripada Nabi SAWAW beliau bersabda: Siapa yang menjadikan aku maulanya, maka Ali adalah maulanya...Dia juga meriwayatkan perkara yang sama di dalam Kunuz al-Haqa'iq di Hamish al-Jami' al-Saghir140 hadith: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya.....
Di dalam Is'af al-Raghibin141 di Hamisy Nur al-Absar menyatakan bahawa Rasulullah SAWAW berada pada hari Ghadir Khum: Siapa yang menjadikan aku maulanya maka 'Ali adalah maulanya....Al-Muhibb al-Tabari di dalam al-Riyadh al-Nadhirah142  berkata: Daripada 'Umar bahawa dia berkata: 'Ali adalah maula bagi orang yang telah menjadikan Rasulullah SAWAW sebagai maulanya.
Al-Baghawi di dalam Masabih al-Sunnah143 meriwayatka daripada Nabi SAWAW beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan  aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya. Abu Nu'aim Al-Isfahani di dalam Hilyah al-Auliya144 meriwayatkan daripada Nabi SAWAW beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya....Ibn al-Jauzi di dalam Tadhirah al-Huffaz145menyatakan bahawa Rasulullah SAWAW bersabda: Siapa yang menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya....Al-Khatib di dalam Tarikh Baghdad146 meriwayatkan hadith al-Ghadir daripada Anas, dia berkata: Aku mendengar Nabi SAWAW bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya...
Demikianlah aku telah kemukakan kepada pembaca yang budiman sebahagian kecil daripada buku-buku rujukan  Ahlu s-Sunnah wa l-Jama'ah. Walau bagaimanapun aku akan kemukakan pula kepada anda nama-nama perawi  dengan menyebutkan rujukan mereka bagi menambahkan lagi penjelasan seperti berikut:
Al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul.147 Muhammad bin Talhah al-Syafi'i di dalam Matalib al-Su'ul.148Fakhruddin al-Razi di dalam Mafatih al-Ghaib.149 Al-Tha'labi di dalam Tafsirnya.150 Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur. Ibn Sibagh al-Maliki di dalam Fusul al-Muhimmah.151 Al-Turmudhi di dalam Sahihnya,152 dia berkata: Hadith ini adalah  Hasan sahih. Al-Hakim di dalam al-Mustadrak153berkata: Ini adalah hadith sahih menurut syarat al-Syaikhain (al-Bukhari dan Muslim) tetapi  mereka berdua tidak meriwayatkannya. Ibn Kathir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah.154 Al-Ya'qubi di dalam Tarikhnya.155
Ibn Hajr di dalam fasal yang kelima daripada bab pertama bukunya al-Sawa'iq al-Muhriqah berkata: Ini adalah hadith sahih. Ianya telah diriwayatkan oleh golongan yang banyak seperti al-Turmudhi, al-Nasa'i dan Ahmad dengan cara yang banyak. Kemudian ianya diriwayatkan tiga puluh sahabat yang telah mendengarnya daripada Nabi SAWAW dan mempersaksikannya di hadapan 'Ali pada masa pemerintahannya di Rahbah. Kebanyakan sanadnya sahih atau hasan.
Ibn Kathir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah156 berkata: Abu Ja'far Muhammad bin Jarir al-Tabari pengarang al-Tafsir dan al-Tarikh telah mengumpulkan dua jilid riwayat dan lafaz-lafaznya. Begitu juga al-Hafiz Abu l-Qasim bin 'Asakir telah meriwayatkan hadith-hadith yang banyak di dalam khutbahnya.
Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah157 telah menceritakan daripada Abu l-Ma'ali al-Jawaini yang dikenali dengan Imam al-Haranaini, guru kepada al-Ghazali, bahawa dia menjadi hairan dan berkata: Aku melihat satu jilid buku mengenai hadith Ghadir Khum tertulis di atasnya jilid yang kedua puluh lapan. Ianya mengandungi berbagai riwayat tentang sabda Nabi SAWAW: Siapa yang menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya....dan ianya akan disusuli dengan jilid yang kedua puluh sembilan.
Sebenarnya hadith-hadith mengenai al-Ghadir yang kami telah kemukakan tadi adalah merupakan sebilangan kecil sahaja, jika dibandingkan dengan hadith-hadith yang telah diriwayatkan di dalam bab ini yang tidak terkira banyaknya.
Ayatullah al-'Uzma Sayyid Hamid Husain al-Nisaburi RH di dalam 'Abaqat telah menyenaraikan nama-nama perawi yang telah menyebutkan hadith al-Ghadir. Semuanya daripada ulama-ulama besar Ahlu s-Sunnah. Ayatullah al-'Uzma Sayyid Syihab al-Din al-Mar'asyi al-Najafi di dalam Ta'liqatuhu 'Ala Ihqaq al-Haqa'iq  karangan al-Sa'id al-Syahid al-Qadhi Nur Allah al-Tastari, al-Allamah al-Amini di dalam bukunya al-Ghadir. Begitu juga al-Imam al-Sayyid bin Tawus RH di dalam bukunya al-Iqbal (hlm. 663) telah menyenaraikan nama-nama ulama besar Ahlu s-Sunnah bahawa sesungguhnya mereka telah meriwayatkan hadith al-Ghadir dan memperakukan kesahihannya. Rujuklah kepada buku-buku tersebut wahai pembaca yang budiman!
Tahniah para sahabat kepada 'Ali kerana jawatan Khalifah
Mankala Rasulullah SAWAW memberi khutbahnya yang penuh bersejarah, beliau memerintahkan orang yang menyaksikan peristiwa itu termasuk Abu Bakr, Umar, syaikh-syaikh Quraisy dan pembesar-pembesar kaum Ansar, isteri-isteri beliau supaya tampil mengucap tahniah kepada Amiru l-Mukminin AS kerana memegang jawatan al-Wilayah, pelaksanaan, suruhan dan larangan di dalam agama Allah SWT.
Sebilangan besar para ulama Ahlu s-Sunnah wa l-Jama'ah meriwayatkannya di antaranya:
Al-Tabari di dalam bukunya al-Wilayah158 telah meriwawatkan hadith dengan sanadnya daripada Zaid bin Arqam dan diakhirnya dia berkata: Orang yang pertama berjabat tangan (salam) dengan Nabi SAWAW dan 'Ali ialah Abu Bakar, 'Umar, Uthman, Talhah, Zubair, Muhajirin, Ansar, dan lain-lain sehingga beliau mengerjakan solat Zuhr dan 'Asr berjama'ah di dalam satu masa dan berpanjangan sehingga beliau SAWAW mengerjakan solat al-'Isya'in (solat Maghrib dan Isyak) di dalam satu masa. Para sahabat meneruskan bai'ah dan bertepuk tangan tiga kali.
Al-Dar al-Qutni: Ibn Hajr telah meriwayatkan daripadanya di dalam fasal kelima, bab pertama al-Sawa'iq al-Muhriqah bahawa Abu Bakar dan 'Umar manakala kedua-duanya mendengar hadith al-Ghadir, mereka berkata kepada Imam 'Ali AS: Andalah maula bagi setiap mukmin dan mukminah. Dikatakan kepada Umar: Sesungguhnya anda melakukan sesuatu kepada 'Ali di mana anda tidak melakukannya kepada orang lain daripada sahabat-sahabat Rasulullah SAWAW. Dia menjawab: Sesungguhnya beliau adalah maulaku.
Al-Hafiz Abu Sa'id al-Nisaburi di dalam bukunya Syaraf al-Musfa dengan isnadnya daripada al-Barra' bin 'Azib dengan lafaz Ahmad bin Hanbal dan dengan isnad yang lain daripada  Abu Sa'id al-Khudri dan lafaznya. Kemudian Nabi SAWAW bersabda: Kalian ucaplah tahniah kepadaku, kalian ucaplah tahniah kepadaku. Sesungguhnya Allah telah memberi keistimewaanku dengan kenabian, dan memberikan keistimewaan Ahlul Baitku dengan Imamah. Maka Umar bin al-Khattab menemui Amiru l-Mukminin dan berkata: Alangkah beruntungnya anda wahai Abu l-Hassan. Anda menjadi maulaku dan maula setiap mukmin dan mukminah.
Pengarang Raudhah al-Safa159 selepas menyebutkan hadith al-Ghadir berkata: Kemudian Rasulullah SAWAW duduk di dalam satu khemah dan menempatkan 'Ali di khemah yang lain. Beliau menyuruh para sahabat supaya memberi tahniah kepada 'Ali di dalam khemahnya. Dan apabila orang lelaki selesai mengucap tahniah, beliau menyuruh isteri-isterinya pergi ke khemah dan mengucapkan tahniah kepada 'Ali AS.
Kuand Amir di dalam Habib al-Siyar160  berkata: Kemudian Amiru l-Mukminin 'Ali AS duduk di khemah khas. Para sahabat Rasulullah SAWAW datang kepadanya dan mengucap tahniah kepadanya. Di antara mereka ialah Abu Bakar dan 'Umar. 'Umar berkata: Alangkah beruntungnya anda wahai anak lelaki Abu Talib. Anda telah menjadi maulaku dan maula setiap mukmin dan mukminah. Kemudian beliau memerintahkan Ummahat al-Mukminin supaya datang kepada 'Ali AS dan mengucap tahniah kepadanya.
Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya,161 al-Tabari di dalam Tafsirnya,162 Ibn Mardawaih di dalam Tafsirnya,163 al-Tha'labi di dalam Tafsirnya,164al-Baihaqi di dalam al-Sunan,165 al-Khatib al-Baghdadi di dalam Tarikhnya,166 Ibnu al-Maqhazali di dalam Manaqibnya167, al-Ghazali di dalam Sirr al-'Alamain,168 al-Syarastani di dalam al-Milal wa al-Nihal,169 Abu l-Faraj Ibn al-Jauzi al-Hanbali di dalam Manaqibnya,170 Fakhruddin al-Razi di dalam Mafatih al-Ghaib,171 al-Kanji al-Syafi'i di dalam Kifayah al-Talib,172 Muhibuddin al-Tabari di dalam Riyadh al-Nadhirah,173 al-Hamawaini di dalam al-Fara'id al-Simtin174 bab ketiga belas.

Abu l-Fida', Ibn Kathir al-Syafi'i di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah,175 al-Muqrizi di dalam al-Khutat,176 Ibn Sibagh al-Maliki di dalam al-Fusul al-Muhimmah,177 al-Suyuti di dalam Jami' al-Jawami',178 al-Muttaqi al-Hindi di dalam Kanz al-'Ummal,179 al-Samhudi di dalam Wafa' al-Wafa bi Akhbar Dar al-Mustafa.180
Ibn Hajr di dalam al-Sawa'iq al-Muhriqah181 dan lain-lain yang terdiri daripada ulama-ulama hadith, Tafsir, dan sejarah Ahlu s-Sunnah wa l-Jama'ah di mana kami tidak dapat menyenaraikan kesemua nama-nama mereka di dalam buku kami ini. Mereka semua meriwayatkan hadith ini di dalam musnad-musnad dan sahih-sahih mereka daripada perawi-perawi yang thiqah yang berakhir bukan hanya kepada seorang sahabat seperti Ibn 'Abbas, Abu Hurairah, al-Barra' bin 'Azib, Zaid bin Arqam dan lain-lain.
Kata-kata yang agak menarik ialah ucapan yang dikatakan oleh al-Ghazali di dalam bukunya Sirr al-'Alamain:182Hujah telah terang, jumhur telah sepakat bahawa teks hadith adalah khutbah Rasulullah SAWAW di Hari al-Ghadir. Beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya....'Umar berkata: Alangkah bahagianya anda wahai Abu l-Hasan. Anda telah menjadi maulaku dan maula setiap mukmin dan mukminat. Ini adalah satu penyerahan, keredhaan dan pertimbangan yagn waras. Kemudian hawa nafsu lebih mencintai pangkat dan segala-galanya sehingga membawa kepada perselisihan dan pembunuhan. Lantaran itu mereka meninggalkan kebenaran di belakang lalu membelinya dengan harga yang murah. Maka sejahat-jahat apa yang mereka lakukan.
Segala puji bagi Allah yang telah membuat al-Ghazali bercakap benar di mana ianya adalah hujah kami dan ianya mengukuhkan dakwaan kami sebagaimana tertulis di dalam bukunya Sirr al-'Alamain. Kerana Allah membuatkan lidahnya bercakap dengan kebenaran dan menjelaskan hakikat yang sebenarnya, meskipun dia seorang yang dikenali dengan fanatik dan keras. Sebagaimana kata seorang pujangga: Kebenaran membuat orang yang insaf dan degil bercakap.
Tetapi apa yang mendukacitakan kami ialah sikap Ahlu s-Sunnah apabila seorang daripada mereka mengemukakan dalil yang mengukuhkan dakwaan Syi'ah tentang hak 'Ali Amirul Mukminin dan anak-anaknya tentang jawatan khalifah, lantas mereka menuduhnya sebagai seorang Syi'ah sekalipun kami melihat mereka begitu fanatik kepada mazhab mereka. Mereka menuduh Syi'ah dengan pembohongan, tetapi Allah SWT membuatkan lidahnya bercakap benar secara sukarela ataupun tidak. Maka dia bercakap benar kerana kebenaran itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.
Syi'ah adalah orang yang mempunyai ilmu kebenaran dan ijtihad. Mereka memenuhi bumi Allah dengan keilmuan, amalan, dan kebenaran di dalam percakapan meskipun musuh-musuh mereka memperkatakan apa yang mereka mahu dengan penuh pembohongan dan rekaan semata-mata.
Perhatikanlah wahai pembaca budiman. Bagaimana Allah SWT mendedahkan kebenaran Syi'ah sekalipun lama masanya terpendam, pasti akan  terserlah juga sama ada Ahlu s-Sunnah mahu ataupun tidak. Dan kebatilan pasti pudar juga sama ada mereka mahu ataupun tidak.
Aku pun telah mengemukakan kepada anda di dalam buku ini sebahagian daripada hadith-hadith yang berkaitan dengan hari al-Ghadir, sedangkan banyak lagi hadith-hadith yang ada kaitan dengannya dipandang sepi oleh Ahlu s-Sunnah kerana hasad  dan kemarahan mereka terhadap Amiru l-Mukminin AS. Lebih-lebih lagi di masa Muawiyah memegang jawatan khalifah. Sekalipun tekanan-tekanan yang kuat telah dilakukan kepada perawi-perawi hadith tentang hak Abu Turab ('Ali AS) tetapi Allah menghendaki supaya kebenaran Amiru l-Mukminin terserlah dan memenuhi bumi ini dengan kelebihan-kelebihannya AS.
Di sini aku cuba meringkaskan apa yang telah aku kemukakan mengenai hadith al-Ghadir kerana ianya sudah memadai bagi orang yang mempunyai fikiran yang waras. Jikalau aku ingin membentangkan kesemuanya, nescaya aku akan menulis buku yang lebih tebal dan berjilid-jilid dan ini adalah bertentangan dengan "buku ringkas" yang aku telah janjikan kepada pembaca yang budiman. Dan sesiapa yang ingin mendapatkan keterangan yang lebih lanjut mengenainya, hendaklah membuat rujukan kepada buku-buku yang telah aku sebutkan terlebih dahulu yang mengandungi dalil-dalil yang jelas tentang keutamaan Amiru l-Mukminin 'Ali AS menjadi khalifah daripada orang lain.
Kerana apa yang dimaksudkan dengan perkataan al-Maula ialah aula di dalam segala urusan. Pengertian ini telah dikenali dari sudut bahasa dan penggunaannya di dalam al-Qur'an al-Nar aula-kum (api neraka itu adalah lebih utama untuk kalian) iaitu aula dengan kalian. Akhtal berkata: Maulanya mengandungi semua manusia.
Rasulullah SAWAW telah menentukan pengertian al-Maula di dalam sabdanya: Tidakkah aku aula dari kalian? Justeru itu beliau mengikutinya terus dengan sabdanya: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya....Iaitu siapa yang aku aula dengannya daripada dirinya maka 'Ali adalah aula dengannya daripada dirinya sendiri. Maka 'Ali AS aula di dalam pengurusan mereka. Dan beliau tidak menjadi aula melainkan apabila beliau menjadi khalifah dan imam. Ini merupakan nas yang terang menghendaki pimpinan ugama dan dunia. Kerana orang yang aula dengan ummat ini ialah Nabi dan Imam AS. sebagaimana urutan ayat terdahulu. Lagipun pengertian tersebut telah difahami oleh orang-orang yang fasih dengan madlul Bahasa Arab seperti Umar bin al-Khattab, Hasan bin Tsabit, Harith bin al-Nu'man al-Fihri sebagaimana anda mengetahui ucapan-ucapan mereka yang lalu. Oleh itu tidak seorangpun harus mendahului Rasulullah SAWAW sebagaimana juga ia tidak harus mendahului 'Ali AS.
Di antara dalil-dalil yang menunjukkan bahawa maula yang dimaksudkan ialah aula yang memberi pengertian imamah dan imarah (pemerintahan), ialah tahniah para sahabat kepada 'Ali AS sebagaimana aku telah menyebutkannya terlebih dahulu. Tidak ada dorongan yang lain bagi Abu Bakar dan Umar mengucap tahniah kepada 'Ali apabila mereka berdua mendengar apa yang disabdakan oleh Nabi SAWAW melainkan mereka berdua memahami perkataan maula iaitu imamah dan imarah. Inilah yang menyebabkan mereka berdua mengucap tahniah kepada 'Ali AS. Bukan dengan pengertian pembantu (al-Nasir) atau pertolongan (al-Nusrah) yang diketahui oleh mereka dan 'Ali AS. Dan tidaklah tepat jika para sahabat mengucap tahniah kepadanya disebabkan perkara-perkara biasa yang dilakukan olehnya ('Ali AS).
Sebagaimana dorongan Umar bin al-Khattab melakukan kepada 'Ali AS apa yang tidak dilakukan terhadap sahabat-sahabat Rasulullah SAWAW yang lain. Dia berkata: Beliau adalah maulaku. Iaitu apa yang dia memahami dan mengetahui pengertian al-imarah dan al-imamah bukan pengertian pembantu(al-Nasir) kerana ianya merupakan jawapan yang tidak memberi erti kerana pengertiannya: Beliaulah pembantuku. Dan apabila orang bertanya tadi jahil tentang pertolongan sahahat-sahabat Nabi SAWAW sesama mereka. Umar bin al-Khattab menjawab: Sesungguhnya 'Ali adalah pembantuku. Sekiranya pengertian itulah yang dimaksudkan oleh Nabi SAWAW dan difahami oleh Umar bin al-Khattab, kenapa dia begitu marah kepada dua orang badwi yang sedang bertengkar. Dia berkata kepada 'Ali AS: Adililah mereka berdua wahai Abu l-Hasan. Salah seorang daripada mereka berkata dengan angkuh: Lelaki inikah yang akan mengadili kamu berdua? Lalu Umar memarahkan badwi itu dan berkata: Celaka anda! Anda tidak mengetahui siapa ini? Ini adalah maulaku dan maula setiap mukmin dan mukminat.
Pada masa yang lain pula Umar bertengkar dengan seorang lelaki di dalam satu masalah. Umar berkata: Lelaki yang sedang duduk itu akan mengadili aku dan anda. Dia mengisyaratkan kepada 'Ali  AS. Maka lelaki itu menjawab: Ini hanyalah suku Arab biasa. Manakala Umar mengetahui bahawa lelaki itu merendahkan Ali dan memperkecilkannya, Umar terus berdiri dari tempat duduknya dan memegang pada pakaian lelaki itu sehingga dia mengangkatnya dari tanah. Kemudian dia berkata: Adakah anda mengetahui siapakah orang yang anda memperkecilkannya? Beliau adalah maulaku dan maula setiap mukmin.
Perhatikanlah wahai pembaca yang budiman, manakala dia berkata kepadanya: Adakah anda mengetahui siapakah orang yang anda memperkecilkannya? Beliaulah maulaku dan maula setiap mukmin. Kenyataan ini telah dipindahkan oleh Muhibuddin al-Tabari di dalam al-Riyadh al-Nadhirah183dan al-Khawarizmi di dalam Manaqibnya184 dengan beberapa riwayat yang sahih daripada Umar.
Sekiranya Umar tidak memahami perkataan maula sebagai al-imarah dan al-imamah, nescaya dia akan menjawab: Ini adalah pembantuku dan pembantu setiap muslim. Lihatlah betapa Umar begitu terkilan dan marah terhadap sikap lawannya yang memperkecilkan Ali AS. Katakanlah kepadaku sekiranya dia terkilan dan marah kepada badwi tadi disebabkan dia memperkecilkan pembantunya. Lantas dia ingin mengajar lelaki itu mengenainya dengan berdiri? Sekiranya pembantunya bukan Ali maka dia bukanlah mukmin atau muslim. Adakah ini yang merisau dan memarahkan Umar? Atau perkara lain di sebalik itu yang lebih sesuai bagi Umar untuk bangun dari tempat duduknya memarahi lelaki itu dan lebih layak dia memarahinya? Ya! Demi kebenaran. Dia tidak merasa cemas dan marah kepadanya (badwi) melainkan dia mengetahui bahawa Ali AS adalah aula dengan Mukminin daripada diri mereka sendiri. Justeru itu Umar mengambil tindakan yang serius dan menentang orang yang memperkecilkannya ('Ali).
Dengan ini jelaslah apa yang didengarinya daripada Rasulullah SAWAW kemudian dia memperkuatkannya ke atas dirinya dan Mukminin pada masa itu di mana dia dan Mukminin mengucap tahniah kepadanya ('Ali). Sebagaimana dicintai Allah SWT bahawa sesungguhnya beliaulah maula dan maula setiap muslim. Dan sesiapa orang yang tidak menjadikannya sebagai maulanya, maka dia bukanlah muslim sekalipun tanpa wilayah Nabi SAWAW. Di dalam keadaan demikian tidaklah patut bagi Umar jika maksud maula adalah pembantu. Jikalaulah begitu bagaimana seorang itu boleh berada di dalam kesamaran jika maula dimaksudkan pembantu? Demikianlah percakapan Arab difahami sehingga ia menjadi percakapan yang fasih dan selari dengan keadaan semasa.
Di samping itu juga maula dengan pengertian pembantu membawa kepada pembohongan terhadap sabda Rasulullah SAWAW (wa l-'Iyazu bi Ilahi min Dhalika) kerana beberapa banyak berlaku penentangan terhadap agama dan perubahan peraturan pada umat ini selepas kematian beliau SAWAW. Kedua-duanya telah dilakukan oleh orang yang zalim dan orang yang dizalimi secara paksa serta orang murtad yang lari, Kesemuanya itu dilihat dan didengari oleh Amiru l-Mukminin yang tinggal di rumahnya lebih dua puluh empat tahun, tidak pernah berhasrat untuk mendapat pertolongan daripada orang lain sehingga orang yang berada di dalam rumahnya. Sejarah telah memberitahukan kita tentang pertolongannya atau kemenangan ummah dengannya. Oleh itu di manakah sabdanya SAWAW: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya.....iaitu pembantuku dan di  manakah bantuan 'Ali AS pada masa itu dan orang yang membantunya? Adapun apa yang telah ditakwilkan oleh orang yang mempunyai tujuan yang jahat dan mempunyai akhlak yang keji seperti Ibn Hajr di dalam al-Sawa'iq al-Muhriqah, pada fasal kelima daripada bab pertama, al-Qausyaji di dalam Syarh al-Tajrid185 dan orang yang seumpama mereka bahawa maksud maula sebagai pencinta, pembantu sebagaimana yang telah disebutkan, adalah terbatal kerana ianya bertentangan dengan sabda Nabi SAWAW. Lagipun cinta dan bantuan adalah perkara-perkara yang diketahui oleh semua Muslimin, tanpa memerlukan keterangan kerana ayat al-Qur'an dan hadith telah menerangkannya. Sebagaimana firmanNya di dalam Surah al-Hujurat(49): 10:"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara. Dan firmanNya Surah al-Taubah (9): 71:"Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain."Dan firmanNya Surah al-Fath(48): 29:"Dan orang-orang yang bersama dengan dia (Muhammad) adalah keras terhadap orang-orang kafir" tidak memerlukan keterangan lagi.
Adapun wahyu yang mengancam Rasulullah SAWAW jika beliau tidak menyampaikannya, lalu beliau melaksanakan apa yang diperintahkannya dengan penuh kesulitan, menunjukkan bahawa ianya perkara yang besar dan memerlukan kepada keterangan iaitu awaliyyah (keutamaan) di dalam pengendalian urusan manusia. Ianya diturunkan di hadapan lebih daripada seratus dua puluh ribu sahabat di padang pasir yang panas. Beliau mengangkat tangan 'Ali AS sambi bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya.
Jikalau maksudnya ialah suatu penerangan cinta dan bantuan, maka kenapa diturunkan ayat Ikmaluddin (Surah al-Maidah(5):3"Pada hari ini telahKu sempurnakan bagimu agamamu...."Ketika turunnya ayat (Surah al-Hujurat(49):10)"Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara."Aku berkata: Ini adalah cukup bagi orang yang mempunyai fikiran yang waras, dan juga menjadi hujah yang pemutus ke atas lawan yang menentang dakwaan Syi'ah mengenai hak Amiru l-Mukminin 'Ali AS terhadap jawatan khalifah secara langsung selepas Rasulullah SAWAW. Kami mempunyai dalil yang banyak untuk mengukuhkan dakwaan kami tentang hak 'Ali selepas Rasulullah SAWAW secara langsung selain daripada apa yang kami telah kemukakan. Terdapat ramai ulama Sunnah dan Syi'ah yang telah mengarang buku-buku mengenai al-Ghadir. Mereka menyebutkannya di dalam buku-buku mereka yang tidak terkira banyaknya.
Ketahuilah sesungguhnya aku telah mengemukakan kepada anda enam ayat daripada al-Qur'an, iaitu:
1.Ayat al-Wilayah (Surah al-Maidah(5): 55)
2. Ayat al-Tathir (Surah al-Ahzab(33: 33)
3. Ayat al-Mubahalah (Surah Ali Imran(3): 61)
4. Ayat al-Mawaddah (Surah al-Syu'ara(42): 23)
5. Ayat al-Tabligh (Surah al-Maidah(5): 67)
Kesemua ayat-ayat ini menunjukkan keistimewaan Amiru l-Mukminin 'Ali AS terhadap jawatan khalifah sebaik sahaja kewafatan Nabi SAWAW dengan nas yang pemutus. Sehingga tidak ada ruang bagi si penipu untuk menentang dakwaan kami tentang hak 'Ali AS. Lantaran itu jawatan khalifah untuk 'Ali AS telah terserlah dengan enam ayat al-Qur'an yang telah diriwayatkan oleh ulama Ahlu s-Sunnah di samping para ulama syi'ah.
Oleh itu sayugialah bagi setiap orang yang mempunyai hati yang merdeka dan sejahtera supaya menyerahkan diri mereka kepada kebenaran dan tinggallah pertarungan yang wujud di antara Sunnah dan Syi'ah. Kerana Syi'ah tidak membawa sesuatu perkara begitu sahaja malah mereka telah mengukuhkan dakwaan mereka dengan al-Qur'an dan Sunnah. Justeru itu kenapa orang yang menetapkan dakwaannya dengan al-Qur'an dan Sunnah Nabi SAWAW dicela, sedangkan banyak pendapat-pendapat  ulama besar mereka menyalahi mazhabnya?
Untuk menambahkan apa yang aku kemukakan kepada anda, Sa'id al-Syahid al-Qandhi Nur Allah al-Tastari RH telah mencatat di dalam Ihqaq al-Haq, Jilid ketiga, cetakan Iran, lapan puluh dua ayat yang lain di antara ayat-ayat yang turun mengenai Amiru l-Mukminin 'Ali dan Ahlu l-Baitnya AS. Dan dia telah menyebutkan rujukan Ahlu s-Sunnah mengenainya secara terperinci.
Wahai pembaca yang budiman adalah alasan lain lagi selepas ini bagi orang yang mengesyaki keutamaan 'Ali AS menjadi khalifah dan wasinya selain daripada orang yang angkuh dan degil kepada hati kecilnya atau tidak ingin melihat kepada apa yang telah kami kemukakan, sekalipun ianya terang seperti api di atas menara, matahari di siang hari. Aku tidak  mengetahui apakah keuzuran yang telah disediakan oleh Ahlu s-Sunnah di hari hisab kelak, di mana segala perkara akan diperlihatkan di hari itu dan hati akan sampai ke kerongkong.
Sampai bilakah penentangan mereka terhadap buku-buku Syi'ah yang baik? Dan sampai bilakah kedegilan dan kebebalan ini? dan sehingga bilakah penentangan mereka terhadap hak Rasulullah SAWAW, wasinya dan menantunya Amiru l-Mukminin 'Ali. Wahai Tuhanku persaksikanlah sesungguhnya kami telah menyempurnakan hujah dan permudahkanlah jalan untuk saudara-saudara kami Ahlu s-Sunnah. Wahai Tuhanku! Berikanlah hidayah kepada mereka sebagaimana Engkau telah memberikannya kepada kami. Sesungguhnya Engkau adalah Penunjuk dan Mursyid kepada jalan yang benar. Dan Engkau telah berfirman di dalam al-Qur'an (Surah al-Insan (76): 3):"Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus, ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir."
Nota kota
127. Tafsir al-Manar, III, hlm. 463.
128. al-Durr al-Manthur, II, hlm. 259.
129. Tarikh Baghdad, VIII, hlm. 290.
130. Tarikh al-Ya'qubi, II, hlm. 32.
131. Nur al-Absar, hlm. 75.
132. al-Fusul al-Muhimmah, hlm. 26-27.
133. Tadhkirah al-Khawwas, hlm. 19.
134. al-Musnad, IV, hlm. 382.
135. al-Musnad, IV, I, 52 & 368.
136. al-Sunan, I, hlm. 55 -56.
137. Khasa'is 'Ali, hlm. 22.
138. al-'Aqd al-Farid, III, hlm. 38.
139. Tarikh al-Khulafa', hlm. 65.
140. Kunuz al-Haqa'iq di Hamisy al-Jami' al-Saghir, II, hlm. 117.
141. Is'af al-Raghibin di Hamisy Nur al-Absar, hlm. 51.
142. Riyadh al-Nadhirah, II, hlm. 170.
143. Masabih al-Sunnah, II, hlm. 220.
144. Hilyah al-Auliya', IV, hlm. 23; Nathr al-Li'ali, hlm. 166.
145. Tadhkirah al-Huffaz, I, hlm. 10; Syaraf al-Muabbah, III.
146. Tarikh Baghdad, VII, hlm. 377.
147. Asbab al-Nuzul, hlm. 150.
148. Matalib al-Su'ul, hlm. 100.
149. Mafatih al-Ghaib, XII, hlm. 50.
150. Tafsir al-Tha'labi, III, hlm. 120.
151. Al-Fusul al-Muhimmah, hlm. 23.
152. Sahih, II, hlm. 297.
153. al-Mustadrak, III, hlm. 109.
154. al-Bidayah wa al-Nihayah, V, hlm. 208.
155. Tarikh al-Ya'qubi, II, hlm. 93.
156. al-Bidayah wa al-Nihayah, V, hlm. 208.
157. Yanabi' al-Mawaddah, hlm. 30.
158. Kitab al-Wilayah, hlm. 18 dan seterusnya.
159. Raudhah al-Safa, I, hlm. 173.
160. Habib al-Siyar, III, hlm. 144.
161. al-Musnad, IV, hlm. 281.
162. Jami' li Ahkam al-Qur'an, III, hlm. 428.
163. Tafsri al-Mardawaih, hlm. 58.
164. Tafsir al-Tha'labi, III, hlm. 428.
165. Al-Sunan, I, hlm. 55-58.
166. Tarikh al-Baghdad, VIII, hlm. 378.
167. al-Manaqib, hlm. 48-50.
168. Sir al-'Alamain, hlm. 9.
169. al-Milal wa l-Nihal, hlm. 9-14.
170. al-Manaqib, hlm. 49.-60.
171. al-Mafatih al-Ghaib, III, hlm. 636.
172. Kifayah al-Talib, hlm. 48-52.
173. Riyadh al-Nadhirah, II, hlm. 169.
174. al-Fara'id al-Simtin, hlm. 50-61.
175. al-Bidayah wa al-Nihayah, V, hlm. 209.
176. al-Khutat, II, hlm. 223.
177. al-Fusul al-Muhimmah, hlm. 25.
178. Jami' al-Jawami', hlm. 50-62.
179. Kanz al-Ummal, IV, hlm. 397.
180. Wafa' al-Wafa' bi Akhbar Dar Al-Mustafa, II, hlm. 173.
181. al-Sawa'iq a-Muhriqah, hlm. 26.
182. Sirr al-'Alamain, hlm. 9-13.
183. Riyadh al-Nadhirah, II, hlm. 170.
184. al-Manaqib, hlm. 97.
185. Syarh al-Tajrid, hlm. 45.

Penulis : Unknown ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Mengapa Aku Memilih Ahlu l-Bait As? Oleh Syeikh al-Antaki,bab 2, Syi'ah Dan al-Qur'an (c) ini dipublish oleh Unknown pada hari 28 Ogos 2011. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Mengapa Aku Memilih Ahlu l-Bait As? Oleh Syeikh al-Antaki,bab 2, Syi'ah Dan al-Qur'an (c)
 

0 comments:

Catat Ulasan