Welcome to My lovely Blog

Random

create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
http://adf.ly/EWRNQ

Hadiths/aLQur'an

Hadiths/aLQur'an
Dhul Hijja

Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini, w. 328/29 H (bab 67-70)


                                 Bab  67

☼Isyarat Dan Nas Ke Atas Al-Husain Bin Ali A.S (al-Isyarat wa al-Nas ‘ala al-Husain bin ‘Ali a.s)☼

       (350)-1. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Bakr bin Salih [al-Kulaini berkata] dan beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ibn Ziyad, daripada Muhammad bin Sulaiman al-Dailami, daripada Harun bin al-Jahmi, daripada Muhammad bin Muslim berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s telah berkata: Apabila  masa kematian telah datang kepada al-Hasan bin Ali a.s, beliau a.s telah  berkata kepada al-Husain a.s: Wahai saudaraku, sesungguhnya aku mewasiatkan anda dengan satu wasiat, maka hafazlah. Apabila aku mati, maka sempurnakanlah jenazahku, kemudian hadaplah aku ke arah [kubur] Rasulullah s.a.w.
       Justeru, aku dapat memperbaharui janjiku dengannya. Kemudian palinglah aku ke arah [kubur] ibuku a.s dan bawalah aku kembali dan kebumilah aku di al-Baqi‘. Ketahuilah bahawa suatu perkara, Allah dan orang ramai mengetahui perbuatan ‘Aisyah, sikap cemburunya dan permusuhannya terhadap Allah dan Rasul-Nya serta permusuhannya terhadap kita Ahlu l-Bait, akan menimpaku. Apabila al-Hasan a.s mati, maka beliau a.s diletakkan di atas katil dan orang ramai membawanya kepada musalla Rasulullah s.a.w yang mana baginda s.a.w telah melakukan sembahyang jenazah padanya. Kemudian al-Husain a.s telah melakukan sembahyang [jenazah] ke atasnya. Lalu beliau a.s dibawa dan dimasukkan ke masjid.
       Dan apabila beliau a.s diberhentikan di atas kubur Rasulullah s.a.w, maka seorang pengintip telah datang kepada  ‘Aisyah dan berkata kepadanya: Sesungguhnya mereka telah membawa al-Hasan untuk dikebumikan bersama Rasulullah s.a.w, lantas beliau keluar menunggang seekor baghal yang berpelana- maka beliau adalah perempuan pertama yang telah menunggang [seekor baghal yang berpelanadi dalam Islam] dan berkata: Jauhkan anak lelaki kamu (al-Hasan) dari rumahku kerana beliau tidak akan dikebumikan di rumahku dan beliau (al-Hasan) akan mencabuli atau membuka hijab Rasulullah s.a.w. Maka al-Husain  a.s telah berkata kepadanya: Sejak dahulu lagi anda dan bapa anda telah mencabuli atau membuka  hijab Rasulullah s.a.w, anda telah memasukkan ke rumahnya orang yang tidak dicintainya  untuk berdekatan dengannya.

       (351)-2. Muhammad bin al-Hasan dan Ali bin Muhammad, daripada Sahl bin Ziyad, daripada Muhammad bin Sulaiman al-Dalimi daripada sebahagian daripada sahabat kami, daripada al-Mufadhdhal bin Umar, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Apabila kematian menghampiri al-Hasan bin Ali a.s, beliau a.s telah  berkata: Wahai Qanbar, lihatlah adakah anda melihat di balik pintu itu mukmin selain daripada keluarga Muhammad? Maka beliau telah berkata: Allah, Rasul-Nya dan anak lelaki Rasul-nya lebih mengetahui tentangnya daripadaku. Beliau a.s telah berkata: Panggillah untukku Muhammad bin Ali (Ibn al-Hanafiyyah), lalu aku mendatanginya. Apabila aku bertemu dengannya, beliau telah berkata: Adakah sesuatu yang baik telah berlaku? Aku telah berkata: Sahutilah panggilan Abu Muhammad. Lantas beliau bergegas sambil memakai kasutnya secara tidak sempurna dan keluar bersamaku berlari.
       Apabila beliau berdiri di hadapannya, beliau memberi salam. Maka al-Hasan bin Ali berkata kepadanya: Duduklah, kerana orang yang bukan seperti anda tidak patut datang ke sini untuk mendengar percakapan yang dapat menghidupkan orang yang mati dan mematikan orang yang hidup. Jadilah anda tempat menyimpan ilmu dan lampu-lampu petunjuk. Kerana cahaya di siang hari sebahagiannya lebih bercahaya daripada sebahagian yang lain. Tidakkah anda mengetahui bahawa Allah telah menjadikan anak-anak Ibrahim a.s para imam dan melebihkan sebahagian ke atas sebahagian yang lain. Dan Dia telah membawa Zabur untuk Daud. Anda juga telah mengetahui apa yang ditetapkan oleh Muhammad s.a.w, wahai Muhammad bin Ali, aku khuatir anda akan dengki. Sesungguhnya Allah a.w telah mengaitkan sifat dengki (hasad) kepada orang kafir. Allah telah berfirman : “Kerana dengki yang (timbul) dari diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran”[1]
       Allah tidak akan menjadikan syaitan menguasai anda, wahai Muhammad bin Ali, bolehkah aku memberitahu kepada anda apa yang aku telah mendengar daripada bapa anda tentang anda? Beliau telah berkata: Tentu sekali. Beliau a.s telah  berkata: Aku telah mendengar daripada bapa anda berkata pada hari Basrah[2]: Siapa yang mahu membuat baik kepadaku di dunia dan di akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada Muhammad, anak lelakiku, wahai Muhammad bin Ali, jika anda mahu, aku akan memberitahu kepada anda ketika anda masih sperma (nutfah) di dalam salbi bapa anda, nescaya aku akan memberitahunya kepada anda, wahai Muhammad bin Ali, tidakkah anda mengetahui bahawa al-Husain bin Ali a.s selepas kematianku dan perpisahan rohku dari badanku, adalah  imam selepasku di sisi Allah, warisan daripada Nabi s.a.w yang mana Allah telah menambahkannya untuknya pada warisan bapanya dan ibunya.
       Allah telah mengetahui bahawa kamu adalah sebaik-baik makhluk-Nya, lalu Dia telah memilih daripada kamu Muhammad s.a.w dan Muhammad telah memilih Ali a.s dan Ali a.s telah memilih aku untuk imamah dan aku telah memilih al-Husain a.s. Maka Muhammad bin Ali berkata kepadanya: Anda adalah seorang imam dan anda adalah jalanku (wasilati) untuk [sampai] kepada Muhammad s.a.w. Demi Allah, aku mahu bahawa nyawaku telah pergi sebelum aku mendengar kata-kata ini daripada anda. Sesungguhnya di kepalaku kata-kata yang tidak dapat dikeringkan oleh baldi, tidak dapat diubah oleh tiaupan angin seperti buku yang telah diukir dengan rapi. Aku mendapati diriku telah didahulukan oleh Kitab yang diturunkan atau apa yang telah dibawa oleh para rasul, sesungguhnya ia adalah kata-kata yang memenatkan lidah untuk bertutur dengannya dan begitu juga dengan tangan penulis [untuk menulisnya] sehingga dia tidak mendapati pensil dan dibawa kepadanya kertas-kertas yang lusuh, justeru dia tidak akan sampai kepada kelebihan anda.
       Demikianlah Allah akan membalas kepada mereka yang membuat baik, tiada kekuatan melainkan dengan Allah. Al-Husain adalah orang yang paling berilmu di kalangan kami, lebih kuat kesabarannya, paling hampir darah [nya] di kalangan kami daripada Rasulullah s.a.w, beliau adalah seorang faqih sebelum beliau diciptakan. Beliau telah membaca wahyu sebelum beliau bercakap. Jikalau Allah mengetahui seorang yang lebih baik, nescaya Dia tidak memilih Muhammad s.a.w. Manakala Allah telah memilih Muhammad dan Muhammad telah memilih Ali dan Ali telah memilih seorang imam (al-Hasan) dan anda telah memilih al-Husain, kami telah menerima [nya] dan meredainya. Siapa dia selain daripadanya diredai dan siapa dia selain daripadanya kami terima untuk menyelesaikan kesukaran urusan kami.

       (352)-3. Dengan sanad-sanad yang sama, daripada Sahl, daripada Muhammad bin Sulaiman, daripada Harun bin al-Jahm, daripada Muhammad bin Muslim berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s telah berkata: Apabila al-Hasan bin Ali a.s hampir mati, beliau a.s telah  berkata kepada al-Husain: Wahai saudara lelakiku, sesungguhnya aku mewasiatkan kepada anda dengan satu wasiat, maka hafazlah ia. Apabila aku mati, sempurnalah mayatku dan letaklah aku ke arah [kubur] Rasulullah s.a.w supaya aku memperbaharui janjiku, kemudian palinglah aku ke arah [kubur] ibuku Fatimah a.s. Kemudian bawalah aku pulang dan kebumilah aku di al-Baqi‘. Ketahuilah, satu perkara akan menimpaku daripada al-Humairaa’ (‘Aisyah}, ia diketahui oleh orang ramai tentang cemburunya dan permusuhannya terhadap Allah dan Rasul-Nya s.a.w serta permusuhannya terhadap Ahlu l-Bait.
       Apabila al-Hasan a.s mati, maka beliau a.s diletakkan di atas katil dan orang ramai membawanya kepada musalla Rasulullah s.a.w yang mana baginda s.a.w telah melakukan sembahyang jenazah padanya. Kemudian al-Husain a.s telah melakukan sembahyang [jenazah] ke atasnya. Lalu beliau a.s dibawa dan dimasukkan ke masjid. Dan apabila beliau a.s diberhentikan di atas kubur Rasulullah s.a.w, maka berita telah disampaikan kepada ‘Aisyah dan dikatakan kepadanya: Sesungguhnya mereka telah membawa al-Hasan untuk dikebumikan bersama Rasulullah s.a.w, lantas beliau keluar menunggang seekor baghal yang berpelana- Maka beliau adalah perempuan pertama yang telah menunggang [seekor baghal yang berpelana di dalam Islam] dan berkata: Jauhkan anak lelaki kamu (al-Hasan) dari rumahku kerana seorangpun tidak akan dikebumikan di rumahku dan beliau (al-Hasan) akan mencabuli atau membuka hijab Rasulullah s.a.w.
       Maka al-Husain  a.s telah berkata kepadanya: Sejak dahulu lagi anda dan bapa anda telah mencabuli atau membuka hijab Rasulullah s.a.w, anda telah membawa masuk ke rumahnya orang yang tidak dicintainya berdekatan dengannya. Sesungguhnya Allah akan bertanya anda tentang perkara ini, wahai ‘Aisyah, sesungguhnya saudaraku telah memerintahkan aku supaya membawanya kepada bapanya Rasulullah s.a.w untuk memperbaharui janji dengannya, ketahuilah bahawa saudaraku adalah orang yang paling mengetahui tentang Allah dan Rasul-Nya serta lebih mengetahui tentang takwil Kitab-Nya dari mencabuli atau membuka hijab Rasulullah s.a.w kerana Allah berfirman: “Wahai mereka yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah-rumah Nabi kecuali kamu diizinkan”[3]
       Sesungguhnya anda telah membawa masuk lelaki  (al-Rijaal) tanpa izinnya dan Allah berfirman: “Wahai mereka yang beriman, janganlah kamu mengangkat suara kamu lebih tinggi dari suara Nabi”[4] Demi jiwaku, anda telah mengangkat suara anda ke telinga Rasulullah s.a.w di hadapan bapa anda dan Faruqnya (Umar). Untuk itu Allah berfirman: Sesungguhnya mereka yang merendahkan suaranya di sisi Rasulullah, mereka itulah yang telah diuji hati mereka”[5]
       Demi jiwaku, sesungguhnya bapa anda dan Faruqnya telah menyakiti Rasulullah s.a.w kerana berdekatan mereka berdua dengannya. Mereka berdua tidak menjaga haknya sebagaimana mereka berdua telah diperintahkan oleh Allah untuk melakukannya di atas lidah Rasulullah s.a.w, sesungguhnya Allah telah mengharamkan mukminin yang telah mati apa yang Dia telah mengharamkan mereka pada masa hidup. Demi Allah, wahai ‘Aisyah, jika inilah yang anda benci; pengebumian al-Hasan di sisi bapanya Rasulullah s.a.w adalah harus (jaaizan) di antara kami dan Allah, nescaya anda mengetahui bahawa beliau akan dikebumikan [di sana] sekalipun anda menghinanya”.
       Beliau (perawi) berkata: Kemudian Muhammad bin al-Hanafiyyah berkata: Wahai ‘Aisyah, satu hari berada di atas baghal dan satu hari berada di atas unta, justeru anda tidak dapat menguasai diri anda dan anda tidak dapat menguasai bumi ini kerana permusuhan dengan Bani Hasyim. Kemudian beliau telah berpaling kepadanya dan berkata: Wahai Ibn al-Hanafiyyah, anak-anak Fatimah sahaja yang bercakap seperti ini, kenapa anda bercakap seperti ini?
       Maka al-Husain a.s telah berkata: Bagaimana anda menjauhkan Muhammad daripada anak-anak Fatimah. Demi Allah, beliau telah dilahirkan oleh tiga [orang] Fatimah: Fatimah binti ‘Imran bin ‘Aidh bin ‘Umru bin Makhzum, Fatimah binti Asad bin Hasyim dan Fatimah binti Za’idah bin al-Asamm bin Rawahah hin Hajr bin ‘Abd Mu‘is bin ‘Amir.  ‘Aisyah berkata kepada al-Husain a.s: Jauhlah anak lelaki kamu dan bawalah bersamanya kerana kamu adalah kaum yang suka bertengkar. Beliau (perawi) berkata: Justeru, al-Husain telah pergi ke kubur ibunya, kemudian membawanya keluar dan mengembumikannya di al-Baqi‘.


                                                                    Bab 68

☼Isyarat Dan Nas Ke Atas Ali Bin Al-Husain A.S (al-Isyarat wa al-Nas ‘ala al-Husain bin ‘Ali a.s)☼

       (353)-1. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain dan Ahmad bin Muhammad, daripada Muhammad bin Isma’il, daripada Mansur bin Yunus, daripada Abi al-Jarud, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Sesungguhnya al-Husain bin Ali apabila hampir kematiannya, telah memanggil anak perempuannya yang paling tua Fatimah bin al-Husain a.s, kemudian beliau a.s memberi kepadanya kitab (surat) wasiat secara terbuka. Ali bin al-Husain a.s yang telah berada bersama mereka  menghidapi sakit perut dan kebanyakan orang mengatakan beliau akan mati. Fatimah telah memberi kitab itu kepada Ali bin al-Husain a.s, kemudian, demi Allah, kitab itu berada di sisi kami, wahai Ziyad. Aku telah berkata: Apakah yang ada di dalam kitab itu, aku telah menjadikan diriku tebusan anda? Beliau s.a berkata: padanya, demi Allah, apa yang dihajati oleh manusia semenjak Allah telah menciptakan Adam sehingga binasanya dunia. Demi Allah, padanya hukum hudud sehingga ada padanya denda memukul seseorang.

       (354)-2. Beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada Ibn Sinan, daripada Abi al-Jarud, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Apabila al-Husain hampir kematiannya, beliau a.s telah memberi wasiatnya kepada anak perempuannya Fatimah secara terbuka di dalam satu kitab (surat) yang disusun. Apabila apa yang telah berlaku kepada al-Husain a.s telah berlalu, beliau telah memberikannya kepada Ali bin al-Husain a.s. Aku telah berkata kepadanya: Apakah di dalamnya- Semoga Allah memberi rahmat kepada anda? Beliau a.s telah  berkata: Apa yang dihajati oleh manusia semenjak dunia diciptakan sehingga binasa dunia.
       (355)-3. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Saif bin ‘Umairah, daripada Abu Bakr al-Hadhrami, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya al-Husain a.s ketika di dalam perjalanan ke Iraq, beliau a.s telah menyimpan buku-buku dan wasiat di sisi Umm Salmah r.a dan apabila Ali bin al-Husain a.s telah kembali, beliau telah memberikannya kepada Ali bin al-Husain a.s. Menurut naskhah al-Safwani:

       (356)-4. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Hanan bin Sadir, daripada Fulaih bin Abu Bakr al-Syaibani berkata: Demi Allah, sesungguhnya aku telah berada di sisi Ali bin al-Husain a.s dan di sisinya anak lelakinya, tiba-tiba Jabir bin Abdullah al-Ansari datang, lalu beliau memberi salam kepadanya, kemudian beliau telah mengambil tangan Abu Ja‘far a.s dan pergi bersamanya, maka beliau  berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah memberitahu kepadaku sesungguhnya aku akan mendapati (melihat) seorang lelaki daripada Ahlu l-Bait-nya yang bernama Muhammad bin Ali dipanggil Abu Ja‘far a.s, maka apabila anda mendapatinya, sampaikanlah salamku kepadanya.
       Beliau telah berkata: Jabir telah pergi dan Abu Ja‘far a.s telah kembali, lalu beliau a.s duduk bersama bapanya Ali bin al-Husain a.s dan saudara-saudaranya. Apabila sembahyang Maghrib telah dilakukan, maka Ali bin al-Husain a.s telah berkata kepada Abu Ja‘far a.s: Apakah yang dikatakan oleh Jabir bin Abdullah al-Ansari kepada anda? Beliau a.s telah  berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya anda akan mendapati (melihat) seorang lelaki daripada Ahlu l-Baitku bernama Muhammad bin Ali dipanggil Abu Ja‘far, maka sampaikanlah salamku kepadanya” Bapanya berkata kepadanya: Tahniah untuk anda, wahai anak lelakiku, di atas apa yang dikhususkan untuk anda oleh Allah daripada Rasul-nya di kalangan keluarganya. Jangan biarkan saudara-saudara anda mengetahuinya supaya mereka tidak merancang tipu-daya kepada anda sebagaimana saudara-saudara Yusuf telah merancang tipu-daya kepada Yusuf.


                                                                      Bab  69

☼Isyarat Dan Nas Ke Atas Abu Ja‘far A.S (al-Isyarat wa al-Nas ‘ala Abi Ja‘far a.s)☼

       (357)-1. Ahmad bin Idris, daripada Muhammad bin ‘Abd al-Jabbar, daripada Abi al-Qasim al-Kufi, daripada Muhammad bin Sahl, daripada Ibrahim bin Abi al-Bilad, daripada Isma’il bin Muhammad bin Abdullah bin Ali bin al-Husain daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Apabila al-Husain bin Ali hampir kematiannya, beliau a.s telah mengeluarkan kotak di sisinya, maka beliau a.s telah  berkata: Wahai Muhammad, bawalah kotak ini. Beliau telah berkata: Empat orang telah membawa kotak itu. Apabila beliau a.s (Ali bin al-Husain) mati, saudara-saudaranya (Abu Ja‘far) datang kepadanya untuk menuntut apa yang ada di dalam kotak itu, mereka berkata: Berilah bahagian kami di dalam kotak itu, maka beliau a.s telah  berkata: Demi Allah, tiada hak anda di dalamnya. Jika ada hak anda di dalamnya, nescaya beliau a.s (bapanya) tidak memberikannya kepadaku. Sesungguhnya  di dalam kotak itu adalah senjata Rasulullah s.a.w dan kitab-kitabnya.

       (358)-2. Muhammad bin Yahya, daripada ‘Imraan bin Musa, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Muhammad bin Abdullah, daripada Isa bin Abdullah, daripada bapanya, daripada datuknya berkata: Ali bin al-Husain a.s telah berpaling kepada anak-anaknya ketika kematiannya sedang mereka berkumpul di sisinya, kemudian beliau a.s berpaling kepada Muhammad bin Ali sambil berkata: Wahai Muhammad, bawalah kotak ini ke rumah anda. Beliau telah berkata: Sesungguhnya tidak ada di dalamnya dinar dan dirham, tetapi ia dipenuhi dengan ilmu.

       (359)-3. Muhammad bin al-Hasan, daripada Sahl, daripada Muhammad bin Isa, daripada Fadhalah bin Ayyub, daripada al-Husain bin Abi al-‘Alaa’, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Aku telah mendengarnya berkata: Sesungguhnya Umar bin ‘Abd al-‘Aziz telah menulis surat kepada Ibn Hazm supaya beliau menghantar kepadanya dokumen tentang sedekah Ali, Umar dan Uthman. Sesungguhnya Ibn Hazm telah mengutus kepada Zaid bin al-Hasan yang paling tua di kalangan mereka, lalu beliau telah meminta dokumen daripadanya, maka Zaid telah berkata: Sesungguhnya Wali selepas Ali adalah al-Hasan dan selepas al-Hasan adalah al-Husain dan selepas al-Husain adalah Ali bin al-Husain dan selepas Ali bin al-Husain adalah Muhammad bin Ali, lantaran itu, utuslah kepadanya. Maka Ibn Hazm telah mengutus kepada bapaku. Kemudian bapaku telah mengirim kitab kepadaku untuknya sehingga aku telah memberikannya kepada Ibn Hazm.
       Sebahagian daripada kami telah berkata kepada Abu Abdillah a.s: Adakah anak-anak al-Hasan megetahui perkara ini? Beliau a.s telah  berkata: Ya, mereka megetahuinya seperti mereka mengetahui waktu malam, tetapi mereka dikuasai oleh hasad. Jika mereka telah mencari kebenaran dengan kebenaran, nescaya ia adalah lebih baik bagi mereka, tetapi mereka mencari dunia.
       Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Hasan bin Ali al-Wasysyaa’, daripada ‘Abd al-Karim bin ‘Umru, daripada Ibn Abi Ya‘fur berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya Umar bin ‘Abd al-‘Aziz telah menulis kepada Ibn Hazm, kemudian beliau telah menyebut seumpamanya, tetapi beliau telah berkata: Ibn Hazm telah mengutus  kepada Zaid bin al-Hasan dan beliau adalah lebih tua daripada Abu Abdillah a.s.
       Beberapa orang daripada sahabat kita, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Wasysyaa’ [meriwayatkan] hadis yang sama.


                                                                   Bab 70

☼Isyarat Dan Nas Ke Atas Abu Abdillah Ja‘far Bin Muhammad Al-Sadiq A.S (al-Isyarat wa al-Nas ‘ala Abi Abdillah Ja‘far bin Muhammad al-Sadiq a.s)☼

       (360)-1. Al-Hasan bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Wasysyaa’, daripada Abban bin Uthman, daripada Abi al-Sabah al-Kinani berkata: Abu Ja‘far a.s telah melihat kepada Abu Abdillah a.s sedang berjalan, maka beliau a.s telah  berkata: Anda sedang melihat kepada ini? Ini adalah di kalangan mereka yang difirmankan oleh Allah a.w: “Dan Kami hendak memberi kurnia kepada mereka yang tertindas di bumi itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka pewaris bumi”[6]

       (361)-2. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Abi ‘Umair, daripada Hisyam bin Salim, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Apabila bapaku hampir kematiannya, beliau a.s telah berkata: Wahai Ja‘far, aku mewasiatkan kepada anda supaya melakukan kebaikan kepada para sahabatku, aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, demi Allah, aku akan meninggalkan mereka di tempat mereka maka beliau a.s tidak akan [perlu] bertanya seorang pun daripada mereka [tentang agama].

       (362)-3. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Abi ‘Umair, daripada Hisyam bin al-Muthanna, daripada Sadir al-Sairafi berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s telah berkata: Sesungguhnya di antara kebahagian seorang lelaki itu bahawa beliau mempunyai anak yang dikenali menyerupai tubuhnya, akhlaknya dan bentuknya. Dan sesungguhnya aku mengenali anak lelakiku ini menyerupai tubuhku, akhlakku dan bentukku; iaitu Abu Abdillah a.s.

       (363)-4. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Tahir berkata: Aku telah berada di sisi Abu Ja‘far a.s, tiba-tiba Ja‘far a.s menghampirinya, maka Abu Ja‘far a.s telah berkata: Ini adalah sebaik-baik makhluk (selepasku).

       (364)-5. Ahmad bin Muhammad, daripada Muhammad bin Khalid, daripada sebahagian sahabat kami, daripada Yunus bin Ya‘qub, daripada Tahir berkata: Aku telah berada di sisi Abu Ja‘far a.s, tiba-tiba Ja‘far a.s telah menghampirinya, lantas Abu Ja‘far a.s telah berkata: Ini adalah sebaik-baik makhluk.

       (365)-6. Ahmad bin Mihran, daripada Muhammad bin Ali, daripada Fudhail bin Uthman, daripada Tahir, berkata: Aku telah duduk di sisi Abu Ja‘far a.s, tiba-tiba Ja‘far a.s telah menghampirinya, lantas Abu Ja‘far a.s telah berkata: Ini adalah sebaik-baik makhluk.

       (366)-7. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Mahbub, daripada Hisyam bin Salim, daripada Jabir bin Yazid al-Ja‘fi, daripada Abu Ja‘far a.s, berkata: Beliau a.s ditanya tentang al-Qaim a.s, lantas beliau a.s memukul dengan tangannya ke atas Abu Abdillah a.s dan berkata: Ini, demi Allah, adalah Qaim keluarga Muhammad s.a.w. ‘Anbasah telah berkata: Apabila Abu Ja‘far a.s mati, aku telah pergi kepada Abu Abdillah a.s, maka aku telah memberitahu kepadanya mengenainya. Beliau a.s telah berkata: Jabir telah bercakap benar, kemudian beliau a.s telah  berkata: Mudah-mudahan kamu terfikir bahawa bukan setiap imam menjadi al-Qaim[7] selepas imam sebelumnya.

       (367)-8. Ali bin Ibrahim, daripada Muhammad bin Isa, daripada Yunus bin ‘Abd al-Rahman, daripada ‘Abd al-A‘laa, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya bapaku telah mengamanahkan kepadaku apa yang telah ada di sana.[8] Apabila kematian telah menghampirinya, beliau a.s telah  berkata: Panggillah beberapa orang saksi untukku, maka aku telah memanggil empat orang Quraisy, antaranya Nafi‘ bin Umar, maka beliau a.s telah  berkata: Tulislah, ini adalah apa yang telah diwasiatkan oleh Ya‘qub kepada anak-anaknya “Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam”[9] Muhammad bin Ali telah mewasiatkan kepada Ja‘far bin Muhammad dan memerintahkannya supaya mengapankannya dengan pakaian burdahnya yang dipakai pada sembahyang Jumaat dan dipakaikannya dengan serbannya.
       Kuburnya diratakan, empat jari lebar di bawah tanah dan dibukakan ikatan bajunya ketika disemadikan. Kemudian beliau a.s telah  berkata kepada para saksi: Pulanglah, semoga kamu dirahmati Allah, maka aku telah berkata kepadanya: Wahai bapaku- selepas mereka telah pulang- Tiada di sini untuk disaksikan ke atasnya. Maka beliau a.s telah  berkata: Wahai anak lelakiku, Aku tidak suka anda dikalahkan dan dikatakan: Sesungguhnya beliau (Abu Abdillah a.s)  tidak diwasiatkan kepadanya. Aku mahu ia akan menjadi hujah untuk anda”


                                                                   Bab  71

[1] Surah al-Baqarah (2): 109

[2] Hari peperangan Jamal.

[3] Surah al-Ahzaab (33): 53

[4] Surah al-Hujuraat (49): 2

[5] Surah al-Hujuraat (49): 3

[6] Surah al-Qasas (28): 5

[7] Perkataan al-Qaim mempunyai dua makna: Pertama seorang imam yang menggantikan imam sebelumnya dan kedua ia adalah khusus untuk imam al-Mahdi a.s.

[8] Kitab-kitab dan senjata Rasulullah s.a.w.

[9] Surah al-Baqarah (2): 132

[10] Selamatlah kami dari neraka.

[11] Abdullah dan Isma’il adalah daripada ibu yang sama. Sementara Musa a.s daripada ibu yang lain. Barangkali apa yang dimaksudkan oleh Abdullah ialah mereka berdua daripada keturunan yang sama. Kerana bapa mereka adalah Imam Ja‘far al-Sadiq a.s.

[12] Surah al-Baqarah (2): 156

[13] Surat jawapan kepada Abu Ja‘far al-Mansur untuk mengelakkan pengganti Imam Ja‘far al-Sadiq a.s (Musa a.s) dipenggalkan kepalanya. Di antara penggantinya termasuklah Abu Ja‘far al-Mansur.

[14] Surah al-Baqarah (2): 30

[15] Surah al-Nisaa’ (4): 58

[16] Surah al-Baqarah (2): 140

[17] Wakil Imam Musa dan Imam al-Ridha a.s di Kufah.

[18] Surah Yusuf (12): 66

[19] Surah Ibrahim (14): 27

Penulis : Unknown ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini, w. 328/29 H (bab 67-70) ini dipublish oleh Unknown pada hari 13 Julai 2011. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini, w. 328/29 H (bab 67-70)
 

0 comments:

Catat Ulasan