Welcome to My lovely Blog

Random

create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
http://adf.ly/EWRNQ

Hadiths/aLQur'an

Hadiths/aLQur'an
Dhul Hijja

Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini w. 328/39 (bab 23-33)


      Bab 23

☼Sesungguhnya Para Imam A.S Dikurniakan ilmu Dan Ditetapkannya Di Dalam Dada Mereka (inna al-Aimmata a.s qad uutu al-‘Ilma wa- uthbita fi suduri-him)☼

       (127)-1. Ahmad bin Mihran, daripada Muhammad bin Ali, daripada Hammad bin Isa, daripada al-Husain bin al-Mukhtar, daripada Abu Basir berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s telah berkata tentang firman Allah a.w  “Sebenarnya al-Qur’an itu adalah ayat-ayat yang nyata di dalan dada mereka yang diberi ilmu”[1] Lalu beliau a.s telah memberi isyarat dengan tangannya kepada dadanya.

       (128)-2. Daripadanya, daripada Muhammad bin Ali, daripada Ibn Mahbub, daripada ‘Abd al-‘Aziz al-‘Abdi, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w “Sebenarnya al-Qur’an itu adalah ayat-ayat yang nyata di dalan dada mereka yang diberi ilmu”[2] Beliau a.s telah berkata: Mereka adalah para imam a.s.

       (129)-3. Dan daripadanya, daripada Muhammad bin Ali, daripada Uthman bin Isa, daripada Sammaa‘ah, daripada Abu Basir berkata: Abu Ja‘far a.s telah berkata tentang ayat ini “Sebenarnya al-Qur’an itu adalah ayat-ayat yang nyata di dalan dada mereka yang diberi ilmu”…[3] Kemudian beliau a.s telah berkata: Adapun kemudian daripada itu, demi Allah, wahai Abu Muhammad, Dia tidak berfirman di antara dua kulit mashaf [mengenai ayat tersebut selain daripada kami]? Aku telah berkata: Siapakah mereka? Aku telah menjadikan diriku tebusan anda? Beliau a.s telah berkata: Siapakah mereka selain daripada kami (para imam a.s)?

       (130)-4. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Yazid Sya‘ar, daripada Harun bin Hamzah, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Aku telah mendengarnya berkata tentang firman-Nya “Sebenarnya al-Qur’an itu adalah ayat-ayat yang nyata di dalan dada mereka yang diberi ilmu”[4] Beliau a.s telah berkata: Mereka adalah para imam a.s secara khusus.
       (131)-5. Daripada beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada Muhammad bin al-Fudhail berkata: Aku telah bertanya kepadanya tentang firman Allah a.w “Sebenarnya al-Qur’an itu adalah ayat-ayat yang nyata di dalan dada mereka yang diberi ilmu”[5] Beliau a.s telah berkata: Mereka adalah para imam a.s secara khusus.


                                                                       Bab 24

☼Tentang Hamba-Hamba Yang Telah Dipilih Oleh Allah Dan Mewariskan Mereka Dengan Kitab-Nya, Mereka Adalah para Imam A.S (fi anna man istafa-hu llahu min ‘ibadi-hi wa-auratha-hum kitaba-hu hum al-Aimmatu a.s)☼

       (132)-1. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Jumhur, daripada Hammad bin Isa, daripada ‘Abd al-Mu’min, daripada Salim berkata: Aku telah bertanya Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah a.w “Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada mereka yang Kami pilih di antara hamba-hamba-Kami, lalu di antara mereka ada yang menzalimi diri mereka sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan di antara mereka ada (pula) yang lebih cepat berbuat kebaikan”[6] Beliau a.s telah berkata: Al-Sabiq bi al-Khairat (yang cepat berbuat kebaikan) itu adalah Imam dan al-Muqtasid (yang pertengahan) adalah orang yang mengenali imam a.s dan al-Zalim li-nafsi-hi (yang menzalimi dirinya sendiri) adalah orang yang tidak mengetahui imam a.s.

       (133)-2. Al-Husain, daripada Mu‘alla, daripada al-Wasya’, daripada ‘Abd al-Karim, daripada Sulaiman bin Khalid, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Aku telah bertanya kepadanya tentang firman Allah a.w “Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada mereka yang Kami pilih di antara hamba-hamba-Kami” Beliau a.s telah berkata:  Apa pendapat kamu mengenainya? Aku telah berkata: Kami telah berpendapat: Sesungguhnya ia adalah untuk keturunan Fatimah a.s? Beliau a.s telah berkata: Ia bukanlah sebagaimana anda katakan, kerana seorang yang telah menunjukkan pedangnya dan menyeru orang ramai kepada penentangan tidak termasuk di dalam ayat ini. Maka aku telah berkata: Apakah pengertian “yang menzalimi dirinya”? Beliau a.s telah berkata: Orang yang duduk di rumahnya tanpa mengetahui hak seorang imam a.s. Dan “yang pertengahan”: Orang yang mengetahui hak seorang imam a.s dan “yang cepat berbuat kebaikan”: Imam a.s.

       (134)-3. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Hasan, daripada Ahmad bin ‘Umar berkata: Aku telah bertanya Abu al-Hasan al-Ridha a.s tentang firman Allah a.w “Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada mereka yang Kami pilih di antara hamba-hamba-Kami”[7] Beliau a.s telah berkata: Anak-anak lelaki Fatimah a.s, “yang cepat kepada kebaikan”: Imam a.s, “yang pertengahan”: Yang mengetahui imam a.s dan “yang menzalimi dirinya”: Yang tidak mengetahui imam a.s.

       (135)-4. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Mahbub, daripada Abu Wallad berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah tentang firman Allah a.w “Mereka yang telah Kami berikan al-Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya”[8] Beliau a.s telah berkata: Mereka itu adalah para imam a.s.

                                                                            Bab 25

☼ Sesungguhnya Para Imam Di Dalam Kitab Allah Ada Dua Jenis: Imam Yang Menyeru Kepada Allah Dan Imam Yang Menyeru Kepada Neraka (inna al-Aimmata fi kitabi llahi imamani: Imam yad‘u ila llahi wa imam yad‘u ila al-Naari)☼

       (136)-1.  Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Hasan bin Mahbub, daripada Abdullah bin Ghalib, daripada Jabir, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Apabila turunnya ayat “Suatu hari Kami panggil setiap umat dengan pemimpinnya (imamnya)”[9] Mereka yang beragama Islam telah berkata: Wahai Rasulullah, tidakkah anda imam kepada manusia semuanya? Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku adalah Rasulullah kepada semua manusia, tetapi akan ada selepasku para imam ke atas manusia daripada Allah di kalangan keluargaku, mereka akan berada bersama orang ramai, tetapi orang ramai mendustakan mereka. Mereka akan dizalimi oleh para imam kafir lagi sesat serta pengikut-pengikut mereka. Justeru sesiapa yang mengikuti mereka, membenarkan mereka, maka beliau adalah daripadaku dan bersamaku dan beliau akan bertemu denganku. Sesiapa yang menzalimi mereka, mendustakan mereka, maka beliau bukanlah daripadaku dan bersamaku dan aku bersih daripadanya”

       (137)-2. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad dan Muhammad bin al-Husain, daripada Muhammad bin Yahya, daripada Talhah bin Zaid, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya para imam di dalam Kitab Allah ada dua jenis, Allah telah berfirman “Kami telah menjadikan mereka itu sebagai pemimpin-pemimpin (imam) yang memberi petunjuk dengan perintah Kami”[10] Bukan dengan perintah manusia, mereka mendahulukan perintah Allah sebelum perintah mereka, hukum Allah sebelum hukum mereka. Dia telah berfirman “Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru (manusia) ke neraka”[11] Mereka mendahulukan perintah mereka sebelum perintah Allah, hukum mereka sebelum hukum Allah. Mereka mengikut hawa nafsu mereka, menyalahi apa yang ada di dalam Kitab Allah a.w.


                                                                  Bab 26

☼Sesungguhnya Al-Qur’an Memberi Petunjuk Kepada Imam A.S (inna al-Qur’an yahdi li-al-Imam)☼

       (138)-1. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada al-Hasan bin Mahbub berkata: Aku telah bertanya Abu al-Hasan al-Ridha a.s tentang firman Allah a.w “Bagi setiap harta peninggalan dari harta yang ditinggalkan ibu bapa, kaum kerabat, Kami jadikan pewaris-pewarisnya. Dan mereka yang kamu telah bersumpah setia dengan mereka”[12] Beliau a.s telah berkata: Sesungguhnya ia dimaksudkan dengan para imam a.s, kerana merekalah Allah telah bersumpah setia dengan kamu.

       (139)-2. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Abu ‘Umair, daripada Ibrahim bin ‘Abd al-Hamid, daripada Musa bin Akil al-Namiri, daripada al-‘Ala’ bin Siyabah, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w “Sesungguhnya al-Qur’an ini memberi petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus”[13] Beliau a.s telah berkata: Ia memberi petunjuk kepada imam a.s.
                                      
                                                                     Bab 27

☼Sesungguhnya Nikmat Yang Telah Disebut Oleh Allah A.W Di Dalam Kitab-Nya Adalah Para Imam A.S (anna al-Ni‘mata al-Lati dhakara-ha llahu a.w fi kitabi-hi al-Aimmatu a.s)☼

       (140)-1. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Bustam bin Murrah, daripada Ishaq bin Hassan, daripada al-Haitham bin Waqid, daripada Ali bin al-Husain al-‘Abdi, daripada Sa‘d al-Asqaaf, daripada al-Asbagh bin Nubatah berkata: Amir al-Mukminin a.s telah berkata: Apakah gerangan kaum yang telah mengubah sunnah Rasulullah s.a.w dan berpaling daripada wasinya? Mereka tidak takut bahawa azab akan turun kepada mereka, kemudian beliau a.s telah membaca ayat “Tidakkah kamu perhatikan mereka yang telah menukar nikmat (ni‘mat) Allah dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kehinaan? Iaitu Jahannam, mereka masuk ke dalamnya dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman”[14]Kemudian beliau a.s telah berkata: Kamilah nikmat yang Allah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya dan dengan kamilah akan berjaya mereka yang berjaya pada hari Kiamat.

       (141)-2. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad secara marfu‘ tentang firman Allah a.w “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”[15] Adakah kamu mendustakan seorang nabi atau seorang wasi? Ayat ini diturunkan di dalam Surah al-Rahmaan.

       (142)-3. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Jumhur, daripada Abdullah bin  ‘Abd al-Rahman, daripada al-Haitham bin Waqid, daripada Abu Yusuf al-Bazzaz berkata: Abu Abdillah a.s telah membaca ayat “Maka ingatlah nikmat-nikmat Allah supaya kamu mendapat keberuntungan”[16] Beliau a.s telah berkata: Adakah anda mengetahui apakah nikmat-nikmat Allah (alaa’ Allah)? Aku telah berkata: Tidak, beliau a.s telah berkata: Nikmat Allah yang paling besar ke atas makhluk-Nya adalah wilayah kami”

       (143)-4. Al-Husain bin Muhammad, dariapda Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Uramah, daripada Ali bin Hassan, daripada ‘Abd al-Rahman bin Kathir berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w “Tidakkah kamu perhatikan mereka yang telah menukar nikmat-nikmat) Allah dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kehinaan? Iaitu Jahannam, mereka masuk ke dalamnya dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman”[17] Beliau a.s telah berkata: Ia dimaksudkan dengan Quraisy secara langsung; mereka yang telah memusuhi Rasulullah s.a.w dan melakukan peperangan terhadapnya serta menentang wasiat wasinya.

                                       
                                                                 Bab 28

☼Sesungguhnya Mutawassimiin Yang Disebut Oleh Allah Di Dalam Kitab-Nya Adalah Para Imam A.S (anna al-Mutawassimiin al-Ladhina zakara-humu llahu fi kitabi-hi hum al-Aimmatu a.s)☼

       (144)-1. Ahmad bin Mihran, daripada  ‘Abd al-‘Azim bin Abdullah al-Hasani, daripada Ibn Abi ‘Umair berkata: Asbat Bayya‘ al-Zutti telah memberitahu kepadaku, berkata: Aku telah berada di sisi Abu Abdillah a.s, lalu seorang lelaki bertanya kepadanya tentang firman Allah a.w “Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi mereka yang memerhatikan tanda-tanda (al-Mutawassimiin). Sesungguhnya ia adalah jalan yang lurus”[18] Beliau a.s telah berkata: Kamilah yang mengetahui tanda-tanda[19] (al-Mutawassimun) dan jalan (al-Sabil) pada kami adalah lurus.

       (145)-2. Muhammad bin Yahya, daripada Salmah bin al-Khattab, daripada Yahya bin Ibrahim berkata: Asbat bin Salim telah memberitahu kepadaku, berkata: Aku telah berada di sisi Abu Abdillah a.s, tiba-tiba seorang lelaki dari Hit (di Iraq) telah datang dan berkata: Mudah-mudahan Allah membuatkan semua perkara baik untuk anda, apakah pendapat anda tentang firman Allah a.w “Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi mereka yang memerhatikan tanda-tanda (al-Mutawassimiin)[20] Beliau a.s telah berkata: Kamilah al-Mutawassimundan jalan (al-Sabil) pada kami adalah lurus”

       (146)-3. Muhammad bin Ismail, daripada al-Fadhl bin Syadhan, daripada Hammad bin Isa, daripada Ruba‘i bin Abdullah, daripada Muhammad bin Muslim, daripada Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah a.w “Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi mereka yang memerhatikan tanda-tanda (al-Mutawassimiin”[21] Beliau a.s telah berkata: Mereka itu adalah para imam a.s. Rasulullah s.a.w telah bersabda: Jagalah diri kamu dari firasat mukmin, kerana beliau melihat dengan cahaya Allah a.w sebagaimana firman Allah a.w “Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi mereka yang memerhatikan tanda-tanda”[22]

       (147)-4. Muhammad bin Yahya, daripada al-Hasan bin Ali al-Kufi, daripada ‘Abis bin Hisyam, daripada Abdullah bin Sulaiman, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w “Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi mereka yang memerhatikan tanda-tanda (al-Mutawassimiin). Beliau a.s telah berkata: Mereka itu adalah para imam a.s. dan “Sesungguhnya ia adalah jalan yang lurus”[23] Beliau a.s telah berkata: Ia tidak akan terkeluar daripada kami selama-lamanya.

       (148)-5. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Muhammad bin Aslam, daripada Ibrahim bin Ayyub, daripada ‘Umru bin Syamir, daripada Jabir, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Amir al-Mukmin a.s telah berkata tentang firman-Nya “Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi mereka yang memerhatikan tanda-tanda”[24] Beliau a.s telah berkata: Rasulullah s.a.w adalah al-Mutawassim dan aku selepasnya dan para imam daripada zuriatku adalah al-Mutawassimuun.
       Dan di dalam manuskrip yang lain daripada Ahmad bin Mihran, daripada Muhammad bin Ali, daripada Muhammad bin Aslam daripada Ibrahim bin Ayyub dengan sanad-sanad seumpamanya.

                                      
                                                                 Bab 29

☼Pembentangan Semua Amalan Kepada Nabi S.A.W Dan Para Imam A.S (‘Ardh al-A‘maal ‘ala al-Nabi s.a.w wa-al-Aimmati a.s)☼

       (149)-1. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada al-Qasim bin Muhammad, daripada Ali bin Abu Hamzah, daripada Abu Basir, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Semua amalan hamba-hamba-Nya akan dibentangkan kepada Rasulullah s.a.w pada setiap pagi; yang baiknya, yang jahatnya dan berwaspadalah sebagaimana firman Allah “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta mukminun akan melihat amalan kamu itu”[25] Dan di sini beliau a.s mendiamkan diri.

       (150)-2. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada Yahya al-Halabi, daripada ‘Abd al-Hamid al-Ta’i, daripada Ya‘qub bin Syu‘aib berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta mukminun akan melihat amalan kamu itu”[26] Beliau a.s telah berkata: Mereka itu adalah para imam a.s.

       (151)-3. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Uthman bin Isa, daripada Sammaa‘ah, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Aku telah mendengarnya berkata: Kenapakah kamu menyakiti Rasulullah s.a.w? Seorang lelaki berkata: Bagaimana kami menyakitinya? Maka beliau a.s telah berkata: Tidakkah kamu mengetahui bahawa amalan-amalan kamu dibentangkan kepadanya, justeru apabila baginda s.a.w melihat padanya maksiat, maka ia akan menyakitinya. Lantaran itu, janganlan kamu menyakiti Rasulullah s.a.w, sebaliknya buatlah baginda s.a.w bergembira (dengan amalan baik kamu)”.

       (152)-4. Ali, daripada bapanya, daripada al-Qasim bin Muhammad, daripada al-Zayyaat, daripada Abdullah bin Abban al-Zayyaat yang diterima baik di sisi al-Ridha a.s telah berkata: Berdoalah kepada Allah untukku dan keluargaku, maka al-Ridha a.s telah berkata: Adakah aku tidak melakukannya? Demi Allah, sesungguhnya amalan-amalan kamu dibentangkan kepadaku pada setiap hari dan malam. Beliau telah berkata: Aku telah membesar-besarkan kata-katanya itu, lalu beliau a.s telah berkata kepadaku: Tidakkah anda membaca Kitab Allah a.w “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya dan mukminun akan melihat amalan kamu itu”[27] Beliau a.s telah berkata: Demi Allah, ini adalah Ali bin Abu Talib a.s [dan para imam a.s yang lain]”.

       (153)-5. Ahmad bin Marwan, Daripada Muhammad bin Ali, daripada Abu Abdillah al-Samity, daripada Yahya bin Musawir, daripada Abu Ja‘far a.s bahawa sesungguhnya beliau a.s telah menyebut ayat ini “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya dan mukminun akan melihat amalan kamu itu”[28]. Beliau a.s telah berkata: Demi Allah, ini adalah Ali bin Abu Talib [dan para imam a.s yang lain]”.

       (154)-6. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Wasya’ berkata: Aku telah mendengar al-Ridha a.s telah berkata: Sesungguhnya semua amalan dibentangkan kepada Rasulullah s.a.w sama ada yang baiknya dan yang jahatnya”.


                                                                      Bab 30

Sesungguhnya Jalan (al-Tariqah) Yang Digalakkan Supaya Tetap Di Atasnya Adalah Wilayah Ali A.S (anna al-Tariqata al-Lati huuththa ‘ala al-Istiqamati ‘alai-ha wilayatu Ali a.s)☼

       (155)-1. Ahmad bin Mihran, daripada ‘Abd al-‘Azim bin Abdullah al-Hasani, daripada Musa bin Muhammad, daripada Yunus bin Ya‘qub, daripada orang yang beliau telah menyebutnya, daripada Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah a.w “Dan sesungguhnya jikalau mereka tetap di atas jalan itu, benar-benar Kami akan memberi kepada mereka minuman air yang banyak”[29] Beliau a.s telah berkata: Iaitu jikalau mereka tetap di atas wilayah Ali bin Abu Talib, Amir al-Mukminin dan para wasi daripada anak-anak lelakinya a.s dan mereka menerima ketaatan mereka di dalam suruhan dan larangan mereka, nescaya Kami akan memberi kepada mereka minuman air yang banyak, beliau a.s telah berkata: Nescaya Kami meminumkan hati mereka dengan keimanan. Dan Jalan (al-Tariqah) adalah beriman kepada wilayah Ali dan para wasi selepasnya.

       (156)-2. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Jumhur, daripada Fadhalah bin Ayyub, daripada al-Husain bin Uthman, daripada Abu Ayyub, daripada Muhammad bin Muslim berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w. “Sesungguhnya mereka yang mengatakan: Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka menetapkan pendirian mereka” Maka Abu Abdillah a.s telah berkata: Mereka telah menetapkan pendirian mereka pada para imam, seorang selepas seorang “Maka malaikat akan turun kepada mereka: Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih dan bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan  Allah kepadamu”[30]

                                                                         Bab 31

☼Sesungguhnya Para Imam A.S Adalah Galian Ilmu, Pokok Kenabian Dan Tempat Turunnya Malaikat (inna al-Aimmata ma‘danu al-‘ilmi wa-syajaratu al-Nubuwwah wa-makhtalafu al-Malaikati)☼

       (157)-1. Ahmad bin Mihran, daripada Muhammad bin Ali, daripada lebih daripada seorang, daripada Hammad bin Isa, daripada Ruba‘i bin Abdullah, daripada Abu Jarud berkata: Ali bin al-Husain a.s telah berkata: Kenapa orang ramai cemburu kepada kami? Demi Allah, kamilah pokok kenabian, rumah rahmat, galian ilmu dan tempat turunya para Malaikat”

       (158)-2. Muhammad bin Yahya, daripada Abdullah bin Muhammad bin Isa, dariapda bapanya, daripada Abdullah bin al-Mughirah, daripada Ismail bin Abu Ziyad, daripada Ja‘far bin Muhammad, daripada bapanya a.s berkata: Amir al-Mukminin a.s telah berkata: Sesungguhnya kami- Ahlu l-Bait- Adalah pokok kenabian, tempat risalah, tempat turunnya para malaikat, rumah rahmat dan galian ilmu.

       (159)-3. Ahmad bin Muhammad, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Abdullah bin Muhammad, daripada al-Khasysyab berkata: Sebahagian sahabat kami telah memberitahu kepada kami daripada Khaisyamah berkata: Abu Abdillah a.s telah berkata kepadaku: Wahai Khaisyamah, kami adalah pokok kenabian, rumah rahmat, kunci hikmah, galian ilmu, tempat risalah, tempat turunnya malaikat, tempat simpan rahsia Allah, kamilah simpanan Allah pada hamba-hamba-Nya, kamilah haram Allah yang lebih besar (nahnu haram Allah al-Akbar), kamilah cagaran Allah (dhimmah Allah), kamilah janji Allah. Sesiapa yang menyumpurnakan janji kami, maka sesungguhnya beliau menyumpurnakan janji Allah. Sesiapa yang mengabaikannya, maka beliau mengabaikan cagaran Allah dan janji-Nya.


                                                                          Bab 32

☼Sesungguhnya Para Imam A.S Adalah Pewaris Ilmu, Seorang [Imam] Mewarisi Ilmu Daripada Seorang [Imam] Yang lain (anna al-Aimmata a.s warathatu al-‘ilm, yarithu ba‘dhu-hum ba‘dhan al ‘ilma)☼


       (160)-1. Daripada beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada Yahya al-Halabi, daripada Buraid bin Mu‘awiyah, daripada Muhammad bin Muslim, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya Ali adalah seorang yang alim dan ilmu boleh diwarisi, tidak mati seorang alim melainkan tempatnya diganti oleh orang yang mengetahui ilmunya atau apa yang dikehendaki Allah.

       (161)-2. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Hammad bin Isa, daripada Huraiz, daripada Zurarah dan al-Fudhail, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Sesungguhnya ilmu yang telah turun bersama Adam a.s tidak dihilangkan dan ilmu diwarisi. Ali a.s adalah orang alim umat ini. Sesungguhnya seorang alim[31] daripada kami tidak mati melainkan seorang daripada keluarganya yang mempunyai ilmu sepertinya menggantikannya atau apa yang dikehendaki Allah.

       (162)-3. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Baraqi, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada Yahya al-Halabi, daripada ‘Abd al-Hamid al-Ta’i, daripada Muhammad bin Muslim berkata: Abu Ja‘far a.s telah berkata: Sesungguhnya ilmu diwarisi (yatawarathu) dan seorang alim tidak akan mati melainkan beliau meninggalkan seorang alim seumpamanya atau apa yang dikehendaki Allah.

       (163)-4. Abu Ali al-Asy‘ari, daripada Muhammad bin ‘Abd al-Jabbar, daripada Safwan, daripada Musa bin Bakr, daripada al-Fudhail bin Yasar berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s berkata: Sesungguhnya pada Ali a.s sunnah seribu nabi. Sesungguhnya ilmu yang telah turun bersama Adam a.s tidak dihilangkan dan tidak mati seorang alim (imam) sehingga hilang ilmunya dan ilmu diwarisi.

       (164)-5. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada Fadhalah bin Ayyub, daripada Umar bin Abban berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s berkata: Sesungguhnya ilmu yang telah turun bersama Adam a.s tidak dihilangkan. Seorang alim tidak akan mati sehingga ilmunya dihilangkan”[32]

       (165)-6. Muhammad, daripada Ahmad, daripada Ali bin al-Nu‘man secara marfu‘, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Mereka menghisap lembapan sementara itu mereka meninggalkan sungai yang besar (al-Nahr al-‘Azim). Ada orang berkata kepadanya: Apakah sungai yang besar itu? Beliau a.s telah berkata: Rasulullah s.a.w dan ilmu yang diberi oleh Allah kepadanya. Sesungguhnya Allah a.w telah mengumpulkan untuk Muhammad s.a.w sunnah-sunnah para nabi daripada Adam sehinggalah kepada Muhammad s.a.w. Ada orang bertanya kepadanya: Apakah sunnah-sunnah itu? Beliau a.s telah berkata: Ilmu para nabi kesemuanya (‘ilm al-Nabiyyin bi-asri-hi).
       Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah memberikan semuanya kepada Amir al-Mukminin a.s, seorang lelaki telah bertanya: Wahai anak lelaki Rasulullah, adakah Amir al-Mukminin lebih mengetahui (a‘lam) atau sebahagian nabi? Abu Ja‘far a.s telah berkata: Dengarlah apa yang beliau kata? Sesungguhnya Allah membuka telinga sesiapa yang Dia kehendaki, sesungguhnya aku telah memberitahu kepadanya bahawa sesungguhnya Allah telah mengumpulkan untuk Muhammad s.a.w ilmu para nabi dan sesungguhnya Dia telah mengumpulkan semuanya di sisi Amir al-Mukminin a.s, beliau telah bertanya kepadaku, adakah beliau (Ali a.s) lebih mengetahui atau sebahagian para nabi [lebih mengetahui]”

       (166)-7. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Baraqi, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada Yahya al-Halabi, daripada ‘Abd al-Hamid al-Ta’i, daripada Muhammad bin Muslim berkata: Abu Ja‘far a.s telah berkata: Sesungguhnya ilmu diwarisi, maka seorang alim tidak akan mati sehingga beliau meninggalkan seorang yang mengetahui seumpama ilmunya atau apa yang dikehendaki Allah”

       (167)-8. Ali bin Ibrahim, daripada Muhammad bin Isa, daripada Yunus, daripada al-Harith bin al-Mughirah berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah berkata: Sesungguhnya ilmu yang turun bersama Adam a.s tidak dihilangkan dan seorang alim tidak akan mati melainkan beliau telah mewariskan ilmunya. Sesungguhnya bumi tidak akan tinggal tanpa seorang yang alim.


                                                                       Bab 33

☼Sesungguhnya Para Imam A.S Telah Mewarisi Ilmu Nabi, Ilmu Semua Nabi Dan Wasi Sebelum Mereka (inna al-Aimmata warithuu ‘ilma al-Nabi, wa-jami‘ al-Anbiyaa’ wa al-Ausiyaa’ al-ladhin min qabli-him)☼

       (168)-1. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada ‘Abd al-‘Aziz al-Muhtadi, daripada Abdullah bin Jundub bahawa sesungguhnya al-Ridha a.s telah menulis surat kepadanya: Amma ba‘d, adapun kemudian daripada itu, sesungguhnya Muhammad s.a.w adalah penjaga [yang dilantik 0lehNya) pada makhluk-Nya. Apabila baginda s.a.w mati, kamilah pewarisnya. Kamilah penjaga di bumi-Nya. Di sisi kami ilmu tentang kematian, apa yang berlaku kepada orang ramai, ilmu tentang keturunan Arab dan mereka yang lahir di dalam Islam. Sesungguhnya kami mengetahui seseorang apabila kami melihatnya dengan hakikat iman dan hakikat nifak. Sesungguhnya Syiah kami tertulis dengan nama mereka dan nama bapa-bapa mereka. Allah telah mengambil perjanjian ke atas kami dan mereka.
       Mereka sampai di tempat yang kami sampai dan mereka memasuki tempat yang kami masuki, tidak ada di dalam agama Islam selain daripada kami dan mereka (laisa ‘ala millat al-Islam ghairu-na wa-ghairu-hum). Kamilah orang cerdik yang selamat, kamilah orang yang pertama menerima para nabi, kamilah anak-anak lelaki para wasi. Kamilah yang dikhususkan di dalam Kitab Allah a.w. Kamilah orang yang paling istimewa (aula al-Nas) dengan Kitab Allah, kamilah orang yang paling istimewa dengan Rasulullah s.a.w.
       Kamilah orang yang Allah telah meletakkan agama-Nya untuk kami, maka Dia telah berfirman di dalam Kitab-Nya “Dia telah mensyariatkan bagi kamu (wahai keluarga Muhammad) tentang agama, apa yang telah diwasiatkanNya kepada Nuh (sesungguhnya Kami telah wasiatkan apa yang telah diwasiatkan kepada Nuh) dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa (sesungguhnya Dia telah mengajar kami dan menyampaikan kepada kami ilmu mereka dan kami menyimpan ilmu mereka. Kamilah pewaris Ulun al-‘Azmi) iaitu: Tegakkanlah agama (wahai keluarga Muhammad) dan janganlah kamu berpecah belah (Jadilah kamu di atas jemaah). Amat berat bagi mereka yang musyrik (sesiapa yang bersekutu dengan wilayah Ali) apa yang kamu seru mereka kepadanya (tentang wilayah Ali sesungguhnya). Allah menarik kepadaNya orang yang dikehendakiNya dan memberi petunjuk kepada orang yang kembali kepada-Nya”[33] (sesiapa yang menyahuti anda tentang wilayah Ali).

       (169)-2. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Hakam, daripada ‘Abd al-Rahman bin Kathir,  daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya wasi yang pertama di muka bumi ini adalah Hibatullah bin Adam a.s. Tidak ada seorang nabi yang berlalu (mati) melainkan baginya seorang wasi. Bilangan para nabi adalah 120 ribu orang, lima daripada mereka adalah Ulu al-‘Azmi; Nuh, Ibrahim, Musa, Isa, dan Muhammad a.s. Sesungguhnya Ali bin Abu Talib adalah Hibatullah (pemberian Allah) kepada Muhammad, beliau a.s telah mewarisi ilmu para wasi dan ilmu mereka sebelumnya. Sesungguhnya Muhammad s.a.w telah mewarisi ilmu para nabi dan rasul sebelumnya.
       Tertulis di tiang ‘Arasy: “Hamzah adalah singa Allah dan singa rasul-Nya dan penghulu para syahid”. Dan di hujung Arasy itu pula tertulis: Ali adalah pemimpin Mukminin”. Maka ini adalah Hujjahkami menentang orang yang mengingkari hak kami dan menentang warisan kami. Tidak ada yang menghalang kami dari mengatakan kebenaran apabila keyakinan di hadapan kami. Manakah Hujjahyang lebih kuat daripada ini”!?

       (170)-3. Muhammad bin Yahya, daripada Salmah bin al-Khattab, daripada Abdullah bin Muhammad, daripada Abdullah bin al-Qasim, daripada Zar‘ah bin Muhammad, daripada al-Mufadhdhal bin Umar berkata: Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya Sulaiman telah mewarisi Daud, sesungguhnya Muhammad telah mewarisi Sulaiman dan sesungguhnya kami telah mewarisi Muhammad. Sesungguhnya di sisi kami ilmu Taurat, Injil, Zabur dan penjelasan apa yang ada pada Loh-loh (alwaah). Aku telah berkata: Ini juga ilmu. Beliau a.s telah berkata: Ini bukanlah ilmu, sesungguhnya ilmu (kepada kami) itu apa yang berlaku hari selepas hari dan jam selepas jam.

       (171)-4. Ahmad bin Idris, daripada Muhammad bin ‘Abd al-Jabbar, daripada Safwan bin Yahya, daripada Syu‘aib al-Haddad, daripada Dhurais al-Kinasi berkata: Aku telah berada di sisi Abu Abdillah a.s dan di sisinya Abu Basir, maka Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya Daud telah mewarisi ilmu para nabi, sesungguhnya Sulaiman telah mewarisi Daud dan sesungguhnya Muhammad s.a.w telah mewarisi Sulaiman. Sesungguhnya kami telah mewarisi Muhammad s.a.w (warath-na Muhammadan). Sesungguhnya di sisi kami mashaf Ibrahim dan loh-loh Musa. Maka Abu Basir telah berkata: Sesungguhnya ini adalah ilmu. Beliau a.s telah berkata: Wahai Abu Muhammad, sesungguhnya ini bukanlah ilmu, sesungguhnya ilmu datang (kepada kami) di waktu malam dan siang, hari ke hari dan jam ke jam”

       (172)-5. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin ‘Abd al-Jabbar, daripada Muhammad bin Ismail, daripada Ali bin al-Nu‘man, daripada Ibn Maskan, daripada Abu Basir, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Abu Abdillah a.s telah berkata kepadaku: Wahai Abu Muhammad, sesungguhnya Allah a.w tidak memberi sesuatu kepada para nabi melainkan Dia telah memberinya kepada Muhammad s.a.w, beliau a.s telah berkata: Sesungguhnya Dia telah memberi kepada Muhammad segala yang telah Dia berikan kepada para nabi. Di sisi kami mashaf-mashaf yang mana Allah a.w telah berfirman: “Mashaf-mashaf Ibrahim dan Musa”[34] Aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, adakah dia Alwaah? Beliau a.s telah berkata: Ya.

       (173)-6. Muhammad, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada Abdullah bin Sinan, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w “Sesungguhnya telah kami tulis di dalam Zabur selepas al-Dhikr…”[35] Apakah al-Zabur dan al-Dhikr? Beliau a.s telah berkata: Al-Dhikr adalah [ilmu] di sisi Allah dan al-Zabur [kitab] diturunkan kepada Daud. Setiap kitab yang diturunkan, maka ia di sisi ahli ilmu (‘inda ahl ‘ilmi) dan kamilah mereka (wa nahnu hum).

       (174)-7. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Abu Zahir atau orang lain, daripada Muhammad bin hammad, daripada saudara lelakinya Ahmad bin Hammad, daripada Ibrahim, daripada bapanya, daripada Abu al-Hasan yang pertama berkata: Aku telah berkata kepadanya: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, beritahulah kepadaku tentang Nabi s.a.w, adakah baginda s.a.w telah mewarisi [ilmu] semua nabi? Beliau a.s telah berkata: Ya, aku telah berkata: Daripada Adam sehingga berakhir kepada dirinya? Beliau a.s telah berkata: Allah tidak mengutus seorang nabi melainkan Muhammad s.a.w lebih mengetahui daripadanya. Aku telah berkata: Sesungguhnya Isa bin Maryam telah menghidupkan orang yang telah mati dengan izin Allah. Beliau a.s telah berkata: Anda memang benar dan Sulaiman bin Daud telah memahami percakapan burung dan Rasulullah s.a.w mampu mengatasi semua kedudukan ini.
       Beliau telah berkata: Sesungguhnya Sulaiman bin Daud telah berkata kepada hudhud ketika ketiadaannya dan syak pada urusannya, maka beliau  telah berkata: “Mengapa aku tidak melihat hudhud, apakah dia termasuk yang tidak hadir.[36] Ketika ketiadaannya, lantas beliau memarahinya dan berkata: “Sungguh aku benar-benar akan mengazabnya dengan azab yang keras atau benar-benar menyembelihnya atau benar-benar dia datang kepadaku dengan alasan yang terang”[37]
       Sesungguhnya beliau telah memarahinya, kerana hudhud telah menunjukkannya kepada air. Burung ini telah diberi apa yang tidak diberikan kepada Sulaiman. Angin, semut, manusia, jin dan syaitan-syaitan mematuhinya (Sulaiman), tetapi Sulaiman tidak mengetahui bahawa air ada di bawah udara. Tetapi burung hudhud telah mengetahuinya. Sesungguhnya Allah telah berfirman di dalam Kitab-Nya “Sekiranya ada suatu bacaan yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digoncangkan atau bumi jadi terbelah atau oleh kerananya mereka yang telah mati dapat berbicara”[38]
       Sesungguhnya kami telah mewarisi al-Qur’an ini yang mana padanya apa yang dapat menggoncangkan gunung-gunung, melintasi negeri-negeri, menghidupkan mereka yang telah mati, kami mengetahui air di bawah udara.   Sesungguhnya di dalam Kitab Allah ayat-ayat yang mana ia tidak dapat “dilaksanakan” melainkan dengan izin Allah. Tetapi Dia telah menjadikannya untuk kami di dalam Umm al-Kitab. Sesungguhnya Dia telah berfirman: “Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada mereka yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami”[39] Maka kamilah orang yang telah dipilih oleh Allah a.w dan kami telah mewarisi ini (al-Qur’an) padanya penjelasan kepada setiap perkara”.
                                                                                                                 
                          
 [1] Surah al-Ankabuut (29): 49

[2] Ibid

[3] Ibid

[4] Ibid

[5] Surah al-Ankabuut (29): 49

[6] Surah al-Faatir (35): 32

[7] Surah al-Faatir (35): 32

[8] Surah al-Baqarah (2): 121

[9] Surah al-Israa’ (17): 71

[10] Surah al-Anbiyaa’ (21): 73

[11] Surah al-Qasas (28): 41

[12] Surah al-Nisaa’ (4): 33

[13] Surah al-Israa’ (17): 9

[14] Surah Ibrahim (14): 28

[15] Surah al-Rahmaan (55):13

[16] Surah al-A‘raaf (7):69,74

[17] Surah Ibrahim (14): 28

[18] Surah al-Hijr (15): 75-76

[19] Para imam a.s mengetahui tanda-tanda pada seseorang sama ada beliau seorang mukmin atau seorang kafir.

[20] Surah al-Hijr (15): 75-76

[21] Surah al-Hijr (15): 75-76

[22] Ibid

[23] Ibid

[24] Ibid

[25] Surah al-Taubah (9): 105

[26] Surah al-Taubah (9): 105

[27] Surah al-Taubah (9): 105

[28] Surah al-Taubah (9): 105

[29] Surah al-Jin (72): 16

[30] Surah Fussilat (41):30

[31] Seorang imam a.s

[32] Mesti ada penggantinya yang akan mewarisi ilmunya, kerana ilmunya tidak akan hilang begitu sahaja.

[33] Surah al-Syu‘araa’ (42): 13

[34] Surah al-A‘la (87): 19

[35] Surah al-Anbiyaa’ (21): 105

[36] Surah al-Naml (27):20

[37] Surah al-Naml (27): 21

[38] Surah al-Ra‘du (13): 31

[39] Surah Faatir (35): 32

Penulis : Unknown ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini w. 328/39 (bab 23-33) ini dipublish oleh Unknown pada hari 13 Julai 2011. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini w. 328/39 (bab 23-33)
 

0 comments:

Catat Ulasan