Welcome to My lovely Blog

Random

create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
http://adf.ly/EWRNQ

Hadiths/aLQur'an

Hadiths/aLQur'an
Dhul Hijja

Makrifat ttg martabat mukmin daripada Kitab al-Haft al-Syarif diriwayatkan oleh al-Mufadhdhal daripada Imam Ja'far al-Sadiq a.s


                                        BAB 47

☼Makrifat tentang adakah mukmin menjadi hamba kepada kafir dan kafir menjadi hamba kepada mukmin serta apakah sebabnya? (fi ma‘rifati hal yakunu al-mu’min ‘abdan lil-kafir wa al-Kafir ‘abdan li-al-Mu’min?)☼

       Al-Mufadhal telah berkata: Aku telah bertanya Maulaana al-Sadiq a.s tentang mukmin adakah dia menjadi hamba kepada mukmin dan kafir serta sebabnya? Maka al-Sadiq a.s telah berkata: Wahai Mufadhdhal, sesungguhnya makna perhambaan (al-‘Ubudiyyah) ada dua makna: Pertama: Mukmin menjadi hamba milik seorang mukmin saudaranya dan dia tidak menjadi hamba milik kafir. Sebabnya bahawa mukmin pada pusingan yang pertama adalah saudara bagi mukmin ini yang telah memilikinya pada pusingan yang kedua.
       Maka mukmin ini adalah lebih luas dunianya dan lebih senang daripadanya, tetapi dia tidak menolongnya, tidak mengemukakan apa yang wajib dilakukannya kepadanya dengan sewajarnya. Mukmin ini telah berharap bahawa dia akan mendapat kebaikan daripadanya, tetapi mukmin ini telah mengabaikannya dalam menunaikan haknya ke atasnya.
       Maka dia mulai memenatkannya beberapa hari, tanpa mendapat kebaikan daripadanya sehingga apabila dia berada di pusingan yang kedua (al-Karrati al-Thaaniyati) maka Allah menghina mukmin ini kerana tidak menunaikan haknya ke atas saudara-saudaranya sehingga terputus harapannya. Justeru mukmin yang susah tadi memiliki perhambaan mukmin ini untuk memenatkannya pula di dalam perhambaan dengan kadar kepenatan dan kesusahan yang diterima olehnya [dahulu], kerana Allah Maha Adil tidak zalim dan Maha Bijaksana sebagaimana aku telah memberitahukan anda.
       Aku telah berkata: Ceritakan kepadaku makna perhambaan yang kedua, al-Sadiq a.s telah berkata: Makna kedua adalah perhambaan di antaranya dan Tuhannya, kerana mukmin mempunyai darjat yang banyak dan setiap batas daripada darjat-darjatnya ada alamat yang tersendiri. Darjat yang paling rendah adalah apa yang diwajibkan ke atasnya pada zahir seperti sembahyang, puasa, haji, zakat, jihad dan lain-lain syariat menurut batas perhambaan (‘ubudiyyah) sehingga dia sampai ke darjat kemerdekaan (ahraar). Al-Mufadhdhal telah berkata: Apakah darjat kemerdekaan, wahaiMaulaaya? Al-Sadiq a.s telah berkata: Apabila dia mengetahui hak Allah dengan sebenarnya dan berakhir pada makrifat, maka dia pada ketika itu bebas, sesungguhnya dia telah merdeka dan dibebaskan daripada belenggu serta keluar daripada kesesatan.
       Al-Mufadhdhal telah berkata: Wahai Maulaaya, ceritakan kepadaku makrifat kepada Allah dengan sebenarnya dan kesudahan makrifat? Al-Sadiq a.s telah berkata: Apabila dia mengetahui Allah secara ikhlas tanpa syak dan ragu dan mengakui Tuhannya Yang Maha Tinggi. Mengakui ketuhanan-Nya dan keesaan-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Kaya lagi Maha Mulia (ghaniyyun ‘aziizun). Al-Mufadhdhal telah berkata: Apakah makna Maha Kaya lagi Maha Mulia? Al-Sadiq a.s telah berkata: Kaya dengan diri-Nya tanpa orang lain, Dia tidak berhajat kepada seorangpun daripada makhluk-Nya sedangkan semua makhluk berhajat kepada-Nya, mereka berhajat kepada kekuasaan-Nya, kebesaran-Nya dan kemuliaan-Nya.
       Maka ketika itu mukmin mengetahui Allah dengan sebenarnya dan berakhir kepada makrifat. Sesiapa yang tidak mengetahui Allah dengan sebenarnya, dengan sifat ini, maka dia adalah seorang hamba yang dimiliki, tetapi apabila dia mengetahui Allah dengan sifat ini, maka dia telah berakhir kepada makrifat dan menjadi merdeka lagi ditaati di mana saja dia pergi dari bumi atau langit. Al-Mufadhdhal telah berkata: Adakah dia layak ke langit? Al-Sadiq a.s telah berkata: Dia tidak ditaati melainkan dilangit? Tidak ada malaikat yang dekat dengan Allah, tidak ada nabi yang diutus, tidak ada sahabat dan syahid melainkan mengetahuinya, mentaatinya dan mengetahuinya bahawa dia adalah seorang lelaki yang ikhlas kepada Allah.
       Kebanyakan tempat tinggalnya dilangit bersama-sama para malaikat, dia naik kepada mereka apabila dia kehendaki dan turun apabila dia kehendaki, bumi dilipatkan untuknya, semua pokok, gunung dan lain-lain mengetahuinya bahawa dia adalah seorang wali yang ikhlas. Al-Mufadhdhal telah berkata: Wahai Maulaaya, adakah ada jalan pada zaman ini seorang tertentu boleh mencapai sifat ini?
       Al-Sadiq a.s telah berkata: Ya, wahai Mufadhdhal, terdapat manusia yang ramai, kemungkinan seorang daripada mereka memberi salam kepadaku dan hadir di sisiku sedangkan anda hadir sama dalam majlisku, tetapi anda tidak mengetahui mereka. Al-Mufadhdhal telah berkata: Sesungguhnya anda telah bermurah hati kepadaku, wahai Maulaaya, anda telah mengajarku, justeru aku mahu berkata sesuatu. Al-Sadiq a.s telah berkata: Aku telah mengetahui apa yang terlintas di hatimu. Sesungguhnya telah terlintas di hati anda bahawa anda mahu bertanyaku supaya aku membentangkan kepada anda sebahagian mukminin. Al-Mufadhdhal telah berkata: Wahai Maulaaya, demi Allah, ia begitulah sebagaimana kata-kata anda.
       Maka beliau a.s telah berkata: Katalah apa yang anda mahu… Demi Allah, belum sempat aku menyempurnakan soalanku, tiba-tiba seorang lelaki telah mendatanginya dan beliau a.s telah membuka pintu. Al-Sadiq a.s telah berkata: Ini adalah daripada mereka, maka dia telah masuk dan memberi salam. Justeru kami telah menjawab salamnya dan dia terus duduk di sisi Maulaaya al-Sadiq a.s dan beliau a.s telah berkata: Wahai Mufadhdhal, tanyalah dia, wahai Mufadhdhal, apa yang anda mahu. Maka aku telah berkata: Dari manakah anda telah datang, wahai saudaraku? Dia telah berkata: Dari langit.
       Kemana anda mahu pergi? Dia telah berkata: Aku telah datang untuk memberi salam kepadaSayyidi dan Maulaaya, al-Sadiq a.s. Aku telah berkata: Sesungguhnya Maulaaya telah menceritakan kepadaku bahawa gunung-gunung, lautan-lautan dan pokok-pokok jika anda menyuruh mereka, maka mereka akan mentaati anda. Lelaki itu telah berkata: Ya, lebih banyak perkara mentaatiku. Iaitu bumi dan langit. Begitu juga syurga dan neraka. Lantas Maulaaya al-Sadiq a.s tersenyum dan berkata kepadanya: Anda memang benar. Al-Mufadhdhal telah berkata: Subhaanallahi Rabbi l-‘Aalamiin. Dia telah berkata: Adakah anda bertasbih kerana hairan kepada kata-kataku?
       Aku telah berkata: Ya, demi Allah. Dia telah berkata: Allah memberi kepadaku lebih besar daripada langit, bumi, syurga dan neraka. Aku telah berkata: Apakah dia? Dia telah berkata: Allah Tuhan semesta alam mentaati aku (yuti‘uni llahu rabbu al-‘aalamiin), Dialah Pencipta perkara-perkara ini dan menetapkannya. Aku telah berkata: Apakah ketaatan Allah kepada anda? Dia telah berkata: Aku meminta [sesuatu] daripada-Nya (asalu-hu fa-yu‘tii-nii), lalu Dia memberinya kepadaku, aku menyeruNya, maka Dia menyahuti seruanku, justeru manakah ketaatan yang lebih daripada itu (fa-ayyu taa‘atin akbar min-dhalika)?
       Aku telah berkata: Maulaaya al-Sadiq a.s memang benar. Al-Sadiq a.s telah berkata: Wahai Mufadhdhal, sesungguhnya anda merasa hairan dan membenar kata-katanya. Berita tidaklah sama dengan penglihatan [anda sendiri], kemudian aku memintanya supaya menunjukkan sesuatu kepadaku tentangnya. Al-Mufadhdhal telah berkata: Maka aku telah melihat bahawa tidak ada perkara yang lebih dekat kepadaku selain daripada pohon [anggur] di rumah Maulaaya, maka aku telah memintanya supaya dia memerintahkan pohon itu dalam urusan yang dia memilihnya.
       Maka dia telah berkata kepadanya: Wahai pohon, datang ke mari, maka pohon itu datang menembusi bumi kerana takut sehingga ia berdiri di hadapannya. Kemudian dia telah berkata: Wahai pohon, berilah kami makan daripada buah-buahan anda yang segar. Pada masa itu bukanlah musim buah-buahan. Maka pohon itu menggerakkan dahan-dahannya sementara pelepahnya mendekati daun-daunnya sehingga ia memberi makan [buahnya] kepada kami, tiba-tiba di atasnya buah-buahan yang banyak. Kemudian Maulaanya telah menghulurkan tangannya dan memetiknya dengan tangannya yang mulia, kami telah mengambilnya dan memakannya. Ia mempunyai tiga jenis buah-buahan yang segar. Kemudian dia telah berkata kepada pohon itu: Bertebaranlah, lalu ia bertebar sehingga ia memasuki setiap sudut rumah.
       Kemudian dia telah berkata kepadanya: Kembalilah, maka ia kembali kepada tempatnya. Maka dia telah berkata kepadaku: Wahai saudaraku, wahai Mufadhdhal, adakah anda hairan apa yang anda telah melihatnya? Aku telah berkata: Ya, demi Allah. Maulaaya al-Sadiq a.s telah berkata: Janganlah anda menjadi hairan, wahai Mufadhdhal, jika dia memerintahkan gunung-gunung yang kukuh supaya berjalan bersama-samanya, nescaya ia berjalan. Jika dia memerintahkan lautan-lautan supaya bergelora, nescaya dia bergelora. Jika dia memerintahkan langit supaya menurunkan hujan, nescaya ia menurunkan hujan.
       Jika dia memerintahkan bumi supaya menumbuhkan [sesuatu], nescaya ia menumbuhkan[nya]. Wahai Mufadhdhal, dia telah melakukan pada hari kita ini lebih banyak daripada itu ketika anda bertanya kepadaku tentang para wali, mukminin, sifat-sifat mereka dan darjat-darjat mereka. Wali ini, wahai Mufadhdhal, di langit ketujuh, maka dia turun pada jam ini. Ini adalah melebihi apa yang aku telah ceritakan kepada anda dan anda telah melihatnya di kalangan para wali. Aku telah berkata: Berapa lamakah baginya untuk mencapai tahap ini, wahai Maulaaya? Al-Sadiq a.s telah berkata: Dalam 21 pusingan (karratan). Wa s-Salam.

Penulis : Unknown ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Makrifat ttg martabat mukmin daripada Kitab al-Haft al-Syarif diriwayatkan oleh al-Mufadhdhal daripada Imam Ja'far al-Sadiq a.s ini dipublish oleh Unknown pada hari 13 Julai 2011. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Makrifat ttg martabat mukmin daripada Kitab al-Haft al-Syarif diriwayatkan oleh al-Mufadhdhal daripada Imam Ja'far al-Sadiq a.s
 

0 comments:

Catat Ulasan