Welcome to My lovely Blog

Random

create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
http://adf.ly/EWRNQ

Hadiths/aLQur'an

Hadiths/aLQur'an
Dhul Hijja

Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini w.328/29 H (bab 19-22)


   Bab 19

☼ Apa Yang Difardukan Oleh Allah A. W Dan Rasul-Nya S.A.W Ke Atas Makhluk-Nya Adalah Bersama Para Imam A.S (ma fardha llahu a.w wa rasalu-hu s.a.w min al-Kaun ma‘a al-Aimmati a.s)☼

       (106)-1. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Wasya’, daripada Ahmad bin ‘Aidh, daripada Ibn Udhainah, daripada Buraid bin Mu‘awiyah al-‘Ajali berkata: Aku telah bertanya Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah a.w “Wahai  mereka yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah kamu bersama mereka yang benar”[1] Beliau a.s telah berkata: Kepada kamilah ayat itu dimaksudkan.

       (107)-2. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Abi Nasr, daripada Abu al-Hasan al-Ridha a.s telah berkata: Aku telah bertanya beliau a.s tentng firman Allah a.w “Wahai mereka yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah kamu bersama mereka yang benar”[2] Beliau a.s telah berkata: Mereka yang benar(al-Sadiqun) adalah para imam a.s dan mereka yang membenarkan mereka (al-Siddiqun) adalah dengan mentaati mereka.

       (108)-3. Ahmad bin Muhammad dan Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Muhammad bin ‘Abd al-Hamid, daripada Mansur bin Yunus, daripada Sa‘d bin Tarif, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang ingin hidup seperti kehidupan yang menyerupai kehidupan para nabi dan mati seperti kematian yang menyerupai kematian para syahid dan mendiami taman-taman (syurga) yang ditanamkan oleh Yang Maha Pemurah, maka hendaklah beliau mewalikan Ali dan mewalikan walinya dan mengikuti para imam  selepasnya, kerana merekalah keluargaku, mereka diciptakan daripada tanahku. Wahai Tuhanku, kurnialah kepada mereka kefahamnku dan ilmuku. Dan celakalah bagi mereka yang menyalahi “mereka” daripada umatku. Wahai Tuhanku, janganlah syafaatku sampai kepada mereka” (man ahabba an yahya hayatan tusybihu hayata al-Anbiya’ wa yamutu maitatan tusybihu maitata al-Syuhadaa’ wa yaskunu al-Jinaan al-Lati gharasa-ha al-Rahman fa-yatawalla ‘Aliyyan wa-l-Yuwali waliyya-hu wa l-Yaqtadi bi-al-Aimmati man ba‘da-hu, fa-inna-hum ‘itrati khuliquu min tinati. Allahumma urzuq-hum fahmi wa ‘ilmi wa wailun lil-Mukhalifin la-hum min ummatii, Allahumma la tanal-hum syafa‘ati).

       (109)-4. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada al-Nadhar bin Syu‘aib, daripada Muhammad bin al-Fudhail, daripada Abu Hamzah al-Thumali berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda di dalam sebuah hadis Kudsi: Penyempurnaan Hujjah-Ku ke atas mereka yang celaka daripada umatmu adalah apabila seorang itu telah meninggalkan wilayah Ali dan mewalikan musuh-musuhnya, mengingkari kelebihannya dan kelebihan para wasinya selepasnya, kerana kelebihanmu adalah kelebihan mereka, ketaatanmu adalah ketaatan mereka, hakmu adalah hak mereka, menderhakaimu adalah menderhakai mereka. Mereka adalah para imam yang memberi petunjuk selepasmu. Rohmu[3] mengalir pada mereka dan roh yang mengalir padamu adalah daripada Tuhanmu.
       Mereka adalah keluargamu daripada tanah (tinah) mu, dagingmu dan darahmu. Sesungguhnya Allah telah mengalirkan pada mereka sunnahmu dan sunnah para nabi sebelummu. Mereka itu adalah penyimpan-penyimpan ilmu-Ku selepasmu. Adalah menjadi hak Aku, sesungguhnya Aku telah memilih mereka, menjadikan mereka ikhlas (kepadaKu) dan Aku pula meredai mereka. Berjayalah orang yang mencintai mereka, mewalikan mereka dan menyerahkan diri kepada mereka kerana kelebihan mereka. Sesungguhnya Jibrail a.s telah mendatangiKu dengan nama-nama mereka, nama-nama bapa mereka, pencinta-pencinta mereka dan mereka yang menyerahkan diri mereka kerana kelebihan mereka.

       (110)-5. Daripada beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada Fadhalah bin Ayyub, daripada Abu al-Maghra, daripada Muhammad bin Salim, daripada Abban bin Taghlab berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang ingin hidup kehidupanku, mati kematianku dan memasuki  syurga ‘Aden yang telah ditanam oleh Allah, Tuhanku dengan tangan-Nya, maka hendaklan beliau mewalikan Ali bin Abu Talib, mewalikan walinya, memusuhi musuhnya dan menyerahkan dirinya kepada para wasi selepasnya, kerana mereka adalah keluargaku daripada dagingku dan darahku, Allah telah memberikan kepada mereka kefahamanku dan ilmuku, kepada Allah aku mengadu [urusan] umatku yang mengingkari kelebihan mereka, memutuskan pada mereka perhubunganku. Demi Allah, mereka akan membunuh anak lelakiku[4], Allah tidak akan membenarkan syafaatku sampai kepada mereka.

       (111)-6. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Musa bin Sa‘dan, daripada Abdullah bin al-Qasim, daripada ‘Abd al-Qahhar, daripada Jabir al-Ja‘fi, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang ingin hidup kehidupanku, mati kematianku, memasuki syurga yang telah dijanjikannya oleh Tuhanku dan berpegang kepada sebatang kayu atau tongkat (al-Qadhib) yang telah ditanam oleh Tuhanku dengan tangan-Nya, maka hendaklah beliau mewalikan Ali bin Abu Talib a.s dan para wasinya selepasnya kerana mereka tidak akan memasukkan kamu kepada pintu kesesatan dan tidak mengeluarkan kamu daripada pintu petunjuk.
       Janganlah kamu mengajar mereka, kerana mereka lebih mengetahui daripada kamu (fa-la tu‘allimuu-hum fa-inna-hum a‘lamu min-kum) dan sesungguhnya aku telah memohon kepada Tuhanku supaya tidak memisahkan mereka daripada Kitab (al-Qur’an) sehingga kedua-duanya dikembalikan kepadaku di Kolam (al-Haudh) seperti ini-beliau telah memasukkan anak-anak jari kedua-dua tangannya-dan membentangkannya di antara San‘a’ dan Ilah. Padanya[5] cawan-cawan daripada emas dan perak seperti bilangan bintang-bintang.

       (112)-7. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Jumhur, daripada Fadhalah bin Ayyub, daripada al-Hasan bin Ziyad, daripada al-Fudhail bin Yasar berkata: Abu Ja‘far a.s telah berkata: Sesungguhnya keselesaan, kerehatan, kenikmatan, pertolongan, kejayaan, keberkatan, kemuliaan (al-Karamah), keampunan, kemaafan, kesenangan, kegembiraan, keampunan, berdekatan, kemenangan, kekuasaan, harapan dan kasih sayang adalah daripada Allah a.w bagi orang yang telah mewalikan Ali dan mengikutinya, membersihkan dirinya daripada musuhnya, menyerahkan dirinya kepada para wasi selepasnya, maka berhak ke atasku memasukkan mereka ke dalam syafaatku dan menjadi hak ke atas Tuhanku menyahuti seruanku kepada mereka kerana mereka adalah pengikut-pengikutku, maka sesiapa yang mengikutiku, maka beliau adalah daripadaku”.

                                     
                                                                              Bab 20

☼Sesungguhnya Ahl Al-Zikr Yang Allah Perintahkan MakhlukNya Supaya Bertanya Kepada Mereka Merupakan Para Imam A.S (inna ahl al-Zikr al-Ladhin amara llahu bi-suaali-him hum al-Aimmati a.s)☼

       (113)-1. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Wasya’, daripada Abdullah bin ‘Ajalan, daripada Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah a.w “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan (ahl al-Zikr) jika kamu tidak mengetahui”[6] Rasulullah s.a.w telah bersabda: Al-Zikr adalah aku dan para imam (a.s) adalah ahl al-Zikr. Dan firman-Nya “Sesungguhnya al-Qur’an itu peringatan kepadamu dan kaummu dan kamu akan diminta pertanggunganjawab”[7] Abu Ja‘far a.s telah berkata: Kamilah kaumnya dan kamilah yang dipertanggungjawabkannya [untuk menjawab soalan-soalan kamu].

       (114)-2. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Uramah, daripada Ali bin Hassan, daripada bapa saudaranya Abd al-Rahman bin Kathir berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah a.s tentang firman Allah “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan (ahl al-Zikr) jika kamu tidak mengetahui”[8]
       Beliau a.s telah berkata: Al-Zikr adalah Muhammad s.a.w dan kamilah keluarganya yang dipertanggungjawabkan (nahnu ahlu-hu al-Mas’uluun). Aku telah bertanya kepadanya tentang firman-Nya “Sesungguhnya al-Qur’an itu peringatan kepadamu dan kaummu dan kamu akan diminta pertanggunganjawab”[9] Beliau a.s telah berkata: Kepada kamilah ia dimaksudkan, kamilah ahl al-Zikrdan kamilah yang dipertanggungjawabkan [untuk menjawab soalan-soalan kamu].

       (115)-3. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Wasya’ berkata: Aku telah bertanya al-Ridha a.s, maka aku telah berkata kepadanya: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai  pengetahuan (ahl al-Zikr) jika kamu tidak mengetahui”[10] Beliau a.s telah berkata: Kamilah ahl al-Zikr dan kamilah yang dipertanggungjawab [untuk menjawab soalan-soalan kamu]. Aku telah berkata: Kamulah yang ditanya dan kamilah orang yang mesti bertanya? Beliau a.s telah berkata: Ya, aku telah berkata: Adakah hak kami bertanya kamu? Beliau a.s telah berkata: Ya. Aku telah berkata: Adakah hak ke atas kamu menyahuti seruan kami? Beliau a.s telah berkata: Tidak. Ini terserah kepada kami, jika kami mahu, kami akan melakukannya dan jika kami mahu, kami tidak melakukannya. Tidakkah anda mendengar firman Allah “Inilah anugerah kami, maka berikanlah atau tahanlah dengan tiada pertanggungjawab”[11]

       (116)-4. Daripada beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada ‘Asim bin Hamid, daripada Abu Basir, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w “Sesungguhnya al-Qur’an itu peringatan kepadamu dan kaummu dan kamu akan diminta pertanggunganjawab”[12] Maka Rasulullah s.a.w adalah al-Zikr(peringatan) dan Ahl al-Baitnya a.s adalah yang akan dipertanggungjawab [13] dan merekalah ahl al-Zikr.

       (117)-5. Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada Hammad, daripada Ruba‘i, daripada al-Fudhail, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah “Sesungguhnya al-Qur’an itu peringatan kepadamu dan kaummu dan kamu akan diminta pertanggunganjawab”[14] Beliau a.s telah berkata: Al-Zikr adalah al-Qur’an, kamilah kaumnya dan kamilah yang akan dipertanggungjawab.

       (118)-6. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Muhammad bin Ismail, daripada Mansur bin Yunus, daripada Abu Bakr al-Hadhrami berkata: Aku telah berada di sisi Abu Ja‘far a.s, tiba-tiba al-Ward; saudara lelaki al-Kumait telah datang dan berkata: Allah telah menjadikan diriku tebusan anda, aku telah memilih untuk anda tujuh puluh soalan, tetapi tidak satu pun terlintas di hatiku sekarang. Beliau a.s telah berkata: Tidak satu soalan pun, wahai al-Ward? Beliau telah berkata: Ya, baru sekarang satu soalan terlintas di hatiku. Beliau a.s telah berkata: Apakah dia? Beliau telah berkata: Tentang firman Allah “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai  pengetahuan (ahl al-Zikr) jika kamu tidak mengetahui”[15] Siapakah mereka? Beliau a.s telah berkata: Kami. Aku telah berkata: Adakah wajib ke atas kami bertanya kepada kamu? Beliau a.s telah berkata: Ya. Aku telah berkata: Adakah wajib ke atas kamu menyahuti kami? Beliau a.s telah berkata: Itu terserah kepada kami.

       (119)-7. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Safwan bin Yahya, daripada al-‘Alaa’ bin Razin, daripada Muhammad bin Muslim, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Sesungguhnya mereka[16] di sisi kami menyangka  bahawa firman Allah “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan (ahl al-Zikr) jika kamu tidak mengetahui”[17] Sesungguhnya mereka itu adalah golongan Yahudi dan Nasrani. Beliau a.s telah berkata: Jikalau begitu, mereka menyeru kamu kepada agama mereka! Beliau a.s telah berkata dengan tangannya ke dadanya-Kamilah ahl al-Zikr dan kamilah al-Mas’uluun (yang bertanggungjawab).

       (120)-8. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Wasya’, daripada Abu al-Hasan al-Ridha a.s telah berkata: Aku telah mendengarnya berkata: Ali bin al-Husain a.s telah berkata: Apa yang wajib ke atas para imam tidak wajib ke atas Syiah mereka dan apa yang wajib ke atas Syiah kami, tidak wajib ke atas kami, Allah telah memerintahkan mereka supaya bertanya kepada kami. Dia telah berfirman “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai  pengetahuan (ahl al-Zikr) jika kamu tidak mengetahui”[18] Maka Dia telah memerintahkan mereka supaya bertanya kepada kami dan tidaklah wajib ke atas kami menjawabnya. Jika kami mahu, kami menjawabnya dan jika kami mahu, kami tahan (tidak menjawabnya).

       (121)-9. Ahmad bin Muhammad, daripada Ahmad bin Muhammad bin Abu Nasr berkata: Aku telah menulis kepada al-Ridha a.s sepucuk surat antara apa yang aku telah menulisnya: Firman Allah a.w ““Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan (ahl al-Zikr) jika kamu tidak mengetahui”[19] Dan firman Allah a.w “Tidak sepatutnya bagi mereka yang mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya”[20]Sesungguhnya difardukan ke atas mereka bertanya dan tidak difardukan ke atas kamu menjawabnya? Beliau a.s telah berkata: Allah telah berfirman “Jika mereka tidak menjawab kepadamu, ketahuilah bahawa sesungguhnya mereka hanyalah mengikuti hawa nafsu mereka. Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya”[21]


                                                                          Bab 21

☼Sesungguhnya Mereka Yang disifatkan Allah Di Dalam Kitab-Nya Dengan Ilmu Adalah Para Imam A.S (inna man wasafa-hu llahu ta‘ala fi kitabi-hi bi al-‘Ilm hum al-Aimmatu a.s)☼

       (122)-1. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Abdullah bin al-Mughirah, daripada ‘Abd al-Mu’min bin al-Qasim al-Ansari, daripada Sa‘d bin Jabir, daripada Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah a.w “Adakah sama mereka yang mengetahui dengan mereka yang tidak mengetahui? “Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran”[22] Abu Ja‘far a.s telah berkata: Sesungguhnya kamilah orang yang mengetahui dan mereka yang tidak mengetahui adalah musuh kami dan Syiah kami adalah Ulu al-Albab.[23]

       (123)-2. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada Jabir, daripada Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah a.w “Adakah sama mereka yang mengetahui dengan mereka yang tidak mengetahui? “Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran”[24] Beliau a.s telah berkata: Kamilah orang yang mengetahui sementara musuh kami tidak mengetahui dan Syiah kami adalah Ulu al-Bab.
                                                                                
                                                                       Bab 22

☼Sesungguhnya Orang Yang Mendalam Ilmunya, Mereka Adalah Para Imam A.s (inna al-Rasikhin fi al-‘Ilm hum al-Aimmahtu a.s)☼

       (124)-1. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada al-Ayyub bin al-Hurr dan ‘Umran bin Ali, daripada Abu Basir, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Kamilah orang yang mendalam ilmunya (al-Rasikhun) dan kami mengetahui takwilnya.

       (125)-2. Ali bin Muhammad, daripada Abdullah bin Ali, daripada Ibrahim bin Ishaq, daripada Abdullah bin Hammad, daripada Buraid bin Mu‘awiyah, daripada salah seorang daripada mereka berdua[25] a.s tentang firman Allah a.w “Tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah dan mereka yang mendalami ilmunya”[26] Rasulullah s.a.w adalah orang yang paling mendalam ilmunya. Sesungguhnya Allah telah mengajarnya segala ilmu yang diturunkan kepadanya sama ada merupakantanzil atau takwil. Allah tidak menurunkan sesuatu sehingga Dia mengajar takwilnya kepadanya. Dan para wasi selepasnya mengetahui semuanya. Adapun mereka yang tidak mengetahui takwilnya apabila seorang alim[27] berkata pada mereka tentang ilmu, maka Allah memberi jawapan kepada mereka di dalam firman-Nya “Mereka telah berkata: Kami beriman kepadanya; semuanya itu dari sisi Tuhan kami”[28] Al-Qur’an adalah khas dan umum, muhkam dan mutasyabihnasikh dan mansukh. Justeru, orang yang mendalam ilmunya (al-Rasikhun) mengetahuinya.

       (126)-3. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Uramah, daripada Ali bin Hassan, daripada ‘Abd al-Rahman bin Kathir, daripada Abu Abdillah a.s berkata: Al-Rasikhun fi al-‘Ilm adalah Amir al-Mukminin dan para imam a.s selepasnya.

                                                                   
[1] Surah al-Tubah (9): 119

[2] Surah al-Tubah (9): 119

[3] Roh Rasulullah s.a.w dan roh para imam a.s adalah satu

[4] Al-Husain a.s

[5] Di al-Haudh

[6] Surah al-Nahl (16): 43

[7] Surah al-Zukhruf (43): 44

[8] Surah al-Nahl (16): 43

[9] Surah al-Zukhruf (43): 44

[10] Surah al-Nahl (16): 43

[11] Surah al-Saad (38): 39

[12] Surah al-Zukhruf (43): 44

[13] Akan ditanya

[14] Surah al-Zukhruf (43): 44

[15] Surah al-Nahl (16): 43

[16] Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah

[17] Surah al-Nahl (16): 43

[18] Ibid

[19] Ibid

[20] Surah al-Taubah (9) :122

[21] Surah al-Qasas (28) : 50

[22] Surah al-Zumar (39) : 9

[23] Orang yang mempunyai mata hati  atau pemikiran yang terbuka

[24] Surah al-Zumar (39) : 9

[25] Al-Baqir dan Abu Abdillah a.s

[26] Surah Ali Imran (3): 7

[27] Imam a.s

[28] Surah Ali Imran (3): 7

Penulis : Unknown ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini w.328/29 H (bab 19-22) ini dipublish oleh Unknown pada hari 13 Julai 2011. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini w.328/29 H (bab 19-22)
 

0 comments:

Catat Ulasan