Welcome to My lovely Blog

Random

create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
http://adf.ly/EWRNQ

Hadiths/aLQur'an

Hadiths/aLQur'an
Dhul Hijja

Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini, w. 328/29 H (bab 46-53)


                                                   Bab 46

☼Sesungguhnya Para Imam A.S Apabila Mereka Mahu Mengetahui, Maka Mereka mengetahui (anna al-Aimmata a.s idha syaa’uu an ya‘lamuu ‘alimuu)☼

       (237)-1. Ali bin Muhammad dan lain-lain, daripada Sahl bin Ziyad, daripada Ayyub bin Nuh, daripada Safwan bin Yahya, daripada Ibn Maskan, daripada Badr bin al-Walid, daripada Abi al-Rabi‘ al-Syami, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya seorang imam a.s apabila beliau mahu mengetahui [sesuatu], maka beliau mengetahui[nya].

       (238)-2. Abu Ali al-Asy‘ari, daripada Muhammad bin ‘Abd al-Jabbar, daripada Safwan, daripada Ibn Maskan, daripada Badr bin al-Walid, daripada Abi al-Rabi‘, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya seorang imam a.s apabila beliau mahu mengetahui [sesuatu], maka ia akan diberitahu [kepadanya].

       (239)-3. Muhammad bin Yahya, dariapda ‘Imran bin Musa, daripada Musa bin Ja‘far, daripada ‘Umru bin Sa‘id al-Mada’ini, daripada Abu ‘Ubaidah al-Mada’ini, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Apabila seorang imam mahu mengetahui sesuatu, Allah akan memberitahunya kepadanya.


                                                                       Bab 47

☼Sesungguhnya Para Imam A.S Mengetahui Bila Mereka Akan Mati Dan Sesungguhnya Mereka Tidak Akan Mati Melainkan Dengan Pilihan Mereka Sendiri (anna al-Aimmata a.s ya‘lamuun mata yamutuun, wa anna-hum la yamutuun illa bi-ikhtiyari-him)☼

       (240)-1. Muhammad bin Yahya, daripada Salmah bin al-Khattab, daripada Sulaiman bin Sama‘ah dan Abdullah bin Muhammad, daripada Abdullah bin al-Qasim al-Batal, daripada Abu Basir berkata: Abu Abdillah a.s telah berkata: Mana-mana imam yang tidak mengetahui apa yang akan menimpanya dan apa yang akan terjadi kepadanya, maka dia bukanlah Hujjah Allah  ke atas makhluk-Nya.

       (241)-2. Ali bin Ibrahim, daripada Muhammad bin Isa, daripada al-Hasan bin Muhammad bin Basysyar berkata: Seorang syeikh daripada Qati‘atu al-Rabi‘ di kalangan orang awam (bukan Syiah) di Baghdad yang diambil riwayatnya telah berkata kepadaku: Aku telah melihat sebahagian mereka telah berkata tentang kelebihannya dan ibadatnya, maka aku telah berkata kepadanya: Siapakah orangnya? Bagaimana anda telah melihatnya? Beliau telah berkata: Kami telah berkumpul pada masa al-Sindi bin Syahik bersama lapan puluh lelaki daripada muka-muka yang dikaitkan dengan kebaikan, maka kami telah bertemu dengan Musa bin Ja‘far a.s, lalu al-Sindi berkata kepada kami: Wahai lelaki, lihatlah kepada lelaki ini, adakah sesuatu telah berlaku kepadanya? Kerana orang ramai mendakwa bahawa beliau a.s telah diperlakukan ke atasnya dan mereka telah memperbesarkannya. Ini adalah tempat tinggalnya, banyak kebebasan diberikan kepadanya dan beliau tidak dihalang sepenuhnya, Amir al-Mukminin (Harun al-Rasyid) tidak mahu keburukan ke atasnya (Musa a.s), tetapi beliau hanya ditahan sehingga kepulangannya (Harun al-Rasyid) ke (Baghdad). Justeru, beliau akan berbincang dengan Amir al-Mukminin (Harun alRasyid).
       Beliau (Musa a.s) adalah sihat dan diberikan kebebasan di dalam semua perkara. Justeru, tanyalah beliau. Beliau telah berkata: Kami tidak ada angan-angan selain melihat lelaki ini, kelebihannya dan tanda di dahinya. Musa bin Ja‘far a.s telah berkata: Mengenai kebebasan dan perkara seumpamanya, ia sebagaimana anda sebutkan kecuali aku akan memberitahu kepada kamu, wahai orang ramai, aku telah diberi racun dalam tujuh biji kurma, aku akan bertukar menjadi hijau besok dan selepas besok aku akan mati. Beliau telah berkata: Maka aku telah melihat kepada al-Sindi bin Syahik sedang menggelentar dan bergerak seperti pelepah kurma.

       (242)-3. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Fadhdhal, daripada Abi Jamilah, daripada Abdullah bin Abi Ja‘far berkata: Saudara lelakiku telah memberitahuku, daripada Ja‘far, daripada bapanya bahawa beliau telah mendatangi Ali bin al-Husain a.s pada malam beliau mati dengan minuman, maka beliau a.s telah berkata: Wahai bapaku, minumlah ini, maka beliau a.s telah berkata: Wahai anak lelakiku, sesungguhnya malam ini aku akan mati iaitu malam yang sama Rasulullah s.a.w telah mati.

       (243)-4. Ali bin Muhammad, daripada Sahl bin Ziyad, daripada Muhammad bin ‘Abd al-Hamid, daripada al-Hasan bin al-Jahm berkata: Aku telah berkata kepada al-Ridha a.s: Sesungguhnya Amir al-Mukminin a.s telah mengetahui pembunuhnya, malam beliau akan dibunuh, tempat beliau dibunuh, kata-katanya apabila beliau a.s mendengar suara angsa-angsa di rumah: “Suara yang akan diikuti dengan tangisan perempuan dan kata-kata Umm Kalthum: Jika anda sembahyang malam di rumah dan menyuruh orang lain mengimamkan orang ramai [adalah lebih baik]. Tetapi beliau a.s telah enggan menerima permintaannya, kemudian beliau a.s telah keluar dan masuk pada malam ini tanpa senjata. Sesungguhnya beliau a.s telah mengetahui bahawa sesungguhnya Ibn Muljam-Allah telah melaknatinya-akan membunuhnya dengan pedang. Ini adalah satu perkara yang beliau a.s tidak harus membentangkannya (menghalangnya), maka beliau a.s telah berkata: Itulah apa yang telah berlaku (dhalika kana), tetapi beliau a.s telah diberi pilihan (sama ada menerima kematiannya atau menolaknya) pada malam itu supaya takdir Allah berlalu[1].

       (244)-5. Ali bin Ibrahim, daripada Muhammad bin Isa, daripada sebahagian sahabat kami, daripada Abu al-Hasan Musa a.s telah berkata: Sesungguhnya Allah telah memarahi Syiah. Justeru Dia telah memberi pilihan kepadaku sama ada diriku atau mereka, lalu aku telah mempertahankan mereka dengan diriku”[2]

       (245)-6. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Wasya’, daripada Musafir bahawa Abu al-Hasan al-Ridh a.s telah berkata kepadanya: Adakah saluran air ini (al-Qanat) ada ikan? Beliau telah berkata: Ya, aku telah menjadikan diriku tebusan anda, maka beliau a.s telah berkata: Sesungguhnya aku telah melihat Rasulullah s.a.w di dalam mimpi dan baginda s.a.w telah bersabda: Wahai Ali, apa yang ada di sisi kami (di akhirat) adalah lebih baik bagi anda”

       (246)-7. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Wasya’, daripada Ahmad bin ‘Aidh, daripada Abi Khadijah, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Aku telah berada di sisi bapaku pada hari beliau a.s mati, maka beliau a.s telah memberi wasiat kepadaku perkara-perkara mengenai mandi jenzah, kapannya dan bagaimana beliau a.s diletakkan di dalam kuburnya. Maka aku telah berkata: Wahai bapaku, demi Allah, aku tidak pernah melihat anda lebih baik daripada hari ini semenjak anda mengadu tentang kesakitan anda, aku tidak melihat tanda kematian pada anda. Maka beliau a.s telah berkata: Wahai anak lelakiku, tidakkah anda telah mendengar Ali bin al-Husain a.s menyeru di balik dinding: Wahai Muhammad, datanglah cepat?

       (247)-8. Beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Saif bin ‘Umairah, daripada ‘Abd al-Malik bin A‘yan, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Allah telah menurunkan kemenangan ke atas al-Husain a.s sehingga beliau  di antara langit dan bumi. Kemudian beliau telah diberi pilihan: Kemenangan atau pertemuan dengan Allah, lalu beliau telah memilih pertemuan dengan Allah”


                                                                    Bab 48

☼Sesungguhnya Para Imam A.S Mengetahui Ilmu Yang Telah Berlaku Dan Ilmu Yang Akan Berlaku Dan Sesungguhnya Tiada Sesuatu Yang Tersembunyi Daripada Mereka S.A (anna al-Aimmata a.s ya‘lamuun ‘ilma ma kana wa-ma yakun wa-anna-hu la yukhfa ‘alai-him al-Sya’i salawatu llahi ‘alai-him)☼

        (248)-1. Ahmad bin Muhammad dan Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Ibrahim bin Ishaq al-Ahmar, daripada Abdullah bin Hammad, daripada Saif al-Tammar berkata: Kami, kumpulan Syiah telah berada bersama Abu Abdillah a.s di al-Hajr al-Aswad. Beliau a.s telah berkata: Adakah pengintip sedang melihat kepada kita? Lalu kami berpaling ke kanan dan ke kiri, tetapi kami tidak melihat seorangpun, maka kami telah berkata: Tiada pengintip melihat kami.
       Maka beliau telah berkata: Demi Tuhan Ka‘bah dan binaannya-tiga kali- Jikalaulah aku telah berada di antara Musa dan Khidir, nescaya aku telah memberitahu kepada mereka berdua bahawa aku lebih mengetahui daripada mereka berdua (a‘lamu min-hu-ma) dan aku telah memberitahu kepada mereka berdua apa yang mereka berdua tidak memilikinya kerana Musa dan Khidir a.s telah diberikan ilmu tentang apa yang telah berlaku (‘ilm ma kana), mereka berdua tidak diberikan ilmu tentang apa yang akan berlaku (‘ilm ma yakun) dan sedang berlaku sehingga hari Kiamat. Sesungguhnya kami telah mewarisinya daripada Rasulullah s.a.w secara warisan.

       (249)-2. Beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Muhammad bin Sinan, daripada Yunus bin Ya‘qub, daripada al-Harith bin al-Mughirah dan beberapa orang sahabat kami di antaranya ‘Abd al-A‘la, Abu ‘Ubaidah dan Abdullah bin Bisyar al-Khasy‘mi telah mendengar Abu Abdillah a.s telah berkata: Aku lebih mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi, aku lebih mengetahui apa yang ada di syurga, aku lebih mengetahui apa yang ada di neraka, aku lebih mengetahui apa yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku. Beliau (perawi) telah berkata: Beliau a.s telah berhenti seketika, melihat kata-katanya itu menjadi besar atau berat kepada orang yang mendengarnya, lalu beliau a.s telah berkata: Aku telah mengetahui semua itu daripada Kitab Allah a.w, sesungguhnya Allah a.w telah berfirman: “Di dalamnya menerangkan setiap sesuatu
       (250)-3. Ali bin Muhammad, daripada Sahl, daripada Ahmad bin Muhammad bin Abi Nasr, daripada ‘Abd al-Karim, daripada Jama‘ah bin Sa‘d al-Kath‘ami bahawa beliau telah berkata: Al-Mufadhdhal telah berada di sisi Abu Abdillah a.s, lalu beliau telah berkata kepadanya: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, Allah memfardukan ketaatan seorang hamba ke atas hamba-hamba-Nya dan menyembunyikan daripadanya berita langit? Beliau a.s telah berkata: Tidak, Allah lebih mulia, lebih bersifat kasihan belas dan lebih lembut kepada hamba-hamab-Nya dari memfardukan ketaatan seorang hamba ke atas hamba-hamba-Nya, kemudian Dia menyembunyikan daripadanya berita langit, pagi dan petang.

       (251)-4. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Mahbub, daripada Ibn Ri’ab, daripada Dhurais al-Kinasi berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s telah berkata- di sisinya beberapa orang daripada sahabatnya-: Aku telah merasa pelik tentang kumpulan yang mewalikan kami, menjadikan kami imam-imam dan mendakwa bahawa ketaatan kepada kami adalah wajib ke atas mereka seperti ketaatan Rasulullah s.a.w, kemudian mereka memecahkan hujah mereka dan menentang bukti yang mereka miliki disebabkan kelemahan hati mereka. Justeru, mereka telah mengurangkan hak kami dan mengaibkan perkara tersebut ke atas mereka yang telah diberikan Allah hujah dan hak mengenali kami dan menyerahkan diri mereka kepada kami. Adakah kamu fakir bahawa Allah telah memfardukan ketaatan para wali kami ke atas hamba-hamba-Nya, kemudian menyembunyikan daripada mereka berita-berita langit dan bumi serta memutuskan daripada mereka sumber ilmu yang mengandungi asas-asas agama mereka?
       Humraan  telah berkata kepadanya: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, apakah pendapat anda tentang pendirian Ali bin Abu Talib, al-Hasan, al-Husain, penentangan mereka, pengukuhan mereka terhadap agama Allah dan apa yang mereka alami daripada pembunuhan oleh mereka yang zalim (tawaaghit) terhadap mereka dan kemenangan mereka sehingga mereka dibunuh dan dikalahkan? Abu Ja‘far a.s telah berkata: Wahai Humraan, sesungguhnya Allah telah mentakdirkan perkara itu ke atas mereka (qad kana qaddara dhalika ‘alai-him), memerintahkannya, melakukannya dan mengakhirinya secara pilihan (sabil al-Ikhtiyar). Kemudian Dia telah melaksanakannya dengan mendahulukan ilmu kepada mereka daripada Rasulullah s.a.w, maka Ali, al-Hasan dan al-Husain a.s telah berdiri teguh [dalam perkara ini].
       Dan dengan ilmu (ini), mereka telah berdiam diri. Wahai Humraan, apabila perintah Allah telah turun kepada mereka dan kebangkitan mereka yang zalim menentang mereka, (jika) mereka telah memohon kepada Allah supaya mempertahankan mereka dan mereka terus bermunajat bagi menggulingkan pemerintahan mereka yang zalim dan kehancuran pemerintahan mereka, nescaya Dia menyahuti permintaan mereka dan mempertahankan mereka. Kerana berakhirnya zaman tawaaghitdan kehancuran pemerintahan mereka adalah lebih cepat daripada tali tasbih yang dipotong, lalu ia rosak. Wahai Humraan, Apa yang telah menimpa mereka bukanlah kerana dosa yang mereka telah melakukannya dan bukan kerana balasan maksiat yang mereka telah menyalahi Allah padanya, tetapi kerana kedudukan dan kekeramatan  daripada Allah yang mana Dia mahu mereka sampai kepadanya[3]. Justeru, janganlah pendapat-pendapat yang tidak layak tentang mereka menguasai anda”

       (252)-5. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ali bin Ma‘bad, daripada Hisyam bin al-Hakam berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah a.s di Mina lima ratus perkara tentang ilmu Kalam, maka aku mulai bertanya beliau a.s: Mereka telah berkata ini dan itu, maka beliau a.s telah berkata: Katakanlah itu dan ini, aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, in adalah halal dan ini adalah haram, aku mengetahui bahawa anda adalah orangnya dan sesungguhnya anda adalah orang yang paling alim tentang ilmu Kalam. Beliau a.s telah berkata kepadaku: Aduhai dukacitanya anda, wahai Hisyam, sesungguhnya Allah tidak berhujah ke atas makhluk-Nya dengan hujah yang tidak ada di sisinya apa yang mereka berhajat kepadanya.

       (253)-6. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, daripada Muhammad bin al-Fudhail, daripada Abi Hamzah berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s telah berkata: Tidak, demi Allah, seorang alim tidak akan menjadi seorang  jahil selama-lamanya, alim dengan sesuatu, jahil dengan sesuatu, kemudian beliau a.s telah berkata: Allah adalah lebih mulia, lebih tinggi dan lebih pemurah dari memfardukan ketaatan seorang hamba yang Dia  menyembunyikan daripadanya ilmu langit-Nya dan bumi-Nya. Kemudian beliau a.s telah berkata: Dia tidak akan menyembunyikannya daripadanya”.
                                                                     
                                                                  Bab 49

☼Sesungguhnya Allah Tidak Mengajar Ilmu Kepada Nabi-Nya Melainkan Dia Telah Memerintahkannya Supaya Mengajarnya Pula Kepada Amir Al-Mukminin A.S. Sesungguhnya Beliau A.S Adalah Kongsi Ilmunya (anna llaha ‘a.w lam yu‘allim nabiyya-hu illa amara-hu an yu‘allima-hu Amir al-Mu’minin wa-anna-hu kana syarika-hu fi al-‘ilm)☼

       (254)-1. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Abu ‘Umair, daripada Ibn Udhainah, daripada Abdullah bin Sulaiman, daripada Humraan bin A‘yan, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya Jibrail a.s telah membawa dua biji buah delima, maka Rasulullah s.a.w telah makan salah satu daripada keduanya dan membelah sebiji buah delima yang satu lagi kepada dua bahagian, kemudian baginda s.a.w telah makan sebahagiannya dan memberikan kepada Ali sebahagiannya.
       Kemudian Rasulullah s.a.w telah bersabda: Wahai saudaraku, apakah anda mengetahui dua biji delima ini? Beliau a.s telah berkata: Tidak, baginda s.a.w telah bersabda: Buah delima yang pertama adalah kenabian (al-Nubuwwah) yang anda tiada bahagian padanya. Adapun buah delima kedua, maka ia adalah ilmu, justeru, anda adalah kongsiku padanya. Aku telah berkata: Aslaha-ka llahu, bagaimana ia telah terjadi, sehingga beliau a.s menjadi kongsinya padanya? Beliau a.s telah berkata: Allah tidak mengajar ilmu kepada Muhammad s.a.w melainkan baginda s.a.w mengajarnya pula kepada Ali a.s”

       (255)-2. Ali, daripada bapanya, daripada Ibn Abi ‘Umair, daripada Ibn Udhainah, daripada Zurarah, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Jibrail a.s telah membawa turun kepada Rasulullah s.a.w dua biji buah delima daripada syurga, lalu dia telah memberikan kedua-duanya kepadanya. Kemudian baginda s.a.w telah makan satu biji buah delima dan membelah yang lain kepada dua bahagian, maka baginda s.a.w telah memberi kepada Ali a.s sebahagiannya, lalu beliau a.s memakannya. Lantas baginda s.a.w telah bersabda: Wahai Ali, adapun satu biji buah delima yang aku telah memakannya, maka itulah kenabian, anda tiada bahagian padanya. Adapun yang satu lagi, adalah ilmu. Justeru, anda adalah kongsiku padanya (fa-anta syariki fi-ha)”

       (256)-3. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Hasan, daripada Muhammad bin ‘Abd al-Hamid, daripada Mansur bin Yunus, daripada Ibn Udhainah, daripada Muhammad bin Muslim berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s telah berkata: Jibrail telah turun ke atas Muhammad s.a.w dengan dua biji buah delima daripada syurga, maka Ali a.s telah berjumpa dengannya dan beliau a.s telah berkata: Apakah dua biji buah delima di tangan anda? Baginda s.a.w telah bersabda: Adapun ini, maka ia adalah kenabian yang anda tiada bahagian padanya.
       Adapun ini adalah ilmu. Kemudian baginda s.a.w telah membelahnya kepada dua, lalu memberi separuhnya kepadanya dan telah mengambil separauhnya, kemudian baginda s.a.w telah bersabda: Anda adalah kongsiku (syariki) padanya. Abu Ja‘far a.s telah berkata: Demi Allah, Rasulullah s.a.w tidak mengajar satu huruf daripada apa yang telah diajar oleh Allah kepadanya melainkan baginda s.a.w telah mengajarnya kepada Ali a.s. Kemudian ilmu itu berakhir kepada kami. Kemudian beliau a.s telah meletakkan tangannya di atas dadanya”


                                                             Bab 50

☼Dimensi Ilmu Para Imam A.S (jihaat ‘uluum al-Aimmati a.s)☼

       (257)-1. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Muhammad bin Ismail, daripada Hamzah bin Bazi‘, daripada Ali al-Sa’i, daripada Abu al-Hasan yang pertama Musa a.s telah berkata: Peringkat ilmu kami terbahagi kepada tiga: Ilmu yang telah berlalu (madhin), ilmu yang berterusan (ghabir) dan ilmu yang sedang berlaku sekarang (hadith). Adapun ilmu madhin, maka ia ditafsirkan oleh nabi s.a.w. Adapun ilmu ghabir di tulis kepada kita. Adapun ilmu hadith dicampakkan ke dalam hati dan diketukkan di telinga. Iaitu ilmu kami yang terbaik dan tiada nabi selepas nabi kita.

       (258)-2. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Zahir, daripada Ali bin Musa, daripada Safwan bin Yahya, daripada al-Harith bin al-Mughirah, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Aku telah berkata: Beritahulah kepadaku tentang ilmu orang alim kamu? Beliau a.s telah berkata: Warisan daripada Rasulullah s.a.w dan daripada Ali a.s. Aku telah berkata: Kami bercakap bahawa ia dicampakkan pada hati kamu dan dicakapkan pada telinga kamu. Beliau a.s telah berkata: Ya, begitulah.

       (259)-3. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada orang yang telah meriwayatkannya, daripada al-Mufadhdhal bin Umar berkata: Aku telah berkata kepada Abu al-Hasan a.s: Kami diriwayatkan daripada Abu Abdillah a.s bahawa beliau a.s telah berkata: Sesungguhnya ilmu kami ditinggalkan atau ditulis (ghabir wa mazbur), gerakan di hati dan deringan di telinga. Maka beliau a.s telah berkata: Al-Ghabir ialah ilmu yang telah berlalu. Adapu mazbur ialah ilmu yang datang kepada kita. Adapun gerakan di hati, maka ia adalah ilham. Adapun deringan di telinga, maka ia adalah urusan malaikat.                                           
                                          
                                                                  Bab 51

☼Sesungguhnya Para Imam A.S Jika Rahsia Mereka Tidak Disembunyikan, Nescaya Mereka Menceritakan Setiap Orang Akan Manfaatnya Dan Mudaratnya (anna al-Aimmata a.s lau sutira alai-him la-akhbaruu kulla imri’in bi-ma-lahu wa-‘alai-hiu)☼

       (260)-1. Beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada Fadhalah bin Ayyub, daripada Abban bin Uthman, daripada ‘Abd al-Wahid bin al-Mukhtar berkata: Abu Ja‘far a.s telah berkata: Jikalaulah lidah-lidah kamu diikat, nescaya aku akan menceritakan kepada setiap orang manfaatnya dan mudaratnya.

       (261)-2. Dengan sanad-sanad ini, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Sinan, daripada Abdullah bin Maskan berkata: Aku telah mendengar Abu Basir berkata: Aku telah berkata kepada Abu Abdillah a.s: Bagaimana mungkin sahabat Ali telah menanggung musibah sedangkan mereka mengetahui kematian dan musibah mereka? Beliau a.s telah menjawab kepadaku-seperti seorang pemarah- siapa lagi selain daripada mereka? Aku telah berkata: Apakah yang menghalang mereka, aku telah menjadikan diriku tebusan anda? Beliau a.s telah berkata: Pintu ini telah ditutup kecuali al-Husain bin Ali a.s telah membuka hanya sedikit daripadanya. Kemudian beliau a.s telah berkata: Wahai Abu Muhammad, sesungguhnya mulut mereka diikat[4].

                                  
                                                                Bab 52

☼Penyerahan Kepada Rasulullah S.A.W Dan Para Imam A.S Dalam Urusan Agama(al-Tafwidh ila rasulillah s.a.w wa ila al-Aimmati a.s fi amr al-Din)☼

       (262)-1. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Abi Zahir, daripada Ali bin Ismail, daripada Safwan bin Yahya, daripada ‘Asim bin Hamid, daripada Abu Ishaq al-Nahwi berkata: Aku telah masuk berjumpa dengan Abu Abdillah a.s, maka aku telah mendengar beliau a.s berkata: Sesungguhnya Allah a.w telah mendidik nabi-Nya di atas kecintaan-Nya kepadanya. Justeru Dia telah berfirman: “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”[5] Kemudian Dia telah menyerahkan kuasa (tafwidh) kepadanya, maka Dia telah berfirman: “Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah”[6] Dan Dia telah berfirman: “Sesiapa yang telah mentaati Rasul itu, sesungguhnya dia telah mentaati Allah”[7]Kemudian beliau a.s telah berkata: Sesungguhnya nabi Allah telah menyerahkannya kepada Ali dan mengamanahkannya kepadanya. Kamu telah menerimanya, tetapi orang ramai telah mengingkarinya. Demi Allah, bahawa kami mencintai kamu apabila kamu berkata [sesuatu]. Dan apabila kami berkata, hendaklah kamu diam. Dan apabila kami berdiam diri, maka kami di antara kamu dan Allah a.w, Allah tidak akan menjadikan seseorang lebih baik di dalam menyalahi urusan kami (ma ja‘ala llahu li-ahadin khairan fi khilaf amri-na)”

* Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Abu Najran, daripada Abu Ishaq berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s telah berkata, kemudian beliau telah menyebutnya sedemikian.

       (263)-2. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Yahya bin Abi ‘Imaran, daripada Yunus, daripada Bakkar bin Bakr, daripada Musa bin Asyim berkata: Aku telah berada di sisi Abu Abdillah a.s, maka seorang lelaki telah bertanya kepadanya satu ayat daripada Kitab Allah a.w, lalu beliau a.s telah memberitahu kepadanya tentangnya. Kemudian ada seseorang telah datang kepadanya, maka beliau telah bertanya beliau a.s tentang ayat yang sama, maka beliau a.s telah memberitahu kepadanya menyalahi apa yang dijelaskan kepada orang sebelumnya, lantaran itu, aku telah dikuasai syak tentang perkara tersebut, jika dikehendaki Allah sehingga seolah-olah hatiku dipotong dengan pisau, lalu aku telah berkata kepada diriku: Aku telah meninggalkan Abu Qatadah di Syam, tetapi beliau tidak melakukan kesalahan dengan wau dan seumpamanya[8] sedangkan aku telah datang kepada ini (Abu Abdillah a.s) yang melakukan banyak kesalahan. 
       Manakala kami di dalam hal sedemikian, tiba-tiba seorang lelaki telah datang kepadanya, lalu beliau telah bertanya ayat yang sama, Maka beliau a.s telah memberitahu kepadanya, menyalahi apa yang beliau a.s telah memberitahunya kepadaku dan sahabatku. Aku telah mengawal diriku, maka aku telah mengetahui bahawa itu adalah taqiyyah’. Kemudian beliau a.s telah berpaling kepadaku sambil berkata kepadaku: Wahai Ibn Asyim, sesungguhnya Allah a.w telah memberi kuasa (tafwidh) kepada Sulaiman bin Daud, maka Dia telah berfirman: “Inilah anugerah Kami; maka berikanlah atau tahanlah dengan tiada pertanggung-jawab”[9] dan Dia telah memberi kuasa kepada nabi-Nya s.a.w, maka Dia telah berfirman: “Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah”[10] Maka kuasa yang mana Dia telah berikan kepada Rasulullah s.a.w, diberikannya pula kepada kami oleh Rasulullah s.a.w”

       (264)-3. Beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Hijjal, daripada Tha‘labah, daripada Zurarah berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far dan Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya Allah telah menyerahkan kuasa (tafwidh) kepada nabi-Nya s.a.w urusan makhlik-Nya supaya baginda s.a.w melihat bagaimana ketaatan mereka, kemudian beliau a.s membaca firman-Nya “Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah”[11]

       (265)-4. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Abi ‘Umair, daripada Umar bin Udhainah, daripada Fudhail bin Yasar berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s telah berkata kepada sebahagian sahabat Qais al-Masir: Sesungguhnya Allah telah mendidik nabi-Nya di dalam ilmu akhlak, maka Dia telah menyempurnakan pendidikannya, lalu Dia telah berfirman: “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”[12]. Kemudian Dia telah memberi kuasa (tafwidh) urusan agama dan umat kepadanya. Justeru, baginda s.a.w dapat mengurus hamba-hamba-Nya. Allah telah berfirman: “Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah”[13] Sesungguhnya Rasulullah s.a.w seorang yang disokong, diberikan taufik dan diperkuatkan dengan Ruh al-Quds.
       Baginda s.a.w tidak tergelincir, tidak bersalah di dalam sesuatupun di dalam pengurusan makhluk-Nya. Baginda s.a.w telah beradab dengan adab-adab Allah. Kemudian Allah telah memfardukan sembahyang dua rakaat, dua rakaat, (jumlah) sepuluh rakaat. Kemudian Rasulullah s.a.w telah menambahkan kepada dua rakaat dua rakaat[14] dan kepada sembahyang Maghrib satu rakaat. Maka ia (tambahan) dikira sebagai menyamai fardu yang tidak harus ditinggalkannya kecuali di dalam musafir. Baginda s.a.w telah menjadikan satu rakaat di dalam sembahyang Maghrib tetap di dalam musafir dan hadhar (tidak musafir), maka Allah telah mengharuskannya (ajaza) untuknya. Justeru, sembahyang fardu adalah tujuh belas rakaat[15].
       Kemudian Rasulullah s.a.w telah menjadikan sunnah sembahyang sunat (al-Nawaafil) tiga puluh empat rakaat, dua kali ganda sembahyang fardu. Maka Allah telah mengharuskannya semuanya untuknya. Lantaran itu, sembahyang fardu dan sembahyang sunat ialah lima puluh satu rakaat di antaranya dua rakaat selepas (al-‘Atamah) secara duduk dikira satu rakaat di tempat Witir. Allah telah memfardukan di dalam setahun puasa di dalam bulan Ramadan dan Rasulullah s.a.w telah menjadikan sunnahnya berpuasa bulan Sya‘ban (sanna Rasulullah s.a.w sauma syahr Sya‘ban) dan tiga hari pada setiap bulan seperti fardu, maka Allah telah mengharuskannya semuanya untuknya.
       Allah telah mengharamkan arak dan patinya (al-Khamr bi-‘aini-ha) sementara Rasulullah s.a.w pula telah mengharamkan minuman yang memabukkan, maka Allah telah mengharuskannya semuanya untuknya. Rasulullah s.a.w telah benci sesuatu perkara dan menunjukkan baginda s.a.w tidak menyukainya, tetapi baginda s.a.w tidak mengharamkannya. Ia adalah sebagai larangan makruh. Kemudian baginda s.a.w telah menjadikan satu rukhsah (memberi kebenaran). Justeru, mengambilrakhsahnya adalah wajib di atas hamba-hamba-Nya sebagaimana mereka mengambil larangannya dan‘Azimahnya. Tetapi Rasulullah s.a.w tidak memberi rakhsah kepada perkara yang mana baginda s.a.w telah melarangnya secara haram untuk mereka dan juga perkara yang baginda s.a.w telah menolaknya sebagai perkara fardu yang lazim seperti banyaknya minuman yang memabukkan yang mana baginda s.a.w telah melarang mereka sebagai larangan haram.
       Justeru, baginda s.a.w tidak memberi rukhsah kepada seorangpun mengenainya. Begitu juga Rasulullah s.a.w tidak memberi rakhsah untuk seseorang bagi melakukan qasar dua rakaat yang telah difardukan Allah, malah baginda s.a.w mewajibkan mereka dengannya. Rasulullah s.a.w tidak memberirukhsah kepada sesiapapun mengenai perkara tersebut kecuali kepada orang musafir. Justeru, tiada seorangpun yang dapat memberi rukhsah kepada sesuatu jika ianya tidak diberikan oleh Rasulullah s.a.w. Lantaran itu, perintah Rasulullah s.a.w menepati perintah Allah a.w, larangannya adalah larangan-Nya. Justeru, hamba-hamba-Nya wajib menyerah kepadanya sebagaimana penyerahan mereka kepada Allah tabaraka wa ta‘ala.

       (266)-5. Abu ‘Ali al-Asy‘ari, daripada Muhammad bin ‘Abd al-Jabbar, daripada Ibn Fadhdhal, daripada Tha‘labah bin Maimun, daripada Zurarah bahawa beliau telah mendengar Abu Ja‘far dan Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya Allah t.w telah memberi kuasa (tafwidh) kepada nabi-Nya tentang urusan makhluk-Nya supaya baginda s.a.w melihat bagaimana ketaatan mereka, kemudian beliau a.s telah membaca ayat ini: “Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah”[16]

* Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Hijjal, daripada Tha‘labah bin Maimun, daripada Zurarah telah meriwayatkannya seperti di atas.

       (267)-6. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Muhammad bin Sinan, daripada Ishaq bin ‘Ammar, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya Allah t.w telah mendidik nabi-Nya s.a.w di dalam ilmu akhlak, maka apabila ia sampai kepada tahap yang dikehendakiNya, Dia telah berfirman kepadanya: “Sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang agung” Kemudian Dia telah memberi kuasa (tafwidh) tentang agamanya kepadanya dan telah berfirman: “Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah”[17] Sesungguhnya Allah a.w telah memfardukan pembahagian pusaka (al-Fara’idh), tetapi Dia tidak membahagikan sesuatupun untuk datuk (al-Jadd). Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah memberikan kepadanya satu per enam, maka Allah telah mengharuskannya untuknya. Kerana firman Allah a.w: “Inilah anugerah Kami; maka berikanlah atau tahanlah dengan tiada pertanggung-jawab”[18]

       (268)-7. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Wasya’, daripada Hammad bin Uthman, daripada Zurarah, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Rasulullah s.a.w telah meletakkan diat mata, diat diri (al-Nafs) dan mengharamkan al-Nabidh (arak daripada anggur) dan setiap yang memabukkan. Seorang lelaki telah berkata kepadanya: Adakah Rasulullah s.a.w telah meletakkan atau menetapkan [sesuatu] tanpa datang kepadanya sesuatu?[19] Beliau a.s telah berkata: Ya, agar baginda s.a.w mengetahui siapakah yang mentaati Rasul di kalangan yang menderhakainya”

       (269)-8. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Hasan, berkata: Aku telah mendapati di dalam Nawaadir Muhammad bin Sinan, daripada Abdullah bin Sinan berkata: Abu Abdillah a.s telah berkata: Tidak, demi Allah, Allah tidak memberi kuasa (tafwidh) kepada seorangpun daripada makhluk-Nya kecuali kepada Rasulullah s.a.w dan kepada para imam a.s. Allah telah berfirman: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang Allah wahyukan kepadamu”[20] Ayat ini juga berlaku kepada para wasi a.s.

       (270)-9. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Hasan, daripada Ya‘qub bin Yazid, daripada al-Hasan bin Ziyad, daripada Muhammad bin al-Hasan al-Maithami, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Aku telah mendengarnya berkata: Sesungguhnya Allah telah mendidik Rasul-Nya sehingga Dia telah menguatkannya menurut kehendakNya. Kemudian Dia telah memberi kuasa(tafwidh) kepadanya, lalu Dia telah berfirman: “Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah”[21] Maka Allah telah memberi kuasa (tafwidh) kepadanya. Kemudian baginda s.a.w telah memberinya pula kepada kami.

       (271)-10. Ali bin Muhammad, daripada sebahagian sahabatnya, daripada al-Husain bin Abd al-Rahman, daripada Sandal al-Khayyat, daripada Zaid al-Syahham berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah a.s tentang firman-Nya: “Inilah anugerah Kami; maka berikanlah atau tahanlah dengan tiada pertanggung-jawab”[22] Beliau a.s telah berkata: Dia telah memberi kepada Sulaiman kerajaan yang besar, kemudian berlaku ayat ini kepada Rasulullah s.a.w, maka baginya hak untuk memberi kepada sesiapa yang baginda s.a.w kehendaki atau menegah sesiapa yang baginda s.a.w kehendaki. Allah telah memberi kepadanya lebih baik daripada apa yang Dia telah berikan kepada Sulaiman sebagaimana firman-Nya: “Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah”[23]

                                                                         Bab 53

☼Tentang Para Imam A.S Yang Menyerupai Mereka Yang Telah Berlalu Dan Kebencian Bercakap Tentang  Mereka Dengan Kenabian (fi anna al-Aimmata a.s bi-man yasybahuun bi-man madha wa karahiyat al-Qaul fi-him bi al-Nubuwwati)☼

       (272)-1. Abu ‘Ali al-Asy‘ari, daripada Muhammad bin ‘Abd al-Jabbar, daripada Safwan bin Yahya, daripada Humraan bin A‘yan berkata: Aku telah berkata kepada Abu Ja‘far a.s: Apakah kedudukan para ulama? Beliau a.s telah berkata: Seperti (kedudukan) Dhu al-Qarnain, sahabat Sulaiman dan sahabat Musa a.s.

       (273)-2. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Abi ‘Umair, daripada al-Husain bin Abi al-‘Alaa’ berkata: Abu Abdillah a.s telah berkata: Ia berakhir tentang halal dan haram kepada kami. Adapun tentang kenabian, maka ia adalah tidak.

       (274)-3. Muhammad bin Yahya al-‘Asy‘ari, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Barqi, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada Yahya bin ‘Imran al-Halabi, daripada Ayyub bin al-Hurr, berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya Allah telah menamatkan para nabi dengan nabi kamu, justeru, tiada nabi selepasnya. Dia telah menamatkan kitab-kitab dengan Kitab kamu, justeru, tiada kitab selepasnya selama-lamanya. Dia telah menurunkan padanya penerangan kepada setiap sesuatu. Dia telah menciptakan kamu dan Dia telah menciptakan langit dan bumi. Dia telah menceritakan berita sebelum kamu dan menghuraikannya kepada kamu. Dia telah memberitahu cerita selepas kamu, urusan syurga, neraka dan apa yang kamu akan jadi.

       (275)-4. Beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada Hammad bin Isa, daripada al-Husain bin al-Mukhtar, daripada al-Harith bin al-Mughirah berkata: Abu Ja‘far a.s telah berkata: Sesungguhnya Ali a.s adalah seorang muhaddath, maka aku telah berkata: Anda telah berkata: Seorang nabi? Beliau telah berkata: Maka beliau a.s telah menggerakkan tangannya begini, kemudian beliau a.s telah berkata: Atau seperti sahabat Sulaiman atau sahabat Musa atau Dhu al-Qarnain atau tidakkah berita telah sampai kepada kamu bahawa Amir al-Mukminin a.s telah berkata: Di kalangan kamu ada orang seperti Dhu al-Qarnain…)?

       (276)-5. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Abi ‘Umair, daripada Ibn Udhainah, daripada Buraid bin Mu‘awiyah, daripada Abu Ja‘far dan Abu Abdillah a.s telah berkata: Aku telah berkata kepadanya: Apakah kedudukan kamu? Dan siapakah yang menyerupai mereka yang telah berlalu? Beliau a.s telah berkata: Sahabat Musa dan Dhu al-Qarnain, mereka berdua adalah alim, tetapi bukanlah nabi.

       (277)-6. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Barqi, daripada Abu Talib, daripada Sudair berkata: Aku telah berkata kepada Abu Abdillah a.s: Sesungguhnya satu kumpulan menganggap kamu tuhan-tuhan (aalihatun). Mereka membaca kepada kami al-Qur’an: “Dan Dialah Tuhan di langit dan Tuhan di bumi”[24] Maka beliau a.s telah berkata: Wahai Sudair, pendengaranku, penglihatanku, kulitku, dagingku, darahku dan rambutku meninggalkan mereka dan Allah telah meninggalkan (bari’a) mereka. Mereka itu bukanlah di atas agamaku dan bukanlah di atas agama bapa-bapaku. Allah tidak akan mengumpulkan aku dan mereka pada hari Kiamat kecuali Dia memarahi mereka. Aku telah berkata: Di sisi kami ada kumpulan yang menganggap bahawa kamu semua adalah para rasul. Mereka telah membaca kepada kami al-Qur’an: “Wahai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjalah amal yang saleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”[25]
       Maka beliau a.s telah berkata: Wahai Sudair, pendengaranku, penglihatanku, rambutku, kulitku, dagingku dan darahku telah meninggalkan mereka dan Allah juga telah meninggalkan mereka. Mereka itu bukanlah di atas agamaku dan bukanlah di atas agama bapa-bapaku. Allah tidak akan mengumpulkan aku dan mereka pada hari Kiamat kecuali Dia memarahi mereka. Aku telah berkata: Siapakah kamu? Beliau a.s telah berkata: Kamilah penyimpan ilmu Allah, kamilah terjemahan urusan Allah, kamilah golongan yang maksum. Allah telah memerintah (hamba-hamba-Nya) supaya mentaati kami dan Dia melarang (mereka) dari menderhakai kami. Kamilah Hujjah yang sampai kepada mereka yang tinggal di bawah langit dan di atas bumi”

       (278)-7. Beberapa orang  daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, dariapda al-Husain bin Sa‘id, daripada Abdullah bin Bahr, daripada Ibn Maskan, dariapda ‘Abd al-Rahman bin Abi Abdillah, daripada Muhammad bin Muslim berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s berkata: Para imam adalah kedudukan Rasulullah s.a.w kecuali mereka bukanlah para nabi (al-Aimmatu bi-manzilati Rasulullah s.a.w illa anna-hum laisuu bi-anbiyaa’). Tidak halal untuk mereka mempunyai (bilangan) isteri yang dihalalkan untuk nabi s.a.w[26]. Adapun selain daripada itu, maka mereka seperti kedudukan Rasulullah s.a.w.

                                              
[1] Beliau telah memilih untuk mematuhi takdir Allah sekalipun beliau diberi pilihan.

[2] Imam Musa a.s dipenjarakan pada zaman Harun al-Rasyid kerana tidak mahu memberi maklumat kepadanya tentang Syiahnya. Akhirnya beliau  diracun dan mati di dalam penjara.

[3] Allah menghendaki perkara itu berlaku sedemikian kepada mereka a.s.

[4] Seolah-olah mulut mereka diikat kerana tidak mendedahkan rahsia kepada orang ramai.

[5] Surah al-Qalam (68):4

[6] Surah al-Hasyr (59):7

[7] Surah al-Nisaa’ (4): 80

[8] Kesalahan kecil sahaja.

[9] Surah alSaad (38): 39

[10] Surah al-Hasyr (59): 7

[11] Ibid

[12] Surah al-Qalam (68):4

[13] Surah al-Hasyr (59): 7

[14] Zuhur, Asar dan Isyak

[15] Perintah Allah adalah sepuluh rakaat, Rasulullah s.a.w telah menambah dua rakaat pada sembahyang Zuhur, dua rakaat pada sembahyang Asar, dua rakaat pada sembahyang Isyak dan satu rakaat pada sembahyang Maghrib sebagai sunnahnya, maka Allah telah menerimanya seperti perintah-Nya.

[16] Surah al-Hasyr (59): 7

[17] Ibid

[18] Surah al-Saad (38): 39

[19] Perbuatan Rasulullah s.a.w adalah sunnahnya.

[20] Surah al-Nisaa’ (4): 105

[21] Surah al-Hasyr (59): 7

[22] Surah al-Saad (38): 39

[23] Surah al-Hasyr (59): 7

[24] Surah al-Zukhruf (43): 84

[25] Al-Mu’minuun (23): 51

[26] Pada umumnya para imam a.s adalah di bawah kedudukan Rasulullah s.a.w. Mereka hanya menjalankan risalah Rasulullah s.a.w

Penulis : Unknown ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini, w. 328/29 H (bab 46-53) ini dipublish oleh Unknown pada hari 13 Julai 2011. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini, w. 328/29 H (bab 46-53)
 

0 comments:

Catat Ulasan