Welcome to My lovely Blog

Random

create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
http://adf.ly/EWRNQ

Hadiths/aLQur'an

Hadiths/aLQur'an
Dhul Hijja

Kitab Sulaim: Sanad, pengesahan kebenaran, Ahl al-Bait sebaik-baik makhluk dll


 Kitab Sulaim b. Qais al-Hilali, w. 90 H
BAHAGIAN PERTAMA


Kitab Sulaim: sanad, pengesahan kebenaran, Ahl al-Bait sebaik-baik makhluk dll

Sanad riwayat Kitab Sulaim yang berakhir kepada Abban bin Abi ‘Iyasy

       Salawat dan salam ke atas Muhammad dan keluarganya yang baik lagi terpilih. Al-Ra’is al-‘Afif Abu al-Baqa’ Hibatullah bin Nama bin Ali bin Hamidun r.a telah memberitahuku (akhbarani) pembacaan ke atas Kitab Sulaim bin Qais al-Hilali di rumahnya di Hillati al-Jami‘iyyin pada Jamadi al-Ula tahun 565 Hijrah.
       Beliau berkata: Syaikh al-Amin al-Alim Abu ‘Abdullah al-Hasan bin Ahmad bin Tahal al-Miqdadi telah meriwayatkan kepadaku (Haddathani) pembacaan ke atasnya dengan penyaksian Maulana Amir al-Mukminin salawatu Llahi ‘alaihi. Beliau berkata: Syaikh al-Mufid Abu Ali al-Hasan bin Muhammad al-Tusi r.a telah meriwayatkan kepada kami (haddathana) pembacaan ke atasnya pada bulan Rejab tahun 490 Hijrah.
       Al-Syaikh al-Faqih Abu ‘Abdillah al-Hasan bin Hibatillah bin Ratbah telah memberitahuku daripada al-Mufid Abi Ali daripada bapanya pembacaan ke atasnya oleh maulana al-Syahid Abi ‘Abdillah al-Husain bin Ali salawatu Llahi ‘alaihi. Al-Syaikh al-Muqri Abu Abdullah Muhammad bin al-Kal telah memberitahuku daripada al-Syarif al-Jalil Nizam al-Syaraf Abi l-Hasan al-‘Aridi daripada Ibn Syahriar al-Khazin daripada Syaikh Abi Ja‘far al-Tusi. Al-Syaikh al-Faqih Abu Abdillah Muhammad bin Ali bin Syahrasyub telah memberitahuku bacaan ke atasnya di Hillati al-Jami‘iyyin dalam beberapa bulan pada tahun 567 Hijrah daripada datuknya Syahrasyub daripada al-Syaikh al-Sa‘id Abi Ja‘far Muhammad ibn al-Hasan al-Tusi r.a.
       Beliau berkata: Ibn Abi Jayyid telah meriwayatkan kepada kami daripada Muhammad bin al-Hasan bin Ahmad bin al-Walid dan Muhammad bin Abi l-Qasim yang bergelar dengan Majilueh daripada Muhammad bin Ali al-Sairafi daripada Hammad bin ‘Isa daripada Abban bin Abi ‘Iyasy daripada Sulaim bin Qais al-Hilali. Abu Abdillah al-Husain bin ‘Ubaidillah al-Ghadi‘iri telah memberitahu kami.
       Beliau berkata: Abu Muhammad Harun bin Musa bin Ahmad al-Tala‘kabari r.h telah memberitahu kami. Beliau berkata: Abu Ali bin Hamam bin Suhail telah memberitahu kami. Beliau berkata Abdullah bin Ja‘far al-Humairi telah memberitahu kami daripada Ya‘qub bin Yazid dan Muhammad bin al-Husain bin Abi al-Khattab dan Ahmad bin Ahmad bin ‘Isa daripada Muhammad bin Abi ‘Umair daripada Umar bin Abi Udhinah daripada Abban bin Abi ‘Iyasy daripada Sulaim bin Qais Al-Hilali.

Penyerahan Kitab Sulaim kepada Umar bin Udhinah dan syarat-syarat-nya

       Umar bin Udhinah berkata: Ibn Abi ‘Iyasy telah memanggilku dan berkata: Kelmarin aku bermimpi bahawa aku akan mati cepat. Aku melihat anda pagi tadi, maka aku gembira dengan anda. Aku melihat Sulaim bin Qais al-Hilali semalam berkata kepadaku: Sesungguhnya anda akan mati pada hari-hari anda ini. Justeru itu, bertakwalah kepada Allah tentang barang simpananku, janganlah anda menghilangkannya. Laksanakan apa yang anda telah janjikan kepadaku untuk merahsiakannya. Janganlah anda menyimpannya melainkan di sisi lelaki daripada Syi‘ah Ali bin Abu Talib salawatullahi ‘alaihi yang mempunyai agama dan maruah.
       Manakala aku melihat anda keesokannya, aku berasa gembira melihat anda, lantas aku teringat mimpiku tentang Sulaim bin Qais al-Hilali. Apabila al-Hajjaj sampai di Iraq, dia telah bertanyakan tentang Sulaim bin Qais al-Hilali, lalu Sulaim telah melarikan diri daripadanya, bersembunyi di Nubandajan dan bermalam bersama-sama kami.
       Aku tidak pernah melihat seseorang yang sangat menghormati dirinya, sangat berijtihad, sangat berdukcita, sangat merendahkan dirinya, memarahi kemasyhuran dirinya selain daripadanya. Umurku pada masa itu adalah empat belas tahun. Aku telah membaca al-Qur’an dan bertanyakan kepadanya tentang ahli Badr. Aku juga telah mendengar hadis yang banyak daripada ‘Umar bin Abi Salmah bin Ummi Salmah (isteri Rasulullah Saw.), Mu‘adh bin Jabal, Salman al- Farisi, Ali a.s., Abu Dhar, al-Miqdad, Ammar dan al Barra’ bin ‘Azib. Tetapi aku telah merahsiakannya sehingga beliau hampir wafat, lalu beliau memanggilku ke sisinya seraya berkata:
       Wahai Abban! Sesungguhnya aku telah berjiran dengan anda dan aku tidak melihat daripada anda melainkan apa yang aku sukai. Sesungguhnya aku memiliki sebuah buku yang aku mendengarnya dari kalangan orang yang boleh dipercayai. Buku itu aku tuliskan dengan tanganku sendiri. Di dalamnya mengandungi hadis-hadis yang aku tidak suka diketahui oleh orang ramai, kerana mereka akan mengingkarinya dan membesar-besarkannya pula. Ia merupakan kebenaran yang mana aku telah mengambil daripada ahlinya, Ali bin Abu Talib, salawat dan salam Allah ke atasnya daripada Salman al-Farisi, Abu Dhar al-Ghifari dan al-Miqdad bin al- Aswad.
       Tidak ada satu hadis pun yang aku dengar daripada salah seorang daripada mereka sehingga aku telah bertanyakan pula kepada orang lain dan mereka bersepakat mengenainya. Pernah ketika aku jatuh sakit, aku berhasrat untuk membakarnya, tetapi aku berasa bersalah lalu membatalkan hasrat tersebut.
       Berjanjilah dengan nama Allah bahawa anda tidak akan memberitahu sesiapapun mengenainya selama hidupku dan tidak akan memberitahu sesiapapun selepas kematianku melainkan kepada orang yang anda percaya sebagaimana anda percaya kepada diri anda sendiri. Jika berlaku sesuatu kepada anda, hendaklah anda memberikanya kepada orang yang anda percaya di kalangan Syi‘ah Ali bin Abu Talib salawatul Lahi ‘alaihi, orang yang mempunyai agama dan maruah. Aku telah memberi jaminan tersebut kepadanya lantas, beliau menyerahkannya kepadaku dan membacakan kesemua kandungannya kepadaku. Kemudian selepas itu Sulaim menghembuskan nafasnya yang terakhir,rahmatu Llahi ‘alaihi.
       Selepas itu, aku telah membaca kitabnya dengan teliti dan mendapati ia mengandungi perkara yang besar dan menyulitkan kerana dalam kitab tersebut menunjukan kebinasaan semua umat Muhammad Saw. yang terdiri daripada kaum Muhajirin, Ansar dan Tabi‘in selain daripada Ali bin Abu Talib, keluarganya salawatu Llahi ‘alaihim dan Syi‘ahnya[1].
       Orang pertama aku temui selepas kedatanganku ke Basrah ialah al-Hasan bin Abi al Hasan al Basri. Beliau pada masa itu sedang bersembunyi daripada al Hajjaj dan beliau adalah daripada Syi‘ah Ali bin Abu Talib salawatu Llahi ‘alaihi.
       Beliau telah menyesal kerana tidak membantu Ali a.s. dan berperang bersamanya dalam peperangan Jamal. Maka aku bertemu dengannya di Timur Dar Abi Khalifah al Hajjaj bin Abi ‘Itab al-Dailami. Justeru itu, aku telah membentangkan Kitab Sulaim kepadanya lantas beliau menangis. Kemudian beliau berkata: Semua hadis tersebut adalah benar, aku telah mendengarnya daripada orang yang boleh dipercayai (thiqah) terdiri daripada Syi‘ah Ali salawatu Llahi ‘alaihi dan lain lain.

Pengesahan akan kebenaran Kitab Sulaim oleh Ali bin al-Husain a.s.

       Abban berkata: Aku telah mengerjakan haji pada tahun itu juga. Aku mengambil kesempatan berjumpa dengan Ali bin al Husain a.s. dan bersama beliau ialah Abu Tufail Amir ibn Wa’ilah, sahabat Rasulullah Saw. Beliau daripada kalangan sahabat Ali yang terpilih, bersamanya ialah Umar bin Ummi Salamah isteri Rasulullah Saw., aku telah membentangkan Kitab Sulaim kepadanya dan Ali bin al Husain a.s. pada setiap hari selama tiga hari.
       Umar dan Amir telah membacakanya kepada Ali bin al Husain. Beliau berkata: Benar apa yang dikatakan Sulaim rahmatullahi‘alaihi. Ini adalah hadis kami, kesemuanya kami ketahui.
       Abu Tufail dan Umar bin Abu Salamah berkata: Semua hadis tersebut kami telah mendengar daripada Ali salawatullahi ‘alaihi, Salman al-Farisi, Abu Dhar dan al-Miqdad. Aku berkata kepada Abu al-Hasan Ali bin al-Husain a.s. (aku jadikan diriku sebagai tebusan): Ia merisaukan aku kerana kandungannya menunjukkan kebinasaan semua umat Muhammad yang terdiri daripada kaum Muhajirin, Ansar dan Tabi‘in selain daripada Ahl Bait anda dan Syi‘ah anda?[2]
       Beliau menjawab: Wahai saudara Abd al Qais! Tidakkah sampai kepada anda hadis Rasulullah Saw. bahawa beliau bersabda: “Umpama Ahl Baitku pada umatku sepertilah bahtera Nuh pada kaumnya. Sesiapa yang menaikinya akan berjaya dan sesiapa yang tidak menaikinya akan tenggelam (binasa)[3], atau umpama Pintu Taubat[4] pada Bani Israil?” Aku menjawab: Ya.
       Beliau bertanya kepadaku: Siapakah yang telah memberitahu anda? Maka aku menjawab: Aku telah mendengarnya daripada lebih seratus Fuqaha’. Beliau bertanya lagi: Daripada siapa? Aku menjawab: Aku telah mendengarnya daripada Hunsy bin al Mu‘tamar. Beliau memberitahu bahawa beliau mendengarnya daripada Abu Dhar ketika beliau sedang berpegang pada Ka‘bah dan meriwayatkan apa yang didengarinya daripada Rasulullah Saw. Beliau bertanya lagi: Daripada siapa lagi?
       Aku menjawab: Daripada al-Hasan bin Abu al Hasan al-Basri dan beliau telah mendengarnya daripada Abu Dhar, al-Miqdad bin al Aswad dan daripada Ali bin Abu Talib salawatullahi ‘alaihi. Beliau bertanya lagi: Daripada siapa? Aku menjawab: Daripada Sa‘id bin al-Musayyab, Alqamah bin Qais, Abu Zabyan al-Janbi dan Abd al-Rahman bin Abu Laila. Semuanya  menyatakan bahawa mereka telah mendengarnya daripada Abu Dhar.
       Dan kami telah mendengarnya daripada Ali a.s., al-Miqdad dan Salman. Kemudian Umar bin Abu Salamah datang dan berkata: Demi Allah! aku telah mendengarnya daripada orang yang lebih baik daripada mereka semua. Aku telah mendengarnya daripada Rasulullah Saw, dua telingaku telah mendengarnya dan hatiku telah menjaganya. Ali bin al-Husain berkata: Tidakah hadis ini dapat menenangkan apa yang menakut dan merisaukan anda? Bertakwalah kepada Allah wahai saudara Abd al-Qais! Jika ia jelas kepada anda, maka terimalah dan jika tidak, berdiam diri lebih selamat. Kembalikan keilmuannya kepada Allah kerana anda masih mempunyai ruang yang luas antara langit dan bumi.
       Abban berkata: Dewasa itu aku telah mengemukakan pertanyaan kepadanya apa yang aku tidak tahu dan apa yang tidak sepatutnya aku tahu. Maka beliau menjawab kesemua pertanyaanku.
       Abban berkata: Kemudian aku telah berjumpa dengan Abu Tufail di rumahnya. Beliau telah menerangkan kepadaku tentang raj‘ah daripada ahli Badr, Salman, al-Miqdad dan Ubayy bin Ka‘ab. Abu Tufail berkata: Aku telah membentangkan raj‘ah, setelah mendengar daripada mereka kepada Ali bin Abu Talib a.s. di Kufah. Beliau menjawab: Raj’ah adalah ilmu khas di mana umat tidak mengetahuinya dan dikembalikan keilmuannya kepada Allah.
       Kemudian beliau membenarkan apa yang telah diberitahu oleh mereka mengenainya. Beliau membacakan kepadaku beberapa ayat al-Qur’an[5] tentang raj‘ah dan mentafsirkannya dengan lengkap sehingga aku percaya tentang raj‘ah sebagaimana aku percaya kepada Hari Kiamat.
       Antara persoalanku kepadanya: Wahai Amir al Mukminin! Beritahukan kepadaku di manakah letaknya Haudh[6] Rasulullah Saw., adakah ia di dunia atau di akhirat? Beliau menjawab: Di Dunia. Aku bertanya lagi: Siapakah yang akan mengambilnya? Beliau berkata: Aku dengan tanganku ini dan para waliku, sementara musuh-musuhku akan dihindarkan daripadanya. Dalam riwayat yang lain pula: Aku akan memberikanya kepada para waliku dan aku akan menghalang musuh musuhku darinya. 
       Aku bertanya lagi: Apakah maksud perkataan al-Dabbah di dalam surah al-Naml (27): 82. “Apabila telah tiba perkataan (janji) siksa kepada mereka, kami keluarkan kepada mereka al-Dabbah yang melata di bumi yang mengatakan kepada mereka, bahawa manusia tidak yakin kepada ayat-ayat kami”.
       Beliau berkata kepadaku: Anda ingin mengetahui maksudnya? Aku berkata: Aku jadikan diriku sebagai tebusan. Beliau berkata: Al-Dabbah memakan makanan, berjalan-jalan di pasar dan mengahwini wanita. Aku berkata: Wahai Amir al Mukminin? Siapakah yang dimaksudkan dengan Dhar al-Ardh di mana bumi menjadi tenteram dengannya? Aku bertanya lagi: Wahai Amir al Mukminin, siapakah dia Siddiq umat ini, Faruq dan pemukanya serta Dhu Qarni-ha?
       Wahai Amir al Mukminin, siapakah yang dimaksudkan di dalam firman-Nya, Surah Hud (11):17, ‘‘Adakah orang yang mendapat keterangan daripada Tuhannya dan diikuti oleh saksi daripada-Nya (syahidun min-hu), firman-Nya dalam Surah al-Ra‘d (13):43, ‘‘…dan orang yang di sisinya ‘ilm al- kitab”,dan firman-Nya dalam Surah al-Zumar (39): 33, ‘‘…dan orang yang membawa kebenaran dan membenarkannya” Amir al-Mukminin menjawab: Akulah yang dimaksudkan dalam ayat-ayat tersebut[7], sementara orang ramai (al-nas) semuanya kafirun[8] selain daripadaku dan selain daripadanya[9].
       Aku berkata: Anda sebutkanlah. Beliau berkata: Aku akan menyebutkannya kepada anda. Wahai Abu Tufail! Sekiranya aku memberitahu kepada semua Syi‘ahku yang berperang bersamaku di mana mereka mengakui taat setia mereka kepadaku, mereka memanggilku Amir al-Mukminin. dan mereka menghalalkan jihad terhadap orang yang menentangku. Maka jika aku memberitahu mereka sebahagian daripada kebenaran yang aku tahu dalam al-Qu’ran yang diturunkan Jibril ke atas Muhammad Saw, nescaya mereka akan berkeliaran lari daripadaku. Hanya sebilangan kecil daripada Syi‘ahku yang tinggal bersamaku seperti anda. Maka aku menjadi takut . Aku berkata: Wahai Amir al-Mukminin, orang sepertiku akan meninggalkan anda atau tetap berada bersama anda? Beliau menjawab: Tidak! malah kalian akan tetap bersamaku.
       Kemudian Ali a.s.berkata: Sesungguhnya urusan kami sulit dan menyulitkan di mana ia tidak akan diakui melainkan oleh tiga: Malaikat yang akrab (malak muqarrab), Nabi yang diutuskan (nabiyyun mursalun) dan Mukmin cerdik (mu‘min najib) di mana Allah telah menguji keimanannya.
       Wahai Abu Tufail! sesungguhnya apabila Rasulullah Saw. wafat, orang ramai telah menjadi murtad dalam keadaan sesat dan jahil, melainkan mereka yang dilindungi Allah seperti kami Ahl al-Bait[10].
       Umar bin Udhinah berkata: Kemudian Abban telah menyerahkan kepadaku Kitab Sulaim bin Qais al-Hilali. Beberapa bulan selepas itu, Abban meninggal dunia. Ini adalah salinan Kitab Sulaim bin Qais al-Hilali di mana beliau telah menyerahkannya kepada Abban bin Abu ‘Iyasy dan beliau membacakannya kepadaku. Abban telah menyatakan bahawa beliau telah membacakannya kepada Ali bin al-Husain a.s., lalu beliau berkata: Sulaim adalah benar, ini adalah hadis kami yang kami ketahuinya.

Kewafatan Rasulullah Saw. dan sabdanya bahawa Ahl Baitnya adalah sebaik-baik makhluk yang dipilih Allah

       Sulaim berkata: Aku telah mendengar Salman al-Farisi berkata: Aku duduk di hadapan Rasulullah Saw. ketika sakit yang membawa kepada kewafatannya, lalu Fatimah a.s. datang. Manakala beliau melihat keadaan Rasulullah Saw., beliau menjadi terharu sehingga berlinang airmatanya di atas kedua pipinya.
       Lantas Rasulullah Saw. bersabda kepadanya: Wahai anak perempuanku! Apakah yang telah membuat anda menangis? Beliau menjawab: Aku takut ke atas diriku dan anak-anakku akan kehilangan tempat bergantung selepas anda. Rasulullah Saw. menjawab dalam keadaan airmatanya berlinangan: Wahai Fatimah! Tidakkah anda mengetahui sesungguhnya kami Ahl al-Bait, Allah telah memilih untuk kami Akhirat ke atas Dunia, sesungguhnya kebinasaan ke atas semua makhluk-Nya adalah suatu kepastian.
       Sesungguhnya Allah Ta‘ala telah merenung ke Bumi, lalu Dia memilihku di kalangan mereka dan menjadikan aku seorang Nabi. Kemudian Dia merenung ke Bumi kali kedua, lalu Dia telah memilih suami anda dan Dia telah memerintahkanku supaya menikahkan anda dengannya. Dia telah memerintahkanku mengambilnya sebagai saudara, wazirwasi dan menjadikanya khalifahku pada umatku. Justeru itu, bapa anda adalah sebaik-baik Nabi Allah dan Rasul-Nya. Sementara suami anda adalah sebaik-baik wasi dan wazir[11].
       Dan anda adalah orang pertama yang akan mengikutiku (wafat) di kalangan keluargaku. Kemudian. Dia telah merenung ke Bumi kali ketiga, lalu Dia memilih anda dan sebelas lelaki daripada anak cucu anda dan suami anda[12]. Lantaran itu, anda adalah penghulu wanita Syurga. Sementara dua anak lelaki anda adalah penghulu pemuda Syurga. Aku, saudaraku dan sebelas para imam dan para wasiku sehingga Hari Kiamat semuanya menjadi pembimbing dan mendapat petunjuk. Wasipertama selepas saudaraku, adalah al-Hasan kemudian al-Husain, kemudian sembilan daripada anak anak al-Husain berada dalam satu martabat di Syurga[13].
       Tidak ada martabat yang paling dekat kepada Allah selain daripada martabatku. Kemudian martabat Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Tidakkah anda mengetahui wahai anak perempuanku! adalah suatu penghormatan Allah kepada anda bahawa Dia telah mengahwinkan anda dengan orang yang paling baik daripada umatku dan sebaik-baik keluargaku, orang pertama memeluk Islam, mempunyai sopan-santun yang tinggi, ilmu yang banyak, jiwa yang paling tinggi, paling benar dalam percakapan, mempunyai hati yang paling berani, paling pemurah, paling zuhud di dunia dan paling kuat berjuang dengan segala tenaga untuk Islam.
       Lantas Fatimah a.s. tersenyum gembira mendengar apa yang disabdakannya. Kemudian Rasulullah Saw. bersabda kepadanya: Sesungguhnya Ali mempunyai lapan keistimewaan dan kelebihan yang tidak dimiliki oleh orang lain. Imannya dengan Allah dan Rasul-Nya mendahului orang lain. Keilmuannya dengan Kitab Allah dan Sunnahku di mana tidak ada seorang pun daripada umatku mengetahui semua keilmuanku selain daripada suami anda (laisa ahadun min ummati ya‘lamu jami‘a ‘ilmi ghaira ba‘li-ki), kerana Allah telah mengajariku keilmuan yang tidak diketahui oleh sesiapapun selain daripadaku. Dia telah mengajari para Malaikat dan para Rasul-Nya keilmuan , maka aku mengetahuinya[14].
       Allah telah memerintahkanku supaya mengajarkan keilmuan tersebut kepada Ali (a.s.), maka aku melakukanya (amarani llahu an u‘allima-hu iyya-hu fafa‘altu). Lantaran itu, tidak ada seorang pun daripada umatku mengetahui keseluruhan keilmuanku, kefahamanku, kefakihanku selain daripadanya (laisa ahadun min ummati ya‘lamu jami‘a ‘ilmi wa fahmi wa fiqhi kulla-hu ghaira-hu). Anda, wahai anak perempuanku! adalah isterinya. Sesungguhnya kedua-dua anak lelakiku al-Hasan dan al-Husain adalah anak lelaki umat ini[15].
       Aku telah memerintahkannya melakukan perkara yang baik dan melarang perkara yang mungkar. Sesungguhnya Allah telah mengajarnya hikmah dan kepakaran dalam percakapan. Wahai anak perempuanku! sesungguhnya Allah menganugerahkan kami Ahl al-Bait dengan tujuh sifat di mana Dia tidak pernah menganugerahkannya kepada orang terdahulu dan terkemudian selain daripada kami. Aku adalah penghulu para nabi dan para rasul dan sebaik-baik mereka. Wasiku adalah sebaik-baikwasiWazirku adalah suami anda. Syahid kami adalah sebaik-baik syahid.
       Fatimah berkata: Wahai Rasulullah! Adakah penghulu para syuhada’ yang berperang bersama anda? Beliau menjawab: Tidak. Malah penghulu syuhada’ daripada orang terdahulu dan terakhir selain para nabi dan para wasi. Ja‘far bin Abu Talib yang telah berhijrah dua kali, mempunyai dua sayap dan terbang dengan dua sayapnya di Syurga bersama para Malaikat. Dua anak lelaki anda al-Hasan dan al-Husain adalah anak lelaki umatku dan penghulu pemuda Syurga. Dan daripada kamilah Mahdi umat ini yang mana Allah akan memenuhi Bumi ini dengan kesaksamaan dan keadilan sebagaimana ia dipenuhi dengan kezaliman dan penyiksaan.
       Lalu Fatimah berkata lagi: Wahai Rasulullah! Siapakah orang yang lebih baik anda sebutkan tadi? Beliau menjawab: Saudaraku Ali adalah orang yang paling baik di kalangan umatku, Hamzah dan Ja‘far adalah umatku yang paling baik selepas Ali, anda, selepas dua anak lelakiku al-Hasan dan al-Husain dan selepas para wasi daripada anak lelakiku ini (Rasulullah Saw. telah memberi isyarat kepada al-Husain).
       Di kalangan mereka adalah al-Mahdi dan orang yang datang sebelumnya lebih baik daripadanya. Dan yang pertama adalah lebih baik dari yang terakhir kerana beliau adalah imamnya sementara yang akhir adalah wasi pertama. Allah telah memilih untuk kami Ahl al-Bait, Akhirat ke atas Dunia. Kemudian Rasulullah Saw. melihat kepada Fatimah, suaminya dan dua anak lelakinya. Maka Rasulullah bersabda: Wahai Salman! Aku memerangi orang yang memerangi mereka dan berdamai dengan orang yang berdamai dengan mereka. Mereka akan bersamaku di Syurga.
       Kemudian Rasulullah Saw. telah memandang kepada Ali a.s. dan bersabda: Wahai Ali! Anda akan menghadapi kecaman Quraisy dan kezaliman mereka ke atas anda. Jika anda mendapati pembantu-pembantu, maka tentangilah mereka. Perangilah mereka yang menentang anda dengan mereka yang bersetuju dengan anda.
       Dan jika anda tidak mendapati pembantu-pembantu, maka bersabarlah, tahanlah tangan anda dan jangan mencampakkan diri anda kepada kebinasaan kerana anda bersamaku sebagaimana kedudukan Harun dengan Musa. Malah untuk anda, Harun adalah ikutan yang baik kerana dia berkata kepada saudaranya: Sesungguhnya kaumku telah menindasku dan hampir mereka membunuhku.

Khabar gembira untuk Ali a.s. dan peristiwa yang akan berlaku selepas kewafatan Rasulullah Saw.

       Sulaim berkata: Ali bin Abu Talib a.s. telah menceritakan kepadaku dan beliau berkata: Aku pernah berjalan-jalan bersama Rasulullah Saw. di beberapa jalan di Madinah sehingga kami sampai di sebuah taman. Aku berkata: Wahai Rasulullah! Alangkah cantiknya taman ini. Rasulullah Saw. menjawab: Alangkah cantiknya tetapi untuk anda di Syurga lebih cantik lagi.
       Kemudian kami sampai di taman yang lain dan aku berkata: Wahai Rasulullah! Alangkah cantiknya taman ini. Rasulullah Saw. menjawab: Alangkah cantiknya, tetapi taman anda di Syuga lebih cantik lagi. Sehingga kami sampai di taman ketujuh, aku berkata: Wahai Rasulullah! Alangkah cantiknya taman ini? Beliau menjawab: Taman anda di Syurga lebih cantik lagi[16].
       Di akhir perjalanan beliau memelukku dan terus menangis, beliau bersabda: Dengan nama bapaku yang satu dan syahid, maka aku bertanya kepadanya: Apakah yang membuatkan anda menangis? Beliau menjawab: Dendam kesumat di dada mereka di mana mereka tidak akan menzahirkanya melainkan selepasku wafat iaitu dendam kesumat di Badr dan di Uhud. Aku berkata: Untuk keselamatan agamaku? (fi salamatin min dini). Beliau menjawab: Untuk keselamatan agama anda[17].
       Justeru itu bergembiralah wahai Ali! Kerana hidup anda dan mati anda adalah bersamaku. Anda adalah saudaraku, anda adalah wasiku. Anda adalah pilihanku, wazirku, pewarisku, penggantiku, pembayar hutangku, pelaksana janjiku. Anda pembersih dhimmahku, pelaksana amanahku. Anda akan memerangi al-Nakithin[18]al-Qasitin[19] dan al-Mariqin[20]. Anda di sisiku sepertilah Harun di sisi Musa. Malah Harun menjadi ikutan yang baik bagi anda kerana beliau di tindas oleh kaumnya dan hampir mereka membunuhnya. Lantaran itu bersabarlah tentang kezaliman Quraisy dan penentangan mereka terhadap anda, kerana kedudukan anda sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa dan pengikutnya[21].
       Sedangkan mereka sepertilah kedudukan al-‘Ijl (Anak lembu jantan) dan para pengikutnya. Oleh itu, Musa telah memerintahkan Harun ketika beliau melantiknya sebagai penggantinya ke atas kaumnya dan berpesan: sekiranya mereka sesat dan beliau mendapati pembantu-pembantu maka hendaklah beliau menentang mereka bersama mereka. Dan sekiranya beliau tidak mendapati pembantu-pembantu maka hendaklah beliau menahan tangannya dan darahnya. Jangan memecahbelahkan mereka.
       Wahai Ali! Allah tidak mengutuskan seseorang rasul melainkan segolongan manusia menerima Islam secara sukarela (tau‘an) dan segolongan yang lain secara terpaksa (karhan). Maka Allah menguasai orang yang menerima Islam secara terpaksa ke atas orang yang menerima Islam secara sukarela dan membunuh mereka supaya mereka mendapat pahala yang lebih besar.
       Wahai Ali! Umat tidak berselisih selepas nabinya melainkan terserlah Ahl al-Batil ke atas Ahl al-Haq.Sesungguhnya Allah melupai (nasiya) perpecahan dan perselisihan ke atas umat ini. Jika Dia mahu, nescaya Dia jadikan mereka di atas petunjuk sehingga dua orang tidak akan berselisih faham dan tidak bertengkar mengenai perintahnya. Dan orang yang kurang kelebihannya tidak akan mengingkari kelebihan orang yang lebih baik.
       Jika Dia mahu, nescaya Dia mempercepatkan azab kerana perubahan adalah juga daripada-Nya, sehingga si zalim dibohongi dan kebenaran diketahui kesudahannya. Tetapi Dia telah menjadikan Dunia sebagai tempat untuk beramal dan menjadikan Akhirat pula sebagai tempat yang kekal. Ini supaya Dia memberi balasan terhadap orang yang melakukan kejahatan dengan apa yang mereka lakukan dan memberi ganjaran terhadap orang yang melakukan kebaikan dengan kebaikan yang mereka lakukan. Maka aku berkata: Segala puji bagi Allah, bersyukur terhadap nikmat-Nya dan bersabar di atas ujian-Nya dengan penuh penyerahan dan meridhai Qadha’-Nya.

Peristiwa yang berlaku selepas kewafatan Rasulullah Saw. dan urusan bai‘ah kepada Abu Bakr
  
[1] Al-Bukhari, Sahih, viii, hlm. 378-385, (Bab fi al-Haudh), hadis no. 578, 584, 585, 586, 587 dan 590, telah meriwayatkan bahawa para sahabat Nabi Saw. telah menjadi kafir-murtad selepas kewafatannya. Hadis no. 585. ‘‘Aku akan mendahului kalian di Haudh. Sesiapa yang melalui di hadapanku akan meminumnya dan siapa yang telah meminumnya tidak akan dahaga selama-lamanya. Kelak sebilangan orang yang aku kenali dan mereka pula mengenaliku akan dikemukakan di hadapanku. Kemudian mereka (para sahabatku) dipisahkan daripadaku. Ketika itu aku akan berkata: Mereka itu adalah daripadaku (para sahabatku). Dijawab: Sesungguhnya mereka telah melakukan bid‘ah-bid‘ah (ahdathu ba‘da-ka) selepas anda meninggalkan mereka. Maka aku bersabda: Terjauh, terjauh (daripada rahmat) mereka yang telah mengubahkan (ghayyara) Sunnahku selepasku. Di dalam riwayat yang lain, Nabi saw bersabda: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka adalah para sahabatku (ashabi)! Dijawab: Sesungguhnya anda tidak mengetahui bid‘ah-bid‘ah (ahdathu) yang telah dilakukan oleh mereka selepas anda. Sesungguhnya mereka telah menjadi kafir-murtad kebelakang”. Hadis no.587 “Hanya sedikit daripada mereka terselamat seperti unta yang terpisah daripada pengembalanya.” Lihat juga Muslim, Sahih, iv, hlm.1793-6 (Kitab al-Fadha’il), hadis no. 26, 28, 29, 31 dan 32. Hadis no. 26.‘‘Kerana kamu tidak mengetahui apa yang telah dilakukan oleh mereka selepas anda meninggalkan mereka. Maka aku bersabda: Terjauhlah, terjauhlah (daripada rahmat) mereka yang telah mengubah (baddala) sunnahku selepasku”.

[2] Ibid.

[3] Al-Hakim, al-Mustadrak, ii, hlm. 343. Al-Dhahabi, al-Talkhis, ii, 345. al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah , i, hlm. 27. al-Tabrani, al-Ausat, hlm. 216.

[4] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, i, hlm. 27. al-Tabrani, al-Ausat, hlm. 216.

[5] al-Qur’an: Surah al-Naml (27): 83 ‘‘Dan pada hari kami kumpulkan daripada setiap umat satu kumpulan (faujan) di kalangan mereka yang mendustakan ayat-ayat kami, mereka akan dikumpulkan”

[6] Al-Bukhari, Sahih, viii, hlm. 380. Hadis no. 581, Nabi Saw. bersabda: “Haudhku adalah perjalanan sebulan. Airnya lebih putih daripada susu. Bauannya lebih wangi daripada Misk. Cawan minumannya banyak seperti bintang di langit. Siapa yang meminumnya tidak akan dahaga selama-lamanya”.

[7] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘al-Mawaddah, i, hlm.102.

[8] Al-Bukhari, Sahih, viii, hlm. 379-385, hadis no.578, 584, 585, 586. Nabi Saw. bersabda: "Manakala aku sedang tidur, tiba-tiba sekumpulan (para sahabatku dibawakan kepadaku) sehingga aku mengenali mereka. Tiba-tiba seorang lelaki (Malaikat) keluar di antara aku dan mereka. Dia berkata (kepada mereka): Datang kemari, akupun bertanya kepadanya: Di mana? Dia menjawab: Ke Neraka. Demi Allah! aku bertanya lagi: Apakah kesalahan mereka? Dia menjawab: Mereka telah menjadi murtad selepas anda meninggalkan mereka” Lihat juga Muslim, Sahih, iv, hlm. 1792-6 (Kitab al-Fadha’il), Hadis no. 26, 28, 29, 30, 31 dan 32.

[9] Ibid, hlm. 384 hadis no. 587.

[10] Al-Bukhari, Sahih, viii, hlm. 384-385. ‘‘Sesungguhnya mereka (para sahabat) telah menjadi murtad selepas anda (irtaddu ba‘da-ka). Hanya sedikit daripada mereka yang terselamat seperti unta yang tersesat daripada pengembalanya”. Ia sejajar dengan firman-Nya Surah al-Saba’ (34):13 ‘‘Dan sedikit sekali daripada hamba-hamba-Ku yang bersyukur”.

[11] Al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Ummal, vi, hlm. 153. al-Hakim, al-Mustadrak, iii, 159. al-Kanji al-Syafi‘i, Kifayah al-Talib, hlm. 491.

[12] Al-Haithami, Majma‘ al-Zawa’id, viii, hlm. 353. al-Hakim, al-Mustadrak, iii, 159.

[13] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 447.

[14] Al-Isfahani, Hilyah al-Auliya’, i, hlm. 65.

[15] Al-Hakim, al-Mustadrak, iii, hlm. 110. al-Isfahani, Hilyah al-Auliya’, i, hlm. 68.

[16] Muhibb al-Din al-Tabari, al-Riyadh al-Nadhirah, i, hlm. 13. al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Ummal, v, hlm. 40.

[17] Al-Khatib, Tarikh Baghdad, xii, hlm. 397 .al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Ummal, vi, hlm. 408.

[18] Ahli Jamal yang telah dipimpin oleh Aisyah, Talhah dan al-Zubair.

[19] Ahli Siffin yang telah dipimpin oleh Mu‘awiyah.

[20] Ahli Nahrawan (Khawarij).

[21] Al-Haithami, Majma‘ al-Zawa’id, ix, hlm. 111. al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Ummal, vi, hlm. 154.

Penulis : Unknown ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Kitab Sulaim: Sanad, pengesahan kebenaran, Ahl al-Bait sebaik-baik makhluk dll ini dipublish oleh Unknown pada hari 13 Julai 2011. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Kitab Sulaim: Sanad, pengesahan kebenaran, Ahl al-Bait sebaik-baik makhluk dll
 

0 comments:

Catat Ulasan