Welcome to My lovely Blog

Random

create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
http://adf.ly/EWRNQ

Hadiths/aLQur'an

Hadiths/aLQur'an
Dhul Hijja

Pembahagian ulama, konsep ilmu dgn ahlulBait, wasiat Abu Dhar kpd Ali dan tdk kpd Umar dll, Kitab Sulaim b. Qais w.90 H


  BAHAGIAN KEEMPAT



Pembahagian ulama, konsep ilmu dan kaitannya dengan Ahl-al-Bait, kasih-sayang Rasulullah kepada mereka


Pemberitahuan Ali a.s. tentang pembahagian ulama dan manusia

       Sulaim bin Qais berkata: Aku telah mendengar Abu al-Hasan a.s. meriwayatkan kepadaku dan berkata: Sesungguhnya Nabi Saw. bersabda: Dua perkara yang tidak pernah kenyang. Cinta kepada Dunia dan cinta kepada Ilmu. Kedua-duanya tidak pernah kenyang. Sesiapa yang memadai daripada Dunia di atas apa yang telah dihalalkan oleh Allah, akan selamat. Sesiapa yang mengambilnya tanpa halal, akan binasa (halaka) melainkan dia bertaubat dan kembali kepada kebenaran. Sesiapa mengambil ilmu daripada ahlinya dan beramal dengannya, akan berjaya (naja). Sesiapa menghendakinya kerana Dunia, akan binasa dan itulah habuannya.
       Dan ulama terbahagi kepada dua. Ulama yang beramal dengan ilmunya- ia berjaya dan ulama yang meninggalkan ilmunya- ia binasa. Sesungguhnya ahli Neraka tersiksa dari kebusukkan bau ulama yang meninggalkan ilmunya. Sesungguhnya ahli Neraka yang paling menyesal adalah seorang lelaki yang telah mendakwah seorang hamba Allah. Justeru itu, dia menyahuti dakwahnya dan mentaati Allah. Lantaran itu, dia masuk Syurga. Sementara pendakwah menderhakai Allah. Lantaran itu, dia masuk Neraka kerana meninggalkan ilmunya, menurut hawa nafsunya dan kemaksiatannya terhadap Allah.
       Ia mengandungi dua perkara. Menurut hawa nafsu dan panjang angan-angan (tul al-‘amal). Adapun menurut hawa nafsu, maka dia akan menentang kebenaran. Adapun panjang angan-angan, maka dia akan melupai Akhirat. Sesungguhnya Dunia berjalan ke belakang dan Akhirat berjalan ke hadapan. Dan setiap keduanya mempunyai anak-anak (banun), maka jadilah kalian daripada anak-anak Akhirat, jika kalian berupaya. Dan janganlah kalian jadi daripada anak-anak Dunia. Kerana hari ini amal tanpa hisab dan esok hisab tanpa amal.
       Sesungguhnya permulaan berlakunya fitnah adalah kerana hawa nafsu yang dituruti, hukum-hukum yang dicipta menyalahi hukum Allah dan penggunaan kuasa ke atas orang lain secara berleluasa. Tetapi kebenaran semata-mata, tidak akan ada perselisihan. Begitu juga kebatilan semata-mata, tidak akan diikuti oleh orang yang mempunyai akal, tetapi kedua-duanya diambil sedikit, kemudian dicampur-aduk, maka di sinilah Syaitan menguasai ke atas mereka.[1] Dan berjayalah “orang yang telah memperolehi kebaikan daripada kami”, al-Anbiya’ (21): 101.
       Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah Saw. bersabda: Bagaimanakah kalian apabila fitnah menyelubungi kalian di mana yang muda membesar di dalamnya sementara yang besar menjadi tua. Lantas mereka mengambilnya sebagai sunnah (sunnatan). Apabila sunnah mereka diubah sedikit sahaja kepada Sunnah Rasulullah Saw., mereka berkata: Orang ramai telah membawa kemungkaran. Kemudian ujian berterusan, fitnah semakin halus sebagaimana api memakan kayu. Kisaran mengeluarkan debu halusnya. Orang ramai mendalami ilmu, tanpa agama dan belajar tanpa amal. Mereka mencari Dunia dengan agama.
       Kemudian beliau (a.s.) berdepan dengan Ahl Baitnya dan Syi‘ahnya lalu berkata: Sesungguhnya para imam sebelumku telah melakukan perkara-perkara yang besar dan menyalahi Rasulullah (Saw.) dengan sengaja. Jika aku menyuruh orang ramai meninggalkannya dan memindahkan (Maqam Ibrahim) daripada tempatnya ke tempat pada masa Rasulullah (Saw.), nescaya tenteraku akan lari daripadaku sehingga tidak tinggal dalam tenteraku selain daripadaku dan sedikit daripada Syi‘ahku yang telah mengetahui kelebihanku dan imamahku daripada Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya.
       Apa pendapat kalian, sekiranya aku menempatkan Maqam Ibrahim[2] pada tempat yang telah ditempatkan oleh Rasulullah Saw., mengembalikan Fadak[3] kepada pewaris-pewaris Fatimah a.s., mengembalikan timbangan dan ukuran seperti yang lazim pada zaman Rasulullah Saw., mengembalikan tanah kepada orang yang telah diberikan oleh Rasulullah Saw., mengembalikan rumah Ja‘far kepada pewaris-pewarisnya dan memisahkannya dari Masjid (kerana mereka telah merampas dan memasukkannya ke dalam Masjid), mengembalikan hukum-hukum yang kejam yang dipaksa oleh khalifah-khalifah terdahulu ke atas wanita-wanita dan secara tidak sah dipisahkan daripada suami mereka,[4] mengembalikan jizyah kepda Bani Taghlab,[5] mengembalikan tanah Khaibar yang telah dibahagi-bahagikan, memansuhkan dewan-dewan pemberian dengan meneruskan pemberian kepada semua orang sebagaimana dilakukan pada masa Rasulullah Saw. tanpa menjadikannya tertumpu di kalangan orang kaya,[6] memulihkan pajak bumi, menyamakan kaum Muslimin di dalam masalah nikah kahwin, melaksanakan khumus sebagaimana difardukan Allah SWT,[7] memulihkan Masjid Nabi seperti bentuknya yang asal pada zaman Nabi Saw., menutup pintu-pintu yang dibuka (selepas kewafatan Rasul) dan membuka pintu-pintu yang ditutup (selepas kewafatan Rasul).
       Mengharamkan penyapuan di atas al-Khuffain, mengenakan hukum had ke atas peminum nabidh, memerintahkan halalnya Mut‘ah Wanita (nikah Mut‘ah) dan Mut‘ah Haji sebagaimana pada zaman nabi, memerintahkan takbir lima kali dalam solat jenazah, mewajibkan kaum Muslimin membaca Bismillahi r-Rahmani r-Rahim dengan suara yang nyaring pada masa solat, mengeluarkan orang yang dimasukkan bersama Rasulullah Saw. di dalam Masjidnya di mana Rasulullah Saw. telah mengeluarkannya (Abu Bakr dan Umar) memasukkan orang yang telah dikeluarkan selepas Rasulullah Saw. (beliau sendiri) di mana Rasulullah telah memasukkannya, memaksa kaum Muslimin dengan hukum al-Qur’an dan talak menurut Sunnah, mengambil zakat menurut jenis-jenisnya yang sembilan, mengembalikan wuduk basuh dan solat kepada waktunya, syari‘atnya dan tempatnya, mengembalikan ahli Najran ke tempat mereka, mengembalikan layanan terhadap tawanan perang Farsi dan bangsa-bangsa lain kepada kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya.
       Sekiranya aku melaksanakan semua ini, nescaya mereka akan mengembara meninggalkanku. Demi Allah! ketika aku perintahkan orang supaya tidak melakukan solat jama‘ah di masjid pada bulan Ramadhan kecuali solat-solat fardu dan memberitahu mereka bahawa solat sunat berjama‘ah (tarawih) adalah bid‘ah; sekelompok tenteraku yang pernah berperang di pihakku mulai berteriak: Wahai kaum Muslimin! Ali mahu mengubah sunnah Umar dan bermaksud menghentikan kita dari melakukan solat-solat sunnat Tarawih pada bulan Ramadhan. Mereka berteriak begitu rupa sampai aku khuatir mereka akan memberontak. Sayang! Betapa menderitanya aku berada di hadapan orang yang menentangku sekuat tenaga dan mentaati pemimpin-pemimpin mereka yang sesat (a’immati al-Dalal) dan penyeru-penyeru mereka ke Neraka (al-Du‘at ila al-Nar).
       Dan tidak diberi saham kerabat (sahm dhi al-Qurba) melainkan dengan perintah Allah kepada mereka yang disebut di dalam firman-Nya, Surah al-Anfal (8): 41, ‘‘Jika kamu beriman kepada Allah dan apa yang telah diturunkan ke atas hamba kami pada hari perceraian pada hari bertempur dua kaum” Maka kamilah yang dimaksudkan oleh Allah dengan dhi l-Qurba wa l-Yatama wa l-Masakin wa Ibn s-Sabil. Semua mereka adalah daripada kami secara khusus, kerana Dia tidak menjadikan untuk kami saham sedekah (zakat) kerana Allah telah memuliakan Nabi-Nya Saw. dan memuliakan kami dengan Dia tidak memberi makan kepada kami kotoran manusia (zakat).

Wasiat Abu Dhar kepada Ali a.s. dan persoalan mengapa beliau tidak berwasiat kepada Umar

       Abban daripada Sulaim: Beliau berkata: Aku telah menyaksikan Abu Dhar sakit pada masa Umar. Maka Umar menziarahinya dan di sisinya Amir al-Mukminin a.s., Salman dan al-Miqdad. Abu Dhar telah berwasiat kepada Ali a.s., beliau telah menulis dan memberi penyaksian kepadanya. Apabila Umar keluar, seorang lelaki daripada keluarga Abu Dhar daripada Bani Ghaffar bertanya: Apakah yang menghalang anda dari memberi wasiat kepada Amir al-Mukminin? Beliau berkata: Aku telah berwasiat kepada Amir al-Mukminin yang sebenar (haqqan). Rasulullah Saw. telah memerintahkan kami dengannya.[8]
       Kami lapan puluh lelaki daripada Arab dan empat puluh lelaki daripada bukan Arab (al-‘Ajam) telah memberi salam ke atas Ali a.s. untuk memimpin Mukminin. Pada kami, ini yang berdiri (hadha al-Qa’im) aku menamakannya Amir al-Mukminin. Tiada seorangpun sama ada Arab atau al-‘Ajam yang merujukkan (bertanya) kepada Rasulullah Saw. melainkan ini (Umar) dan sahabatnya (Abu Bakr). Mereka berdua telah berkata: Adakah hak daripada Allah dan Rasul-Nya? Beliau Saw. telah bersabda: Wahai Tuhanku! Ya. Hak daripada Allah dan Rasul-Nya. Allah telah memerintahkan aku dengan demikian itu, maka aku memerintah kalian dengannya.
       Sulaim berkata: Aku berkata: Wahai Abu al-Hasan! Wahai Salman! dan wahai al-Miqdad! Kalian sependapat dengan Abu Dhar? Mereka menjawab: Ya. Memang benar apa yang dikatakan oleh Abu Dhar. Aku berkata: Empat orang yang adil (‘udul), sekiranya seorang sahaja telah memberitahuku, aku tidak mengesyaki mengenainya. Tetapi empat kalian lebih kuat untuk diriku dan mata hatiku (arba’ata-kum asyaddu li-Nafsi wa basirati).

Salman telah menyebut nama lapan puluh orang yang menerima Ali a.s. sebagai pemimpin Mukminin

       Aku berkata: Aslaha-ka llahu. Adakah kalian akan menyebut nama lapan puluh orang itu? Maka Salman menyebut nama mereka seorang demi seorang. Kemudian Ali a.s., Abu Dhar dan al-Miqdad berkata: Memang benar apa yang dikatakan oleh Salman rahmatu llahi wa maghfiratu-hu ‘alaihim. Di antara orang yang disebutkannya adalah Abu Bakr, Umar, Abu ‘Ubaidah, Mu‘adh, Salim, lima daripada Ahli al-Syura, Ammar bin Yasir, Sa‘d bin ‘Ubadah, dan sebahagian daripada Ahli al-‘Aqabah, Ubayy bin Ka‘ab, Abu Dhar, al-Miqdad, sebahagian Ahli Badr, sebahagian mereka daripada kaum Ansar. Di kalangan mereka adalah Abu al-Haitham bin al-Taihan, Khalid bin Zaid, Abu Ayyub, Asyad bin Khidir dan Basyir bin Sa‘d.
       Sulaim berkata: Aku fikir aku telah berjumpa semua mereka. Aku telah bertanya kepada mereka. Aku telah berjumpa dengan mereka seorang demi seorang.Di kalangan mereka ada yang berdiam diri, tidak memberi apa-apa jawapan kepadaku dan menyembunyikannya daripadaku. Di kalangan mereka ada yang telah memberitahuku. Kemudian beliau berkata: Fitnah telah menimpa kita, ia telah mengambil hati, pendengaran dan penglihatan kita. Ia berlaku apabila Abu Bakr mendakwa telah mendengar Rasulullah Saw. bersabda selepas itu: “Sesungguhnya kami Ahl al-Bait telah dimuliakan Allah dan Dia telah memilih untuk kami Dunia ke atas Akhirat. Dan sesungguhnya Allah enggan menghimpunkan kenabian dan khilafah. Abu Bakr telah berhujah sedemikian ke atas Ali a.s. ketika dibawa dengan lehernya terikat untuk memberi bai‘ah. Empat orang membenarkannya dan memberi penyaksian. Mereka adalah Abu ‘Ubaidah, Salim, Umar dan Mu‘adh. Kami menyangka bahawa mereka itu benar.
       Manakala Ali memberi bai‘ah, beliau telah memberitahu kami bahawa Rasulullah Saw. telah pun bersabda kepadanya mengenai apa yang dikatakan oleh Abu Bakr itu. Beliau a.s. memberitahu bahawa mereka berlima telah menulis di kalangan mereka satu kitab (surat) perjanjian dan memeterainya di sekitar Ka‘bah bahawa jika Muhammad Saw. mati atau dibunuh, mereka akan menentang Ali (a.s.), mereka akan menjauhkannya daripada khilafah. Mereka meminta empat orang menjadi saksi: Salman, Abu Dhar, al-Miqdad dan al-Zubair. Mereka memberi penyaksian setelah Abu Bakr mewajibkan bai‘ahnya yang dilaknati lagi sesat (bai ‘atu-hu l-Mal‘unah wa Dallatu) ke atas kami.
       Maka kami telah mengetahui bahawa Ali a.s. tidak sekali-kali meriwayatkannya daripada Rasulullah Saw. secara batil. Dan para sahabat Muhammad Saw. yang terpilih telah memberi penyaksian kepadanya. Maka berkatalah orang yang berkata ucapan ini: Sesungguhnya kami merenung perkara ini selepas itu, maka kami terlintas sabda Rasulullah Saw. dan kami mendengar: Sesungguhnya Allah mencintai empat orang daripada para sahabatku dan Dia telah memerintahkanku mencintai mereka. Sesungguhnya Syurga merindui mereka (inna l-Jannata tasytaqu ilai-him).
       Maka kami bertanya: Siapakah mereka wahai Rasulullah? Beliau bersabda: Saudaraku, wazirku, warisku, khalifahku pada umatku dan wali kepada setiap Mukmin selepasku adalah Ali bin Abu Talib, Salman al-Farisi, Abu Dhar dan al-Miqdad bin al-Aswad.[9] (Di dalam riwayat yang lain: Sesungguhnya Ali daripada mereka. Lalu beliau diam seketika. Kemudian bersabda: Sesungguhnya Ali daripada mereka,[10] Abu Dhar, Salman dan al-Miqdad). Sesungguhnya kami memohon ampun daripada Allah di atas apa yang kami telah lakukan. Kami telah mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda, tetapi kami tidak mengetahui takwilnya dan maknanya melainkan kebaikan.
       Beliau bersabda: Akan ditolak di Haudh beberapa kaum yang telah bersahabat dengan ku, terdiri daripada orang yang berkedudukan tinggi di sisiku sehingga apabila mereka berdiri di atas martabat mereka, mereka ditarik selain daripadaku. Maka aku bersabda: Wahai Tuhanku! Sahabatku, sahabatku, maka dijawab kepadaku: Sesungguhnya anda tidak mengetahui apa yang telah mereka lakukan selepas anda. Mereka sentiasa dalam keadaan kafir-murtad kebelakang semenjak aku berpisah dengan mereka.[11] Sekiranya semenjak Rasulullah Saw. wafat, kami telah menyerahkan khilafahkepada Ali a.s., kami mentaatinya, kami mengikutinya dan kami memberi bai‘ah kepadanya, nescaya kami mendapat hidayah. Tetapi Allah telah melaksanakan ikhtilaf, perpecahan dan bala. Lantaran itu, pasti berlaku apa yang telah Allah ketahui dan “mentakdirkannya”.

Wasiat Abu Dhar kepada Ali a.s. dan persoalan mengapa beliau tidak berwasiat kepada Uthman



[1] Al-Syarif al-Radhi, Nahj al-Balaghah, hlm. 88.

[2] Al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa’, hlm. 137.

[3] Al-Hakim, al-Mustadrak, iii, hlm. 153. Ibn al-Athir, Usd al-Ghabah, v, hlm. 522.

[4] Ibn Hanbal, Musnad, i, hlm. 314. Muslim, Sahih, i, hlm. 574.

[5] Ibn ‘Abd al-Birr, al-Isti‘ab, ii, hlm. 460. Ibn Abi al-Hadid, Syarh Nahj al-Balaghah, iii, hlm. 178.

[6] Ibn al-Athir, al-Kamil, ii, hlm. 35.

[7] Ibn Hanbal, Musnad, i, hlm. 248. Surah al-Anfal (8):41.

[8] Al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, ii, hlm. 259. Ibn Hanbal, Musnad, iv, hlm. 382.

[9] Al-Turmudhi, Sahih, ii, hlm. 31. al-Hakim, al-Mustadrak, iii, hlm. 137. al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Ummal, vi, hlm. 163.

[10] Ibn ‘Abd al-Birr, al-Isti‘ab, ii, hlm. 423. al-Isfahani, Hilyah al-Auliya’, i, hlm. 190. Muhibb al-Din al-Tabari, al-Riyadh al-Nadhirah, ii, hlm. 209.

[11] Al-Bukhari, Sahih, viii, hlm 379-385. Hadis no.578, 584-587.

Penulis : Unknown ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Pembahagian ulama, konsep ilmu dgn ahlulBait, wasiat Abu Dhar kpd Ali dan tdk kpd Umar dll, Kitab Sulaim b. Qais w.90 H ini dipublish oleh Unknown pada hari 13 Julai 2011. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Pembahagian ulama, konsep ilmu dgn ahlulBait, wasiat Abu Dhar kpd Ali dan tdk kpd Umar dll, Kitab Sulaim b. Qais w.90 H
 

0 comments:

Catat Ulasan