Welcome to My lovely Blog

Random

create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
http://adf.ly/EWRNQ

Hadiths/aLQur'an

Hadiths/aLQur'an
Dhul Hijja

Layanan Nabi saw kpd Fatimah, Hasan, Husain, melarang Aisyah menyakiti Ali, hadis palsu dll., Kitab Sulaim b. Qais al-Hilali


   Kitab Sulaim b. Qais al-Hilali, sahabat Imam Ali as, w. 90 H


Nabi Saw. memasuki rumah Fatimah a.s. ketika beliau sedang memasak

       Abban daripada Sulaim berkata: Ali bin Abu Talib salawatu llahi alaihi, Salman, Abu Dhar, al-Miqdad telah memberitahuku dan Abu al-Juhhaf Daud bin Abi ‘Auf al-‘Uafi meriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri berkata: Rasulullah (Saw.) telah memasuki (rumah) Fatimah a.s. ketika beliau sedang memasak makanan untuk keluarganya. Ali a.s. sedang tidur di sudut rumah. Sementara al-Hasan dan al-Husain sedang tidur di sebelahnya. Maka Rasulullah Saw. duduk bersama Fatimah a.s. lalu bercakap kepadanya di mana beliau a.s. sedang memasak tanpa pembantu .

Al-Hasan dan al-Husain bangun daripada tidur dan berkata: “Wahai bapaku! Berilah aku minum”

       Tiba-tiba al-Hasan a.s. bangun dan terus datang kepada Rasulullah (Saw.) dan berkata: Wahai bapaku! Berilah aku minum. (Di dalam riwayat yang lain: Wahai datukku! Berilah aku minum). Maka Rasulullah (Saw.) telah mengambilnya kemudian berdiri berhampiran unta betinanya lalu memerah susunya dengan tangan. Kemudian beliau membawa mangkuk (‘ulbah) yang penuh dengan susu untuk diminum oleh al-Hasan. Maka al-Husain a.s. pun bangun dan berkata: Wahai bapaku! Berilah aku minum. Maka Rasulullah (Saw.) bersabda: Wahai anak lelakiku! Saudara anda adalah lebih besar daripada anda dan beliau telah memintaku memberikan minuman kepadanya sebelum anda. Maka al-Husain a.s. berkata: Berilah aku minum sebelumnya.
       Maka Rasulullah (Saw.) mulai mengucupnya dan melembutkannya sambil meminta supaya membiarkan saudaranya minum. Tetapi al-Husain a.s. enggan, lantas Fatimah a.s. berkata: Wahai bapaku! Seolah-olah anda mencintai al-Husain lebih daripada al-Hasan? Beliau bersabda: Aku bukanlah mencintainya lebih daripada al-Hasan. Sesungguhnya mereka berdua di sisiku adalah sama[1] (inna-huma ‘indi la-sawa’). Hanya al-Hasan telah memintaku memberi minum kepadanya lebih awal. Sesungguhnya aku, anda, mereka berdua dan yang sedang tidur akan ke Syurga dalam satu darjat.[2]
       Beliau berkata: Ali a.s. sedang tidur dan beliau tidak tahu apa yang berlaku. Beliau berkata: Pada suatu hari Rasulullah (Saw.) telah melalui mereka berdua yang sedang bermain, lalu Rasulullah (Saw.) mengambil mereka berdua dan meletakkan mereka di atas bahunya. Kemudian beliau terserempak dengan seorang lelaki. (Di dalam riwayat yang lain: Beliau terserempak dengan Abu Bakr lalu berkata: Sebaik-baik pengembara adalah anda.

Sabda Rasulullah Saw. kepada Abu Bakr: “Sebaik-baik orang yang menunggang adalah mereka berdua”

       Rasulullah (Saw.) bersabda: Sebaik-baik orang yang menunggang adalah mereka berdua. Mereka berdua adalah dua cahaya mataku di dunia. Beliau berkata: Manakala beliau sampai bersama mereka berdua di rumah Fatimah, mereka mulai ‘bermain gusti’. Maka Rasulullah (Saw.) mulai bersabda: Hih yaHasan. Maka Fatimah a.s. berkata: Adakah anda bersabda: Hih ya Hasan sedangkan beliau lebih besar daripadanya? Rasulullah (Saw.) bersabda: Ini Jibril berkata: Hih ya Husain. Maka al- Husain melawan al-Hasan.
       Beliau berkata: Pada suatu hari Rasulullah (Saw.) melihat kepada kedua-duanya dan bersabda: Dua ini, demi Tuhan! Adalah penghulu pemuda Syurga dan bapa mereka berdua adalah lebih baik daripada mereka berdua. Sesungguhnya orang yang paling baik di sisiku, paling kucintai dan kumuliakan adalah Ali bapa kalian berdua, kemudian ibu kalian berdua. Tidak ada di sisi Allah seorangpun yang lebih baik (afdal) daripadaku dan saudaraku, wazirku, khalifahku pada umatku dan wali kepada setiap Mukmin selepasku iaitu Ali bin Abu Talib (a.s.).[3]
       Apabila beliau mati, maka anak lelakiku al-Hasan selepasnya. Apabila beliau mati, maka anak lelakiku al-Husain selepasnya. Kemudian sembilan imam daripada keturunan al-Husain, pembimbing Ilahi. Mereka bersama kebenaran dan kebenaran adalah bersama mereka. Mereka tidak akan berpisah dengannya dan kebenaran tidak akan berpisah dengan mereka sehingga Hari Kiamat.[4] MerekalahDhar al Ard di mana Bumi “bersandar” kepada mereka.
       Mereka adalah tali Allah yang kukuh (Hablu llahi l-Matin). Mereka adalah ikatan Allah yang teguh(‘Urwatu l-Wuthqa) yang tidak akan bercerai. Mereka adalah hujah-hujah Allah di Bumi-Nya dan para saksi-Nya di atas makhluk-Nya, khazanah ilmu-Nya dan galian hikmah-Nya. Kedudukan mereka sepertilah bahtera Nuh. Sesiapa yang menaikinya berjaya dan siapa yang tidak menaikinya akan tenggelam. Kedudukan mereka sepertilah Pintu Taubat Bani Israil (Bab Hittah). Sesiapa yang memasukinya adalah Mukmin dan sesiapa yang keluar daripadanya adalah kafir. Allah telah mewajibkan di dalam al-Qur’an mentaati mereka dan mewalikan mereka. Sesiapa yang mentaati mereka, maka dia mentaati Allah. Dan sesiapa yang menderhakai mereka, maka dia menderhakai Allah.[5]
       Dan beliau berkata: Al-Husain a.s. telah datang kepada Rasulullah (Saw.) di mana Rasulullah sedang sujud, lantas beliau melangkahi beberapa saf sehingga menghampiri Nabi (Saw.), lalu naik di atas belakangnya. Rasulullah (Saw.) berdiri dan meletakkan tangannya di atas belakang al-Husain a.s. dan tangannya yang satu lagi di atas lututnya sehingga beliau menyelesaikan solatnya.
       Pada suatu ketika al-Husain a.s. mendatangi Nabi (Saw.) yang sedang memberi khutbah di atas mimbar, lalu naik di atas bahu Nabi (Saw.) dan menghulurkan kedua kakinya kepada dada Nabi Saw. yang sedang berkhutbah. Lantas beliau memegangnya sehingga menyelesaikan khutbahnya.[6]

Ucapan ‘Umru ibn al-‘As di Syam dan kecamannya terhadap Ali a.s.

       Abban daripada Sulaim berkata: Amir al-Mukminin salawatu llahi ‘alaihi telah menyampaikan bahawa ‘Umru ibn al-‘As memberi khutbah kepada orang ramai di Syam dan berkata: Rasulullah (Saw.) telah mengutusku dalam satu misi tentera bersama Abu Bakr dan Umar. Maka aku menyangka bahawa beliau mengutusku kerana kemuliaanku di sisinya. Semasa aku datang, akupun berkata: Wahai Rasulullah! Siapakah orang yang paling anda cintai? Beliau menjawab: ‘Aisyah. Aku berkata: Di kalangan lelaki? Beliau menjawab: Bapanya. Wahai manusia! Ini Ali mencaci Abu Bakr, Umar dan Uthman.
       Aku mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda: Sesungguhnya Allah telah menetapkan kedamaian di lidah Umar dan hatinya. Dan beliau bersabda kepada Uthman: Sesungguhnya Malaikat malu kepada Uthman. Diriwayatkan pada masa Umar, sesungguhnya Nabi Allah telah melihat kepada Abu Bakr dan Umar yang sedang datang maka beliau bersabda: Wahai Ali! Kedua-dua ini adalah penghulu orang tua di Syurga bagi orang terdahulu dan terkemudian selain daripada nabi-nabi mursalin. Dan janganlah anda memberitahu kepada mereka berdua sedemikian nescaya mereka berdua akan binasa.[7]

Ucapan Ali a.s. menjawab tuduhan dan pembohongan ‘Umru ibn al-‘As

       Lantas Ali a.s. berdiri dan berkata: Aneh bagi taghut ahli Syam mereka telah menerima kata-kata ‘Umru dan membenarkannya. Berapa banyak kata-katanya, pembohongannya dan kurang waraknya telah membohongi Rasulullah (Saw.). Dan sesungguhnya beliau (Saw.) telah melaknatinya lebih daripada tujuh puluh kali dan melaknati sahabatnya yang diseru olehnya beberapa kali. Ini berlaku apabila dia menghina Rasulullah (Saw.) dengan tujuh puluh bait qasidah.
       Maka Rasulullah (Saw.) bersabda: Wahai Tuhanku! sesungguhnya aku tidak akan mengemukakan syair dan aku tidak pula menghalalkannya. Maka Kau laknatilah dia bersama-sama Malaikat pada setiap bait satu laknat sehingga Hari Kiamat.[8] Kemudian apabila mati Ibrahim bin Rasulullah (Saw.), dia berdiri dan berkata: Sesungguhnya Muhammad telah terputus zuriatnya (abtar). Sesungguhnya aku adalah orang yang paling benci kepadanya dan orang yang paling kuat mengatakan keburukan kepadanya.
       Maka Allah menurunkan firman-Nya di dalam Surah al-Kauthar (108): 3 kepadanya. ‘‘Sesungguhnya orang yang membencimu akan musnah”, yakni musnah daripada iman dan daripada segala kebaikan yang didapati daripada umat ini, sama ada akibat daripada pembohonganya atau kemunafikannya. Seolah-olah aku berada di hadapan pembaca-pembaca lemah yang bertungkus-lumus meriwayatkan hadisnya dan membenarkannya. Mereka berhujah ke atas kami Ahl al-Bait dengan pembohongannya bahawa kami berkata: Sebaik-baik umat ini adalah Abu Bakr dan Umar. Dan seandainya mahu, anda tambah sahaja yang ketiga. Demi Tuhan! dia tidak mahu kata-katanya tentang ‘Aisyah dan bapanya melainkan bagi mendapatkan keridhaan Mu‘awiyah. Sesungguhnya dia berusaha untuk mendapatkan keridhaannya dengan kemurkaan Allah. Adapun kata-katanya yang dia menyangka telah mendengarnya daripadaku, adalah tidak benar.
       Demi Dia yang mengembangkan bijian dan menciptakan makhluk hidup, sesungguhnya Dia mengetahui bahawa dia telah membohongiku secara yakin. Sesungguhnya Allah tidak akan mendengarkannya daripadaku secara tersembunyi maupun secara terang-terangan. Wahai Tuhanku! Laknatlah ‘Umru dan laknatlah Mu‘awiyah kerana mereka berdua menentang jalan Anda dan pembohongan mereka berdua terhadap Kitab Anda dan memandang ringan terhadap Nabi Anda serta melakukan pembohongan ke atasnya dan ke atas aku.[9]

Mu‘awiyah memerintahkan supaya diriwayatkan hadis-hadis palsu bagi menghina Ali a.s.

       Sulaim berkata: Kemudian Mu‘awiyah telah menyeru Qurra’ ahli Syam (qari/guru agama) dan kadi-kadi mereka, lalu memberi mereka harta-harta dan menggalakkan mereka di segenap pelusuk negeri supaya meriwayatkan hadis-hadis palsu (al-Riwayat al-Kadhibah), dan meletakkan asas-asas yang batil dan memberitahu mereka bahawa Ali telah membunuh Uthman dan membersihkan diri daripada Abu Bakr dan Umar. Sesungguhnya Mu‘awiyah telah menuntut darah Uthman bersama-samanya Abban bin Uthman dan anak-anak Uthman yang lain sehingga mereka dapat menguasai hati ahli Syam dan menyatukan mereka selama dua puluh tahun.[10]
       Dia telah mengemukakan kepada pembantu-pembantunya yang batil dengan makanan dan minuman serta pemberian tanah sehingga yang kecil menjadi besar dan yang besar menjadi tua. Mereka melaknati Ali, pembunuh Uthman. Keadaan itu berterusan disebabkan kejahilan orang ramai, kerana mereka mengikut para imam yang sesat dan penyeru-penyeru kepada Neraka. Allah adalah cukup bagi kita dan Dia adalah sebaik-baik wakil. Firman-Nya di dalam Surah al-An‘am (6): 35 “Sekiranya Allah mahu, nescaya Dia kumpulkan mereka di atas petunjuk”.

Surat Mu‘awiyah kepada gabenor Ziyad tentang Syi‘ah Ali a.s.

       Abban daripada Sulaim berkata: Penulis Ziyad bin Samiyyah adalah seorang Syi‘i, dan beliau adalah sahabatku. Beliau membacakan kepadaku surat yang ditulis oleh Mu‘awiyah kepada Ziyad sebagai jawapan kepada suratnya.
       Amma ba‘d (adapun kemudian daripada itu), sesungguhnya anda telah menulis kepadaku bertanyakan tentang Arab, siapakah yang paling mulia daripada mereka, siapakah yang paling hina, siapakah yang paling akrab, siapakah yang paling jauh, siapakah yang paling aman dan siapakah yang paling ditakuti?
       Aku, wahai saudaraku, adalah orang yang paling mengetahui tentang Arab. Aku melihat kepada suku daripada Yaman, maka aku memuliakan mereka pada lahirnya (‘Alaniyyati), tetapi aku menghina mereka secara senyap-senyap (fi s-Sirri). Demikianlah aku telah lakukan kepada mereka. Aku memuliakan mereka pada majlis-majlis mereka dan aku menghina mereka ketika bersendirian. Mereka adalah orang yang paling jahat di sisiku. Kelebihan anda dan kemurahan anda selain daripada mereka, adalah rahsia daripada mereka.
       Aku melihat kepada Rabi‘ah ibn Nazar, maka aku memuliakan ketua-ketua mereka dan aku menghina orang awam mereka. Kerana orang awam mereka mengikut ketua-ketua mereka. Aku melihat kepada Mudar, maka aku lakukan polisi pecah dan perintah. Kerana jika anda melakukan sedemikian, maka itu adalah cukup untuk membendung yang lain. Aku melihat kepada al-Mawali (asal hamba) dan orang yang memeluk Islam daripada orang ‘Ajam, maka lakukanlah kepada mereka dengan sunnah Umar bin al-Khattab. Kerana itu adalah satu penghinaan kepada mereka bagi mengahwini Arab dan Arab pula tidak boleh mengahwini mereka.[11] Sementara Arab boleh mewarisi mereka, dan mereka pula tidak boleh mewarisi Arab.
       Hendaklah anda memotong pemberian dan upah kepada mereka. Jika mereka dihantar ke Medan perang, tugas mereka adalah membaiki jalan dan memotong pokok-pokok. Tidak seorangpun daripada mereka dibenarkan untuk menjadi imam kepada orang Arab di dalam solat. Tidak seorangpun daripada mereka dibenarkan berada di saf pertama di dalam solat jika ia dihadiri oleh Arab melainkan bagi memenuhi saf. Janganlah anda melantik seorangpun daripada mereka ke kampung-kampung pendalaman Muslimin. Tidak seorangpun daripada mereka dibenarkan bagi melakukan hukuman ke atas Muslimin. Kerana ini adalah sunnah dan sirah Umar pada mereka.[12] Balasan-Nya daripada umat Muhammad dan Bani Umayyah secara khusus adalah sebaik-baik balasan.
       Sekiranya dia (Abu Bakr) dan sahabatnya (Umar) tidak melakukannya dengan kekuatan dan kekerasan pada agama Allah, nescaya kami dan semua umat akan menjadi Mawali kepada Bani Hasyim. Mereka mewarisi khilafah seorang demi seorang sebagaimana Kaisar dan Kisra. Tetapi Allah telah mengeluarkannya daripada Bani Hasyim dan menjadikannya untuk Bani Taim bin Murrah, kemudian keluar kepada Bani ‘Adi bin Ka‘ab. Tidak ada pada Quraisy dua suku yang lebih hina daripada kedua-duanya. Aku tidak bertolak-ansur, lalu mereka berdua memberi laluan kepada kami mengenainya. Kami lebih berhak dengannya daripada mereka berdua dan keturunan mereka berdua, kerana kami mempunyai kekayaan dan mahir di dalam peperangan. Kami adalah lebih akrab kepada Rasulullah tentang pertalian rahim daripada mereka berdua.
       Kemudian sahabat kami Uthman telah mendapatnya melalui Syura dan keridhaan umum selepas Syura selama tiga hari yang terdiri daripada enam ahli. Tetapi ada orang yang telah mendapatnya tanpa Syura sebelumnya. Manakala sahabat kami dibunuh secara zalim, maka kami telah mendapatkannya, kerana siapa yang dibunuh secara zalim maka kami jadikan kekuasaan (sultanan) bagi walinya.
       Wahai saudaraku! Jika Umar telah menjadikan diyah hamba separuh diyah al-Mawali sebagai sunnahnya, nescaya ia adalah lebih hampir kepada takwa. Jika aku dapati jalan kepadanya, aku harap orang ramai akan menerimanya nescaya aku akan melakukannya. Tetapi aku hampir dengan peperangan, maka aku takut perpecahan orang ramai dan perselisihan mereka ke atasku. Cukuplah apa yang telah disunnahkan oleh Umar pada mereka sebagai penghinaan kepada mereka.(Di dalam riwayat yang lain: Wahai saudaraku! Sesungguhnya jika Umar tidak menjadikan diyah al-Mawaliseparuh daripada diyah Arab sebagai sunnah, demikian itu lebih hampir kepada takwa, nescaya Arab tidak ada kelebihan ke atas orang ‘Ajam).
       Apabila sampai suratku ini, maka hinalah orang ‘Ajam dan janganlah anda meminta tolong dengan seorangpun daripada mereka dan janganlah anda menunaikan hajat mereka. Demi Tuhan! Sesungguhnya anda adalah anak lelaki Abu Sufyan. Anda telah keluar daripada sulbinya.[13] Sesungguhnya anda memberitahuku dan anda di sisiku wahai saudaraku adalah benar. Anda telah membaca surat Umar kepada al-Asy‘ari di Basrah, anda pada masa itu penulisnya sedangkan dia adalah gabenornya di Basrah.
       Anda adalah orang yang paling hina di sisinya, anda pada hari itu terasa hina diri kerana anda menyangka anda adalah maula Thaqif. Jika anda mengetahui pada hari itu secara yakin seperti keyakinan anda pada hari ini bahawa anda adalah anak lelaki Abu Sufyan, nescaya anda membesarkan diri anda dan anda menjadi sombong menjadi penulis (kerani) kepada al-Asy‘ari. Anda dan kami mengetahui secara yakin bahawa Abu Sufyan mengikut jejak langkah Umayyah bin ‘Abd Syamsin. Ibn Abi Mu‘it memberitahuku bahawa sesungguhnya anda telah membaca surat Umar kepada Abu Musa al-Asy‘ari.
       Dia telah menghantar kepadanya tali sepanjang lima jengkal (Asybar) dan berkata kepadanya: Bentangkannya kepada ahli Basrah. Sesiapa yang anda dapati daripada al-Mawali dan orang ‘Ajamyang memeluk Islam sepanjang lima jengkal, maka kemukakannya dan penggalkan kepalanya.[14] Lantaran itu, Abu Musa telah bermesyuarat dengan anda mengenainya, maka anda menentangnya dan anda memintanya supaya merujuk balik, maka dia melakukannya. Lantas anda membawa surat itu kepada Umar. Anda melakukannya kerana ta‘assub anda kepada al-Mawali. Anda pada masa itu menyangka bahawa anda adalah hamba kepada Thaqif. Anda selalu bersama Umar sehingga anda membuatnya meninggalkan pendapatnya. Dia ditakutkan oleh perpecahan orang ramai, lalu meninggalkan pendapatnya.
       Anda berkata kepadanya: Apa yang membuat anda terasa selamat sedangkan anda memusuhi Ahl Bait ini. Mereka akan datang beramai-ramai kepada Ali bagi menentang anda. Lantaran itu, dia akan menghilangkan kerajaan anda? Justeru itu, berhentilah daripada melakukannya. Aku tidak tahu wahai saudaraku bahawa anak yang lahir daripada Abu Suftan lebih menjadi ancaman ke atas mereka seperti anda menolak pendapat Umar dan anda telah menghalangnya.
       Dan dia memberitahuku bahawa apa yang membuatnya mengubah pendapatnya di dalam memerangi mereka kerana anda berkata bahawa anda telah mendengar Ali bin Abu Talib berkata: Orang A‘jam akan menentang kalian kembali kerana agama ini, sebagaimana kalian telah memukul mereka pada permulaan. Dan dia berkata: Allah akan memenuhi tangan-tangan kalian daripada orangA‘jam untuk menjadi singa yang tidak akan lari, maka mereka akan memenggal kepala kalian dan akan mengalahkan kalian daripada kumpulan kalian.[15] Dia berkata kepada anda bahawa dia telah mendengarnya daripada Rasulullah (Saw.). Maka inilah yang mendorongku untuk menulis surat ini kepada sahabat anda di dalam memerangi mereka. Aku telah berazam untuk menulis kepada semua gabenorku di seluruh negara.
       Maka aku berkata kepada Umar: Janganlah anda lakukan, wahai Amir al-Mukminin!. Aku tidak berasa aman kerana Ali akan menyeru mereka untuk membantunya. Mereka adalah ramai dan anda mengetahui tentang keberanian Ali dan Ahl Baitnya serta permusuhannya terhadap anda dan sahabat anda. Justeru itu, anda telah menolak pendapatnya. Anda memberitahuku bahawa anda menolaknya di atas dasar asabiyah dan anda tidak akan berpatah balik sebagai pengecut. Anda memberitahuku bahawa anda telah memberitahu Ali semasa pemerintahan Uthman, maka dia memberitahu anda bahawa pemegang-pemegang bendera hitam (Ashab Rayat al-Sud) yang datang dari Khurasan adalah orang A‘jam. Merekalah yang akan mengalahkan Bani Umayyah di atas kerajaan mereka dan membunuh mereka di mana-mana.
       Sekiranya anda, wahai saudaraku! Tidak menolak pendapat Umar mengenainya, nescaya sunnah telah berlaku dan Allah memusnahkan mereka dan khalifah-khalifah selepasnya akan menjadikannya sunnah sehingga tidak tinggal seorangpun daripada mereka. Mereka membahayakan agama. Alangkah banyaknya apa yang telah disunnahkan oleh Umar pada umat ini yang menyalahi Sunnah Rasulullah, tetapi orang ramai mengikutinya dan mengambilnya sebagai sunnah.
       Lantaran itu, ini adalah seperti sebahagian daripadanya. Antaranya dia telah memindahkan Maqam Ibrahim daripada tempat yang telah diletakkan oleh Rasulullah,[16] gantang Rasulullah dan cupaknya ketika dia mengubah dan menambahkannya, larangannya terhadap orang yang berjanabahdaripada melakukan tayammum,[17] dan banyak lagi perkara yang bermacam-macam yang melebihi seribu bab, tetapi yang paling besar, paling kami sukai dan menyenangkan kami adalah hilangnyakhilafah daripada Bani Hasyim (wa aqarru-ha li a‘yini-na za’ilatu l-khilafati min Bani Hasyim), daripada ahlinya dan tempatnya.[18]
       Kerana khilafah tidak layak selain daripada mereka dan Bumi tidak layak melainkan dengan mereka. Apabila anda membaca suratku ini, maka rahsiakan isi kandungannya dan musnahkannya Dia berkata: Manakala Ziyad membaca surat tersebut, dia menghentaknya ke tanah kemudian datang kepadaku sambil berkata: Neraka Wail bagiku, daripada apa yang telah aku keluar dan pada apa yang telah aku masuk. Aku adalah daripada Syi‘ah Ali Muhammad, lalu aku memasuki Syi‘ah Syaitan, partinya dan Syi‘ah orang yang telah menulis surat ini. Sesungguhnya perumpamaanku demi Tuhan! Seperti Iblis yang enggan sujud kepada Adam kerana takbur, kafir dan hasad.

Sabda Nabi Saw. kepada ‘Aisyah supaya tidak menyakiti hatinya berkenaan dengan Ali a.s.

       Sulaim berkata: Aku telah mendengar Salman, Abu Dhar dan al-Miqdad, lalu aku bertanya kepada Ali bin Abu Talib mengenainya. Maka beliau berkata: Mereka memang benar (sadaqu). Mereka berkata: Ali a.s. telah masuk berjumpa Rasulullah Saw. dan ‘Aisyah sedang duduk di belakangnya. Rumah dipenuhi dengan ahlinya. Di kalangan mereka terdapat lima Ashab al-Shifah dan lima Ashab al-Syura, maka beliau tidak mendapati ruang duduk Maka Rasulullah (Saw.) telah memberi isyarat kepadanya di sini (ha huna) iaitu di belakangnya. ‘Aisyah sedang duduk di belakangnya dan di atasnya pakaian(kisa’). Maka Ali (a.s.) datang dan duduk di antara Rasulullah dan ‘Aisyah. Maka ‘Aisyah menjadi marah dan berkata: Rumahku tidak ada ruang lagi untuk anda.
       Lalu Rasulullah (Saw.) menjadi marah dan bersabda: Wahai Humaira’! Janganlah anda menyakitiku pada sudaraku Ali,[19] kerana beliau adalah Amir al-Mukminin, penghulu Muslimin, yang mempunyai muka yang berseri-seri pada Hari Kiamat, Allah mendudukkannya di atas titian (Sirat). Beliau yang membahagikan Neraka. Beliau memasukkan para walinya ke Syurga dan memasukkan musuh-musuhnya ke Neraka.[20]

Surat Mu‘awiyah kepada Ali a.s. yang dihantar oleh Abu al-Darda’ dan Abu Hurairah

       Abban daripada Sulaim berkata: Abu Hurairah al-‘Abdi menyangka sesungguhnya dia telah mendengarnya daripada Umar ibn Abi Salmah bahawa Mu‘awiyah memanggil Abu Darda’ dan kami bersama Amir al-Mukminin (a.s.) di Siffin. Dan dia memanggil Abu Hurairah.
       Kemudian dia berkata kepada mereka berdua: Kalian berdua pergilah kepada Ali, maka sampaikan salamku kepadanya dan katakan kepadanya: Demi Tuhan! Sesungguhnya aku mengetahui bahawa anda adalah orang yang paling aula dengan khilafah, dan lebih berhak dengannya daripadaku. Kerana anda daripada Muhajirin yang terawal dan aku daripada Tulaqa’.[21] Aku bukan seperti anda yang terawal masuk Islam, kekerabatan anda dengan Rasulullah, keilmuan anda dengan Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya. Kaum Muhajirin dan Ansar telah memberi bai‘ah kepada anda selepas mereka bermesyuarat selama tiga hari. Kemudian mereka mendatangi anda dan memberi bai‘ah kepada anda secara sukarela, tanpa paksaan.
       Dan orang pertama yang memberi bai‘ah kepada anda adalah Talhah dan al-Zubair. Kemudian mereka berdua telah menarik bai‘ah daripada anda, menzalimi anda dan menuntut apa yang mereka tidak ada hak. Telah sampai kepadaku bahawa anda menguzurkan diri daripada pembunuhan Uthman dan anda membersihkan diri daripada darahnya. Anda menyangka bahawa dia dibunuh semasa anda berada di rumah anda. Sesungguhnya anda berkata ketika dia dibunuh: Wahai Tuhanku! Aku tidak meridhainya dan cenderung kepadanya.
       Dan anda telah berkata kepadanya pada Hari Jamal[22] ketika mereka menyeru: Wahai pemberontak-pemberontak Uthman! Anda berkata: Tundukkan pembunuh-pembunuh Uthman hari ini, kerana muka-muka mereka ke Neraka. Adakah kami telah membunuhnya? Sesungguhnya dia telah dibunuh oleh mereka berdua dan isteri-isteri mereka berdua. Mereka telah memerintahkan pembunuhannya dan aku pada masa itu berada di rumahku. Aku adalah sepupu Uthman dan orang yang menuntut darahnya. Sekiranya perkara tersebut sebagaimana anda katakan, maka berilah kepada kami pembunuh-pembunuh Uthman, kami akan membunuh mereka wahai sepupu kami dan kami akan memberi bai‘ah kepada anda dan menyerahkan urusan khilafah kepada anda. Ini adalah yang pertama.
       Adapun yang kedua: Mata-mataku telah memberitahuku dan surat-surat daripada para penyokong Uthman telah sampai kepadaku dan di kalangan mereka ada yang berperang bersama anda. Kami menganggapnya sebagai orang yang sependapat dengan anda dan meridhai perintah anda. Tetapi hawa nafsunya bersama kami dan hatinya di sisi kami, namun jasadnya bersama anda dan anda melahirkan (kepatuhan) kepada wilayah Abu Bakr dan Umar serta berlembut dengan mereka berdua sedangkan anda tidak melakukan sedemikian kepada Uthman dan anda tidak melaknatinya.
       Telah sampai kepadaku bahawa anda apabila bersama kumpulan anda yang jahat dan Syi‘ah anda yang sesat lagi pembohong, anda membersihkan diri anda daripada Abu Bakr, Umar dan Uthman serta melaknati mereka. Anda mendakwa bahawa anda adalah wasi Rasulullah (Saw.) pada umatnya dan khalifahnya pada mereka. Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas Muslimin mentaati anda dan memerintahkan supaya menjadikan anda sebagai wali di dalam Kitab-Nya dan Sunnah Nabi-Nya. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan Muhammad melakukan sedemikian itu pada umatnya dan menurunkan ke atasnya firman-Nya dalam Surah al-Ma’idah (5): 67 “Hai Rasul! Sampaikan apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu dan sekiranya kamu tidak melakukannya, maka kamu tidak menyampaikan amanat-Nya dan Allah akan memelihara kamu daripada (gangguan) manusia
       Maka beliau telah mengumpulkan Quraisy, Ansar dan Bani Umayyah di Ghadir Khum. Beliau telah menyampaikan apa yang diperintahkan oleh Allah kepada anda. Beliau memerintahkan supaya orang yang datang menyampaikannya kepada orang yang tidak datang. Beliau memberitahu mereka bahawa anda adalah aula dengan mereka daripada diri mereka sendiri dan kedudukan anda di sisinya sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa.[23] Dan telah sampai kepadaku bahawa anda tidak memberi khutbah melainkan anda berkata sebelum anda turun dari mimbar anda: Demi Tuhan! Sesungguhnya aku adalah orang yang paling aula dan aku masih dizalimi semenjak Rasulullah (Saw.) wafat.
       Sekiranya apa yang sampai kepadaku mengenai anda itu adalah benar, maka kezaliman Abu Bakr dan Umar terhadap anda adalah lebih besar daripada kezaliman Uthman. Kerana telah sampai kepadaku bahawa anda berkata: Rasulullah (Saw.) wafat dan kami adalah saksi-saksinya.[24] Umar telah memberi bai‘ah kepada Abu Bakr tanpa meminta anda menjadi pemimpin dan tidak pula bermesyuarat dengan anda. Dua lelaki itu telah bertengkar dengan kaum Ansar dengan hak anda, hujah anda dan kekerabatan anda dengan Rasulullah (Saw.).
       Sekiranya mereka berdua menerima anda dan memberi bai‘ah kepada anda, nescaya Uthman adalah orang yang paling cepat melakukannya kerana kekerabatan anda dengannya dan hak anda ke atasnya; dia adalah sepupu anda (dua kali). Abu Bakr menjadi khalifah, kemudian memberinya kepada Umar ketika matinya tanpa bermesyuarat dengan anda dan tidak pula meminta anda menjadi khalifah ketika dia melantiknya.
       Kemudian Umar menjadikan anda Ahli Syura di kalangan kalian berenam. Dia mengeluarkan kaum Muhajirin, Ansar dan selain daripada mereka. Maka kalian melantik Ibn ‘Auf pada hari ketiga semasa kalian melihat orang ramai berhimpun dan menghunus pedang mereka. Mereka bersumpah dengan nama Allah bahawa sekiranya matahari terbenam dan kalian masih tidak memilih salah seorang daripada kalian, mereka akan memenggal kepala kalian. Mereka akan melaksanakan perintah Umar dan wasiatnya. Maka kalian melantik Ibn ‘Auf, lalu dia memberi bai‘ah kepada Uthman. Lalu kalian memberi bai‘ah kepadanya.
       Kemudian Uthman dikepong, lalu dia meminta bantuan, tetapi kalian tidak membantunya. Dia telah menyeru kalian, tetapi kalian tidak menyahut seruannya. Bai‘ahnya berada di tengkuk kalian, wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Kalian menjadi saksi, kalian membenarkan orang-orang Mesir sehingga mereka membunuhnya dan beberapa kumpulan daripada kalian telah membantu pembunuhannya.
       Orang ramai telah menghinanya, maka kalian dalam perkara ini adalah antara pembunuh, pesuruh dan pengecut. Kemudian orang ramai memberi bai‘ah kepada anda dan anda lebih berhak dengannya daripadaku. Lantaran itu, dapatkan aku pempunuh-pembunuh Uthman sehingga aku membunuh mereka semua dan aku akan menyerahkan urusan khilafah kepada anda. Aku dan semua kumpulanku daripada Ahli Syam akan memberi bai‘ah kepada anda.

Jawapan Ali a.s. kepada Mu‘awiyah melalui Abu al-Darda’ dan Abu Hurairah

       Manakala Ali membaca surat Mu‘awiyah yang disampaikan kepadanya oleh Abu Darda’ dan Abu Hurairah, Ali a.s. berkata kepada Abu Darda’ dan Abu Hurairah: Kalian berdua telah menyampaikan kepadaku apa yang diutuskan oleh Mu‘awiyah. Justeru itu, kalian berdua dengarlah daripadaku dan sampaikanlah kepadanya: Katakan kepadanya bahawa Uthman tidak lebih daripada menjadi salah satu daripada dua orang lelaki. Sama ada dia seorang imam yang dapat petunjuk, haram darahnya, wajib membantunya, tidak halal kemaksiatannya dan umat tidak boleh menghinanya. Atau seorang imam yang sesat,[25] halal darahnya, tidak halal mewalikannya dan membantunya. Lantaran itu, dia tidak terlepas daripada salah satu daripada dua sifat.
       Wajib pada hukum Allah dan hukum Islam ke atas Muslimin selepas mati imam mereka atau dia dibunuh dalam keadaan sesat atau dalam keadaan mendapat hidayah (muhtadiyan), tetapi dizalimi (mazlum) atau dia dibunuh dalam keadaan zalim, halal darahnya atau haram darahnya, janganlah mereka melakukan sesuatu perkara atau mereka mencipta perkara yang baru, janganlah mereka mengemukakan bantuan, malah janganlah mereka memulakan sesuatu sebelum mereka memilih untuk diri mereka seorang imam yang baik, alim, warak dan arif dengan Qadha’ dan Sunnah.
       Kerana dialah yang akan menumpukan kepada urusan mereka, memberi hukuman di kalangan mereka, mengambil hak orang yang dizalimi daripada orang yang zalim, menjaga keselamatan mereka. Dia memungut Fai’ mereka, mendirikan hujah mereka dan memungut zakat mereka. Kemudian mereka merujukkan hukuman mengenai imam mereka yang dibunuh kepadanya supaya dia menghukum mereka dengan kebenaran. Sekiranya imam mereka dibunuh di dalam keadaan dizalimi, dia akan menghukum untuk para walinya dengan darahnya.
       Sekiranya dia dibunuh di dalam keadaan dia sendiri seorang yang zalim, maka dalam menjatuhkan hukuman ke atasnya, beberapa perkara hendaklah diambil-kira. Inilah perkara pertama yang harus mereka lakukan iaitu mereka memilih seorang imam yang akan menumpukan urusan mereka. Dan sekiranya pemilihan itu untuk mereka, mereka mengikutinya dan mematuhinya. Dan sekiranya pemilihan itu bagi Allah dan Rasul-Nya, maka Allah telah cukup bagi mereka membuat renungan dan pemilihan mengenainya. Rasulullah (Saw.) telah meridhai untuk mereka seorang imam dan memerintahkan mereka mentaati dan mengikutinya.
       Orang ramai telah memberi bai‘ah kepadaku selepas pembunuhan Uthman. Kaum Muhajirin dan Ansar memberi bai‘ah kepadaku selepas mereka bermesyuarat denganku selama tiga hari. Mereka jugalah yang telah memberi bai‘ah kepada Abu Bakr, Umar dan Uthman serta memperkukuhkan imamahmereka. Aku adalah ahli Badr dan terawal Islam daripada Muhajirin dan Ansar. Hanya mereka telah memberi bai‘ah kepada orang sebelumku tanpa mesyuarat dengan orang ramai dan bai‘ahku adalah dengan mesyuarat daripada orang ramai.
       Sekiranya Allah SWT telah menjadikan pilihan kepada umat, maka merekalah yang memilih untuk diri mereka. Dan pilihan mereka adalah lebih baik bagi mereka daripada pilihan Allah dan Rasul-Nya untuk mereka. Maka mereka telah memilihku dan memberi bai‘ah kepadaku. Bai‘ahku adalah bai‘ah petunjuk (huda), aku adalah imam yang wajib ditaati dan dibantu.[26] Mereka telah bermesyuarat tentangku dan mereka memilihku secara ijmak. Sekiranya Allah SWT yang memilih, maka Dia telah memilihku untuk umat dan melantikku menjadi khalifah ke atas mereka. Dan Dia memerintahkan mereka supaya mentaatiku dan membantuku di dalam kitab-Nya yang diturunkan dan Sunnah Nabi-Nya Saw. Itu adalah lebih menguatkan hujahku dan mewajibkan hakku.[27]
       Sekiranya Uthman dibunuh pada masa Abu Bakr dan Umar, Mu‘awiyah wajib memerangi mereka berdua dan keluar bagi menuntut darahnya? Abu Hurairah dan Abu Darda’ berkata: Tidak. Ali a.s. berkata: Demikian juga denganku. Sekiranya Mu‘awiyah berkata: Ya. Maka kalian berdua katakan kepadanya: Jika begitu, adakah harus bagi orang yang dizalimi dengan satu kezaliman atau dibunuh oleh seorang pembunuh lalu memecahkan perpaduan Muslimin dan menyeru untuk dirinya sedangkan anak lelaki Uthman lebih aula menuntut darah bapanya daripada Mu‘awiyah?
       Beliau berkata: Abu Darda’ dan Abu Hurairah terdiam. Kemudian mereka berdua berkata: Anda telah membuat kami insaf. Ali a.s. berkata: Mudah-mudahan Mu‘awiyah dapat menginsafkan aku jika dia dapat menyempurnakan kata-katanya dan membenarkan apa yang telah dia beri kepadaku; iaitu anak-anak lelaki Uthman, mereka pula sudah matang dan bukan kanak-kanak lagi dan bukan pula hamba ke atas mereka. Hendaklah mereka datang, aku akan kumpulkan antara mereka dan pembunuh-pembunuh bapa mereka.
       Sekiranya mereka lemah daripada hujah mereka, maka hendaklah mereka mempersaksikan untuk Mu‘awiyah bahawa sesungguhnya dia adalah wali mereka, wakil mereka di dalam peperangan dan pertengkaran mereka. Hendaklah mereka duduk bersama musuh-musuh mereka di hadapanku sebagaimana duduknya orang yang bersengketa kepada imam dan wali di mana mereka mengakui hukumannya dan akan melaksanakannya.
       Aku akan melihat kepada hujah mereka dan hujah musuh mereka. Sekiranya bapa mereka dibunuh dalam keadaan di mana dia adalah seorang yang zalim,[28] maka darahnya adalah halal. Sekiranya dia dibunuh dalam keadaan dizalimi, maka darahnya adalah haram dan aku akan tebuskan mereka daripada pembunuh-pembunuh bapa mereka. Jika mereka mahu, mereka boleh membunuh pembunuh-pembunuh bapa mereka. Jika mereka mahu, mereka boleh memaafkan mereka. Dan jika mereka mahu, mereka boleh menerima diyah. Para pembunuh Uthman adalah di dalam tenteraku, mereka mengakui pembunuhannya. Mereka meridhai dengan hukumanku ke atas mereka. Justeru itu, anak-anak Uthman dan Mu‘awiyah hendaklah datang kepadaku sekiranya dia adalah wali mereka dan wakil mereka. Hendaklah mereka berdebat dengan para pembunuhnya dan menuntut penghakiman mereka sehingga aku menghukum mereka dengan Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya Saw.
       Sekiranya Mu‘awiyah bersungguh-sungguh mengadakan sebab-sebab dan kebatilan-kebatilannya maka hendaklah dia membuktikannya, Allah akan membantunya. Abu Darda’ dan Abu Hurairah berkata: Anda telah menyedarkan kami. Anda telah menambah separuh dan anda telah menghilangkan sebabnya. Dan anda telah mematahkan hujahnya. Anda membawa hujah yang kuat lagi benar tanpa kekurangan ke atasnya. Kemudian Abu Hurairah dan Abu Darda’ keluar, lalu berhadapan dengan dua puluh ribu lelaki yang berpuas hati dengan hukuman. Mereka berkata: Kami adalah pembunuh Uthman berikrar dan ridha dengan hukum Ali a.s. ke atas kami dan untuk kami.
       Lantaran itu, para wali Uthman hendaklah datang kepada kami dan membicarakan kami di hadapan Amir al-Mukminin (a.s.) untuk tuntutan darah bapa mereka. Sekiranya wajib ke atas kami dibunuh balas atau diyah, kami akan bersabar dengan hukumannya dan kami telah menyerahkan diri kami sepenuhnya. Maka mereka berdua berkata: Tidak halal bagi Ali menolak kalian atau membunuh kalian sehingga mereka membicarakan kalian di hadapannya. Maka beliau akan menghukum antara kalian dan para sahabat kalian dengan Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya Saw.
       Abu Darda’ dan Abu Hurairah meninggalkan tempat itu dan terus datang berjumpa Mu‘awiyah, memberitahunya tentang apa yang dikatakan oleh Ali a.s., pembunuh-pembunuh Uthman dan Abu al-Nu‘man bin Daman. Mu‘awiyah berkata: Apakah jawapan yang diberikannya kepada kalian berdua tentang sifat berlembutnya terhadap Abu Bakr dan Umar dan tidak terhadap Uthman, beliau membersihkan diri daripadanya secara rahsia, dakwaannya bahawa Rasulullah telah melantiknya, beliau sentiasa dizalimi semenjak Rasulullah wafat? Mereka berdua berkata: Ya.
       Beliau menunjukkan sifat berlembutnya terhadap Abu Bakr, Umar dan Uthman di sisi kami dan kami telah mendengarnya. Kemudian beliau berkata kepada kami: Sekiranya Allah telah menjadikan pilihan kepada umat, maka merekalah yang memilih dan memikir untuk diri mereka. Oleh itu pilihan mereka untuk diri mereka dan pendapat mereka mengenainya adalah lebih baik bagi mereka daripada pilihan Allah dan Rasul-Nya (Saw.). Maka mereka telah memilihku dan memberi bai‘ah kepadaku.
       Justeru itu, bai‘ahku adalah bai‘ah pertunjukAku adalah imam yang wajib ke atas manusia membantuku kerana mereka telah bermesyuarat denganku dan mereka telah memilihku. Sekiranya pilihan Allah dan Rasul-Nya Saw. adalah lebih baik bagi mereka daripada pilihan mereka untuk diri mereka mengenainya, maka sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah memilihku untuk umat, melantikku menjadi khalifah ke atas mereka, memerintahkan mereka supaya membantuku dan mentaatiku di dalam kitab Allah yang yang diturunkan ke atas lidah nabi-Nya yang diutuskan. Itu adalah lebih menguatkan hujahku dan mewajibkan hakku.[29]

Ali a.s. menyebut keutamaannya dan orang ramai mengakui akan kebenarannya

[1] Ahmad bin Hanbal, Musnad, i, hlm. 77. al-Turmudhi, Sahih, ii, hlm. 301.

[2] Ibn Hanbal, Musnad, i, hlm. 101. al-Tumudhi, Sahih, v, hlm. 641.

[3] Al-Nasa’i, al-Khasa’is, hlm. 117-8. al-Hakim, al-Mustadrak, iii, hlm.151.

[4] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 444-5

[5] Ibid.

[6] Al-Bukhari, Sahih, v, hlm. 26 (Bab Manaqib al-Hasan wa al-Husain).

[7] Syaikh Muhammad bin Darvisy, Asna al-Matalib, hlm. 123 menyatakan bahawa hadis-hadis tersebut adalah palsu.

[8] Al-Haithami, Majma‘ al-Zawa’id, vii, hlm. 247-8. al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Ummal, vi, hlm. 88-9.

[9] Al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, vi, hlm. 271. al-Dhahabi, Mizan al-I‘tidal, iii, hlm. 311. al-Haithami,Majma‘ al-Zawa’id, viii, hlm. 121.

[10] Al-Tabari, Tarikh, iv, hlm. 28-9.

[11] Malik, al-Muwatta’, ii, hlm. 12. Ia bertentangan dengan Sunnah Rasulullah Saw. yang tidak membezakan Arab dengan bukan Arab melainkan dengan takwa ‘‘Tidak ada kelebihan orang Arab dengan orang bukan Arab melainkan dengan takwa”, al-Haithami, Majma‘ al-Zawa’id, iii, hlm. 266.

[12] Ibid.

[13] Al-Dhahabi, Mizan al-I‘tidal, ii, hlm. 17. Rasulullah Saw. bersabda: “Apabila kalian melihat Mu‘awiyah di atas mimbarku maka bunuhlah dia”.

[14] Al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al ‘Ummal, iii, hlm. 116.

[15] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 448.

[16] Al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa’, hlm. 137.

[17] Ibn Majah, al-Sunan, i, hlm. 200. al-Nasa’i, al-Sunan, i, hlm. 59.

[18] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 448.

[19] Ibn Hanbal, Musnad, i, hlm. 84, 95, 128. al-Khatib, Tarikh Baghdad, ii, hlm. 255. Ibn Hajr, Mizan al-Itidal, i, hlm. 162.

[20] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 445-7.

[21] Al-Tulaqa’ adalah orang yang tidak boleh menjadi khalifah (Mu‘awiyah dan bapanya) kerana mereka telah menjadi pemimpin dalam peperangan al-Ahzab. Lihat,Ibn ‘Abd al-Birr, al-Isti‘ab, iii, hlm. 318.

[22] Al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Ummal, vi, hlm. 154. Ibn al-Athir, Usd al-Ghabah, iv, hlm. 33.

[23] Al-Bukhari, Sahih, iii, hlm. 54 (kitab al-Maghazi). Muslim, Sahih, ii, hlm. 236. Ibn Hanbal, Musnad, i, hlm. 98, 118-9. al-Hakim, al-Mustadrak, iii, hlm. 109 dan lain-lain.

[24] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 445-6. Ibn Qutaibah, al-Imamah wa al-Siasah, i, hlm. 15-6.

[25] Khalifah Uthman telah memukul Abu Dhar kemudian mengusirnya ke Rabzah. Tindakkan itu disebabkan Abu Dhar telah mengkritiknya kerana mengguna harta Baitul-Mal untuk keluarganya. Al-Ya‘qubi, Tarikh, ii, hlm. 162. Ibn ‘Abd al-Birr, al-Isti‘ab, i, hlm. 114. Abu Dhar berkata: “Sesungguhynya anda telah melakukan perkara yang tidak ada di dalam Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya. Demi Tuhan! Aku melihat kebenaran dipadamkan, kebatilan dihidupkan, kebenaran dibohongi, cintakan kebendaan tanpa ketakwaan”. Lihat al-Ya‘qubi, Tarikh, ii, hlm. 161.

[26] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 445-6

[27] Ibid.

[28] Khalifah Uthman tidak menjalankan hukum qisas ke atas Ubaidillah bin Umar al-Khattab kerana membunuh Hurmuzan dan Jupainah. Sebaliknya dia telah membawanya ke Kufah dan membenarkannya menetap di sana. Kaum Muslimin telah menentang sunnahnya itu kerana ia bertentangan dengan al-Qur’an dan Sunnah Nabawiyyah yang menuntut qisas dijalankan. Ibn Hajr, al-Isabah, i, hlm. 619. Ibn Sa ‘d, Tabaqat, v, hlm. 8-10.

[29] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 445.

[30] Ibid., hlm. 121.

Penulis : Unknown ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Layanan Nabi saw kpd Fatimah, Hasan, Husain, melarang Aisyah menyakiti Ali, hadis palsu dll., Kitab Sulaim b. Qais al-Hilali ini dipublish oleh Unknown pada hari 13 Julai 2011. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Layanan Nabi saw kpd Fatimah, Hasan, Husain, melarang Aisyah menyakiti Ali, hadis palsu dll., Kitab Sulaim b. Qais al-Hilali
 

0 comments:

Catat Ulasan