Tentang Penciptaan Adam A.S Dan Zuriatnya Serta Perbezaan Kefakiran Dan Kekayaan
Hisyam bin Salim, daripada Habib al-Sajistani, berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya Allah apabila Dia mengeluarkan zuriat Adam a.s dari belakangnya untuk mengambil al-Mithaq (perjanjian) tentang ketuhanan-Nya, dan kenabian setiap nabi, maka orang pertama yang mengambil al-Mithaq tentang kenabian adalah Nabi Muhammad s.a.w, kemudian Allah berfirman kepada Adam a.s: Lihatlah, (unzur) beliau berkata: Maka Adam telah melihat kepada zuriatnya di dalam keadaan dharrun (atom?) telah memenuhi langit (mala’u al-sama’). Adam berkata: Wahai Tuhanku, alangkah banyaknya zuriatku! (ma akthara dhuriyyati) Kerana urusan tertentu Engkau telah menciptakan mereka (wa li-amrin ma khalaq-ta-hum), apakah yang Engkau mahu daripada mereka dengan mengambil al-Mithaq ke atas mereka? Allah berfirman: “Mereka akan menyembah-Ku, mereka tidak akan mensyirikkan Aku dengan sesuatu, mereka beriman dengan para rasul-Ku dan mengikuti mereka”.
Adam berkata: Wahai Tuhanku, kenapa aku melihat sebahagian dharr lebih besar daripada sebahagian yang lain, dan sebahagian mereka mempunyai cahaya yang banyak, dan sebahagian mereka mempunyai cahaya yang sedikit, dan sebahagian mereka tidak mempunyai cahaya? Allah berfirman: “ Demikianlah Aku telah mencipta mereka bagi menguji mereka di dalam setiap keadaan (li-abluwa-hum fi kulli halati-him). Adam berkata: Wahai Tuhanku, adakah Engkau membenarkan aku bercakap, maka aku akan bercakap? Allah berfirman kepadanya: “ Bercakaplah, kerana roh kamu adalah daripada roh-Ku, dan tabiat kamu adalah berlainan dengan kewujudan-Ku (kainunati). Adam berkata: Wahai Tuhanku, jika Engkau telah mencipta mereka di atas perkara yang sama, umur yang sama, dan rezeki yang sama, nescaya sebahagian mereka tidak akan menzalimi sebahagian yang lain, dan tidak ada di antara mereka perasaan hasad, kebencian dan pertengkaran di dalam sesuatu perkara.
Maka Allah berfirman: “ Wahai Adam, dengan wahyu-Ku, Aku bercakap, dan dengan kelemahan tabiat kamu, maka aku mengenakan taklif apa yang kamu tidak mengetahuinya. Akulah Allah, Pencipta Yang Maha Mengetahui. Dengan keilmuan-Ku, Aku membezakan antara penciptaan mereka. Dengan kehendak-Ku, urusan-Ku berlalu kepada mereka, dan kepada takdir-Ku, dan tadbir-Ku mereka akan berakhir, tidak ada penukaran (la tabdila) bagi penciptaan-Ku. Sesungguhnya Aku telah menciptakan Jin dan manusia untuk menyembah-Ku. Aku telah menciptakan syurga bagi mereka yang telah menyembah-Ku, dan yang telah mentaati-Ku daripada mereka, dan mengikuti para rasul-Ku, dan Aku tidak peduli (wa la ubali).
Aku telah menciptakan neraka bagi mereka yang telah menderhaka kepada-Ku (wa khalq-tu al-Nara li-man ‘asa-ni), tidak mengikuti para rasul-Ku, dan Aku tidak peduli. Aku telah menciptakan kamu, dan zuriat kamu tanpa keperluan-Ku kepada kamu, dan kepada mereka (min ghairi faqati bi ilai-ka wa ilai-him). Sesungguhnya Aku telah menciptakan kamu, dan Aku telah menciptakan mereka kerana menguji kamu, dan menguji mereka siapakah di kalangan kamu yang lebih baik amalan di dunia pada masa hidup kamu dan pada masa kematian kamu, demikianlah Aku telah menciptakan dunia dan akhirat, kehidupan dan kematian, ketaatan dan kemaksiatan, syurga dan neraka.
Demikianlah Aku kehendaki di dalam takdir-Ku dan tadbir-Ku Dan dengan keilmuan-Ku yang menyeluruh pada mereka, maka aku membezakan antara bentuk-bentuk mereka, jasad-jasad mereka, umur-umur mereka, rezeki-rezeki mereka, ketaatan mereka dan kemaksiatan mereka, maka Aku telah menjadikan daripada mereka yang bahagia, dan yang celaka, yang celik dan yang buta, yang pendek dan yang panjang, yang cantik dan yang hodoh, yang alim dan yang jahil, yang kaya dan fakir, yang taat dan yang derhaka, yang sihat dan yang sakit termasuk yang lumpuh dan yang tidak ada sebab kesakitannya, Justeru itu, yang sihat melihat kepada yang berpenyakit, maka ia memuji-Ku di atas kesihatannya. Sementara yang berpenyakit melihat kepada yang sihat, maka ia menyeru-Ku, dan memohon kepada-Ku kesihatannya atau ia bersabar di atas ujian-Ku.
Maka Aku akan memberinya ganjaran yang banyak (jazila ‘ata’i). Dan yang kaya melihat kepada yang fakir, lalu ia memuji-Ku, dan bersyukur kepada-Ku. Sementara yang fakir melihat kepada yang kaya, lalu ia menyeru-Ku dan memohon kepada-Ku rezekinya, mukmin melihat kepada kafir, maka ia memuji-Ku di atas petunjuk-Ku, lantaran itu, Aku telah menciptakan mereka untuk menguji mereka di dalam kesenangan, kesusahan, kesihatan, pemberian, dan halangan. Aku adalah Allah, Raja dan Penguasa. Aku akan meneruskan segala kekuasaan-Ku menurut pentadbiran-Ku, Aku berhak untuk mengubah segala-galanya menurut kehendak-Ku, Aku mendahulukan apa yang Aku melewatkannya, dan sebaliknya Aku melewatkan apa yang Aku telah mendahulukannya. Aku adalah Allah, Pelaku kepada apa yang Aku kehendaki, Aku tidak akan ditanya apa yang Aku buat, dan Aku akan bertanya kepada makhluk-Ku daripada apa yang mereka buat[1].
[1] Al-Majlisi, Bihar al-Anwar, iii, 62
0 comments:
Catat Ulasan