Welcome to My lovely Blog

Random

create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
http://adf.ly/EWRNQ

Hadiths/aLQur'an

Hadiths/aLQur'an
Dhul Hijja

Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini, w. 328/29 H (bab 91-96)


      Bab 91

☼Keadaan Para Imam A.S Tentang Umur (haalaat al-Aimmati a.s fi al-Sinni)

       (562)-1. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Ibn Mahbub, daripada Hisyam bin Salim, daripada Yazid al-Kinasi berkata: Aku telah bertanya Abu Ja‘far a.s: Adakah Isa bin Maryam a.s ketika beliau bercakap di dalam buaian telah menjadi HujjahAllah ke atas ahli zamannya? Maka beliau a.s telah berkata: Isa pada hari itu adalah seorang nabi danHujjah Allah yang belum diutuskan (ghaira mursal). Tidakkah anda mendengar firman-Nya: “Sesungguhnya aku ini hamba Allah, Dia memberiku al-Kitab dan Dia menjadikan aku seorang nabi dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana saja aku berada dan Dia memerintahkan kepadaku sembahyang, dan zakat selama aku hidup”[1]
       Aku telah berkata: Isa pada hari itu telah menjadi Hujjah Allah ke atas Zakaria ketika beliau berada di dalam buaian? Maka beliau a.s telah berkata: Isa pada masa itu adalah suatu tanda (ayat) kepada manusia dan rahmat daripada Allah untuk Maryam ketika beliau bercakap tentangnya dan beliau adalah seorang nabi [dan] Hujjah kepada orang yang telah mendengar percakapannya di dalam keadaan itu. Kemudian beliau telah diam, tidak bercakap sehingga berlalu dua tahun. Dan Zakaria adalah Hujjah bagi Allah ke atas manusia selepas Isa berdiam diri selama dua tahun. Kemudian Zakaria telah mati, lalu anak lelakinya Yahya telah mewarisi al-Kitab dan hikmah [daripadanya] ketika beliau masih anak kecil lagi (wa huwa saghir).
       Tidakkah anda mendengar firman-Nya: “Wahai Yahya, ambillah al-Kitab dengan sungguh-sungguh. Dan Kami berikan kepadanya hikmah ketika ia masih kanak-kanak”[2] Apabila Isa a.s telah sampai tujuh tahun, beliau telah bercakap tentang kenabian dan kerasulan ketika Allah mewahyukan kepadanya. Isa a.s telah menjadi Hujjah kepada Yahya dan kepada semua manusia dan bumi tidak akan tinggal, wahai Abu Khalid, meskipun satu hari tanpa seorang Hujjah ke atas manusia semenjak Allah menciptakan Adam a.s dan meletakkannya di bumi. Maka aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, adakah Ali a.s Hujjah daripada Allah dan Rasul-Nya ke atas umat ini pada masa hidup Rasulullah s.a.w?
       Maka beliau a.s telah berkata: Ya, pada hari baginda s.a.w telah memperkukuhkannya kepada manusia dan melantiknya secara terang-terang dan menyeru mereka kepada wilayahnya dan memerintahkan mereka supaya mentaatinya. Aku telah berkata: Adakah ketaatan kepada Ali a.s itu wajib pada masa hidup Rasulullah s.a.w dan selepas kematiannya s.a.w? Beliau a.s telah berkata: Ya, tetapi beliau telah berdiam diri dan tidak bercakap [mengeluarkan hukum] bersama Rasulullah s.a.w. Justeru ketaatan kepada Rasulullah s.a.w adalah wajib ke atas umatnya dan begitu juga [ketaatan] kepada Ali a.s pada masa hidup Rasulullah s.a.w. Dan ketaatan adalah daripada Allah dan daripada Rasul-Nya ke atas manusia semua untuk Ali a.s selepas kematian Rasulullah s.a.w. Ali a.s adalah seorang yang bijaksana dan alim.

       (563)-2. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Safwan bin Yahya berkata: Aku telah berkata kepada al-Ridha a.s: Sesungguhnya kami telah bertanya anda sebelum Allah mengurniakan kepada anda Abu Ja‘far a.s, maka anda telah berkata: Allah akan mengurniakan kepadaku seorang kanak-kanak, maka Allah telah mengurniakannya untuk anda dan mata anda telah menjadi tenang. Justeru, aku berharap Allah tidak akan memperlihatkan kepada kami hari [kematian] anda. Jika berlaku sesuatu, maka kepada siapa? Beliau a.s telah menunjukkan dengan tangannya kepada Abu Ja‘far a.s yang sedang berdiri di hadapannya, maka aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, ini adalah anak lelaki berumur tiga tahun!? Beliau a.s telah berkata: Tiada sesuatupun yang akan memudaratkannya. Sesungguhnya Isa a.s telah mendirikan hujah ketika berumur tiga tahun.

       (564)-3. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin Saif, daripada sebahagian sahabat kami, daripada Abu Ja‘far al-Thani a.s telah berkata: Aku telah berkata kepadanya: Sesungguhnya mereka bercakap-cakap tentang usia anda yang begitu muda, maka beliau telah berkata: Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepada Daud supaya melantik Sulaiman ketika masih kanak-kanak yang sedang menternak kambing. Ahli ibadat dan para ulama Bani Israel telah mengingkarinya. Lalu Allah telah mewahyukan kepada Daud supaya mengambil tongkat mereka dan tongkat Sulaiman, kemudian meletakkan kedua-duanya pada satu rumah dan mengecap ke atasnya dengan cap-cap mereka. Pada keesokannya, sesiapa yang  tongkatnya telah menumbuhkan daun daun dan berbuah, maka beliaulah menjadi khalifah, maka Daud telah menceritakannya kepada mereka, maka mereka telah berkata: Kami telah reda dan kami telah menerima sepenuhnya.

       (565)-4. Ali bin Muhammad dan selain daripadanya, daripada Sahl bin Ziyad, daripada Ya‘qub bin Yazid, daripada Mus‘ab, daripada Mas‘adah, daripada Abu Basir, daripada Abu Abdillah a.s: Abu Basir telah berkata: Aku telah datang kepadanya dan bersamaku seorang kanak-kanak lelaki yang belum baligh, maka beliau telah berkata kepadaku: Bagaimana kamu jika beliau berhujah ke atas kamu dengan usia mudanya?

       (566)-5. Sahl bin Ziyad, daripada Ali bin Mihziyar, daripada Muhammad bin Isma’il bin Bazi‘ berkata: Aku telah bertanya beliau (Abu Ja‘far a.s) sesuatu tentang seorang imam, maka aku telah berkata: Bolehkah anak lalaki yang berumur tujuh tahun menjadi imam? Beliau a.s telah berkata: Ya, malah kurang daripada lima tahun. Maka Sahl telah berkata: Ali bin Mihziyar telah meriwayatkannya kepadaku pada tahun 221 Hijrah.

       (567)-6. Al-Husain bin Muhammad, daripada al-Khairani, daripada bapanya berkata: Aku telah berdiri di hadapan Abu al-Hasan a.s di Khurasan, tiba-tiba seorang lelaki telah bertanya kepadanya: Wahai sayyidi, jika sesuatu berlaku, maka [imamah] kepada siapa? Beliau a.s telah berkata: Kepada Abu Ja‘far anak lelakiku, seolah-olah lelaki yang telah bertanya itu memperkecil-kecilkan umur Abu Ja‘far a.s, lantas Abu al-Hasan a.s telah berkata: Sesungguhnya Allah telah mengutus Isa bin Maryam sebagai seorang rasul, seorang nabi, sahabat syariah bermula pada umur yang lebih muda daripada [umur] Abu Ja‘far a.s.

       (568)-7. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Ali bin Asbat berkata: Aku telah melihat Abu Ja‘far a.s, telah keluar ke arahku, maka aku telah memandang kepadanya. Aku telah melihat kepada kepalanya dan kedua-dua kakinya bagi menceritakan bentuk tubuhnya kepada para sahabat kami di Mesir. Manakala aku [di dalam keadaan] sedemikian, beliau telah duduk, maka beliau a.s telah berkata: Wahai Ali, sesungguhnya Allah telah berhujah tentangimamah sebagaimana Dia telah berhujah tentang kenabian. Kemudian beliau a.s membaca firman-Nya: “Kami berikan kepadanya hikmah ketika ia masih kanak-kanak”[3] dan “Dan tatkala dia cukup dewasa”[4] dan “umurnya sampai empat puluh tahun”[5] Justeru, hikmah boleh diberikan [kepada seseorang] ketika usia kanak-kanak atau ketika usia empat puluh tahun.

       (569)-8. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya berkata: Ali bin Hassan telah berkata kepada Abu Ja‘far a.s: Wahai sayyidi, sesungguhnya manusia mengingkari anda kerana usia anda yang muda, maka beliau a.s telah berkata: Adakah mereka mengingkari firman Allah? Sesungguhnya Allah telah berfirman kepada Nabi-Nya s.a.w: “Katakanlah: Inilah jalanku, aku menyeru kepada Allah di atas kesedaran, aku dan orang yang telah mengikutiku”[6] Demi Allah, tidak mengikutinya s.a.w selain daripada Ali a.s ketika itu beliau berusia sembilan tahun dan aku [sekarang] berusia sembilan tahun.
                                                                             
                                                                     Bab 92

☼Sesungguhnya Seorang Imam Tidak Akan Dimandikan [Jenazahnya] Melainkan Oleh Seorang Imam Daripada Para Imam A.S (anna al-Imam la yaghsilu-hu illa al-Imam min al-Aimmati a.s)☼

       (570)-1. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Hasan bin Ali al-Wasyaa’, daripada Ahamd bin Umar al-Hallal atau orang selain daripadanya, daripada al-Ridha a.s telah berkata: Aku telah berkata kepadanya: Sesungguhnya mereka telah berhujah menentang kita dengan berkata: Sesungguhnya imam tidak akan dimandikan [jenazahnya] melainkan oleh imam. Maka beliau a.s telah berkata: Apa yang membuat mereka mengetahui orang yang telah memandikannya? Apakah yang anda telah katakan kepada mereka?
       Aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, aku telah berkata kepada mereka: Jika beliau telah berkata bahawa beliau telah memandikan [jenazah bapa] nya di bawah Arasy Tuhanku, maka ia adalah benar dan jika beliau telah berkata: Beliau telah memandikannya di perut bumi, maka ia adalah benar. Beliau telah berkata: Tidak, begitu[beliau telah berkata], maka aku telah berkata: Apakah yang aku akan katakan kepada mereka? Beliau telah berkata: Katakan kepada mereka: Sesungguhnya aku telah memandikan [jenazahnya], maka aku telah berkata: Aku akan berkata kepada mereka bahawa anda telah memandikannya? Beliau a.s telah berkata: Ya[7].

       (571)-2. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Jumhur berkata: Abu Mu‘ammar telah memberitahu kepada kami seraya berkata: Aku telah bertanya al-Ridha a.s tentang seorang imam akan dimandikan [jenazahnya] oleh seorang imam, beliau telah berkata: Sunnah Musa bin ‘Imran a.s[8]

       (572)-3. Daripadanya, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Jumhur, daripada Yunus, daripada Talhah berkata: Aku telah berkata kepada al-Ridha a.s: Sesungguhnya imam tidak akan dimandikan [jenazahnya] melainkan oleh imam? Beliau telah berkata: Adakah mereka mengetahui orang yang telah hadir untuk memandikannya? Sebaik-baik mereka yang telah menghadirinya ialah mereka yang telah ghaib daripadanya: Mereka yang telah menghadiri [jenazah] Yusuf Di al-Jubb ketika kedua ibu bapanya dan keluarganya telah ghaib daripadanya[9].


                                                             Bab 93

☼Kelahiran Para Imam A.S (mawaaliid al-Aimmati a.s)☼

       (573)-1. Ali bin Muhammad, daripada Abdillah bin Ishaq al-‘Alawiy, daripada Muhammad bin Zaid al-Razami, daripada Muhammad bin Sulaiman al-Dailami, daripada Ali bin Abu Hamzah, daripada Abu Basir berkata: Kami telah melakukan haji bersama Abu Abdillah a.s pada tahun yang mana anak lelakinya Musa a.s telah dilahirkan. Manakala kami telah bermalam di al-Abwaa’, beliau telah menyediakan kami sarapan pagi. Apabila beliau menyediakan makanan kepada para sahabatnya, maka beliau telah menyediakannya dengan banyak dan baik. Beliau telah berkata: Manakala kami sedang makan, tiba-tiba seorang utusan Hamidah telah datang kepadanya, maka beliau telah berkata kepadanya: Sesungguhnya Hamidah telah berkata: Sesungguhnya anda telah mengingkari diriku[?] dan anda telah dapat apa yang aku [sedang] dapat apabila anda hadir [pada waktu] kelahiran [anak]ku, sesungguhnya anda telah menyuruhku supaya aku tidak mendahului anda dengan anak lelaki anda ini.
       Lantas Abu Abdillah a.s berdiri dan terus pergi bersama utusan itu. Manakala beliau a.s pulang, maka para sahabatnya telah berkata kepadanya: Allah telah menggembirakan anda dan telah menjadikan kami tebusan anda, apakah yang anda telah buat dengan Hamidah? Beliau a.s telah berkata: Allah telah menyelamatkannya, Dia telah mengurniakan kepadaku seorang bayi lelaki dan beliau (bayi) adalah sebaik-baik makhluk-Nya. Hamidah telah memberitahu kepadaku tentangnya dengan perkara yang mana beliau telah menyangka bahawa aku tidak mengetahuinya. Sesungguhnya aku lebih mengetahui tentangnya daripadanya. Maka aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, apakah yang telah diberitahu kepada anda oleh Hamidah? Beliau a.s telah berkata: Hamidah telah menyebut bahawa bayi itu telah jatuh dari perutnya (saqata min butni-ha) dalam keadaan dua tangannya terletak di tanah, mengangkat kepalanya ke langit. Maka aku telah memberitahu kepadanya bahawa itu adalah tanda (amaarah) Rasulullah s.a.w dan tanda wasi selepasnya.
       Aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, apakah ini tanda Rasulullah s.a.w dan tanda wasi selepasnya? Maka beliau a.s telah berkata kepadaku: Sesungguhnya pada malam terbentuknya “segumpal darah” datukku[10], seorang[11] telah datang kepada bapa datukku dengan satu gelas yang berisi minuman yang lebih cair daripada air, lebih lembut daripada keju, lebih manis daripada madu, lebih sejuk daripada salji dan lebih putih daripada susu, lalu beliau telah memberi minuman itu kepadanya dan menyuruhnya supaya melakukan jimak. Lalu beliau telah melakukan jimak, kemudian terbentuklah “segumpal darah” datukku.
       Sesungguhnya pada malam terbentuknya segumpal darah bapaku, seorang telah datang kepada datukku, kemudian beliau telah memberi minuman kepadanya sebagaimana beliau telah lakukan kepada datuk bapaku dan menyuruhnya supaya melakukan jimak, lalu beliau telah melakukannya, maka terbentuklah segumpal darah bapaku. Sesungguhnya pada malam terbentuknya segumpal darahku, seorang telah datang kepada bapaku, lalu beliau telah memberi minuman kepadanya sebagaimana beliau telah memberi minuman kepada mereka dan beliau telah menyuruhnya supaya melakukan jimak seperti mereka telah melakukannya, maka beliau telah melakukannya, kemudian terbentuklah segumpal darahku. Sesungguhnya pada malam terbentuknya segumpal darah anak lelakiku, seorang telah datang kepadaku sebagaimana beliau telah datang kepada mereka, lalu beliau telah melakukan kepadaku sebagaimana beliau telah melakukannya kepada mereka.
       Sesungguhnya aku telah melakukan sedemikian dengan ilmu Allah dan aku bergembira dengan kurnian Allah kepadaku. Maka aku telah melakukan jimak, lalu terbentuklah segumpal darah anak lelakiku ini yang [baru] dilahirkan. Demi Allah, beliau adalah sahabat (imam) kamu selepasku. Sesungguhnya air mani (nutfah) seorang imam sebagaimana aku telah menceritakannya kepada anda, apabila ia tinggal di rahim selama empat bulan dan dikeluarkan padanya roh, maka Allah mengutus malaikat bernama Hayawan supaya menulis di atas bahu kanannya: “Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat merobah-robah kalimat-kalimat-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui”[12] Dan apabila bayi itu dilahirkan dari perut ibunya, beliau akan lahir di dalam keadaan dua tangannya terletak di tanah, mengangkat kepalanya ke langit.
       Adapun “meletakkan kedua tangannya di tanah” adalah kerana beliau menerima  setiap ilmu Allah yang Dia telah menurunkannya dari langit ke bumi. Adapun “mengangkat kepala ke langit” kerana penyeru menyerunya dari Arasy di pihak Tuhan Yang Maha Mulia dari ufuk yang paling tinggi dengan namanya dan nama bapanya berkata: Wahai polan bin polan, tabahlah hati engkau, nescaya engkau akan berjaya. Engkaulah pilihan-Ku daripada makhluk-Ku, tempat rahsia-Ku, bekas ilmu-Ku, setiausaha-Ku di atas wahyu-Ku dan khalifah-Ku di bumi-Ku. Untuk engkau dan orang yang mewalikan engkau, Aku mewajibkan rahmat-Ku dan Aku telah memberi syurga-Ku dan aku telah menghalalkan [engkau] berjiran dengan-Ku.
       Kemudian, demi kemulian-Ku dan ketinggian-Ku, Aku akan mengazabkan orang yang telah memusuhi engkau dengan azab-Ku yang pedih sekalipun Aku telah memberi rezeki yang banyak kepadanya di dunia-Ku. Apabila suara itu tamat-suara penyeru-bayi itu (imam) telah menyahutinya dengan meletakkan dua tangannya, mengangkat kepalanya ke langit sambil berkata: “Allah menyatakan bahawasanya tidak ada Tuhan melainkan Dia, Yang menegakkan keadilan. Para malaikat dan mereka yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu). Tidak ada Tuhan Melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”[13]
       Apabila beliau telah berkata sedemikian, maka Allah telah memberinya ilmu yang pertama dan ilmu yang terakhir dan beliau telah berhak lawatan al-Ruh pada malam al-Qadar, aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, adakah al-Ruh itu bukan Jibrail? Beliau a.s telah berkata: Al-Ruhadalah lebih besar daripada Jibrail. Sesungguhnya Jibrail adalah daripada malaikat dan sesungguhnyaal-Ruh adalah makhluk Allah yang lebih besar daripada malaikat, tidakkah Allah berfirman: “Pada malam itu turun malaikat dan al-Ruh”[14]
       Muhammad bin Yahya dan Ahmad bin Muhammad, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Ahmad bin al-Hasan, daripada al-Mukhtar bin Ziyad, daripada Muhammad bin Sulaiman, daripada bapanya, daripada Abu Basir tentang hadis yang sama.

       (574)-2. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Musa bin Sa‘dan, daripada Abdillah bin al-Qasim, daripada al-Hasan bin Rasyid berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya Allah apabila mahu menciptakan seorang imam, Dia memerintahkan malaikat supaya dia mengambil minuman daripada air di bawah Arasy, lalu dia memberi minuman itu kepada bapanya, maka daripada itu (minuman) Dia menciptakan seorang imam. Beliau tinggal selama empat puluh hari di dalam perut ibunya tanpa mendengar suara, kemudian beliau mendengar percakapan selepas itu.
       Apabila beliau dilahirkan, Dia mengutus malaikat itu supaya menulis di antara dua matanya: “Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat merobah-robah kalimat-kalimat-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui”[15] Apabila seorang imam telah mati, maka beliau diangkat ke menara daripada cahaya yang beliau melihat dengannya amalan makhluk-Nya. Maka dengan ini Allah berhujah ke atas makhluk-Nya.

       (575)-3. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin Hadid, daripada Mansur bin Yunus, daripada Yunus bin Zibyan berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya apabila Allah mahu menciptakan seorang imam daripada seorang imam, Dia mengutus malaikat supaya mengambil minuman daripada air di bawah Arasy, kemudian dia memberinya kepada imam, lalu beliau meminumnya, kemudian beliau tinggal di dalam rahim [ibunya] selama empat puluh hari tanpa mendengar percakapan, kemudian beliau mendengar percakapan selepas itu.
       Apabila ibunya melahirkannya, Allah mengutus kepadanya malaikat yang telah mengambil minumannya, lalu dia menulis di bahu kanannya: “Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat merobah-robah kalimat-kalimat-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui”[16] Apabila beliau telah melaksanakan urusan ini (mati), maka Allah mengangkatnya pada setiap tempat satu menara yang beliau dapat melihat dengannya amalan hamba-hamba-Nya.

       (576)-4.  Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Mahbub, daripada al-Rabi‘ bin Muhammad al-Musalli, daripada Muhammad bin Marwan berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya imam mendengar di dalam perut ibunya, apabila beliau dilahirkan, tertulis di antara dua bahunya: “Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat merobah-robah kalimat-kalimat-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui”[17]Apabila selesai urusannya, Allah menjadikan untuknya beberapa tiang daripada cahaya yang beliau melihat dengannya apa yang dilakukan oleh penduduk setiap negeri.

        (577)-5. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Ahmad bin Muhammad bin Abdillah, daripada Ibn Mas‘ud, daripada Abdillah bin Ibrahim al-Ja‘fari berkata: Aku telah mendengar Ishaq bin Ja‘far betrkata: Aku telah mendengar bapaku telah berkata: Ibu-ibu para wasi ketika mereka hamil mengalami waktu separuh tidak sedar, begitulah berlalunya hari dan malam mereka, kemudian mereka melihat di dalam mimpi mereka seorang lelaki  sedang memberi khabar gembira kepada mereka dengan [kelahiran] seorang bayi yang alim, bersabar, lalu mereka bergembira dengan berita itu, kemudian mereka terjaga daripada tidur, lalu mendengar di sebelah kanan mereka di sudut rumah suara yang sedang berkata: Anda hamil dengan baik, anda akan terus baik dan anda telah datang dengan baik. Bergembiralah dengan bayi yang bersabar dan alim.
       Mereka akan merasa ringan pada badan mereka dan pergerakan mereka. Apabila mereka mengandung sembilan bulan, mereka akan mendengar sentuhan yang kuat. Apabila pada malam mereka melahirkan bayi, cahaya akan zahir di rumah mereka yang mana mereka dapat melihatnya, tetapi ia tidak dilihat oleh orang lain selain daripada bapanya. Apabila mereka melahirkan bayi, mereka melahirkannya di dalam keadaan duduk dan terbuka untuk bayi keluar selepas ia jatuh di tanah dalam keadaan mengadap kiblat, kemudian bayi itu bersin sebanyak tiga kali, memberi isyarat dengan anak jarinya dengan pujian [kepada Allah], terputus pusatnya, telah berkhatan semenjak kelahiran, lengannya dan anggota lainnya seperti serpihan emas yang bercahaya, menghabiskan malam dan siangnya di dalam sinaran cahaya. Demikianlah juga para nabi apabila mereka dilahirkan dan sesungguhnya para wasi adalah keturunan para nabi a.s.

       (578)-6. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin Hadid, daripada jamil bin Darraj berkata: Janganlah kamu bercakap tentang imam kerana imam sedamg mendengar percakapan ketika beliau berada di dalam perut ibunya. Apabila ibunya melahirkannya, maka malaikat akan menulis di antara dua matanya: “Telah sempurnalah Tuhanmu sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat merobah-robah kalimat-kalimat-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui”[18] Apabila beliau telah melaksanakan urusannya, maka akan diangkatkan kepadanya pada setiap tempat menara yang mana beliau melihat dengannya kepada semua amalan hamba-hamba-Nya.

       (579)-7. Ali bin Ibrahim, daripada Muhammad bin Isa bin ‘Ubaid berkata: Aku dan Ibn Fadhdhal telah duduk, tiba-tiba Yunus telah datang, maka beliau telah berkata: Aku telah datang kepada Abu al-Hasan al-Ridha a.s, maka aku telah berkata kepadanya:  Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, orang ramai telah banyak bercakap tentang tiang-tiang, maka beliau telah berkata kepadaku: Wahai Yunus, anda tidak melihatnya, adakah anda melihat tiang-tiang daripada besi diangkat untuk sahabat (imam) anda? Aku telah berkata: Aku tidak mengerti, beliau telah berkata: Tetapi ia [merupakan] malaikat yang diwakilkan pada setiap negeri dengannyalah Allah akan mengangkat amalan [hamba-hamba-Nya] pada negeri itu, lalu Ibn Fadhdhal berdiri dan mengucup kepalanya dan beliau a.s telah berkata: Rahima-ka llahu, wahai Abu Muhammad, anda sentiasa membawa hadis yang benar yang mana Allah akan menjayakan kita dengannya.

       (580)-8. Ali bin Muhammad, daripada sebahagian daripada sahabat kami, daripada Ibn Abi ‘Umair, daripada Huraiz, daripada Zurarah, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Imam mempunyai sepuluh alamat: Dilahirkan di dalam keadaan suci (mutahhar), berkhatan, apabila beliau terjatuh di tanah, maka beliau jatuh di atas tapak tangannya, mengangkat suaranya dengan dua syahadah, beliau tidak berjunub, dua matanya tidur, tetapi hatinya tidak tidur, beliau tidak menguap dan  tidak pula menggeliat, beliau melihat dari belakangnya sebagaimana beliau melihat dari depannya, kotorannya (najwu-hu) seperti bauan al-miski dan bumi  diwakilkan untuk menutupnya dan menelannya. Baju besi Rasulullah s.a.w adalah sesuai untuknya apabila beliau memakainya. Dan ia tidak sesuai dipakai oleh orang ramai selain daripadanya sama ada panjang atau pendek ukuran badan mereka, kerana ukurannya (baju besi) bertambah [dengan sendirinya] satu jengkal dan beliau adalah muhaddath[19]sehingga berakhir hari-hari [imamah]nya.

                                       
                                                                   Bab 94

☼Penciptaan Badan Para Imam, Roh Mereka Dan Hati Mereka A.S (Khalq abdaan al-Aimmati wa-arwaahu-hum wa quluubu-hum a.s)☼
      
       (581)-1. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Abi Yahya al-Wasiti, daripada beberapa orang sahabat kami, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya Allah telah menciptakan kami dari [tanah]‘Illiyyiin dan menciptakan roh-roh kami lebih tinggi darpada itu. Dia telah menciptakan roh-roh Syiah kami daripada [tanah] ‘Illiyyiin dan Dia telah menciptakan jasad-jasad mereka bukan daripadanya. Justeru kekerabatan [berlaku] di antara kami dan mereka dan hati mereka kasih kepada kami.

       (582)-2. Ahmad bin Muhammad, daripada Muhammad bin al-Hasan, daripada Muhammad bin Isa bin ‘Ubaid, daripada Muhammad bin Syu‘aib, daripada ‘Imraan bin Ishaq al-Za‘farani, daripada Muhammad bin Marwan, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Aku telah mendengarnya berkata: Sesungguhnya Allah telah menciptakan kami daripada cahaya kebesaran-Nya, kemudian Dia telah membentuk penciptaan  kami daripada tanah (tinah) yang tersimpan, tersembunyi di bawah Arasy, lalu Dia meletakkan cahaya itu padanya, maka terjadilah kami makhluk manusia yang bercahaya.
       Dia tidak pernah menjadikan seseorang yang bernasib baik sebagaimana Dia telah menciptakan kami daripadanya. Dia telah menciptakan roh-roh Syiah kami daripada tanah kami dan badan-badan mereka daripada tanah tersimpan yang tersembunyi dibawah tanah itu. Dia tidak pernah menjadikan seseorang yang bernasib baik sebagaimana Dia telah menciptakan mereka daripadanya melainkan para nabi. Lantaran itu, terjadilah kami dan mereka: Manusia (al-Naas) dan terjadilah semua manusia [yang lain] agas atau golongan bawahan (wa saar sa’iru al-Naas hamajan) untuk neraka dan kepada neraka (li-al-Naar wa ilaa al-Naar).

       (583)-3. Ali bin Ibrahim, daripada Ali bin Hassan dan Muhammad bin Yahya, daripada Salmah bin al-Khattab dan lain-lain, daripada Ali bin Hassan, daripada Ali bin ‘Atiyyah, daripada Ali bin Ri’ab secaramarfu‘ kepada Amir al-Mukminin a.s. Amir al-Mukminin a.s telah berkata: Sesungguhnya Allah mempunyai sebatang sungai selain daripada Arasy-Nya, selain daripada itu Dia mempunyai cahaya yang terpancar. Dan pada dua tebing sungai itu terdapat dua roh yang diciptakan: Roh kudus (ruh al-Quds) dan roh daripada urusan Tuhan-Nya (ruh min amri-hi). Dan sesungguhnya Allah mempunyai sepuluh jenis tanah: Lima daripada syurga dan lima daripada bumi.
       Justeru Dia telah mentafsirkan syurga-syurga dan bumi, kemudian Dia telah berfirman: Tidak ada seorang nabi atau malaikat selepasnya perangai semula jadi (jiblah) melainkan ditiup padanya daripada salah satu daripada dua roh. Dia telah menjadikan Nabi s.a.w daripada salah satu tanah. Aku telah berkata kepada Abu al-Hasan yang pertama a.s: Apakah al-Jiblah (perangai semula jadi)? Maka beliau a.s telah berkata: Perangai [selain daripada kami Ahlu l-Bait] kerana Allah a.w telah menciptakan kami daripada sepuluh tanah dan meniupkan pada kami daripada dua roh, lalu Dia telah memperelokkannya.
       Orang selain daripadanya telah meriwayatkannya daripada Abi al-Samit berkata: Tanah syurga-syurga (tiin al-Jinaan) itu ialah syurga Adan, syurga al-Ma’wa, syurga al-Na‘aim, al-Firdaus dan al-Khuld. Tanah bumi (tiin al-Ardh) ialah Makkah, Madinah, Kufah, Bait al-Maqdis dan al-Ha’ir.

       (584)-4. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Muhammad bin Khalid, daripada Abi Nahsyal berkata: Muhammad bin Isma‘il telah memberitahu kepadaku, daripada Abu Hamzah al-Thumali berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s telah berkata: Sesungguhnya Allah telah menciptakan kami daripada setinggi-tinggi ‘Illiyyin [20]dan Dia telah menciptakan hati Syiah kami daripada apa yang Dia telah menciptakan kami. Tetapi Dia telah menciptakan badan-badan mereka bukan daripada bahan itu. Lantaran itu, hati mereka cenderung kepada kami kerana ia telah diciptakan daripada bahan penciptaan kami. Kemudian beliau a.s telah membaca firman-Nya: “Sekali-kali tidak, sesungguhnya kitab mereka yang berbakti itu (tersimpan) pada ‘Illiyyiin. Tahu kamu apakah ‘Illiyyiin itu? (iaitu) kitab yang tertulis, yang disaksikan oleh para malaikat yang berdekatan dengan-Nya”[21]
        Dan Dia telah menciptakan musuh kita daripada Sijjiin dan Dia telah menciptakan hati Syiah mereka daripada apa yang Dia telah menciptakan mereka daripadanya dan Dia telah menciptakan badan-badan mereka bukan daripada bahan kejadian mereka. Justeru, hati mereka cenderung kepada “mereka” kerana ia diciptakan daripada bahan ciptaan mereka. Kemudian beliau a.s telah membaca firman-Nya: “Sekali-kali jangan curang, kerana sesungguhnya kitab orang yang derhaka tersimpan di dalam Sijjiin[22]. Tahukah kamu apakah Sijjiin itu? (ialah) kitab yang tertulis”[23].


                                                                       Bab 95

☼Penerimaan Sepenuhnya Dan Kelebihan Mereka Yang Menerima Sepenuhnya (al-Taslim wa fadhl al-Musallimin)☼
      
       (585)-1. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Ibn Sinan, daripada Ibn Maskan, daripada Sudair berkata: Aku telah berkata kepada Abu Ja‘far a.s: Sesungguhnya aku telah meninggalkan mereka yang mewalikan anda (muwalli-ka) berselisih faham, sebahagian mereka melepaskan diri daripada sebahagian yang lain, maka beliau a.s telah berkata: Apakah kedudukan anda dalam perkara itu? Sesungguhnya manusia ditaklifkan dengan tiga perkara: Mengetahui para imam, penyerahan diri kepada mereka di dalam perkara yang ada kaitan dengan mereka dan merujukkan perkara yang mereka pertikaikan kepada para imam a.s.

       (586)-2. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad al-Barqiy, daripada Ahmad bin Muhammad bin Abu Nasr daripada Hammad bin Uthman, daripada Abdillah al-Kahili berkata: Abu Abdillah a.s telah berkata: Jikalaulah mereka telah menyembah Allah Yang Satu, tiada sekutu bagiNya, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengerjakan haji, berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian mereka mengkritik sesuatu yang telah dijadikan oleh Allah atau sesuatu yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w atau mereka telah mendapati perkara itu di dalam hati mereka, nescaya mereka telah menjadi musyrikin.
       Kemudian beliau a.s telah membaca firman Allah: “Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka suatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerimanya dengan sepenuhnya”[24] Kemudian Abu Abdillah a.s telah berkata: Hendaklah kamu menerima dengan sepenuhnya.

       (587)-3. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada Hammad bin Isa, daripada al-Husain bin al-Mukhtar, daripada Zaid al-Syahham, daripada Abu Abdillah a.s, berkata: Aku telah berkata kepadanya: Sesungguhnya di sisi kami seorang lelaki dipanggil Kulaib, maka tidak ada sesuatu yang datang daripada kamu, melainkan beliau telah berkata: Aku menerima sepenuhnya, lalu kami menamakannya Kulaib Taslim. Beliau a.s telah berkata: Kasihanilah beliau, kemudian beliau a.s telah berkata: Adakah kamu mengetahui apa itu al-Taslim [25](penyerahan diri)? Maka kami telah mendiamkan diri kami. Beliau a.s telah berkata: Demi Allah, ia adalah “penyerahan diri” sebagaimana firman Allah: “Sesungguhnya mereka yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh dan menyerah diri kepada Tuhan”[26]

       (588)-4. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Wasyaa’, daripada Abban, daripada Muhammad bin Muslim, daripada Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah a.w: “Dan sesiapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu”[27] Beliau a.s telah berkata: Al-Iqtiraf ialah al-Taslim (penyerahan diri) kepada kami, kebenaran ke atas kami dan janganlah beliau membohongi kami.

       (589)-5. Ali bin Muhammad bin Abdillah, daripada Ahmad bin Muhammad al-Barqiy, daripada bapanya, daripada Muhammad bin ‘Abd al-Hamid, daripada Mansur bin Yunus, daripada Basyir al-Dahhan, daripada Kamil al-Tammar berkata: Abu Ja‘far a.s telah berkata: “Sesungguhnya beruntunglah mereka yang beriman”[28]” adakah anda mengetahui siapakah mereka? Aku telah berkata: Anda lebih mengetahui [tentang mereka], beliau a.s telah berkata: Sesungguhnya beruntunglah mereka yang beriman yang menyerah diri mereka. Sesungguhnya mereka yang menyerah diri itu ialah mereka yang cerdik (al-Najuba’). Justeru, mukmin itu adalah seorang yang ganjil (gharib), maka alangkah beruntungnya mereka yang ganjil.

       (590)-6. Ali bin Muhammad, daripada sebahagian sahabat kami, daripada al-Khasysyab, daripada al-‘Abbas bin ‘Amir, daripada Rabi‘ al-Musalli, daripada Yahya bin Zakaria al-Ansari, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Aku telah mendengarnya berkata: Sesiapa yang ingin menyempurnakan iman semuanya, maka hendaklah beliau berkata: “Kata-kata daripadaku di dalam semua perkara adalah kata-kata keluarga Muhammad sama ada perkara yang telah dirahsiakan oleh mereka ataupun tidak atau perkara yang telah sampai kepadaku tentang mereka ataupun tidak.

       (591)-7. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Abi  ‘Umair, daripada Ibn Udhainah, daripada Zurarah atau Buraid, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Sesungguhnya Allah telah berfirman kepada Amir al-Mukminin a.s di dalam Kitab-Nya. Aku telah berkata: Di mana tempatnya? Beliau a.s telah berkata: Di dalam firman-Nya: “Sesungguhnya  jikalau mereka ketika menzalimi diri mereka sendiri, telah datang kepadamu, lalu memohon ampun kepada Allah dan Rasulpun memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang. Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan”[29] Iaitu apa yang mereka telah persetujui ke atasnya bahawa jika Allah mematikan Muhammad, mereka[30] tidak akan mengembalikan urusan ini (imamah) kepada Bani Hasyim “kemudian mereka tidak mendapati dalam diri mereka keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan (sama ada membunuh mereka atau mengampuni mereka) dan mereka menerima dengan sepenuhnya”[31]

       (592)-8. Ahmad bin Mihran rahima-hu llahu, daripada ‘Abd al-‘Azim al-Hasani, daripada Ali bin Asbat, daripada Ali bin ‘Uqbah, daripada al-Hakam bin Aiman, daripada Abu Basir berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w: “Mereka yang mendengar perkataan, lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah yang diberikan Allah petunjuk dan mereka itulah yang mempunyai akal”[32]
       Beliau a.s telah berkata: Mereka itulah yang telah menyerahkan diri mereka kepada keluarga Muhammad, mereka apabila mendengar hadis, tidak menambahkannya dan tidak pula mengurangkannya. Mereka telah meriwayatkannya sebagaimana mereka telah mendengarnya.


                                                                        Bab 96

☼Kewajipan Orang Ramai Selepas Menunaikan Manasik Haji Supaya Mendatangi Imam Untuk Bertanya Kepadanya Tentang Tanda-tanda Agama Dan Mengajar Mereka Tentang Wilayah Dan Kasih Sayang Mereka Untuknya (anna al-Wajib ‘ala al-Naasi ba‘da ma yaqdhauna manaasika-hum an ya’tuu al-Imam fa-yas’aluuna-hu ‘an ma‘aalimi-diini-him wa-yu‘allimuuna-hum wilayata-hum wa-mawaddata-hum la-hu)☼

       (593)-1. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Abi ‘Umair, daripada Ibn Abi Udhainah, daripada al-Fudhail, daripada Abu Ja‘far a.s, berkata: Beliau a.s telah melihat kepada orang ramai yang sedang melakukan tawaf di keliling Ka‘bah, maka beliau a.s telah berkata: Begitulah mereka telah melakukan tawaf pada zaman jahiliyah[33], sesungguhnya mereka diperintahkan supaya melakukan tawaf di keliling Ka‘bah, kemudian mereka datang kepada kita bagi memberitahu kepada kita wilayah mereka dan kasih sayang mereka serta mereka membentangkan kepada kita pertolongan mereka. Kemudian beliau a.s telah membaca ayat ini: “Maka jadilah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka”[34]

       (594)-2. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Ali bin Asbat, daripada Daud bin al-Nu‘man, daripada Abu ‘Ubaidah berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s-beliau a.s telah melihat manusia di Makkah dan apa yang mereka sedang buat-berkata: Perbuatan seperti perbuatan jahiliyah, demi Allah, mereka tidak diperintahkan dengan [perbuatan] ini dan mereka tidak diperintahkan melainkan menghilangkan kotoran yang ada pada badan mereka dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka, hendaklah mereka datang kepada kami, memberi tahu kepada kami tentang wilayah mereka dan membentangkan kepada kami pertolongan mereka.

       (595)-3. Ali bin Ibrahim, daripada Salih al-Sanadi, daripada Ja‘far bin Basyir dan Muhammad bin Yahya, daripada Ahamd bin Muhammad bin Isa, daripada Ibn Fadhdhal, daripada Abi Jamilah, daripada Khalid bin ‘Ammar, daripada Sudair berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s yang sedang memasuki rumah dan aku sedang keluar, lantas beliau a.s telah mengambil tanganku, kemudian menghadap Ka‘bah dan berkata: Wahai Sudair, sesungguhnya manusia diperintahkan supaya mendatangi batu-batu ini, lalu mereka melakukan tawaf dengannya, kemudian mereka datang kepada kami untuk memberitahu kepada kami wilayah mereka untuk kami.
       Iaitu firman Allah: “Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal saleh, kemudian tetap di jalan yang benar”[35]-Kemudian beliau a.s telah menunjukkan dengan tangannya ke dadanya- kepada wilayah kami. Kemudian beliau a.s telah berkata: Wahai Sudair, aku akan memperlihatkan kepada anda penentang-penentang agama Allah, kemudian beliau a.s telah melihat kepada Abu Hanifah dan Sufyan al-Thauri ketika itu mereka berdua telah berada di perkarangan masjid, lalu beliau a.s telah berkata: Mereka itulah penentang-penentang agama Allah tanpa petunjuk daripada Allah dan daripada kitab yang terang. Sesungguhnya mereka yang buruk itu (al-Akhaabith) jika mereka telah duduk di rumah-rumah mereka, nescaya orang ramai telah mengembara ke tempat lain. Justeru mereka tidak mendapati seorangpun yang akan menceritakan kepada mereka tentang Allah dan Rasul-Nya s.a.w sehingga mereka datang kepada kami, lalu kami akan menceritakan kepada mereka tentang Allah dan Rasul-Nya s.a.w.
                                  
                                        Bab 97

[1] Surah Maryam (19): 30-31

[2] Surah Maryam (19): 12

[3] Surah Maryam (19):13

[4] Surah Yusuf( 12): 22

[5] Surah al-Ahqaf( 46): 15

[6] Surah Yusuf (12): 108

[7] Imam al-Ridha a.s telah memandikan jenazah bapanya Musa a.s.

[8] Iaitu wasinya telah memandikan jenazahnya di al-Taih.

[9] Termasuk para malaikat a.s.

[10] Pada malam berlakunya jimak

[11] Malaikat

[12] Surah al-An‘aam (6): 115

[13] Surah Ali Imraan (3): 18

[14] Surah al-Qadar (97): 4

[15] Surah al-An‘aam (6): 115

[16] Ibid

[17] Ibid

[18] Surah al-An‘aam (6): 115

[19] Boleh bercakap dengan malaikat.

[20] Tanah yang bermutu tinggi di syurga

[21] Surah al-Mutaffifiin (83): 18-21

[22] Tanah yang tidak bermutu di neraka

[23] Surah al-Mutaffiffin (83): 7-9

[24] Surah al-Nisaa’ (4): 65

[25] Perkataan taslim bererti: Penyerahan diri, merendah diri atau penerimaan sepenuhnya.

[26] Surah Hud (11): 23

[27] Surah al-Syuura (42): 23

[28] Surah al-Mu’minun (23): 1

[29] Surah al-Nisaa’ (4): 64-65

[30] Abu Bakr dan Umar serta kumpulan mereka.

[31] Surah al-Nisaa’ (4): 65

[32] Surah al-Zumar (39): 18

[33] Tidak mengetahui maksud asal perintah mendatangi Ka‘bah dan tawaf.

[34] Surah Ibrahim (14): 37

[35] Surah Taha (20): 82

Penulis : Unknown ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini, w. 328/29 H (bab 91-96) ini dipublish oleh Unknown pada hari 13 Julai 2011. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini, w. 328/29 H (bab 91-96)
 

0 comments:

Catat Ulasan