Welcome to My lovely Blog

Random

create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
http://adf.ly/EWRNQ

Hadiths/aLQur'an

Hadiths/aLQur'an
Dhul Hijja

Niat Yang Diredai Allah Adalah Suatu Kesucian dll, al-Raudhah min al-Kafi oleh al-Kulaini, w. 328/29 H



Niat Yang Diredai Allah Adalah Suatu Kesucian.

       180. Sahl bin Ziyad, daripada Ya‘qub bin Yazid, daripada Ismail bin Qutaibah, daripada Hafs bin Umar, daripada Ismail bin Muhammad, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya Allah berfirman: Sesungguhnya bukan semua percakapan daripada orang yang cerdik Aku menerimanya. Sesungguhnya Aku menerima hawa nafsunya dan niatnya. Sekiranya hawa nafsunya dan niatnya di dalam keredaan-Ku, maka Aku menjadikan niatnya suatu kesucian dan kepujian.

Penjelasan Mengenai firman Allah Surah Fussilat (41): 53 “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) kami di segenap penjuru”

       181. Sahl bin Ziyad, daripada Ibn Fadhdhal, daripada Tha‘labah bin Maimun, daripada al-Tayyar, daripada Abu Abdullah a.s mengenai firman Allah di dalam Surah Fussilat (41): 53 “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) kami di segenap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa al-Qur’an itu benar”. Beliau a.s berkata: Ditelan bumi, ditukar bentuk dan dicampak ke mana-mana. Aku berkata:  “Sehingga jelaslah bagi mereka”? Beliau a.s berkata: Tinggalkan yang ini. Ini adalah untuk al-Qaim.

Ketaatan Kepada Ali A.S Dan Menderhakainya.

       182. Sahl, daripada Yahya bin al-Mubarak, daripada Abdullah bin Jabalah, daripada Ishaq bin ‘Ammar, Ibn Sinan dan Sama‘ah, daripada Abu Basir, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Mentaati Ali adalah kerendahan diri dan menderhakainya adalah kekufuran dengan Allah. Ada orang bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana mentaati Ali adalah kerendahan diri dan menderhakainya adalah kekufuran dengan Allah? Baginda s.a.w bersabda: Sesungguhnya Ali membawa kamu di atas kebenaran. Justeru sekiranya kamu mentaatinya, maka kamu merendah diri kepadanya dan sekiranya kamu menderhakainya, maka kamu mengingkari Allah.

Arab Dan A‘raab.

       183. Daripadanya, daripada Yahya bin al-Mubarak, daripada Abdullah bin Jabalah, daripada Ishaq bin  ‘Ammar atau selain daripadanya berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Kami Bani Hasyim dan Syi‘ah kami adalah Arab. Sementara orang lain adalah al-A‘raab.

Arab Dan Keturunan Rom.

       184. Sahl, daripada al-Hasan bin Mahbub, daripada Hanan, daripada Zararah berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Kami Quraisy dan Syi‘ah kami adalah Arab. Manakala orang lain adalah keturunan Rom.

Kedatangan Al-Qaim A.S Satu Kebenaran.

       185. Sahl, daripada al-Hasan bin Mahbub, daripada beberapa orang lelakinya, daripada Abu Abdullah a.s bahawa beliau a.s berkata: Seolah-olah aku melihat al-Qaim a.s di atas mimbar Kufah di atasnya pakaian, lalu al-Qaim a.s mengeluarkan satu surat dari pakaiannya yang dimetraikan dengan cop daripada emas. Kemudian al-Qaim a.s menanggalkannya, lalu membacakannya kepada orang ramai. Lantas orang ramai meninggalkannya kerana ketakutan seperti biri-biri. Tiada yang tinggal selain daripada orang tertentu yang menjadi pengawas (al-Nuqabaa’). Kemudian al-Qaim a.s bercakap dengan percakapan yang mana mereka tidak dapat perlindungan melainkan mereka kembali kepadanya. Sesungguhnya aku mengetahui percakapan yang akan diucapkan oleh al-Qaim a.s.

Hikmat Adalah Barang Mukmin Yang Hilang.

       186. Sahl bin Ziyad, daripada Bakr bin Salih, daripada Ibn Sinan, daripada ‘Umru bin Syamar, daripada Jabir, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Hikmat adalah barang mukmin yang hilang. Juteru itu, jika salah seorang daripada kamu mendapatinya, maka hendaklah dia mengambilnya kembali.

Al-Asy‘ath Bin Qais, Anak Perempuannya Dan Anak Lelakinya Laknatullah.

       187. Sahl bin Ziyad, daripada Ya‘qub bin Yazid, daripada Sulaiman Katib Ali bin Yaqtin, daripada orang yang telah menyebutnya, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya al-Asy‘ath bin Qais telah bersyarikat pada darah Amir al-Mukminin a.s, anak perempuannya Ja‘dah telah meracuni al-Hasan a.s dan anak lelakinya Muhammad telah bersyarikat pada darah al-Husain a.s.

Kelembutan Hati Dan Menangis Ketika Mendengar Bacaan Al-Qur’an.

       188. Ali bin Ibrahim, daripada Salih bin al-Sanadi, daripada Ja‘far bin Basyir, daripada Sabah al-Hiza’, daripada Abu Usamah berkata: Aku telah berkawan dengan Abu Abdullah a.s, berkata: Beliau a.s telah berkata kepadaku: Bacalah, lalu aku membuka satu surah daripada al-Qur’an, kemudian aku membacanya, lalu beliau a.s menangis. Kemudian beliau a.s berkata: Wahai Usamah, rawatlah hati kamu dengan berzikir kepada Allah dan berhati-hatilah dengan bintik-bintik (al-Nukat), kerana ia kadangkala mendatangi di hati pada masa syak dari pagi yang mana tiada padanya iman dan kekufuran seperti kain yang buruk atau tulang yang reput.
       Wahai Usamah, tidakkah anda pernah terasa “kehilangan hati anda”, justeru anda tidak menyebut dengannya kebaikan dan kejahatan serta anda tidak mengetahui di manakah dia? Aku berkata kepadanya: Ya, ia menimpaku dan aku berpendapat ia juga menimpa orang lain. Beliau a.s berkata: Ya, seorang tidak dapat mengelakkan daripadanya. Apabila berlaku sedemikian, maka sebutlah Allah dan berhati-hatilah dengan bintik-bintik. Ini adalah kerana apabila Dia kehendaki hamba-Nya kebaikan, maka Dia menandakan dengan bintik-bintik iman dan apabila Dia kehendaki hamba-Nya selain daripada itu, maka Dia menandakan selain daripada itu. Aku berkata: Apakah maksud “selain daripada itu”, aku jadikan diriku tebusan anda, apakah dia? Beliau a.s berkata: Apabila Dia kehendaki kekufuran, maka Dia menandakan bintik kekufuran (idha araada kufran nakata kufran).

Wasiat Abu Abdullah A.S Kepada  ‘Umru Bin Sa‘id  Bin Hilal.

       189. Beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Abu al-Maghra, daripada Zaid al-Syahham, daripada ‘Umru bin Sa‘id bin Hilal berkata: Aku telah berkata kepada Abu Abdullah a.s: Sesungguhnya aku hampir tidak akan bertemu dengan anda melainkan beberapa tahun akan datang. Justeru berwasiatlah kepadaku sesuatu, agar aku berpegang kepadanya. Beliau a.s berkata: Aku berwasiatkan kepada anda supaya bertakwa kepada Allah, benar di dalan percakapan, warak dan ijtihad.
       Ketahuilah bahawa tiada manfaat ijtihad tanpa warak bersamanya. Janganlah anda bandingkan diri anda dengan orang yang di atas anda. Cukuplah dengan firman Allah di dalam Surah al-Taubat(9): 55 “Dan janganlah harta benda dan anak-anak mereka menarik hatimu”. Dan firman-Nya di dalam Surah Taha (20): 131 “Dan janganlah kamu tujukan kedua matamu kepada apa yang telah kami berikan kepada golongan-golongan dari mereka, sebagai bunga kehidupan dunia”. Sekiranya anda khuatir sesuatu daripada itu, maka ingatlah kehidupan Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya makanan hariannya adalah gandum, pencuci mulutnya adalah kurma dan bahan bakarnya adalah pelepah kurma apabila baginda s.a.w mendapatinya. Apabila anda ditimpa musibah, maka ingatlah musibah yang telah menimpa Rasulullah s.a.w. Ini adalah kerana orang lain tidak akan ditimpa musibah seperti Rasulullah s.a.w.

Penulis : Unknown ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Niat Yang Diredai Allah Adalah Suatu Kesucian dll, al-Raudhah min al-Kafi oleh al-Kulaini, w. 328/29 H ini dipublish oleh Unknown pada hari 28 Ogos 2011. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Niat Yang Diredai Allah Adalah Suatu Kesucian dll, al-Raudhah min al-Kafi oleh al-Kulaini, w. 328/29 H
 

0 comments:

Catat Ulasan