Welcome to My lovely Blog

Random

create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
http://adf.ly/EWRNQ

Hadiths/aLQur'an

Hadiths/aLQur'an
Dhul Hijja

Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini, w.328/29 H (bab 107 dan 108 A ayat2 ttg wilayah)


        Bab 107

Bab Tentang Perkara Yang Pelik (bab nadir)☼

       (651)-1. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Ahmad bin Muhammad bin Abdillah, daripada Ayyub bin Nuh berkata: Pada suatu hari beliau telah bersin dan aku berada di sisinya, maka aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, apakah yang dikatakan kepada imam apabila beliau bersin? Beliau telah berkata: Mereka telah berkata: Salla llahu ‘alai-ka.

       (652)-2. Muhammad bin Yahya, daripada Ja‘far bin Muhammad berkata: Ishaq bin Ibrahim al-Dinuari telah memberitahu kepadaku daripada Umar bin Zahir, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Seorang lelaki telah bertanya kepadanya tentang al-Qaim dan memberi salam kepadanya dengan “Amir al-Mukminin”? Beliau telah berkata: Tidak, itu adalah nama yang telah diberikan oleh Allah kepada Amir al-Mukminin a.s. tidak ada seorangpun telah dinamakan dengannya sebelumnya dan selepasnya melainkan oleh orang kafir. Aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, bagaimana diberi salam kepadanya? Beliau telah berkata: Mereka telah berkata: Al-Salamu‘alai-ka ya Baqiyyata llahi[1], kemudian beliau a.s telah membaca firman-Nya: “Baqiyyatu llah adalah lebih baik bagimu jika kamu beriman”[2]

       (653)-3. Al-Hasan bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Wasyaa’, daripada Ahmad bin Umar berkata: Aku telah bertanya Abu al-Hasan a.s kenapakah dinamakan Amir al-Mukminin a.s? Beliau a.s telah berkata: Kerana beliau akan dapat memberi mereka ilmu, tidakkah anda mendengar[nya] di dalam Kitab Allah: “Dan kami akan dapat memberi makan keluarga kami”[3]
       Di dalam riwayat yang lain beliau telah berkata: Kerana penyaraan mukminin (miirah al-Mu’minin) kepada mereka di sisinya adalah menyediakan mereka ilmu.
        (654)-4. Ali bin Ibrahim, daripada Ya‘qub bin Yazid, daripada Ibn Abi ‘Umair, daripada Abi al-Rabi‘ al-Qazzaz, daripada Jabir, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Aku telah berkata kepadanya: Kenapakah dinamakan dengan Amir al-Mukminin? Beliau a.s telah berkata: Allah telah menamakannya dan demikianlah diturunkan di dalam Kitab-Nya: “Dan ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anank Adam dari salbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka: Bukankan Aku ini Tuhanmu?[4] Dan sesungguhnya Muhammad adalah Rasul-Ku dan sesungguhnya Ali adalah Amir al-Mukminin.

                                                                                           
                                                            Bab 108-A

☼Anekdot Dan Kutipan Daripada Al-Qur’an Tentang Wilayah (fi-hi nukat wa-natf min al-Tanzil fi al-Wilayah)☼

       (655)-1. Beberepa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada sebahagian daripada sahabat kami, daripada Hannan bin Sudair, daripada Salim bin al-Hannaat berkata: Aku telah berkata kepada Abu Ja‘far al-Sadiq a.s: Beritahulah kepadaku tentang firman Allah: “Ia dibawa turun oleh al-Ruh al-Amin, ke dalam hatimu agar kamu menjadi salah seorang di antara mereka yang memberi peringatan dengan bahasa Arab yang jelas”[5] Beliau telah berkata: Ayat ini menunjukkan wilayah Amir al-Mukminin a.s.

       (656)-2. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada al-Hakam bin Miskin, daripada Ishaq bin ‘Ammar, daripada seorang lelaki, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w: “Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, lalu amanat itu dipikul oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu masih zalim dan amat bodoh”[6] Beliau telah berkata: Ayat ini menunjukkan wilayah Amir al-Mukminin a.s.

       (657)-3. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Abi Zahir, daripada al-Hasan bin Musa al-Khasysyab, daripada Ali bin Hassaan, daripada ‘Abd al-Rahman bin Kathir, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w: “Mereka yang beriman dan tidak mencapur-adukkan iman mereka dengan kezaliman”[7] Beliau telah berkata: Wilayah yang dibawa oleh Muhammad s.a.w yang tidak mencampur-adukkannya dengan wilayah polan[8] dan polan[9] kerana wilayah mereka telah bercampur-aduk dengan kezaliman.

       (658)-4. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Mahbub, daripada al-Hasan bin Na‘aim al-Sahhaf berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w: “Dialah yang menciptakan kamu maka di antara kamu ada yang mukmin dan di antara kamu ada yang kafir”[10] Maka beliau a.s telah berkata: Allah telah mengetahui keimanan mereka dengan wilayah kami dan kekafiran mereka dengannya, pada hari Dia telah mengambil perjanjian ke atas mereka pada salbi Adam a.s ketika mereka di alam dharr.[11]

       (659)-5. Ahmad bin Idris, daripada Muhammad bin Ahmad, daripada Ya‘qub bin Yazid, daripada Ibn Mahbub, daripada Muhammad bin al-Fudhail, daripada Abu al-Hasan a.s tentang firman Allah a.w: “Mereka menunaikan nazar”[12] yang diambil ke atas mereka daripada wilayah kami.

       (660)-6. Muhammad bin Isma‘il, daripada al-Fadhl bin Syazan, daripada Hammad bin Isa, daripada Ruba‘i bin Abdillah, daripada Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah a.w: “Dan sekiranya mereka sungguh menjalankan (hukum) Taurat dan Injil dan apa yang diturukan kepada mereka (al-Qur’an)”[13] Beliau telah berkata: Wilayah [Amir al-Mukminin a.s].

       (661)-7. Al-Husain bin Muhammad al-Asy‘ari, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Wasyaa’, daripada Muthanna, daripada Zurarah, daripada Abdillah bin ‘Ajalan, daripada Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah: “Katakanlah: “Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang di dalam kekeluargaan”[14] Beliau telah berkata: Merekalah para imam a.s.

       (662)-8. Al-Husain binMuhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Ali bin Asbat, daripada Ali bin Abi Hamzah, daripada Abi Basir, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah: “Dan sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya (tentang wilayah Ali) [dan wilayah] para imam selepasnya) maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besarr”[15] Beliau telah berkata: Beginilah ianya diturunkan. [16] 

       (663)-9. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Ahmad bin al-Nadhar, daripada Muhammad bin Marwan secara marfu‘ kepada mereka tentang firman Allah a.w: “Dan kamu tidak boleh menyakiti Rasulullah”[17] pada Ali dan para imam a.s “Seperti mereka yang telah menyakiti Musa, maka Allah membersihkannya dari tuduhan-tuduhan yang mereka katakan”[18]

       (664)-10. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Sayyaari, daripada Ali bin Abdillah berkata: Seorang lelaki telah bertanya beliau tentang firman Allah: “Sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka”[19] Beliau telah berkata: Sesiapa yang telah berkata tentang para imam dan mengikuti urusan mereka.

       (665)-11. Al-Husain bin Muhammad, daripada Ali bin Muhammad, daripada Ahmad bin Muhammad bin Abdillah secara marfu‘ tentang firman Allah a.w: “Aku benar-benar bersumpah dengan kota ini, dan kamu (Muhammad) bertempat di kota Makkah ini, dan demi bapa dan anaknya”[20]Beliau telah berkata: Amir al-Mukminin dan apa yang dilahirkannya daripada para imam a.s.

       (666)-12. Al-Husain binMuhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Uramah dan Muhammad bin Abdillah, daripada Ali bin Hassaan, daripada ‘Abd al-Rahman bin Kathir, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah: “Ketahuilah apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai pendapatan, maka seperlima untuk Allah dan Rasul dan kerabat Rasul…[21] Beliau telah berkata: Amir al-Mukminin dan para imam a.s
        (667)-13. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Wasyaa’, daripada Abdillah bin Sinan berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w: “Dan di antara mereka yang kami ciptakan ada umat yang memberi petunjuk dengan hak dan dengan yang hak itu (pula) mereka menjalankan keadilan”[22] Beliau telah berkata: Amir al-Mukminin dan para imam a.s.

       (668)-14. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Uramah, daripada Ali bin Hassaan, daripada ‘Abd al-Rahman bin Kathir, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah: “Dialah yang menurunkan al-Kitab (al-Qur’an) kepada kamu. Di antaranya ada ayat-ayat yang muhkamah, itulah pokok-pokok isi al-Qur’an”[23] Beliau a.s telah berkata: Amir al-Mukminin dan para imam a.s “Dan yang lain (ayat-ayat) mutasyabihah” Beliau a.s telah berkata: polan [24]dan polan[25] “Adapun mereka yang dalam hatinya condong kepada kesesatan” para sahabat mereka dan ahli wilayah mereka “maka mereka mengikuti ayat-ayat mutasyabihah daripadanya untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari takwilnya pada hal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah dan mereka yang mendalam ilmunya”[26] Beliau telah berkata: Amir al-Mukminin dan para imam a.s.

       (669)-15. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Wasyaa’, daripada Muthanna, daripada Abdillah bin ‘Ajalan, daripada Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah a.w: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan dibiarkan (begitu saja), sedang Allah belum mengetahui mereka yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil menjadi teman yang setia selain Allah, Rasul-Nya dan mereka yang beriman”[27] Dimaksudkan dengan al-Mu’minin (mereka yang beriman) di dalam ayat ini adalah para imam a.s, mereka (orang ramai) tidak mengambil menjadi teman setia selain daripada mereka.

       (670)-16. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Jumhur, daripada Safwan, daripada Ibn Maskan, daripada al-Halabi, daripada Abi Abdillah a.s tentang firman-Nya: “Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya”[28] [beliau telah berkata] aku telah berkata: Apakah perdamaian? Beliau telah berkata: Memasuki urusan kita.

       (671)-17. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Mahbub, daripada Jamil bin Salih, daripada Zurarah, daripada Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah a.w: “Sesungguhnya kamu menaiki tingkat demi tingkat”[29] Beliau telah berkata: Wahai Zurarah, tidakkah umat ini menaiki selepas nabinya tingkat demi tingkat di dalam urusan polan[30], polan [31]dan polan[32].

       (672)-18. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Jumhur, daripada Hammad bin Isa, daripada Abdillah bin Jundub berkata: Aku telah bertanya Abu al-Hasan a.s tentang firman Allah a.w: “Dan sesungguhnya Kami telah turunkan perkataan ini (al-Qur’an) kepada mereka agar mereka mendapat pelajaran”[33] Beliau telah berkata: Imam kepada imam a.s.

       (673)-19. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Hasan bin Mahbub, daripada Muhammad bin al-Nu‘man, daripada Salam, daripada Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah a.w: “Katakanlah: “Kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami”[34] Beliau telah berkata: Dimaksudkan dengan demikian itu ialah Ali, Fatimah, al-Hasan, al-Husain dan selepas mereka adalah para imam a.s, Kemudian dikembalikan firman daripada Allah kepada manusia, maka Dia telah berfirman: “Jika mereka telah beriman (iaitu manusia) sebagaimana kamu telah beriman dengannya (iaitu Ali, Fatimah, al-Hasan, al-Husain dan para imam a.s), sungguh mereka telah mendapat petunjuk dan jika mereka berpaling, sesungguhnya mereka berada di dalam permusuhan (dengan kami)”[35]

       (674)-20. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Wasyaa’, daripada Muthanna, daripada Abdillah bin ‘Ajalan, daripada Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah a.w: “Sesungguhnya orang yang paling dekat kepada Ibrahim ialah mereka yang mengikutinya dan Nabi ini (Muhammad) serta mereka yang beriman”[36] Beliau telah berkata: Mereka ialah para Imam a.s dan mereka yang telah mengikuti mereka.

       (675)-21. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Wasyaa’, daripada Ahmad bin ‘Aa’idh, daripada Ibn Udhinah, daripada Malik al-Jahani berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w: “Dan al-Qur’an ini diwahyukan kepadaku supaya dengan dia aku memberi peringatan kepadamu dan kepada mereka yang sampai al-Qur’an (kepadanya)”[37] Beliau telah berkata: Orang yang telah sampai [darjat] untuk menjadi imam daripada keluarga Muhammad, maka beliau diberi peringatan dengan al-Qur’an sebagaimana Rasulullah s.a.w diberi peringatan dengannya.

       (676)-22. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Mufadhdhal bin Salih, daripada Jabir, daripada Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah a.w: “Sesungguhnya Kami telah perintahkan Adam dahulu, maka ia lupa dan tidak Kami dapatinya azam yang kuat”[38] Beliau telah berkata: Kami telah perintahkan kepadanya tentang Muhammad dan para imam a.s selepasnya, maka beliau telah meninggalkannya kerana beliau tidak ada azam yang kuat. Mereka dinamakan Ulu al-‘Azm kerana Dia telah perintahkan kepada mereka tentang Muhammad dan para wasi selepasnya khususnya al-Mahdi dan sirahnya.

       (677)-23. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Ja‘far bin Muhammad bin ‘Ubaidillah, daripada Muhammad bin Isa al-Qummi, daripada Muhammad bin Sulaiman, daripada Abdillah bin Sinan, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman-Nya: “Sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu” Beberapa kalimat tentang Muhammad, Ali, Fatimah, al-Hasan, al-Husain dan para imam a.s daripada zuriat mereka (maka ia lupa) beginilah [maksudnya], demi Allah ia diturunkan kepada Muhammad s.a.w.

       (678)-24. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada al-Nadhar bin Syu‘aib, daripada Khalid bin Maadd, daripada Muhammad bin al-Fadhl, daripada al-Thumali, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Allah telah mewahyukan kepada Nabi-Nya s.a.w: “Maka berpegang teguhlah kamu kepada agama yang telah diwahyukan kepadamu. Sesungguhnya kamu berada di atas jalan yang lurus”[39] Beliau telah berkata: Sesungguhnya engkau di atas wilayah Ali dan Ali adalah al-Sirat al-Mustaqim.

       (679)-25. Ali bin Ibrahim, daripada Ahmad bin Muhammad al-Barqi, daripada bapanya, daripada Muhammad bin Sinan, daripada ‘Ammar bin Marwan, daripada Munakhkhal, daripada Jabir, daripada Abu Abdillah a.s, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Jibrail a.s telah menurunkan ayat ini kepada Muhammad s.a.w seperti in: “Alangkah buruknya mereka yang menjual dirinya sendiri dengan kekafiran kepada apa yang telah diturunkan Allah kerana dengki (tentang Ali)”[40]

       (680)-26. Dengan sanad-sanad ini, daripada Muhammad bin Sinan, daripada ‘Ammar bin Marwan, daripada Munakhkhal, daripada Jabir, berkata: Jibrail a.s telah menurunkan ayat ini ke atas Muhammad seperti ini: “Dan jika kamu dalam kerugian tentang apa (al-Qur’an) yang kami telah turunkan ke atas hamba Kami (tentang Ali)[41], buatlah satu surah seumpamanya”[42]

       (681)-27. Dengan sanad-sanad ini, daripada Muhammad bin Sinan, daripada ‘Ammar bin Marwan, daripada Munakhkhal, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya Jibrail a.s telah menurunkan ke atas Muhammad s.a.w dengan ayat ini: “Wahai mereka yang telah diberikan al-Kitab, berimanlah kamu kepada apa yang telah Kami turunkan (tentang Ali) cahaya yang terang” [43]

       (682)-28. Ali bin Muhammad, daripada Ahmad bin Muhammad bin Khalid, daripada bapanya, daripada Abu Talib, daripada Yunus bin Bakkar, daripada bapanya, daripada Jabir, daripada Abu Ja‘far a.s: “Dan sesungguhnya jika mereka melaksanakan apa yang dinasihati dengannya (tentang Ali), tentulah hal  yang demikian itu lebih baik bagi mereka”[44]

       (683)-29. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Hasan bin Ali al-Wasyaa’, daripada Muthanna al-Hannat, daripada Abdillah bin ‘Ajalan, daripada Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah a.w: “Wahai mereka yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan jangan kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”[45] Beliau telah berkata: Tentang wilayah kami.

       (684)-30. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Abdillah bin Idris, daripada Muhammad bin Sinan, daripada al-Mufadhdhal bin Umar berkata: Aku telah berkata kepada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w: “Tetapi kamu memilih kehidupan dunia” Beliau telah berkata: Mewalikan mereka[46]“Sedangkan kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal” Beliau telah berkata: Wilayah Amir al-Mukminin a.s. “Sesungguhnya ini benar-benar terdapat dalam kitab-kitab yang terdahulu, iaitu kitab-kitab Ibrahim dan Musa”[47]
      
       (685)-31. Ahmad bin Idris, daripada Muhammad bin Hassaan, daripada Muhammad bin Ali, daripada ‘Ammar bin Marwan, daripada Munakhkhal, daripada Jabir, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: “Apakah setiap yang datang kepadamu (Muhammad) membawa sesuatu (pelajaran) yang tidak sesuai dengan keinginanmu (dengan mewalikan Ali) lalu kamu menyombong, maka beberapa orang (daripada keluarga Muhammad) kamu dustakan dan beberapa orang yang kamu bunuh?”[48]

       (686)-32. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Abdillah bin Idris, daripada Muhammad bin Sinan, daripada al-Ridha a.s tentang firman Allah a.w: “Amat berat bagi mereka yang musyrik (dengan wilayah Ali) apa yang kamu seru mereka kepadanya”[49] Wahai Muhammad bin Sinan, dengan wilayah Ali, begitulah pada manuskrip kitab.

       (687)-33. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Hilal, daripada bapanya, daripada Abi al-Safaatij, daripada Abu Basir, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w: “Segala puji bagi Allah yang telah menunjuki kami kepada ini. Dan kami sekali-kali tidak akan mendapat petunjuk kalau Allah tidak memberi kami petunjuk”[50]
       Maka beliau telah berkata: Apabila tiba hari Kiamat, lalu dipanggil Nabi s.a.w, Amir al-Mukminin dan para imam daripada anak-anaknya a.s, maka mereka terserlah kepada manusia, apabila Syiah melihat kepada mereka, mereka telah berkata: Segala puji bagi Allah yang telah menunjuki kami kepada ini. Dan kami sekali-kali tidak akan mendapat petunjuk kalau Allah tidak memberi kami petunjuk”. Iaitu Allah telah menunjuki kami kepada wilayah Amir al-Mukminin dan wilayah para imam daripada anak-anaknya a.s.

       (688)-34. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Uramah dan Muhammad bin Abdullah, daripada Ali bin Hassaan, daripada Abdullah bin Kathir, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w: “Tentang apakah mereka saling bertanya-tanya? Tentang berita yang besar”[51] Beliau telah berkata: Berita yang besar (al-Naba’ al-‘Azim) adalah wilayah Amir al-Mukminin a.s. Dan aku telah bertanya beliau tentang firman-Nya: “Di sana wilayah itu hanya dari Allah Yang Hak”[52] Beliau telah berkata: Wilayah Amir al-Mukminin a.s.

       (689)-35. Ali bin Ibrahim, daripada Salih bin al-Sindi, daripada Ja‘far bin Basyir, daripada Ali bin Abi Hamzah, daripada Abu Basir, daripada Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah a.w: “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada Agama”[53] Beliau telah berkata: Wilayah (Ahlu l-Bait a.s).

       (690)-36. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibrahim al-Hamdani secara marfu‘ kepada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w: “Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari Kiamat”[54] Beliau telah berkata: Para nabi dan para wasi a.s[55].

       (691)-37. Ali bin Muhammad, daripada Sahl bin Ziyad, daripada Ahmad bin al-Husain bin Umar bin Yazid, daripada Muhammad bin Jumhur, daripada Muhammad bin Sinan, daripada al-Mufadhdhal bin Umar berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w: “Datanglah al-Qur’an yang lain dari ini atau gantilah dia”[56] Beliau telah berkata: Mereka telah berkata: Atau gantilah Ali a.s.). Ali bin Muhammad, daripada Sahl bin Ziyad, daripada Isma‘il bin Mihran, daripada al-Hasan al-Qummi, daripada Idris bin Abdullah, daripada Abu Abdillah a.s, berkata: Aku telah bertanya beliau tentang tafsir ayat: “Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar? Mereka menjawab: “Kami dahulu tidak termasuk mereka yang mengerjakan sembahyang”[57] Beliau telah berkata: Dimaksukkan dengannya bahawa kami dahulu tidak termasuk daripda pengikut-pengikut para imam yang difirmankan oleh Allah pada mereka: “Dan mereka yang paling dahulu beriman, balasan kepada mereka yang paling dahulu beriman”[58] Beliau telah berkata: Tidakkah anda melihat manusia menamakan orang yang mengikuti orang yang dahulu (al-Sabiq) di dalam perlumbaan kuda dengan nama musalli. Justeru, apa yang dimaksudkan dengan firman-Nya:“Kami dahulu tidak termasuk mereka yang mengerjakan sembahyang”: Kami dahulu tidak termasuk mereka yang mengikuti mereka yang dahulu.

       (692)-39. Ahmad bin Mihran, daripada ‘Abd al-‘Azim bin Abdullah al-Hasani, daripada Musa bin Muhammad, daripada Yunus bin Ya‘qub, daripada orang yang beliau telah menyebutnya, daripada Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah a.w: “Dan bahawasanya jika mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu, benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar”[59] Beliau telah berkata: Kami akan memberi minum hati-hati mereka dengan keimanan. Dan jalan (al-Tariqah) ialah wilayah Ali bin Abu Talib dan para wasi a.s.

       (693)-40. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Jumhur, daripada Fadhdhalah bin Ayyub, daripada al-Husain bin Uthman, daripada Abi Ayyub, daripada Muhammad bin Muslim berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w: “Sesungguhnya mereka yang mengatakan: “Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka”, Maka Abu Abdillah a.s telah berkata: Mereka meneguhkan pendirian mereka di atas para imam seorang demi seorang (wahidan ba‘da wahidin) “Maka malaikat akan turun kepada mereka: Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih dan gembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu”[60]

       (694)-41. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Wasyaa’, daripada Muhammad bin al-Fudhail, daripada Abi Hamzah berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah a.s tentang firman Allah: “Katakanlah: Kami dahulu tidak termasuk mereka yang mengerjakan sembahyang”[61] Maka beliau telah berkata: Sesungguhnya Aku hendak memperingatkan kepadamu dengan wilayah Ali a.s yang dimaksudkan dengan “Kami dahulu tidak termasuk mereka yang mengerjakan sembahyang”.

       (695)-42. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Uramah dan Ali bin Abdullah, daripada Ali bin Hassaan, daripada ‘Abd al-Rahman bin Kathir, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w: “Sesungguhnya mereka yang beriman, kemudian kafir, kemudian beriman (pula), kemudian kafir lagi, kemudian bertambah kekafirannya”[62] “Sekali-kali tidak akan diterma taubatnya”[63] 
       Beliau telah berkata: Ayat ini telah diturunkan kepada polan[64], polan[65] dan polan[66], mereka telah beriman kepada Nabi s.a.w pada mulanya dan mereka telah kafir lagi apabila wilayah [Ali] dibentangkan kepada mereka ketika Nabi s.a.w bersabda: Sesiapa yang mana aku maulanya, maka ini Ali adalah maulanya”. Kemudian mereka telah beriman dengan [memberi] baiah kepada Amir al-Mukminin a.s, kemudian mereka kafir lagi selepas kematian Rasulullah s.a.w, mereka tidak mengakui baiah tersebut. Kemudian kekafiran mereka bertambah apabila mereka mengambil orang yang telah memberi baiah kepadanya (Ali) supaya memberi baiah kepada mereka pula, Justeru, iman tidak tinggal pada mereka walaupun sedikitpun.

       (696)-43. Dengan sanad-sanad ini, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah: “Sesungguhnya mereka yang telah kembali ke belakang (murtad) sesudah petunjuk itu jelas bagi mereka”[67]. Beliau telah berkata:  Polan, polan dan polan[68], mereka telah murtad daripada keimanan (irtadduu ‘an al-Iman) kerana meninggalkan wilayah Amir al-Mukminin a.s (fi tarki wilayah Amir al-mu’minin a.s). Aku telah berkata: Tentang firman Allah: “Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka itu berkata kepada mereka yang benci kepada apa yang diturunkan Allah: “Kami akan mematuhi kamu dalam beberapa urusan”[69]
       Beliau telah berkata: Ayat ini telah diturunkan, demi Allah, kepada mereka berdua[70] dan kepada pengikut-pengikut mereka berdua[71] iaitu firman Allah a.w yang diturunkan oleh Jibrail a.s ke atas Muhammad s.a.w: “Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka itu berkata kepada mereka yang benci kepada apa yang diturunkan Allah (tentang Ali) Kami akan mematuhi kamu dalam beberapa urusan” Beliau telah berkata: Mereka telah menyeru Bani Umayyah kepada perjanjian mereka supaya mereka tidak menjadikan urusan [khilafah] kepada kami selepas Nabi s.a.w dan mereka tidak memberi khumus kepada kami dan mereka  telah berkata: Jika kita memberinya kepada mereka, nescaya mereka tidak berhajat kepada apa-apa lagi dan mereka tidak peduli bahawa urusan ini untuk mereka.
       Maka mereka  telah berkata:  Kami akan mematuhi kamu dalam beberapa urusan yang kamu telah menyeru kami kepadanya iaitu khumus supaya  kami tidak memberi khumus kepada mereka  dan firman-Nya: “Mereka benci apa yang diturunkan Allah” Dan apa yang diturunkan Allah dan difardukan ke atas makhluk-Nya ialah wilayah Amir al-Mukminin a.s. Bersama mereka ialah Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah sebagai setiausaha mereka. Kemudian Allah menurunkan firman-Nya: “Bahkan mereka telah menetapkan satu urusan (tipudaya), maka sesungguhnya Kami menetapkan pula. Apakah mereka mengira bahawa Kami tidak mendengar rahsia dan bisikan mereka?”[72]

       (697)-44. Dan dengan sanad-sanad ini, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w: “Dan sesiapa yang bermaksud di dalamnya melakukan kejahatan secara zalim”[73]Beliau telah berkata: Ayat ini diturunkan kepada mereka[74] apabila mereka telah memasuki Ka‘bah, lalu mereka membuat perjanjian dan menetapkan di atas kekafiran dan keingkaran mereka terhadap apa yang diturunkan kepada Amir al-Mukminin a.s, maka mereka telah melakukan kejahatan secara zalim kepada Rasulullah s.a.w dan walinya di Ka‘bah, maka alangkah jauhnya golongan yang zalim [daripada kebenaran].

        (698)-45. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Ali bin Asbat, daripada Ali bin Abi Hamzah, daripada Abu Basir, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w: “Kelak kamu akan mengetahui siapakah yang berada dalam kesesatan yang nyata”[75] Wahai kumpulam pembohong-pembohong yang mana aku telah memberitahu kepada kamu perutusan Tuhanku tentang wilayah Ali a.s dan para imam selepasnya, siapakah yang berada dalam kesesatan yang nyata? Demikianlah ia telah diturunkan. Dan tentang firman-Nya: “Dan jika kamu memutarbelitkan (kata-kata) atau menentang”[76] Maka beliau telah berkata: Jika kamu memutarbelitkan urusan [khilafah] dan menentang apa yang diperintahkan kepada kamu “Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu lakukan” dan firman-Nya: “Maka sesungguhnya Kami akan merasakan azab yang keras (di dunia) kepada mereka yang kafir (kerana meninggalkan wilayah Amir al-Mukmin a.s) dan Kami akan memberi balasan kepada mereka dengan seburuk-buruk pembalasan bagi apa yang mereka telah kerjakan”[77]

       (699)-46. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Ali bin Asbat, daripada Ali bin Mansur, daripada Ibrahim bin ‘Abd al-Hamid, daripada al-Walid bin Sabih, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman-Nya: “Yang demikian itu apabila Allah saja diseru (dan ahli wilayah), kamu kafir”[78]

       (700)-47. Ali bin Ibrahim, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Muhammad bin Khalid, daripada Muhammad bin Sulaiman, daripada bapanya, daripada Abu Basir, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah: “Seorang yang telah meminta kedatangan azab yang akan menimpa, bagi mereka yang kafir (dengan wilayah Ali), tidak seorangpun dapat menolaknya”[79]Kemudian beliau telah berkata: Demikianlah Jibrail telah menurunkannya ke atas Muhammad s.a.w[80].

       (701)-48. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada al-Hasan bin Saif, daripada saudaranya, daripada bapanya, daripada Abi Hamzah, daripada Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah: “Sesungguhnya kamu benar-benar dalam keadaan berbeza-berbeza pendapat (tentang urusan wilayah) dipalingkan daripadanya orang yang dipalingkan”[81] Beliau telah berkata: Sesiapa yang dipalingkan daripada wilayah [Ali] akan dipalingkan daripada syurga.
       (702)-49. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Jumhur, daripada Yunus berkata: Seorang lelaki telah memberitahu kepadaku yang mana beliau telah meriwayatkannya secara marfu‘ kepada Abu Abdillah a.s tentang firman-Nya : “Tetapi dia tidak menempuh jalan yang mendaki lagi sukar. Tahukah kamu apakah jalan yang mendaki lagi sukar itu? (Iaitu) melepaskan budak dari perbudakan”[82] Dimaksudkan dengan firman-Nya: “Melepaskan budak dari perbudakan” wilayah Amir al-Mukminin a.s kerana ia [seperti] melepaskan budak dari perbudakan (fakk raqabah).

       (703)-50. Dengan sanad-sanad ini, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w: “Dan berilah berita gembira kepada mereka yang beriman bahawa mereka mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Tuhan mereka”[83] Beliau telah berkata: [Dengan] Wilayah Ali a.s.

       (704)-51. Ali bin Ibrahim, daripada Ahmad bin Muhammad al-Barqi, daripada bapanya, daripada Muhammad bin al-Fudhail, daripada Abi Hamzah, daripada Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah a.w:Inilah dua golongan yang bertengkar, mereka saling bertengkar mengenai Tuhan mereka. Maka orang kafir (dengan wilayah Ali) akan dibuatkan untuk mereka pakaian-pakaian dari api neraka”[84]

       (705)-52. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Uramah, daripada Ali bin Hassaan, daripada ‘Abd al-Rahman bin Kathir, berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w: “Di sana wilayah itu hanya dari Allah Yang Hak”[85] Beliau telah berkata: Wilayah Ali bin Abu Talib a.s.

       (706)-53. Muhammad bin Yahya, Salmah bin al-Khattab, daripada Ali bin Hassaan, daripada ‘Abd al-Rahman bin Kathir, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w: “Celupan AllahDan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah?”[86] Beliau telah berkata: Celupan mukminin dengan wilayah (Ali a.s) di dalam perjanjian (al-Mithaq)[87].

       (707)-54. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahamd bin Muhammad bin Isa, daripada Ibn Fadhdhal, daripada al-Mufadhdhal bin Salih, daripada Muhammad bin Ali al-Halabi, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w: “Wahai Tuhanku! Ampunilah aku, ibu bapaku, orang yang masuk ke rumahku dengan beriman”[88] Iaitu wilayah Ahlu–l-Bait a.s. Sesiapa yang telah masuk di dalam wilayah, maka beliau telah masuk di dalam rumah para nabi a.s. dan firman-Nya: “Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, wahai Ahlu l-Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya”[89] Iaitu para imam a.s dan wilayah mereka. Justeru, sesiapa yang telah masuk di dalamnya, maka beliau telah masuk di dalam rumah Nabi s.a.w.

       (708)-55. Dengan sanad-sanad ini, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Umar bin  ‘Abd al- ‘Aziz, daripada Muhammad bin al-Fudhail, daripada al-Ridha a.s, berkata: Aku telah berkata tentang firman-Nya: “Katakanlah: Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan”[90] Beliau telah berkata: Dengan wilayah Muhammad dan keluarga Muhammad a.s adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan daripada dunia mereka.

       (709)-56. Ahmad bin Marwan, daripada ‘Abd al-‘Azim bin Abdullah al-Hasani, daripada Ali bin Asbat, daripada Ibrahim bin ‘Abd al-Hamid, daripada Zaid al-Syahhaam berkata: Abu Abullah a.s telah berkata kepadaku-ketika kami berada di jalan pada malam Jumaat-: Bacalah al-Qur’an kerana ia adalah malam Jumaat, maka aku telah membaca: “Sesungguhnya hari keputusan (hari Kiamat) itu adalah waktu yang dijanjikan bagi mereka semuanya, iaitu hari yang seorang karib tidak dapat memberi manfaat kepada karibnya sedikitpun dan mereka tidak akan mendapat pertolongan, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Allah”[91] Maka Abu Abdillah a.s  telah berkata: Kami, demi Allah, orang yang dirahmati Allah dan kami yang dikecualikan oleh Allah, tetapi kami dapat memberi manfaat kepada mereka.

       (710)-57. Ahmad bin Marwan, daripada ‘Abd al-‘Azim bin Abdullah, daripada Yahya bin Salim, daripada Abu Abdillah a.s  telah berkata: Manakala ayat: “Dan agar diperhatikan oleh telinga yang mahu mendengar”[92] Rasulullah s.a.w bersabda: Ia adalah telinga anda, wahai Ali”.

       (711)-58. Ahmad bin Marwan, daripada ‘Abd al-‘Azim bin Abdullah, daripada Muhammad bin al-Fudhail, daripada Abi Hamzah, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Beginilah Jibrail a.s telah menurunkan ayat ini ke atas Muhammad s.a.w: “Lalu mereka yang zalim mengganti (keluarga Muhammad akan hak mereka) perkataan dengan yang tidak diperintahkan kepada mereka. Sebab itu Kami timpakan atas mereka yang zalim (keluarga Muhammad akan hak mereka) seksa dari langit, kerana mereka berbuat fasik”[93]

       (712)-59. Dan dengan sanad-sanad ini, daripada ‘Abd al-‘Azim bin Abdullah al-Hasani, daripada Muhammad bin al-Fudhail, daripada Abi Hamzah, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Jibrail a.s telah menurunkan ayat ini begini: “Sesungguhnya  mereka yang telah menzalimi (keluarga Muhammad akan hak mereka), Allah sekali-kali tidak akan mengampuni mereka dan tidak akan menunjukkan jalan kepadamereka”[94] Kemudian Dia telah berfirman: “Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul dengan kebenaran dari Tuhan kamu (tentang wilayah Ali), maka berimanlah kamu, itulah yang lebih baik bagi kamu. Dan jika kamu kafir (dengan wilayah Ali), kerana sesungguhnya apa yang di langit dan di bumi itu adalah kepunyaan Allah”[95]

       (713)-60. Ahmad bin Mihran-rahima-hu llahu-, daripada ‘Abd al-‘Azim, daripada Bakkar, daripada Jabir, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Beginilah turunnya ayat ini: “Sesungguhnya jika mereka melaksanakan apa yang dinasihatkan kepada mereka (tentang Ali), tentulah hal yang sedemikian lebih baik bagi mereka”[96]

       (714)-61. Ahmad, daripada ‘Abd al-‘Azim, daripada Ibn Udhinah, daripada Malik al-Jahani berkata: Aku telah berkata kepada Abu Abdillah a.s tentang firman-Nya: “Dan al-Qur’an ini diwahyukan kepadaku supaya dengan dia aku memberi peringatan kepadamu dan kepada orang yang sampai al-Qur’an (kepadanya)”[97] Beliau telah berkata: Orang yang sampai al-Qur’an (kepadanya) untuk menjadi imam daripada keluarga Muhammad, diberi peringatan dengan al-Qur’an sebagaimana Rasulullah s.a.w telah diberi peringatan kepadanya.

       (715)-62. Ahmad, daripada ‘Abd al-‘Azim, daripada al-Husain bin Miyyaah, daripada orang yang telah memberitahu kepadanya berkata: Seorang lelaki telah membaca di sisi Abu Abdillah a.s: “Dan katakanlah: “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta mereka yang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu”[98] Maka beliau telah berkata: Ayat bukanlah begitu, bahawasanya ia adalah al-ma’munuun (mereka yang diamanahkan) bukan al-mu’minuun seperti di dalam teks sekarang. Justeru, kamilah al-Ma’munuun[99].

       (716)-63. Ahmad, daripada ‘Abd al-‘Azim, daripada Hisyam bin al-Hakam, daripada Abu Abdillah a.s  telah berkata: “Inilah jalan Ali yang lurus”[100]

       (717)-64. Ahmad, daripada ‘Abd al-‘Azim, daripada Muhammad bin al-Fudhail, daripada Abi Hamzah, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Jibrail a.s telah menurunkan ayat begini: “Tetapi kebanyakan manusia tidak mahu (dengan wilayah Ali), kecuali mengingkari[nya]”[101] Beliau telah berkata: Jibrail a.s telah menurunkan ayat ini begini: “Dan katakanlah: Kebenaran itu datangnya dari Tuhan kamu (tentang wilayah Ali), sesiapa yang ingin( beriman), hendaklah ia beriman dan sesiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir. Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi mereka yang  zalim (keluarga Muhammad) neraka”[102]

       (718)-65. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Muhammad bin Isma‘il, daripada Muhammad bin al-Fudhail, daripada Abu al-Hasan a.s tentang firman-Nya: “Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu menyembah seorangpun di dalamnya di samping Allah”[103] Beliau telah berkata: Mereka itulah para wasi a.s.

       (719)-66. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Ibn Mahbub, daripada al-Ahwal, daripada Salam bin al-Mustanir, daripada Abu Ja‘far a.s tentang firman-Nya: “Katakanlah: “Inilah jalanku, aku menyeru kepada Allah di atas  hujah, aku dan orang yang telah mengikutiku”[104] Beliau telah berkata: Itu adalah Rasulullah s.a.w, Amir al-Mukminin dan para wasi a.s selepas mereka.

       (720)-67. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Muhammad bin Isma‘il, daripada Hannan, daripada Salim al-Hannat berkata: Aku telah bertanya Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah a.w: “Lalu Kami keluarkan mereka yang beriman yang berada di negeri kaum Lut itu dan Kami tidak mendapati di negeri itu, kecuali sebuah rumah dari mereka yang berserah diri”[105] Abu Ja‘far a.s telah berkata: Keluarga Muhammad tidak tinggal padanya selain daripada mereka.

       (721)-68. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Jumhur, daripada Isma‘il bin Sahl, daripada al-Qasim bin ‘Urwah, daripada Abi al-Safaatij, daripada Zurarah, daripada Abu Ja‘far a.s tentang firman-Nya: “Ketika mereka melihatnya (azab) sudah dekat, maka mereka yang kafir itu manjadi muram. Dan dikatakan (kepada mereka) inilah (azab) yang dahulunya kamu selalu meminta-mintanya”[106] Beliau telah berkata: Ayat ini telah diturunkan kepada Amir al-Mukminin a.s dan para sahabatnya yang telah melakukan apa yang mereka mahu terhadapnya, mereka melihat Amir al-Mukminin a.s di tempat yang paling gembira bagi mereka, maka muka mereka menjadi muram dan dikata kepada mereka: Inilah (azab) yang dahulunya kamu selalu meminta-mintanya: Yang kamu telah menggunakan namanya sahaja.

       (722)-69. Muhammad bin Yahya, daripada Salmah bin al-Khattab, daripada Ali bin Hassaan, daripada ‘Abd al-Rahman bin Kathir, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman-Nya; “Dan yang menyaksikan dan yang disaksikan”[107] Beliau telah berkata: Nabi s.a.w dan Amir al-Mukminin a.s.

       (723)-70. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Uramah, daripada Ali bin Hassaan, daripada ‘Abd al-Rahman bin Kathir, daripada al-Wasyaa’, daripada Ahamd bin Umar al-Hallal berkata: Aku telah bertanya Abu al-Hasan a.s tentang firman Allah a.w: “Kemudian seorang penyeru di kalangan mereka mengumumkan bahawa laknat Allah ke atas mereka yang zalim”[108] Beliau telah berkata: Penyeru (al-Mu’azzin) itu adalah Amir al-Mukminin a.s.

       (724)-71. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Uramah, daripada Ali bin Hassaan, daripada ‘Abd al-Rahman bin Kathir, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman-Nya: “Dan mereka diberi petunjuk kepada ucapan-ucapan yang baik dan ditunjuki (pula) kepada jalan yang terpuji”[109] Beliau telah berkata: Itu adalah Hamzah, Ja‘far,‘Ubaidah, Salman, Abu Dhar, al-Miqdad bin Aswad dan ‘Ammar telah diberi petunjuk kepada Amir al-Mukminin a.s. dan firman-Nya:“Tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hati kamu (Iaitu Amir al-Mukminin a.s) serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan kemaksiatan”[110]Orang pertama[111],  kedua[112]dan ketiga[113].

       (725)-72. Muhammad bin Yahya, daripada Ibn Mahbub, daripada Jamil bin Salih, daripada Abi ‘Ubaidah, berkata: Aku telah bertanya Abu Ja‘far a.s tentang firman Allah a.w: “Bawalah kepada-Ku Kitab sebelum ini atau peninggalan dari pengetahuan, jika kamu adalah mereka yang benar”[114] Beliau telah berkata: Dimaksudkan dengan kitab itu ialah Taurat dan Injil dan “peninggalan dari pengetahuan” dimaksudkan dengan ilmu para wasi nabi a.s.

       (726)-73. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada orang yang telah memberitahu kepadanya, daripada Ali bin Ja‘far telah berkata: Aku telah mendengar Abu al-Hasan a.s telah berkata: Manakala Rasulullah s.a.w telah melihat di dalam mimpinya Taiman[115] dan ‘Adiyyan[116] dan Bani Umayyah[117] menaiki mimbar [masjid]nya, maka ia telah menakutkannya, lalu Allah telah menurunkan firman-Nya: “Dan ketika Kami berkata kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, maka mereka sujud kecuali Iblis. Ia membangkang”[118] Kemudian Dia telah mewahyukan kepadanya, Wahai Muhammad, sesungguhnya Aku telah menyuruh, maka Aku tidak ditaati, justeru, janganlah engkau berdukacita apabila anda menyuruh, maka engkau tidak ditaati pada wasi engkau”

       (727)-74. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Mahbub, daripada al-Husain bin Na‘aim al-Sahhaaf berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah a.s tentang firman-Nya: “Maka di antaramu ada yang kafir dan di antaramu ada yang beriman”[119] Maka beliau telah berkata: Allah a.w telah mengetahui iman mereka dengan wilayah kami dan kekafiran mereka dengannya pada hari diambil perjanjian ke atas mereka dan mereka adalah atom (dhar) pada salbi Adam. Dan aku telah bertanya beliau tentang firman-Nya: “Dan taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul, jika kamu berpaling maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang”[120] Maka beliau telah berkata: Demi Allah, tidak binasa orang yang sebelum kamu, malah tidak binasa orang yang binasa sehingga al-Qaim kita datang melainkan beliau meninggalkan wilayah kami dan mengingkari hak kami. Rasulullah s.a.w tidak keluar dari dunia sehingga baginda s.a.w mewajibkan di atas tengkuk umat ini hak kami dan Allah menunjuk siapa yang Dia kehendaki kepada jalan yang lurus.

       (728)-75. Muhammad bin al-Hasan dan Ali bin Muhammad, daripada Sahl bin Ziyad, daripada Musa bin al-Qasim al-Bajali, daripada Ali bin Ja‘far, daripada saudaranya Musa a.s tentang firman-Nya: “Perigi yang ditinggalkan dan istana yang tinggi”[121] Beliau telah berkata: Perigi yang ditinggalkan ialah imam yang diam (al-Samit) dan istana yang tinggi ialah imam yang bercakap (al-Natiq). Ia diriwayatkan oleh Muhammad bin Yahya, daripada al-‘Umari Kiy, daripada Ali bin Ja‘far, daripada Abu al-Hasan a.s.

       (729)-76. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada al-Hakam bin Bahlul, daripada seorang lelaki, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman-Nya: “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada yang sebelummu, “Jika kamu mempersekutukan (Tuhan), nescaya akan terhapuslah amalanmu”[122] Beliau telah berkata: Iaitu jika kamu mempersekutukan pada wilayah selain daripada-Nya “Kerana itu, Maka hendaklah Allah saja kamu sembah dan hendaklah kamu termasuk mereka yang bersyukur”[123] Iaitu sembahlah Allah dengan ketaatan dan jadilah engkau di kalangan mereka yang bersyukur.

  [1] Makna baqiyyatu llah ialah sisa Allah, tetapi apa yang dimaksudkan di sini ialah Imam Mahdi a.s.

[2] Surah Huud (11): 86

[3] Surah Yusuf (12): 65

[4] Surah al- A‘raaf (7): 172

[5] Surah al-Syu‘araa’ (26): 193-195

[6] Surah al-Ahzab (33): 72

[7] Surah al-An‘aam (6): 82

[8] Wilayah Abu Bakr

[9] Wilayah Umar

[10] Surah al-Taghaabun (64): 2

[11] Di alam atom atau alam roh

[12] Surah al-Insaan (76): 7

[13] Surah al-Ma’idah 95): 66

[14] Surah al-Syuura ( 42): 23

[15] Surah al-Ahzab (33): 71. Muslim, Sahih, ii, hlm 726 meriwyatkan bahawa Abu Musa al-Asy‘ari telah membaca selepas Surah al-Saf (61):2 “fatuktabu syahadatan fi a‘naaqi-kum…, tetapi ianya tidak dimasukkan di dalam al-Qur’an sekarang.

[16] Iaitu dengan makna ini ia diturunkan. Al-Suyuti, al-Itqan, I, hlm. 226 menyatakan bahawa dua surah yang bernama al-Khal‘ dan al-Hafd  telah ditulis di dalam mashaf Ubayy bin Ka‘ab dan mashaf Ibn ‘Abbas. Sesungguhnya Ali a.s telah mengajar kedua-dua surah tersebut kepada Abdillah al-Ghafiqi, tetapi ianya tidak ada di dalam al-Qur’an yang ada sekarang.

[17] Surah al-Ahzab (33): 53

[18] Surah al-Ahzab (33): 69

[19] Surah Taha (20): 123

[20] Surah al-Balad (90):1-3

[21] Surah al-Anfaal(8): 41

[22] Surah al-A‘raaf (7): 181

[23] Surah Ali ‘Imran (3): 7

[24] Abu Bakr

[25] Umar

[26] Surah Ali ‘Imran (3):7

[27] Surah al-Taubah (9): 16

[28] Surah al-Anfaal (8): 61

[29] Surah al-Insyiqaaq (84): 19

[30] Abu Bakr

[31] Umar

[32] Uthman

[33] Surah al-Qasas (28): 51

[34] Surah al-Baqarah (2): 136

[35] Surah al-Baqarah (2): 137

[36] Surah Ali ‘Imran (3): 68

[37] Surah al-An‘aam (6): 19

[38] Surah Taha (20_:115

[39] Surah al-Zukhruf (43): 43

[40] Surah al-Baqarah (2): 90

[41] Al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, v, hlm. 192 mencatatkan bahawa di sana terdapat ayat yang tertinggal selepas surah al-Ahzab (33): 25 iaitu “Bi ‘Ali bin Abi Talib” Justeru, ayat yang mesti dibaca ialah “Kafa llahu l-Mu’minin al-Qital Bi ‘Ali bin Abi Talib

[42] Surah al-Baqarah (2): 23

[43] Surah al-Nisaa’ (4): 47

[44] Surah al-Nisaa’ (4): 66

[45] Surah al-Baqarah (2): 208

[46] Abu Bakr, Umar dan Uthman

[47] Surah al-A‘laa (88): 16-19

[48] Surah al-Baqarah (2): 87

[49] Surah al-Syuura (42): 13

[50] Surah al-A‘raaf (7): 43

[51] Surah al-Nabaa’ (78): 1-2

[52] Surah al-Kahfi (18): 44

[53] Surah al-Ruum (30): 30

[54] Surah al-Anbiyaa’ (21): 47

[55] Apa yang dimaksudkan dengan al-Mawaaziin (timbangan) ialah para nabi dan para wasi a.s.

[56] Surah Yunus (10): 15

[57] Surah al-Mudaththir ( 74): 42-43

[58] Surah al-Waaqi‘ah (56): 10-11

[59] Surah al-Jin (72): 16

[60] Surah Fussilat (41): 30

[61] Surah al-Saba’ (34): 46

[62] Surah al-Nisaa’ (4): 137

[63] Surah Ali ‘Imran (3): 90

[64] Abu Bakr

[65] Umar

[66] Uthman

[67] Surah Muhammad (47): 25

[68] Abu Bakr, Umar dan Uthman.

[69] Surah Muhammad (47): 26

[70] Abu Bakr dan Umar

[71] Termasuk golongan Khawarij, Salafi, Wahabi dan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama‘ah.

[72] Surah al-Zukhruf ( 43): 79-80

[73] Surah al-Hajj (22): 25

[74] Abu Bakr, Umar, Khalid bin Walid, Salim Maula Huzaifah dan Sa‘d bin Abi Waqqas. Mereka dikenali dengan “Ashab al-Khamsah” Lima sahabat yang telah membuat perjanjian di hadapan Ka‘bah bahawa apabila Muhammad s.a.w mati, mereka akan menghalang Ali a.s dari menjadi khalifah. Lihat Kitab Sulaim, hlm.87.

[75] Surah al-Mulk (67): 29

[76] Surah al-Nisaa’ (4): 135

[77] Surah Fussilat (41): 27

[78] Surah al-Mu’min (40): 12

[79] Surah al-Ma‘aarij ( 70): 1-2

[80] Al-Suyuti, al-Itqan, iii, hlm. 82, al-Durr al-Manthur, v, hlm. 180 meriwayatkan daripada ‘Aisyah bahawa beliau telah berkata: “Surah al-Ahzab (33) di baca pada zaman Rasulullah s.a.w sebanyak 200 ayat, tetapi pada masa Uthman menulis mashaf, ianya tinggal 73 ayat sahaja. Ini bererti 127 ayat telah dihilangkan.

[81] Surah al-Dhaariyaat (51): 8-9

[82] Surah al-Balad (90): 11-13

[83] Surah Yunus (10): 2

[84] Surah al-Hajj (22): 19

[85] Surah al-Kahf (18): 44

[86] Surah al-Baqarah (2): 138

[87] Perjanjian di alam roh

[88] Surah Nuh (71): 28

[89] Surah al-Ahzab (33): 33

[90] Surah Yunus (10): 58

[91] Surah al-Dukhaan (44): 40-42

[92] Surah al-Haaqqah ( 69): 12

[93] Surah al-Baqarah (2): 59

[94] Surah al-Nisaa’ (4): 167. Perkataan kafaruu (mereka telah kafir) sebeum perkataan zalamuu, tidak ada di dalam teks asal. Justeru, tidak hairanlah jika Ahmad bin Hanbal, al-Musnad, I, hlm. 394, al-Turmudhi, Sahih, v, hlm. 191 menyatakan bahawa Surah al-Dhaariyaat (51): 58 telah diubah dari teks asalnya inni ana al-Razzaq kepada inna llaha huwa al-Razzaq iaitu teks sekarang.

[95] Surah al-Nisaa’ (4): 170

[96] Surah al-Nisaa’ (4): 66

[97] Surah al-An‘aam (6): 19

[98] Surah al-Taubah (9): 105

[99] Al-Ma’munuun ialah mereka yang diamanahkan lagi maksum (para imam a.s).

[100] Surah al-Hijr (15): 41 Abu Abdillah a.s membacanya dengan perkataan “‘Ali” bukan ‘alayyasementara teks sekarang tertulis ‘alayya  ertinya ke atasku.

[101] Surah al-Israa’ (17): 89

[102] Surah al-Kahf  (18): 29

[103] Surah al-Jin (72): 18

[104] Surah Yusuf (12): 108

[105] Surah al-Dhaariyaat (51): 35-36

[106] Surah al-Mulk ( 67): 27

[107] Surah al-Buruuj (85): 3

[108] Surah al-A‘raaf 97): 44

[109] Surah al-Hajj (22): 24

[110] Surah al-Hujuraat (49): 7

[111] Abu Bakr

[112] Umar

[113] Uthman

[114] Surah al-Ahqaaf (46): 4

[115] Abu Bakr

[116] Umar

[117] Uthman, Mu‘awiyah dan keturunannya.

[118] Surah Taha (20): 116

[119] Surah al-Taghaabun (64): 2

[120] Surah al-Taghaabun ( 64): 12

[121] Surah al-Hajj (22): 45

[122] Surah al-Zumar ( 39): 65

[123] Surah al-Zumar ( 39): 66

Penulis : Unknown ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini, w.328/29 H (bab 107 dan 108 A ayat2 ttg wilayah) ini dipublish oleh Unknown pada hari 13 Julai 2011. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini, w.328/29 H (bab 107 dan 108 A ayat2 ttg wilayah)
 

0 comments:

Catat Ulasan