Welcome to My lovely Blog

Random

create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
http://adf.ly/EWRNQ

Hadiths/aLQur'an

Hadiths/aLQur'an
Dhul Hijja

Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini, w. 328/29 H (bab 34-40)


       Bab 34

☼Sesungguhnya Para Imam A.S Di Sisi Mereka Semua Kitab Yang Diturunkan Oleh Allah A.W Dan Sesungguhnya Mereka Mengetahuinya Sekalipun Berbeza bahasanya (inna al-Aimmata a.s ‘inda-hum jami‘a al-Kutub al-Lati nazalat min ‘indi llahi a.w wa inna-hum ya‘rifuuna-ha ‘ala ikhtilafi alsinati-ha)☼
      
       (175)-1. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada al-Hasan bin Ibrahim, daripada Yunus, daripada Hisyam bin al-Hakam di dalam riwayatnya tentang Buraih apabila dia datang bersamanya kepada Abu Abdillah a.s, tiba-tiba dia berjumpa dengan Abu al-Hasan Musa bin Ja‘far a.s, Lalu Hisyam menceritakan kepadanya satu hikayat. Manakala dia selesai, maka Abu al-Hasan a.s telah berkata kepada Buraih: Wahai Buraih, bagaimana keilmuan anda tentang kitab anda? Dia berkata:  Aku benar-benar mengetahui tentangnya. Kemudian dia berkata: Bagaimana kepercayaan anda tentang takwilnya?
       Dia berkata: Aku yakin dengan ilmuku mengenainya. Hisyam berkata: Abu al-Hasan a.s mulai membaca Injil. Kemudian Buraih berkata: Aku telah mencari anda selama lima puluh tahun atau orang seperti anda. Lalu Buraih telah beriman dan imannya adalah baik dan seorang wanita bersamanya juga telah beriman. Kemudian Hisyam, Buraih dan wanita tadi datang berjumpa dengan Abu Abdillah a.s. Lalu Hisyam menceritakan kepada Abu Abdillah a.s tentang percakapan yang telah berlaku di antara Abu al-Hasan dan Buraih, maka Abu Abdillah a.s membaca firman Allah a.w “Iaitu satu keturunan yang sebahagiannya dari yang lain. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”[1] Buraih berkata:Dari manakah Taurah, Injil dan kitab-kitab para nabi datang kepada anda?
       Beliau a.s telah berkata: Kitab-kitab tersebut ada di sisi kami sebagai warisan daripada mereka, kami membacanya sebagaimana mereka membacanya dan kami menerimanya sebagaimana mereka telah menerimanya, sesungguhnya Allah tidak menjadikan seorang Hujjah di bumi-Nya apabila  ditanya tentang sesuatu, maka dia akan berkata: Aku tidak mengetahuinya.

       (176)-2. Ali bin Muhammad dan Muhammad bin al-Hasan, daripada Sahal bin Ziyad, daripada Bakr bin Salih, daripada Muhammad bin Sinan, daripada Mufadhdhal bin Umar berkata: Kami telah datang di pintu [rumah] Abu Abdillah a.s dan kami mahu meminta izin daripadanya, tiba-tiba kami telah mendengarnya bercakap dengan bahasa bukan Arab, maka kami menyangka bahawa ia adalah bahasa Syriac. Kemudian beliau a.s telah menangis, lalu kamipun menangis kerana tangisannya. Kemudian seorang budak keluar kepada kami, lalu dia membenarkan kami masuk, maka kamipun masuk berjumpa dengannya.
       Aku telah berkata: Aslaha-ka llahu, kami telah mendatangi anda, kami ingin meminta izin anda, kemudian kami telah mendengar percakapan yang bukan berbahasa Arab, maka kami telah menyangka bahawa ia adalah bahasa Syriac. Kemudian anda telah menangis, lalu kami telah menangis sama kerana tangisan anda, maka beliau a.s telah berkata: Ya, aku telah mengingati nabi Ilyas, beliau adalah seorang nabi Bani Israel yang amat kuat ibadatnya, maka aku telah berkata sebagaimana beliau telah berkata di dalam sujudnya. Kemudian belia a.s telah membacanya di dalam bahasa Syriac yang baik. Demi Allah, kami belum pernah melihat seorang paderi atau Jaathiliq yang lebih fasih daripadanya. Kemudian beliau a.s telah menerangkannya di dalam bahasa Arab. Beliau a.s telah berkata di dalam sujudnya:
                 
                  Adakah Engkau terfikir untuk mengazabku sedangkan aku      
                  dahaga kerana beribadat kepadaMu
                  Adakah Engkau terfikir untuk mengazabku sedangkan aku
                  Melumurkan mukaku dengan tanah untuk beribadat
                  kepadaMu
                  Adakah Engkau terfikir untuk mengazabku sedangkan aku
                  Menjauhi segala maksiat,
                  Adakah Engkau terfikir untuk mengazabku sedangkan aku
                  Berjaga malam untukMu

       Beliau telah berkata: Allah telah mewahyukan kepadanya: “Supaya mengangkat kepala engkau [dari sujud], sesungguhnya Aku tidak akan mengazab engkau. Beliau telah berkata: Jika Engkau berkata: Aku tidak mengazab engkau, kemudian Engkau mengazab aku bagaimana? Tidakkah aku ini hambaMu dan Engkau adalah Tuhanku? Maka Allah telah memberi wahyu kepadanya: Angkatlah kepala engkau [dari sujud], sesungguhnya Aku tidak akan mengazabmu, sesungguhnya Aku apabila Aku membuat janji, maka Aku melaksanakannya.

                                                                  Bab 35

☼Sesungguhnya Tidak Seorangpun Yang Telah Mengumpulkan Al-Qur’an Kesemuanya Melainkan Para Imam A.S. Sesungguhnya Mereka Mengetahui Semua Ilmunya (Inna-hu lam yajma‘ al-Qur’an kulla-hu illa al-Aimmatu a.s wa-anna-hum ya‘lamuun ‘ilma-hu kulla-hu)☼

       (177)-1. Muhammad bin Yahya, Ahamd bin Muhammad, daripada Ibn Mahbub, daripada ‘Umru bin Abu al-Muqdam, daripada Jabir berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s telah berkata: Tidak ada seorang pun yang telah mendakwa bahawa sesungguhnya beliau telah mengumpulkan semua al-Qur’an sebagaimana diturunkan melainkan dia adalah seorang pendusta (Ma idda‘a ahadun min al-Naas anna-hu jama‘a al-Qur’an kulla-hu kama unzila illa kadhdhab) dan tidak seorang pun yang telah mengumpulkannya dan menghafaznya sebagaimana diturunkan Allah Ta‘aala melainkan Ali bin Abu Talib dan para imam a.s selepasnya (wa ma jama‘a-hu wa hafiza-hu kama nazzala-hu llahu Ta ‘aala illa ‘Ali bin Abi Talib wa al-Aimmatu ba‘da-hu a.s)[2].

       (178)-2. Daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Muhammad bin al-Hasan, daripada Muhammad bin Sinan, daripada ‘Ammar bin Marwan, daripada al-Mankhal, daripada Jabir, daripada Abu Ja‘far a.s bahawa beliau a.s telah berkata: Tidak ada seorang pun yang mampu mendakwa bahawa di sisinya semua al-Qur’an zahirnya dan batinnya selain daripada para wasi.[3]
       (179)-3. Ali bin Muhammad dan Muhammad bin al-Hasan, daripada Sahal bin Ziyad, daripada al-Qasim bin al-Rabi‘, daripada ‘Ubaid bin Abdullah bin al-Hasyim al-Sairafi, daripada ‘Umru bin Mus‘ab, daripada Salmah bin Muhriz berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s  berkata: Sesungguhnya di antara ilmu yang diberikan kepada kami ialah tafsiran tentang al-Qur’an dan hukum-hukumnya, ilmu perubahan masa dan peristiwa-peristiwanya. Apabila Allah mengehendaki kebaikan kepada satu kaum, maka Dia membuatnya mendengar dan jika Dia membuatnya mendengar kepada orang yang tidak mahu mendengarnya, maka beliau akan menolakkannya, seolah-olah beliau tidak mendengarnya. Kemudian beliau a.s mendiamkan diri seketika, kemudian beliau a.s telah berkata: Jikalau kita mendapati orang yang menerimanya, nescaya kami berkata: Allahlah Yang Menolong.

       (180)-4. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Muhammad bin Isa, daripada Abu Abdillah al-Mu’min, daripada ‘Abd al-A‘la, maula Ali Syam berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s telah berkata: Demi Allah, sesungguhnya aku lebih mengetahui Kitab Allah daripada awalnya hingga akhirnya seolah-olah ia di tapak tanganku, padanya berita langit dan berita bumi, berita yang telah berlaku dan berita yang akan berlaku, Allah telah berfirman “Penjelasan segala sesuatu”[4]

       (181)-5. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Abu Zahir, daripada al-Khasysyab, daripada Ali bin Hassan, daripada ‘Abd al-Rahman bin Kathir, daripada Abu Abdillah a.s telah membaca Firman-Nya “Berkatalah orang yang mempunyai ilmu dari Kitab: Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkelip”[5] Abu Abdillah a.s telah membuka jari tangannya kemudian meletakkannya di dadanya sambil berkata: Dan di sisi kami, demi Allah, ilmu Kitab kesemuanya”.

       (182)-6. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya dan Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Hasan, daripada orang yang menyebutnya, semuanya daripada Abu ‘Umair, daripada Udhainah, daripada Buraid bin Mu‘awiyah berkata: Aku telah berkata kepada Abu Ja‘far a.s: “Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dan antara kamu dan orang yang di sisinya ilmu al-Kitab”?[6] Beliau a.s telah berkata: Kepada kamilah ia dimaksudkan. Ali adalah orang yang pertama kami, orang yang palingafdhal kami dan orang yang paling baik kami selepas nabi s.a.w.

                                       
                                                                            Bab 36

☼Apa Yang Diberikan Kepada Para Imam A.S Tentang “Nama Allah Yang Maha Besar” (ma u‘tiya al-Aimmatu a.s min ismi llahi al-A‘zam)☼

       (183)-1. Muhammad bin Yahya dan selain daripadanya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Muhammad bin al-Fudhail berkata: Syurais al-Wabisi telah memberitahuku, daripada Jabir, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Sesungguhnya nama Allah Yang Maha Besar adalah tujuh puluh tiga huruf. Sesungguhnya Asif mempunyai satu huruf sahaja apabila beliau bercakap dengannya, maka bumi telah mengecut di antaranya dan singgahsana Balqis sehingga beliau telah mengmbil singgahsana Balqis dengan tangannya. Kemudian bumi telah kembali kepada keadaan seperti sebelumnya lebih cepat daripada sekelip mata. Kami memiliki tujuh puluh dua huruf daripada nama Allah yang Maha Besar. Dan satu huruf di sisi Allah yang mana Dia menggunakannya untuk mengetahui ilmu ghaib di sisi-Nya. Tiada helah dan kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar”

       (184)-2. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id dan Muhammad bin Khalid, daripada Zakaria bin ‘Iraan al-Qummi, daripada Harun al-Jahmi, daripada seorang lelaki daripada sahabat Abu Abdillah a.s yang mana aku tidak mengingati namanya berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s berkata: Sesungguhnya Isa bin Maryam a.s diberikan dua huruf yang mana beliau telah menggunakannya. Musa diberikan empat huruf, Ibrahim diberikan lapan huruf, Nuh diberikan lima belas huruf, Adam diberikan dua puluh lima huruf. Sesungguhnya Allah telah mengumpulkan semuanya kepada Muhammad s.a.w. Sesungguhnya “nama Allah Yang Maha Besar” adalah tujuh puluh tiga huruf, diberikan kepada Muhammad s.a.w adalah tujuh puluh dua huruf dan disembunyikan daripadanya satu huruf.

       (185)-3. Al-Husain bin Muhammad bin Muhammad al-Asy‘ari, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Ahmad bin Muhammad bin Abdullah, daripada Ali bin Muhammad al-Naufali, daripada Abu al-Hasan Sahib al-‘Askar a.s berkata: Aku telah mendengarnya berkata: Nama Allah Yang Maha Besar (ismu llahi al-A‘zam) adalah tujuh puluh tiga huruf, Asif telah memiliki satu huruf apabila beliau bercakap dengannya, maka bumi telah berlipat untuknya lebih cepat daripada sekelip mata di antaranya dan Saba’, lantas beliau telah mengambil singgahsana Balqis dan membawanya kepada Sulaiman. Kemudian bumi telah terhampar lebih cepat daripada sekelip mata. Kami mempunyai tujuh puluh dua huruf dan satu huruf di sisi Allah yang mana Dia menggunakannya  bagi mengetahui perkara ghaib.


                                                                           Bab 37

☼Tanda-Tanda Para Nabi A.S Dimiliki Oleh Para Imam A.S (ma  ‘inda al-Aimmati min ayaat al-Anbiyaa’ a.s)☼
      
       (186)-1. Muhammad bin Yahya, daripada Salmah bin al-Khattab, daripada Abdullah bin Muhammad, daripada Mani‘ bin al-Hajjaj al-Basri, daripada Mujasyi‘, daripada Mu‘alla, daripada Muhammad bin al-Faidh, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Tongkat Musa adalah milik Adam a.s. Kemudian ia menjadi milik Syu‘aib. Kemudian ia menjadi milik Musa bin ‘Imraan dan sekarang ia adalah milik kami. Sesungguhnya aku mengetahui sekejap tadi bahawa ia berwarna hijau seperti keadaannya ketika dicabut daripada pokoknya. Ia bercakap apabila ia diminta bercakap. Ia disediakan untuk Qaim kami a.s, beliau akan melakukannya sebagaimana dilakukan oleh Musa, ia akan menelannya “Tongkat itu menelan apa yang mereka suapkan”[7] Ia melakukan apa yang diperintahkannya. Apabila berdepan ia menelan apa yang disuapkan kepadanya, membuka dua cabangnya: Satunya di bumi dan satu lagi di langit dan di antara keduanya empat puluh hasta, menelan apa yang disuapkan kepadanya dengan lidahnya.

       (187)-2. Ahmad bin Idris, daripada ‘Imraan bin Musa, daripada Musa bin Ja‘far al-Baghdadi, daripada Ali bin Asbaat, daripada Muhammad bin al-Fudhail, daripada Abu Hamzah al-Thumali, daripada Abu Abdillah a.s, berkata: Aku telah mendengarnya berkata: Sesungguhnya Alwaah (loh-loh) Musa di sisi kami, kamilah pewaris para nabi.

       (188)-3. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Musa bin Sa‘dan daripada Abdullah bin al-Qasim, daripada Abu Sa‘id al-Khurasani, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Abu Ja‘far a.s telah berkata: Sesungguhnya al-Qaim apabila beliau datang ke Makkah dan ingin pergi ke Kufah, maka penyerunya akan berkata: Perhatian, tidak seorang pun dibenarkan membawa makanan dan minuman, sebaliknya beliau membawa batu (Loh) Musa bin ‘Imraan seberat muatan unta. Maka beliau tidak bermalam di sebuah rumah melainkan mata air terpancar daripadanya. Sesiapa yang lapar akan kenyang dan sesiapa yang dahaga akan diberi minuman yang segar, maka itu adalah bekalan mereka sehingga mereka telah sampai di Najaf dari Kufah.

       (189)-4. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Musa bin Sa‘dan, daripada Abu al-Hasan al-Asadi, daripada Abu Basir, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Amir al-Mukmin a.s telah keluar di waktu malam (al-‘Atamah) dan beliau a.s telah berkata: Hamhamah, Hamhamah di waktu malam begitu gelap, lalu seorang imam (al-Mahdi) akan keluar dengan [memakai] baju Adam a.s, di tangannya cincin Sulaiman dan tongkat Musa.

       (190)-5. Muhammad, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Muhammad bin Ismail, daripada Abu Ismail al-Sarraj, daripada Basyar bin Ja‘far a.s, daripada Mufadhdhal bin Umar, daripada Abu Abdillah a.s, berkata: Aku telah mendengarnya berkata: Adakah anda mengetahui apakah baju (qamis) Yusuf a.s ? Aku telah berkata: Tidak, beliau a.s telah berkata: Sesungguhnya Ibrahim apabila dinyalakan api kepadanya, Jibrail a.s mendatanginya dengan kain daripada pakaian syurga, lalu dia memakaikannya dengan pakaian tersebut. Lantaran itu, kepanasan dan kesejukan tidak memudaratkannya. Apabila Ibrahim mati, beliau meletakkannya di dalam azimat dan menggantungkannya pada Ishaq.
       Kemudian Ishaq telah menggantungkannya pada Ya‘qub. Manakala Yusuf dilahirkan, maka beliau telah menggantungkannya  pada lengannya sehingga berlakulah  kepadanya apa yang telah berlaku. Apabila Yusuf mengeluarkan azimat itu di Mesir, maka Ya‘qub dapat mencium bauannya dan berkata: “Sesungguhnya aku mencium bau Yusuf sekiranya kamu tidak menuduhku lemah akal”[8] Maka itulah baju yang mana Allah telah menurunkannya dari syurga. Aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, maka untuk siapakah baju itu? Beliau a.s telah berkata: Untuk keluarganya. Kemudian beliau a.s telah berkata: Setiap nabi telah mewarisi ilmu, kemudian ia (ilmu) berakhir kepada keluarga Muhammad s.a.w.
                                                                       
                                                                  Bab 38

☼Apa Yang Dimiliki Oleh Para Imam A.S Terhadap Senjata Rasulullah S.A.W Dan Barang Miliknya (ma ‘inda al-Aimmati min silaah Rasulillah s.a.w  wa-mata‘i-hi

       (191)-1. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Mu‘awyah bin Wahab, daripada Sa‘id al-Sammaan berkata: Aku telah berada bersama-sama Abu Abdillah a.s, tiba-tiba dua orang lelaki bermazhab Zaidiyyah telah datang berjumpa dengannya, maka mereka berdua telah berkata: Adakah pada kamu seorang imam yang wajib ditaati (muftardhu al-Ta‘ati)? Beliau a.s telah berkata: Tidak, maka mereka berdua telah berkata kepadanya: Mereka yang dipercayai telah memberitahu kami tentang anda bahawa anda memberi fatwa, mengakui dan berkata mengenainya. Kami boleh menamakan mereka kepada anda, polan dan polan, mereka adalah orang yang warak, ahli ibadah dan mereka daripada golongan yang tidak berbohong.  
       Lantas Abu Abdillah a.s telah menjadi marah dan berkata: Aku tidak merintahkan mereka untuk berkata sedemikian[9]. Manakala mereka berdua melihat kemarahan di mukanya, maka mereka berdua terus keluar. Maka beliau a.s telah berkata kepadaku: Adakah anda mengenali dua lelaki ini? Aku telah berkata: Ya, mereka berdua adalah dari Pasar [tempat] kita dan mereka berdua bermazhab Zaidiyah, mereka berdua telah menyangka bahawa pedang (saif) Rasulullah s.a.w di sisi Abdullah bin al-Hasan, maka beliau a.s telah berkata: Mereka berdua telah berbohong, Allah melaknati mereka berdua. Demi Allah, Abdullah bin al-Hasan tidak pernah melihatnya dengan kedua-dua matanya, malah beliau tidak melihatnya dengan satu mata pun, begitu juga bapanya tidak pernah melihatnya. Mungkin beliau telah melihatnya di sisi Ali bin al-Husain. Jikalau mereka berdua benar, maka apakah alamat pada pemegangnya? Dan apakah kesannya di hujung mata pedangnya?
       Sesungguhnya di sisiku pedang Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya di sisiku bendera Rasulullah s.a.w dan baju besinya, bajunya yang tebal dan helmetnya. Jikalau mereka berdua benar, maka apakah alamat pada baju besi Rasulullah s.a.w? Sesungguhnya di sisiku bendera Rasulullah s.a.w yang selalu menang, sesungguhnya di sisiku Alwah (tablets) Musa dan tongkatnya. Sesungguhnya di sisiku cincin (khatam) Sulaiman bin Daud. Sesungguhnya di sisiku tempat mengisi air (al-Tast) yang mana Musa telah menggunakannya untuk menyembelih binatang korbannya. Di sisisku nama yang mana jika Rasulullah s.a.w meletakkannya di antara Muslimin dan Musyrikin, nescaya anak panah tidak akan sampai kepada Muslimin. Sesungguhnya di sisiku adalah seperti yang dibawa oleh para malaikat.
       Umpama senjata pada kami sepertilah tabut pada Bani Israel. Bani Israel pada ahli bait yang didapati tabut di pintu-pintu (rumah] mereka diberikan kenabian (al-Nubuwwah). Sesiapa yang diberikan senjata daripada kami, maka beliau diberikan imamah. Sesungguhnya bapaku telah memakai baju besi Rasulullah s.a.w, maka ia agak besar. Aku telah memakainya dan ia agak besar untukku. Al-Qaim kami apabila beliau memakainya akan sepadan dengannya insya’ Allah.

       (192)-2. Al-Husain bin Muhammad al-Asy‘ari, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Hasan bin Ali bin al-Wasya’, daripada Hammad bin Uthman, daripada ‘Abd al-A‘laa bin A‘yan berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s telah berkata: Di sisiku senjata Rasulullah s.a.w, tidak seorang pun yang dapat berhujah denganku mengenainya. Kemudian beliau a.s telah berkata: Sesungguhnya senjata tidak dapat ditembusi. Sekiranya ia diletakkan di sisi sejahat-jahat makhluk Allah, nescaya beliau akan menjadi sebaik-baik mereka. Kemudian beliau a.s telah berkata: Sesungguhnya urusan ini akan terjadi kepada orang yang mana orang ramai akan menyerahkan diri mereka kepadanya apabila Allah kehendaki, maka beliau akan keluar dan berkata kepada orang ramai: Apakah ini terjadi? Dan Allah akan meletakkan tangan (kuasa) untuknya[10]di atas kepala rakyat-Nya”.

       (193)-3. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada Yahya al-Halabi, daripada Ibn Maskan, daripada Abu Basir, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Rasulullah s.a.w telah meninggalkan barang-barang peribadinya yang terdiri daripada pedang, baju besi, tongkat, pelana kuda dan baghal betina yang bernama al-Syahbaa’. Semuanya telah diwarisi oleh Ali bin Abu Talib a.s.

       (194)-4. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Wasya’, daripada Abban bin Uthman, daripada Fudhail bin Yassar, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Bapaku telah memakai baju besi Rasulullah s.a.w yang dipanggil Dhat al-Fudhul (yang mempunyai kelebihan), aku juga telah memakainya, tetapi ia agak besar untukku.

       (195)-5. Ahmad bin Muhammad dan Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Hasan, daripada Muhammad bin Isa, daripada Ahmad bin Abi Abdullah, daripada Abu al-Hasan al-Ridha a.s telah berkata: Aku telah bertanya kepadanya di manakah Dhu al-Fiqar; pedang Rasulullah s.a.w? Beliau a.s telah berkata: Jibrail a.s telah menurunkannya dari langit (syurga). Ia dihiasi dengan perak dan ia berada di sisiku.

       (196)-6. Ali bin Ibrahim, daripada Muhammad bin Isa, daripada Yunus bin ‘Abd al-Rahman, daripada Muhammad bin Hakim, daripada Abi Ibrahim a.s telah berkata: Baju besi itu di dalam milik kami, ia tidak dapat ditembusi. Jika diletakkannya di sisi sejahat-jahat makhluk Allah, nescaya beliau akan menjadi sebaik-baik mereka. Bapaku telah memberitahuku bahawa ketika beliau a.s memasuki bilik isterinya dari Bani Thaqif yang mana pedang itu disimpan di celah dinding yang dihiasi dengan bahan jenis dinding tersebut. Di pagi hari selepas malam pertama perkahwinannya, tiba-tiba beliau a.s ternampak di hadapan pedang itu lima belas paku, lantas beliau a.s terkejut dan berkata kepadanya (paku): Pidahlah (dari sini), jika tidak, aku akan memanggil hamba-hambaku untuk melakukan sesuatu. Beliau a.s telah menurunkan dinding itu dan mendapati tiada paku dan kesannya padanya.

       (197)-7. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Safwan bin Yahya, daripada Ibn Maskan, daripada Hajr, daripada Humraan, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Aku telah bertanya kepada Abu Ja‘far a.s tentang apa yang diperkatakan oleh orang ramai bahawa mashaf yang ditutup telah diserahkan kepada Umm Salmah, maka beliau a.s telah berkata: Sesungguhnya apabila Rasulullah s.a.w mati, maka Ali a.s telah mewarisi ilmunya, senjatanya dan apa yang ada di sana. Kemudian ia telah berpindah kepada al-Hasan, kemudian kepada al-Husain a.s. Manakala kami takut dikuasai (selepas peristiwa Karbala’), kami telah menyimpannya di sisi Umm Salmah. Kemudian selepas itu, Ali bin al-Husain a.s telah mengambilnya daripada Umm Salmah. Aku telah berkata: Ya, selepas itu ia telah berpindah kepada bapa anda, kemudian ia telah berakhir kepada anda, beliau a.s telah berkata: Ya.

       (198)- 8. Muhammad, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada Fadhalah, daripada Umar bin Abban berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah a.s tentang apa yang diperkatakan oleh orang ramai bahawa mashaf yang tertutup telah diserahkan kepada Umm Salmah, maka beliau a.s telah berkata: Apabila Rasulullah s.a.w telah mati, Ali telah mewarisi ilmunya, senjatanya dan apa yang ada di sana. Kemudian ia telah berpindah kepada al-Hasan, kemudian kepada al-Husain a.s. Aku telah berkata: Kemudian kepada Ali bin al-Husain a.s, kemudian kepada anak lelakinya, kemudian ia telah berakhir kepada anda, maka beliau a.s telah berkata: Ya.

       (199)-9. Muhammad bin al-Husain dan Ali bin Muhammad, daripada Sahal bin Ziyad, daripada Muhammad bin al-Walid Syabab al-Sairafi, daripada Abban bin Uthman, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Apabila Rasulullah s.a.w di saat kematiannya, baginda s.a.w telah menyeru al-‘Abbas bin ‘Abd al-Muttalib dan Amir al-Mukminin a.s, maka beliau a.s telah bersabda kepada al-‘Abbas: Wahai bapa saudara Muhammad, adakah anda akan menerima warisan Muhammad, menunaikan hutangnya dan melaksanakan janji-janjinya? Al-‘Abbas telah menjawab kepadanya dan berkata: Wahai Rasulullah, dengan (nama) bapaku, anda dan ibuku, sesungguhnya aku adalah seorang lelaki yang tua, banyak tanggungan, sedikit harta, siapa yang boleh menandingi anda sedangkan anda melawan arus.
       Beliau telah berkata: Rasulullah s.a.w telah menundukkan kepalanya beberapa ketika, kemudian bersabda: Wahai ‘Abbas, adakah anda akan menerima warisan Muhammad, menunaikan hutangnya dan melaksanakan janji-janjinya? Wahai Rasulullah, dengan (nama) bapaku, anda dan ibuku, sesungguhnya aku adalah seorang lelaki yang tua, banyak tanggungan, sedikit harta, siapa yang boleh menandingi anda sedangkan anda melawan arus.
       Baginda s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya aku akan memberikannya kepada orang yang akan mengambilnya dengan haknya, kemudian baginda s.a.w telah bersabda: Wahai Ali, wahai saudara Muhammad, adakah anda akan melaksanakan janji-janji Muhammad, menunaikan hutang-hutangnya dan menerima warisannya? Maka beliau a.s telah berkata: Ya, dengan (nama) bapaku, anda dan ibuku, itu adalah ke atasku dan untukku. Beliau a.s telah berkata: Aku telah melihat kepadanya sehingga baginda s.a.w mencabutkan sebentuk cincinnya daripada anak jarinya dan bersabda: Anda pakailah cincin ini semasa hidupku.
       Amir al-Mukminin) a.s telah berkata: Maka aku telah melihat kepada cincin itu apabila aku meletaknya di anak jari tanganku, aku berangan-angan daripada semua itu supaya baginda s.a.w tidak meninggalkan cincinnya. Kemudian baginda s.a.w telah memanggil Bilal, bawakan kepadaku topi besi, baju besi, bendera, baju (qamis), Dhu al-Fiqar (pedangnya), serban, pakaian bahu (burd), kain pengikat lengan dan tongkat. Beliau (Ali) a.s telah berkata: Demi Allah, aku tidak pernah melihatnya sebelum ini. Apa yang beliau a.s telah maksudkannya adalah kain pengikat lengan berwarna hitam-putih(abraqah). Lalu dibawa pakaian yang panjang dan lebar yang membuatkan mata menjadi kabur, rupa-rupanya ia adalah kain pengikat lengan yang berwarna hitam-putih (abraqah) dari syurga. Maka baginda s.a.w bersabda kepada Ali a.s: Wahai Ali, sesungguhnya Jibrail telah membawanya kepadaku dan dia berkata: Wahai Muhammad, jadikannya di hujung baju besi anda dan ikatlah ia di tempat tali pinggang. Kemudian baginda s.a.w telah menyeru untuk dua pasang kasutnya yang mana kedua-duanya menurut cita-rasa Arab, salah satu daripadanya mempunyai dua tapak kasut dan satu lagi tidak. Dua baju (qamis). Satu daripadanya baginda s.a. w telah memakainya di dalam perjalanan malam (Israa’) dan yang satu lagi baginda s.a.w telah memakainya di dalam peperangan Uhud.
       Tiga songkok atau kopiah (qalansuwah); satu songkok untuk musafir, satu songkok untuk dua hari Raya Puasa, hari Raya Haji dan hari Jumaat dan satu songkok lagi baginda s.a.w memakainya ketika duduk bersama-sama para sahabatnya. Kemudian baginda s.a.w telah bersabda: Wahai Bilal, bawakan kepadaku dua ekor baghal, al-Syahbaa’ dan al-Duldul, dua ekor unta betina, al ‘Adhbaa’ dan al-Qaswaa, dua ekor kuda’, al-Janaah yang diletakkan di luar pintu masjid untuk keperluan Rasulullah s.a.w.
       Apabila baginda s.a.w mengutus seorang lelaki untuk memenuhi keperluannya, maka lelaki itu dapat menungganginya bagi memenuhi keperluan Rasulullah s.a.w. Sementara Haizum[11] yang mana baginda s.a.w pernah bersabda: Majulah, wahai Haizum. Dan keldai ‘Ufair yang mana baginda s.a.w pernah bersabda: Jagalah ia sepanjang hidupku. Amir al-Mukminin a.s telah menyebut bahawa binatang ternakan [Rasulullah s.a.w] yang pertama telah mati adalah ‘Ufair yang telah mati ketika matinya Rasulullah s.a.w. Ia telah memutuskan tali kengkangnya, kemudian ia berlari sehingga sampai ke perigi Bani Khatmah di Qubaa’, lalu mencampakkan dirinya kedalamnya dan ia telah menjadi kuburnya.

       (200)-10. Diriwayatkan bahawa Amir al-Mukminin a.s berkata: Keldai ini telah bercakap kepada Rasulullah s.a.w, maka ia telah berkata: Dengan bapaku, anda dan ibuku bahawa sesungguhnya bapaku telah memberitahuku, daripada bapanya, daripada datuknya, daripada bapanya bahawa ia telah berada bersma-sama Nuh di dalam bahteranya. Maka Nuh datang kepadanya, lalu menyapukan belakangnya. Kemudian beliau a.s telah berkata: Seekor keldai akan keluar daripada keldai ini yang mana ia akan ditunggani oleh penghulu para nabi dan terakhir mereka. Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan aku keldai tersebut.


                                                                          Bab 39

☼Umpama Senjata Rasulullah S.A.W Sepertilah Tabut Pada Bani Israel (anna mithla silah Rasulullah mithla al-Tabut fi Bani Israel)☼

       (201)-1. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Mu‘awiyah bin Wahab, daripada Sa‘id al-Sammaan berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya umpama senjata [Rasulullah s.a.w] pada kami sepertilah tabut pada Bani Israel. Bani Israel iaitu ahlu bait yang mendapati tabut di pintu-pintu [rumah] mereka, diberikan kenabian. Lantaran itu, sesiapa yang memiliki senjata [Rasulullah s.a.w] daripada kami, diberikan  imamah.

       (202)-2. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Abi ‘Umair, daripada Muhammad bin al-Sikkin, daripada Nuh bin Darraj, daripada Abdullah bin Abi Ya‘fur berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya umpama senjata [Rasulullah s.a.w] pada kami sepertilah tabut pada Bani Israel. Di mana saja tabut berada, maka kerajaan diberikan dan di mana saja senjata berada pada kami, maka ilmu diberikan.

       (203)-3. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Safwan, daripada Abu al-Hasan al-Ridha a.s telah berkata: Abu Ja‘far a.s telah berkata: Sesungguhnya umpama senjata [Rasulullah s.a.w] pada kami sepertilah tabut pada Bani Israel. Di mana saja tabut berada, diberikan kenabian. Di mana saja senjata berada pada kami, maka diberikan imamah. Aku telah berkata: Bolehkah senjata dipisahkan daripada ilmu? Beliau a.s telah berkata: Tidak.

       (204)-4. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Abi Nasr, daripada Abu al-Hasan al-Ridha a.s telah berkata: Abu Ja‘far a.s telah berkata: Sesungguhnya umpama senjata [Rasulullah s.a.w] pada kami sepertilah tabut pada Bani Israel. Di mana saja tabut berada, diberikan kerajaan. Di mana saja senjata berada pada kami, maka di berikan ilmu.

                              
                                                                   Bab 40

☼Padanya  Sebutan Mashaf, Al-Jafar, Al-Jami‘ah Dan Mashaf Fatimah A.S (fi-hi dhikr al-Sahifah wa-al-Jafar wa-al-Jami‘ah wa-mushaf Fatimah a.s)☼

       (205)-1. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Abdullah bin al-Hijjal, daripada Ahmad bin ‘Umar al-Halabi, daripada Abu Basir berkata: Aku telah datang kepada Abu Abdillah a.s, maka aku telah berkata kepadanya: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, sesungguhnya aku ingin bertanya kepada anda tentang satu masalah. Di sini adakah seorang yang sedang mendengaar percakapanku? Beliau telah berkata: Lalu Abu Abdillah a.s telah mengangkat langsir (sitran) di antara rumahnya dan rumah yang lain dan melihat di dalamnya, kemudian berkata: Wahai Abu Muhammad, tanyalah apa yang terlintas di hati anda.
       Aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, sesungguhnya Syiah anda mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah mengajar Ali satu bab (pintu ilmu) yang membuka seribu pintu yang lain? Maka beliau a.s telah berkata: Wahai Abu Muhammad, sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengajar Ali a.s seribu pintu [ilmu] yang membuka setiap pintu seribu pintu yang lain pula. Aku telah berkata: Demi Allah, ini adalah ilmu, lalu beliau a.s mengetok di tanah beberapa ketika, kemudian berkata: Ini adalah ilmu, tetapi ia bukanlah ilmu.
       Kemudian beliau a.s telah berkata: Wahai Abu Muhammad, sesungguhnya di sisi kami al-Jami‘ah, apakah yang membuat mereka mengetahui apa itu al-Jami‘ah? Aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, apakah itu al-Jami‘ah? Beliau a.s telah berkata: Mashaf (scroll) panjangnya tujuh puluh hasta dengan ukuran hasta Rasulullah s.a.w dan imlaknya daripada mulutnya dan khat Ali dengan tangannya. Di dalamnya setiap perkara yang halal dan haram dan setiap perkara yang dihajati oleh manusia sehinggakan  kepada denda bagi orang yang melakukan sesuatu. Dan beliau a.s telah memukul aku dengan tangannya sambil berkata: Adakah anda memberi izin kepadaku, wahai Abu Muhammad?
       Aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, sesungguhnya aku adalah untuk anda, lakukanlah apa yang anda mahu. Beliau telah berkata: Beliau a.s telah mencubit tanganku dan berkata:-sehingga denda semacam ini-seolah-olah beliau a.s di dalam keadaan marah-aku telah berkata: Demi Allah, ini adalah ilmu. Beliau a.s telah berkata: Sesungguhnya ia adalah ilmu, tetapi ia bukanlah ilmu. Kemudian beliau a.s telah mendiamkan diri seketika, kemudian berkata: Sesungguhnya di sisi kami al-Jafar, apakah yang membuat mereka mengetahui apa itu al-Jafar? Aku telah berkata: Apakah itu al-Jafar? Beliau a.s telah berkata: Bekas daripada kulit padanya ilmu para nabi, para wasi dan ilmu para ulama Bani Israel yang telah berlalu. Aku telah berkata: Sesungguhnya ini adalah ilmu, beliau a.s telah berkata: Sesungguhnya ia adalah ilmu, tetapi ia bukanlah ilmu.
       Kemudian beliau a.s telah mendiamkan diri seketika. Kemudian beliau a.s telah berkata: Sesungguhnya di sisi kami mashaf Fatimah a.s dan apakah yang dapat mengajar mereka tentang mashaf Fatimah a.s? Aku telah berkata: Apakah mashaf Fatimah a.s? Beliau a.s telah berkata: Mashaf seperti tiga kali al-Qur’an kamu (mushaf fi-hi mithlu Qur’ani-kum hadha thalatha marraat). Demi Allah, ia tidak seperti Qur’an kamu sekalipun satu huruf (wa llahi ma fi-hi min Qur’ani-kum harfun wahid).
       Aku telah berkata: Demi Allah, ini adalah ilmu, beliau a.s telah berkata: Sesungguhnya ia adalah ilmu, tetapi ia bukanlah ilmu. Kemudian beliau a.s telah mendiamkan diri seketika. Kemudian beliau a.s telah berkata: Sesungguhnya di sisi kami ilmu tentang apa yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku sehingga berlakunya Kiamat. Aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, demi Allah, ini adalah ilmu, beliau a.s telah berkata: Ia adalah ilmu, tetapi ia bukanlah sedemikian. Aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, apakah itu ilmu? Beliau a.s telah berkata: Apa yang berlaku di waktu malam dan siang hari, satu urusan selepas urusan yang lain, satu perkara selepas perkara yang lain sehingga hari Kiamat.

       (206)-2. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, daripada Hammad bin Uthman, berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s telah berkata: Mereka yang Zindiq akan zahir pada tahun 128 Hijrah (745/746 M), aku telah melihatnya pada mashaf Fatimah a.s. Aku telah berkata: Apakah mashaf Fatimah? Beliau a.s telah berkata: Apabila Allah mematikan nabi-Nya s.a.w, dukacita telah menguasai Fatimah a.s yang mana tiada seorang pun yang mengetahuinya melainkan Allah a.w. Lalu Allah mengutus kepadanya malaikat untuk menggembirakannya dan bercakap-cakap dengannya (yuhaddithu-ha). Kemudian Fatimah a.s telah mengadu kepada Amir al-Mukminin a.s, maka Amir al-Mukminin a.s telah berkata: Apabila anda telah merasainya dan anda telah mendengar suara, beritahulah kepadaku. Kemudian Fatimah a.s telah memberitahu kepadanya perkara itu. Lalu Amir al-Mukminin a.s terus menulis setiap kali beliau a.s mendengarnya sehingga beliau a.s menjadikannya satu mashaf. Beliau a.s telah berkata: Tidak ada padanya perkara yang halal dan haram, tetapi ada padanya ilmu tentang apa yang akan berlaku. [12]

       (207)-3. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Hakam, daripada al-Husain bin Abi al- ‘Alaa’ berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya di sisi kami al-Jafar yang putih (al-Abyadh). Aku telah berkata: Apakah yang ada di dalamnya? Beliau a.s telah berkata: Zabur Daud, Taurat Musa, Injil Isa, mashaf Ibrahim, halal dan haram dan mashaf Fatimah. Aku tidak mendakwa di dalamnya al-Qur’an. Di dalamnya ialah apa yang dihajati oleh orang ramai kepada kami dan kami tidak berhajat kepada sesiapapun sehingga di dalamnya [hukuman] satu rotan, separuh rotan, satu per empat rotan dan denda.
       Di sisi kami al-Jafar yang berwarna merah (al-Ahmar). Aku telah berkata: Apakah yang ada di dalam al-Jafar yang berwarna merah? Beliau a.s telah berkata: Senjata, ia hanya dibuka untuk darah yang akan dibuka oleh pemilik pedang untuk membunuh [seseorang]. Maka Abu Abdillah bin Abi Ya‘fur telah berkata kepadanya: Asalaha-ka llahu, adakah Banu al-Hasan[13] mengetahuinya? Maka beliau a.s telah berkata: Ya, demi Allah, sebagaimana mereka mengetahui malam bahawa ia adalah malam, sebagaimana mereka mengetahui siang bahawa ia adalah siang, tetapi mereka didorongkan oleh hasad dan cinta kepada dunia berdasarkan kedegilan dan keingkaran. Jika mereka menuntut kebenaran dengan kebenaran, nescaya ia adalah lebih baik untuk mereka.

       (208)-4. Ali bin Ibrahim, daripada Muhammad bin Isa, daripada Yunus, daripada orang yang telah disebutkannya, daripada Sulaiman bin Khalid, berkata: Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya pada al-Jafar yang mereka sebutkannya menyakitkan mereka, kerana mereka tidak berkata benar sedangkan kebenaran ada padanya. Hendaklah mereka mengeluarkan hukum-hukum Ali dan kiraan ilmu pusakanya, jika mereka bercakap benar. Tanya mereka tentang ibu saudara sebelah bapa dan di sebelah ibu, hendaklah mereka mengeluarkan mashaf Fatimah a.s, kerana padanya wasiat Fatimah a.s. Bersamanya adalah senjata Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya Allah a. w telah berfirman: “Bawakan kepadaku Kitab sebelum ini (al-Qur’an) atau peninggalan dari pengetahuan, jika kamu yang benar”[14] 

       (209)-5. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Mahbub, daripada Ibn Ri’ab, daripada Abu ‘Ubaidah, berkata: Dia telah bertanya Abu Abdillah a.s tentang sebahagian daripada sahabat kami mengenai al-Jafar, maka beliau a.s telah berkata: Iaitu kulit lembu jantan yang dipenuhi ilmu, beliau telah berkata kepadanya: Al-Jami‘ah? Beliau a.s telah berkata: Mashaf (sahifah) [15]panjangnya tujuh puluh hasta di dalam bentuk kulit sebesar paha unta. Padanya apa yang dihajati oleh orang ramai kepadanya, tidak ada satu perintah melainkan ada di dalamnya sehinggakan [hukum] denda.
       Beliau telah berkata: Dan mashaf Fatimah a.s? Beliau a.s telah mendiamkan dirinya agak lama, kemudian berkata: Sesungguhnya kamu telah membincangkan apa yang kamu mahu dan apa yang kamu tidak mahu. Sesungguhnya Fatimah a.s telah tinggal selepas Rasulullah s.a.w selama tujuh puluh lima hari. Dukacita telah menguasainya kerana kematian bapanya. Lalu Jibrail a.s mendatanginya, memberi takziah di atas kematian bapanya, menasihatinya, memberitahunya tentang bapanya dan tempatnya serta memberitahu kepadanya apa yang akan berlaku kepada zuriatnya selepasnya, lalu Ali a.s telah menulisnya, maka inilah mashaf Fatimah a.s.[16]

       (210)-6. Beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Salih bin Sa‘id, daripada Ahmad bin Abi Basyar, daripada Bakr bin Karb al-Sairafi berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya di sisi kami apa yang kami tidak berhajat kepada orang ramai, sesungguhnya orang ramai berhajat kepada kami. Sesungguhnya di sisi kami kitab dengan imlak Rasulullah s.a.w dan khat Ali a.s, mashaf di dalamnya halal dan haram. Sesungguhnya kamu akan mendatangi kami dengan urusan, maka kami mengetahuinya apabila kamu mengambilnya dan kami mengetahuinya apabila kamu meninggalkannya.

       (211)-7. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Abu ‘Umair, daripada Umar bin Udhainah, daripada Fudhail bin Yassar, Buraid bin Mu‘awyah dan Zurarah bahawa ‘Abd al-Malik bin A‘yan berkata kepada Abu Abdillah a.s: Sesungguhnya Zaidiyah dan Muktazilah telah berkumpul  di sekitar Muhammad bin Abdullah, maka adakah di sisinya kuasa? Maka beliau a.s telah berkata: Demi Allah, sesungguhnya di sisiku dua kitab yang mana setiap nabi dan setiap raja yang memerintah ada di dalamnya, tidak, demi Allah, Muhammad bin Abdullah tidak ada di dalam salah satu daripada dua kitab”.
       (212)-8. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada al-Qasim bin Muhammad, daripada ‘Abd al-Samad bin Basyir, daripada Fudhail bin Sukkarah berkata: Aku telah mendatangi Abu Abdillah a.s, maka beliau a.s telah berkata: Wahai Fudhail, adakah anda mengetahui apakah yang aku sedang melihat sebelum kedatangan anda sekejap tadi? Aku telah berkata: Tidak, beliau a.s telah berkata: Aku sedang melihat kepada kitab Fatimah a.s. Tidak ada di sana raja yang memerintah [bumi ini] melainkan ia termaktub di dalamnya namanya, nama bapanya dan aku tidak mendapati anak-anak al-Hasan di dalamnya”.

[1] Surah Ali Imraan (3): 34

[2] Al-Suyutu, al-Itqan, 111, 41 mencatatkan riwayat daripada Abdullah bin Umar, daripada bapanya Umar al-Khattab, beliau telah berkata: “Jangan seorang itu berkata aku telah mengambil keseluruhan al-Qur’an, apakah dia tahu keseluruhan al-Qur’an itu? Sesungguhnya sebahagian al-Qur’an telah hilang dan katakan sahaja aku telah mengambil al-Qur’an mana yang ada” Ini bererti sebahagian al-Qur’an telah hilang dan tidak dikumpulkan oleh Uthman di dalam Mashafnya.

[3] Al-Bukhari, Sahih, vi, hlm. 210 menyatakan bahwa (Surah al-Lail 92:3) telah ditambah perkataan “Maa khalaqa”, Lantaran itu, ayat asalnya “Wa al-Dhakari wa al- Unthaa” tanpa “Maa khalaqa”. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu al-Dardaa’, kemudian ia dicatat pula oleh Muslim, Sahih, I, hlm.565, al-Turmudhi, Sahih, v, v, hlm. 191. Al-Suyuti, al-Itqaan, ii, hlm. 82 meriwayatkan bahawa ‘Aisyah menyatakan (Surah al-Ahzab33: 56) pada masa Nabi s.a.w adalah lebih panjang, iaitu dibaca “ Wa ‘ala al-Ladhiina yusalluna al-Sufuuf al-Uwal” selepas “ Inna llaha wa malaikata-hu yusallaana ‘Ala al-Nabiy” ‘Aisyah telah berkata: Iaitu sebelum Uthman mengubah mashaf-mashaf.

[4] Surah al-Nahl (16): 89

[5] Surah al-Naml (27): 40

[6] Surah al-Ra‘d ( 13: 43

[7] Surah al-A‘raaf (7): 117

[8] Surah Yusuf (12): 94

[9] Kata-katanya a.s adalah secara taqiyyah di hadapan musuh. Kerana para imam a.s adalah wajib ditaati.

[10] Allah akan menolongnya

[11] Nama seekor kuda Rasulullah s.a.w

[12] Mashaf Fatimah a.s adalah imlak Ali a.s berdasarkan suara malaikat yang didengari oleh Fatimah a.s.

[13] Anak-anak al-Hasan bin Ali a.s

[14] Surah al-Ahqaf (46): 4

[15] Bererti scroll

[16] Mashaf Fatimah a.s ialah percakapan malaikat dengan Fatimah a.s selepas kematian bapanya yang ditulis oleh Ali a.s. dan ia bukanlah al-Qur’an.

Penulis : Unknown ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini, w. 328/29 H (bab 34-40) ini dipublish oleh Unknown pada hari 13 Julai 2011. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini, w. 328/29 H (bab 34-40)
 

0 comments:

Catat Ulasan