Welcome to My lovely Blog

Random

create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
http://adf.ly/EWRNQ

Hadiths/aLQur'an

Hadiths/aLQur'an
Dhul Hijja

Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini, w. 328/29 H (bab112-116)


                                           Bab 112

Larangan Penyeliaan Di Atas Kubur Nabi S.A.W (al-Nahyu ‘an al-Isyraaf ‘ala Qabr al-Nabi s.a.w)☼

       (798)-1. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad al-Barqiy, daripada Ja‘far bin al-Muthanna al-Khatib[1] berkata: Aku telah berada di Madinah dan atap masjid yang diletakkan di atas kubur telahpun jatuh sedangkan orang ramai naik dan turun dan kamu adalah satu kumpulan, maka aku telah berkata kepada para sahabat kita: Siapakah di kalangan kamu yang mempunyai temu janji dengan Abu Abdillah a.s pada malam ini? Mihran bin Abi Nasr telah berkata: Aku dan Isma‘il bin ‘Ammar al-Sairafi telah berkata: Aku, lalu kami telah berkata kepada mereka berdua: Kamu berdua tanyalah Abu Abdillah a.s tentang atap yang hendak diangkat [ke tempatnya dahulu] supaya kami seliakan di atas kubur Nabi s.a.w.
       Manakala pada keesokan paginya, kami telah berjumpa dengan mereka berdua, kami semua telah berkumpul, maka Isma‘il telah berkata: Sesungguhnya kami telah bertanya beliau untuk kamu sebagaimana kamu telah menyebutnya, lalu beliau a.s telah berkata: Aku tidak suka seorangpun daripada mereka menaiki di atasnya dan aku tidak menjaminnya bahawa beliau akan melihat sesuatu sehingga hilang penglihatannya atau beliau melihatnya sedang berdiri bersembahyang atau beliau melihatnya bersama isteri-isterinya a.s.

                                       
                                                              Bab 113

☼Kelahiran Amir Al-Mukminin A.S (maulid Amir al-Mu’minin a.s)☼

       (799)-1. Amir al-Mukminin a.s telah dilahirkan tiga puluh tahun selepas tahun gajah. Beliau dibunuh pada 9hb Ramadan, malam Ahad pada tahun 40 H ketika berusia 63 tahun. Beliau telah tinggal selepas kematian Nabi s.a.w selama 30 tahun. Dan ibunya Fatimah binti Asad bin Hasyim bin ‘Abd Manaf. Beliau a.s adalah Hasyimi pertama yang dilahirkan oleh seorang Hasyimi sebanyak dua kali (awwalu hasyimi walada-hu Hasyim marrataini).

       (800)-1. Al-Husain bin Muhammad, daripada Muhammad bin Yahya al-Farisi, daripada Abi Hanifah Muhammad bin Yahya, daripada al-Walid bin Abban, daripada Muhammad bin Abdullah bin Maskan, daripada bapanya berkata: Abu Abdillah a.s  telah berkata: Sesungguhnya Fatimah binti Asad telah datang kepada Abu Talib untuk memberitahu berita gembira kepadanya tentang kelahiran Nabi s.a.w, maka Abu Talib berkata: Bersabarlah anda selama 30 tahun (sabtan), aku akan memberitahu kepada anda berita gembira seumpamanya melainkan kenabian dan beliau telah berkata: Al-Sabt ialah tiga puluh tahun. Dan masa di antara Rasulullah s.a.w dan Amir al-Mukminin a.s adalah 30 tahun.

       (801)-2. Ali bin Muhammad bin Abdullah, daripada al-Sayyaari, daripada Muhammad bin Jumhur, daripada sebahagian daripada sahabat kami, daripada Abu Abdillah a.s  telah berkata: Sesungguhnya Fatimah binti Asad adalah ibu kepada Amir al-Mukminin a.s. Beliau adalah perempuan pertama yang telah berhijrah kepada Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah dengan berjalan kaki. Beliau adalah orang yang paling baik dengan Rasulullah s.a.w, maka aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya manusia akan dihimpunkan pada hari Kiamat di dalam keadaan bertelanjang sebagaimana mereka dilahirkan.
       Maka Fatimah binti Asad berkata: Penutupan auratnya[?], maka baginda s.a.w bersabda: Aku akan memohon kepada Allah supaya Dia menghantarkan selimut (pakaian) kepada anda. Dan beliau telah mendengarnya s.a.w menyebut tentang azab kubur, lalu beliau telah berkata: [Azabnya] berganda[?], maka Rasulullah s.a.w telah bersabda kepadanya: Sesungguhnya aku akan memohon kepada Allah supaya Dia menjaga anda daripadanya. Pada suatu hari beliau telah berkata kepada Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya aku mahu memerdekakan seorang hamba perempuanku ini, maka baginda s.a.w telah bersabda kepadanya: Jika anda melakukannya, nescaya Allah akan memerdekakan setiap anggota anda daripada api neraka. Manakala beliau telah sakit, beliau telah berwasiatkan kepada Rasulullah s.a.w dan menyuruhnya supaya memerdekakan seorang hamba lelakinya. Lidahnya telah menjadi kaku, lalu beliau mulai memberi isyarat kepada Rasulullah s.a.w, maka Rasulullah s.a.w telah menerima wasiatnya.
       Manakala baginda s.a.w sedang duduk, tiba-tiba Amir al-Mukminin a.s telah datang kepadanya di dalam keadaan menagis, maka Rasulullah s.a.w telah bersabda kepadanya: Apakah yang membuat anda menangis? Beliau telah berkata: Ibuku Fatimah telah mati, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Dan ibuku [juga], demi Allah, baginda s.a.w telah bangun dengan cepat sehingga baginda s.a.w telah masuk dan melihat kepadanya dan menangis. Kemudian baginda s.a.w telah menyuruh perempuan supaya memandikan jenazahnya dan Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu semua telah menyelesaikannya, maka janganlah kamu bercakap apa-apa sehingga kamu memberitahu kepadaku.
       Apabila mereka telah menyelesaikannya, mereka telah memberitahu kepadanya tentangnya, lalu baginda s.a.w telah memberikan kepada mereka salah satu daripada dua bajunya (qamisnya) yang menutupi badannya dan baginda s.a.w telah menyuruh mereka supaya mengapankannya di dalamnya dan baginda s.a.w telah berkata kepada muslimin: Apabila kamu telah melihatku telah melakukan sesuatu yang aku tidak pernah melakukannya sebelum ini, maka bertanyalah aku kenapa aku telah melakukannya. Manakala mereka telah menyelesaikannya dari memadikannya dan mengapankannya, lalu baginda s.a.w telah masuk dan membawa jenazahnya di atas bahunya. Baginda s.a.w sentiasa di bawah jenazahnya sehingga baginda s.a.w sampai di kuburnya. Kemudian baginda s.a.w telah meletakkannya dan memasuki kuburnya dan mengiringkannya padanya. Kemudian baginda s.a.w telah berdiri, lalu mengambilnya di atas dua tangannya sehingga baginda s.a.w telah meletakkannya di kuburnya.
       Kemudian baginda s.a.w telah menundukkan [kepalanya] di atasnya pada masa yang agak lama, menyerunya dan berkata kepadanya: Anak lelaki anda, anak lelaki anda [anak lelaki anda], kemudian baginda s.a.w telah keluar dan membetulkannya, kemudian baginda s.a.w telah menundukkan [kepalanya] di atas kuburnya, lalu mereka telah mendengarnya bersabda: Tiada tuhan melainkan Allah, wahai Tuhanku, sesungguhnya aku meninggalkannya kepada Engkau, kemudian baginda s.a.w telah pulang. Muslimin telah berkata kepadanya: Sesungguhnya kami telah melihat anda telah melakukan perkara-perkara yang anda tidak pernah melakukannya sebelum hari ini, maka baginda s.a.w bersabda: Pada hari ini aku telah kehilangan kebaikan Abu Talib, jika ada di sisinya sesuatu, nescaya ia akan memberi kesan kepada dirinya dan anak-anaknya.
       Sesungguhnya aku telah menyebut hari Kiamat dan sesungguhnya manusia akan dihimpunkan di dalam keadaan bertelanjang, maka beliau (Fatimah binti Asad) berkata: Penutupan auratnya[?], maka aku telah memberi jaminan kepadanya supaya Allah menghantarkan kepadanya selimut. Dan aku telah menyebut azab kubur, maka beliau telah berkata: [Azabnya] berganda[?], maka aku telah memberi jaminan bahawa Allah akan menjaganya daripadanya.
       Justeru, aku telah mengapankannya dengan bajuku(qamis) dan aku telah  mengiringkannya di kuburnya, aku telah mengapankannya dan aku telah menundukkan [kepalaku] di atasnya. Kemudian aku telah membaca talkin kepadanya kerana beliau sedang ditanya tentang Tuhannya, maka beliau telah menjawabnya, beliau ditanya tentang Rasul-Nya, lalu beliau telah menjawabnya dan beliau ditanya tentang walinya dan imamnya, maka ia telah mengejutkannya, maka aku telah berkata: Anak lelaki anda, anak lelaki anda [anak lelaki anda].

       (802)-3. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada orang yang beliau telah menyebutnya, daripada Ibn Mahbub, daripada Umar bin Abban al-Kalbi, daripada al-Mufadhdhal bin Umar berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s telah berkata: Manakala Rasulullah s.a.w dilahirkan, didedahkan kepada Aminah “keputihan Farsi”[2] dan istana-istana Syam, tiba-tiba Fatimah binti Asad, ibu Amir al-Mukminin a.s telah datang kepada Abu Talib di dalam keadaan suka dan gembira, kemudian beliau telah memberitahu kepadanya apa yang dikatakan oleh Aminah, maka Abu Talib telah berkata kepadanya: Anda merasa pelik tentang perkara ini, sesungguhnya anda akan mengandung dan akan melahirkan wasinya dan wazirnya”[3]

       (803)-4. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada al-Barqiy, daripada Ahmad bin Zaid al-Nisaburi berkata: Umar bin Ibrahim al-Hasyimi telah memberitahu kepadaku, daripada ‘Abd al-Malik bin Umar, daripada Usyad bin Safwan, sahabat Rasulullah s.a.w, berkata: Pada hari matinya Amir al-Mukminin a.s, tempat[nya] dipenuhi dengan tangisan, manusia merasa terharu seperti hari matinya Rasulullah s.a.w dan seorang lelaki telah datang di dalam keadaan menangis, cepat sambil berkata: Pada hari ini berakhirlah khilafah kenabian sehingga beliau telah berdiri di pintu rumah Amir al-Mukminin a.s, maka beliau berkata:

       “Allah telah merahmati anda, wahai Abu al-Hasan, anda adalah orang yang pertama Islam dan yang paling ikhlas iman, yang paling kuat keyakinan, yang paling takut kepada Allah, yang paling mengambil berat, yang paling telus kepada Rasulullah s.a.w, yang paling aman ke atas sahabatnya, yang paling baik kelebihannya (manaqibnya), yang paling mulia daripada mereka yang terdahulu, yang paling tinggi darjat, yang paling hampir kepada Rasulullah s.a.w, yang paling menyerupai nya dari segi petunjuk, akhlak, kebaikan dan perbuatan, yang paling tinggi kedudukan, yang paling mulia ke atasnya. Allah akan memberi balasan kepada anda tentang Islam, Rasul-Nya dan muslimin dengan kebaikan.
       Anda telah menjadi kuat ketika para sahabat anda telah lemah, anda terserlah ketika mereka terdiam, anda telah bangkit ketika mereka menjadi lemah, anda telah melakukan peraturan Rasulullah s.a.w ketika para sahabatnya bercadang untuk meninggalkannya. Justeru, andalah khalifahnya yang sebenar, anda tidak bertengkar dan menunduk kepada tekanan munafikin, kemarahan mereka yang kafir, kebencian mereka yang hasad dan kedengkian mereka yang fasik. Anda telah melaksanakan urusannya ketika mereka telah gagal. Anda telah bercakap ketika mereka di dalam keraguan dan anda telah pergi dengan cahaya Allah ketika mereka telah berhenti, lalu mereka telah mengikuti anda dan mendapat hidayah. Anda adalah yang paling rendah suara dan yang paling tinggi berdoa(qunut), yang paling kurang bercakap, yang paling tepat bercakap, yang paling besar pendapat, yang paling berani hati, yang paling kuat keyakinan, yang paling baik amalan, yang paling mengetahui tentang banyak perkara. Anda, demi Allah, madu kepada agama; pertama dan kedua: Pertama ketika orang ramai telah berpecah dan kedua ketika mereka telah gagal.
       Anda bagi mukminin seperti bapa yang pemurah kerana mereka telah menjadi tanggungan anda, justeru, anda telah menanggung beban kelemahan mereka, anda telah menjaga apa yang mereka telah hilang, anda telah menjaga apa yang mereka telah cuai, anda telah memenatkan diri anda apabila mereka berkumpul, anda telah tinggi  apabila mereka keciwa, anda telah bersabar apabila mereka telah gopoh. Anda telah dapat ketegangan apa yang mereka telah minta dan mereka telah dapat apa yang mereka tidak menjangkakannya. Anda ke atas mereka yang kafir merupakan azab dan rampasan, tetapi bagi mukminin sebagai tiang dan benteng, anda telah dikurniakan dengan nikmat-nikmat-Nya dan anda telah memenanginya, anda telah mendahului mereka yang terdahulu.
       Anda telah pergi dengan kelebihannya, tidak mengurangkan hujah anda, tidak mengubah hati anda, tidak melemahkan mata hati anda, tidak mengecutkan diri anda dan menundukkannya. Anda seperti gunung yang tidak dapat digerakkan oleh taufan, anda sebagaimana beliau berkata: Orang ramai telah aman di dalam persahabatan dengan anda dan mendapat pertolongan anda, anda sebagaimana beliau telah berkata: Anda adalah lemah dari segi badan, tetapi kuat di dalam urusan Allah, merendah diri pada diri anda, besar di sisi Allah.
       Besar di bumi, mulia di sisi mukminin, tidak ada seorangpun dapat mempersendakan anda di dalam semua perkara, orang yang lemah dan hina di sisi anda seorang yang kuat lagi mulia sehingga anda mengambil untuknya haknya, orang yang kuat dan mulia di sisi anda adalah lemah lagi hina sehingga anda mengambil hak daripadanya, orang yang dekat (kerabat) dan yang jauh di sisi anda tentang itu adalah sama, keadaan anda adalah kebenaran, ke ikhlasan dan kelembutan, kata-kata anda adalah hikmat lagi pemutus, urusan anda adalah lemah lembut dan cekal, pendapat anda adalah ilmu dan azam apa yang anda telah buat. Sesungguhnya anda telah melalui jalan [duri], anda telah mempermudahkan kesukaran, anda telah memadamkan api [fitnah].
       Dengan anda agama telah menjadi sederhana dan Islam telah menjadi kuat dengan anda, maka telah zahirlah urusan Allah sekalipun dibenci oleh mereka yang kafir. Islam dan muslimin telah mantap dengan anda, anda telah mendahului apa yang terdahulu. Anda telah mengurangkan kepenatan orang selepas anda mengalami kepenatan yang kuat. Anda menahan tangisan, bencana anda amat besar di langit, musibat anda memusnahkan manusia, maka sesungguhnya kita daripada Allah dan kepadanyalah kita kembali, kita meredai qada’ Allah, demi Allah, muslimin sekali-kali tidak akan ditimpa musibat seperti anda selama-lamanya. Anda bagi mukminin seperti gua dan benteng, gunung yang kuat dan bagi mereka yang kafir adalah kekasaran dan kemarahan, maka Allah telah menyambungkan anda dengan Nabi-Nya dan Dia tidak mengaramkan kami daripada pahala anda, Dia tidak menyesatkan kami selepas anda”. Mereka terdiam sehingga percakapannya berakhir dan para sahabat Rasulullah s.a.w telah menangis, kemudian mereka telah mencarinya, tetapi mereka tidak menemuinya.

       (804)-5. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Safwan al-Jamal berkata: Aku, ‘Amir dan Abdullah bin Jaza‘ah al-Azdi telah berada di sisi Abu Abdillah a.s, berkata: ‘Amir telah berkata kepadanya: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, adakah Amir al-Mukminin a.s telah disemadikan di al-Rahbah? Beliau a.s telah berkata: Tidak, beliau berkata: Di manakah beliau telah di semadikan? Beliau a.s telah berkata: Manakala beliau a.s mati, maka al-Hasan a.s telah membawanya, kemudian beliau dibawa ke Kufah berhampiran dengan Najaf, di kiri al-Ghariyy dan di kanan al-Hirah, lalu disemadikan dicelah tanah tinggi yang berwarna putih. Beliau telah berkata: Selepas itu aku telah pergi di tempat itu, tetapi aku telah menjadi keliru lokasi sebenarnya, kemudian aku telah memberitahu kepadanya, maka beliau a.s telah berkata kepadaku: Anda telah mendapati tempatnya-sebanyak tiga kali-.

       (805)-6. Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Abi ‘Umair, daripada al-Qasim bin Muhammad, daripada Abdullah bin Sinan berkata: Umar bin Yazid telah datang kepadaku dan berkata: Naiklah, lalu akupun naik [binatang tunggangan] bersamanya, kami telah pergi sehingga ke rumah Hafs al-Kinasi, maka aku telah meminta supaya beliau keluar, lalu beliau telah menunggang bersama kami, kemudian kami telah pergi sehingga kami telah sampai ke al-Ghariy, maka kami telah berakhir di sebuah kubur, maka beliau telah berkata: Turunlah, ini adalah kubur Amir al-Mukminin a.s, kami telah berkata: Dari manakah anda telah mengetahuinya? Maka beliau telah berkata: Aku telah datang bersama Abu Abdillah a.s di al-Hirah beberapa kali dan beliau a.s telah memberitahu kepadaku bahawa ia adalah kuburnya.

       (806)-7. Muhammad bin Yahya, daripada Salmah bin al-Khattab, daripada Abdullah bin Muhammad, daripada Abdullah bin al-Qasim, daripada Isa Syalqan berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya Amir al-Mukminin a.s mempunyai khu’ulah [4] pada Bani Makhzum. Dan seorang pemuda daripada mereka telah mendatanginya dan berkata: Wahai bapa saudaraku, sesungguhnya saudaraku telah mati dan aku telah berdukacita ke atasnya dengan kuat, maka beliau a.s telah berkata kepadanya: Anda mahu melihatnya? Beliau telah berkata: Ya, beliau a.s telah berkata: Perlihatlah kepadaku kuburnya.
       Beliau telah berkata: Beliau a.s telah keluar dan bersamanya burdah Rasulullah s.a.w yang dipakainya. Manakala beliau a.s telah sampai ke kubur, maka dua bibir mulutnya bergerak membaca sesuatu, kemudian beliau a.s telah menendang kuburnya dengan kakinya, lantas keluarlah dia dari kuburnya bercakap di dalam bahasa Farsi, maka Amir al-Mukminin a.s telah berkata kepadanya: Tidakkah anda telah mati  dan anda seorang Arab? Beliau berkata: Ya, tetapi kami telah mati di atas sunnah polan dan polan, kemudian lidah kami telah bertukar [kepada bahasa Farsi].

       (807)-8. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad dan Ali bin Muhammad, daripada Sahal bin Ziyad, daripada Ibn Mahbub, daripada Abi Hamzah, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Manakala Amir al-Mukminin a.s mati, maka al-Hasan bin Ali a.s telah berada di masjid Kufah, maka beliau telah memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi s.a.w, kemudian beliau telah berkata: Wahai manusia, sesungguhnya telah mati pada malam ini seorang lelaki yang tidak didahuluinya oleh mereka yang dahulu dan tidak mendapatinya oleh mereka yang mutakhir.
       Sesungguhnya beliaulah pembawa bendera Rasulullah s.a.w, di kanannya Jibrail, di kirinya Mikail, beliau tidak kembali sehingga Allah memberi kemenangan untuknya. Demi Allah, beliau tidak meninggalkan yang putih dan yang merah melainkan 700 dirham, baki daripada pemberiannya. Dengan wang itu, beliau mahu membeli seorang hamba lelaki untuk keluarganya. Demi Allah, beliau telah mati pada malam matinya wasi Musa, Yusyu‘ bin Nun dan pada malam Isa bin Maryam diangkat ke langit dan pada malam turunya al-Qur’an.

       (808)-9. Ali bin Muhammad secara marfu‘ berkata: Abu Abdillah a.s telah berkata: Manakala Amir al-Muminin a.s dimandikan jenazahnya, mereka dipanggil dari sudut rumah, “jika kamu telah mengambil di depan katil, maka  yang akhirnya telah memadai. Dan jika kamu telah mengambil yang akhirnya, maka yang di depannya telah memadai untuk kamu”[5].

       (809)-10. Abdullah bin Ja‘far dan Sa‘d bin Abdullah, daripada Ibrahim bin Mihziyar, daripada saudara lelakinya Ali bin Mihziyar, daripada al-Hasan bin Mahbub, daripada Hisyam bin Salim, daripada Habib al-Sajistani berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s telah berkata: Fatimah binti Muhammad telah dilahirkan 5 tahun selepas Rasulullah s.a.w dilantik menjadi Rasul dan beliau mati ketika berusia 18 tahun 75 hari.

       (810-11. Sa‘d bin Abdullah, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada al-Hasan bin Ali bin Fadhdhal, daripada Abdullah Bakir, daripada sebahagian daripada sahabatnya, daripada Abu Abdillah a.s bahawa beliau telah mendengarnya berkata: Apabila Amir al-Mukminin a.s mati, maka al-Hasan, al-Husain dan dua orang lelaki yang lain telah mengeluarkannya sehingga mereka keluar dari Kufah. Mereka telah meninggalkan sumpah mereka, kemudian mereka telah melalui al-Jabanah[6] sehingga mereka sampai ke al-Ghariy, lalu mereka mengembumikannya dan menyamakan kuburnya, kemudian mereka pulang.


                                                                   Bab 114

☼Kelahiran Al-Zahra’ Fatimah A.S (maulid al-Zahraa’ Fatimah a.s)

       Fatimah a.s suaminya adalah Ali a.s, dilahirkan 5 tahun selepas Rasulullah s.a.w dilantik menjadi Rasul. Fatimah a.s telah mati ketika berusia 18 tahun dan 75 hari. Dan beliau telah tinggal 75 hari selepas [kematian] bapanya.

        (811)-1. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Mahbub, daripada Ibn Ri’ab, daripada Abi ‘Ubaidah, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya Fatimah a.s telah tinggal selepas Rasulullah s.a.w selama 75 hari. Beliau telah berdukcita di atas kematian bapanya. Jibrail telah mendatanginya dan memberi takziah di atas kematian bapanya, memperbaiki [keadaan] dirinya, menceritakan kepadanya tentang keadaan bapanya, tempatnya, memberitahu kepadanya apa yang akan berlaku selepasnya pada zuriatnya dan Ali a.s menulis semuanya.

       (812)-2. Muhammad bin Yahya, daripada al-‘Umarkiy, daripada Ali bin Ja‘far, daripada saudaranya, daripada Abu al-Hasan a.s telah berkata: Sesungguhnya Fatimah a.s adalah Siddiqahdan Syahidah, sesungguhnya anak-anak perempuan para nabi tidak ada haid.

       (813)-3. Ahmad bin Mihran-rahima-hu llah-secara marfu‘ dan Ahmad bin Idris, daripada Muhammad  bin ‘Abd al-Jabbar al-Syaibani berkata: Al-Qasim bin Muhammad bin al-Razi telah memberitahu kepadaku, berkata: Ali bin Muhammad al-Haramzani, daripada Abi Abdillah al-Husain bin Ali a.s telah berkata: Manakala Fatimah a.s mati, maka Amir al-Mukminin a.s telah mengembumikannya secara rahsia dan meratakan kuburnya[7].
       Kemudian beliau telah berdiri dan mengadap mukanya kepada kubur Rasulullah s.a.w dan berkata: “ Al Salamu ‘alaika ya Rasulallah daripadaku dan al-Salamu ‘alaika daripada anak perempuan anda, pelawat anda di tempat anda dan Allah telah memilih untuknya supaya cepat bersama anda. Katakan, wahai Rasulullah, tentang pilihan anda ini, [betapa kuatnya] kesabaranku dan maafilah daripada penghulu wanita syurga kekasaranku, sesungguhnya bagiku di dalam kesedihan dengan sunnah anda ketika perpisahan anda, masih mempunyai tempat untuk memberi takziah. Sesungguhnya aku telah menyandarkan anda pada lahad kubur anda dan diri anda antara bahagian atas dadaku (nahri) dan dadaku (sadri). Ya, pada kitab Allah bagiku sebaik-baik penerimaan.
       Inna li-llah wa inna ila-hi raaji‘uun. Barang simpanan dikembalikan, diambil sebagai gadaian dan al-Zahra’ telah diambil dengan cepat. Alangkah buruknya masa sekarang [kerana kematiannya] dan masa dahulu [kerana kematian anda], wahai Rasulullah, adapun dukacitaku adalah berkekalan, adapun malamku tanpa tidur dan merana, [beliau] tidak hilang daripada hatiku atau Allah memilih untukku negeri yang anda sedang berada (kematian). Dukacita yang kuat [seperti] nanah tanpa darah, alangkah cepatnya perpisahan di antara kita dan kepada Allah aku mengadu. Anak perempuan anda akan menceritakan kepada anda dengan kemenangan umat anda di atas kezaliman [kelak], maka bertanyalah kepadanya dan mintalah penjelasan daripadanya.
       Berapa banyak dendam kasumat di dadanya, tetapi ia tidak tersibar dan beliau akan berkata: “Dan Allah akan menetapkan hukumnya di antara kita dan Dia adalah Hakim yang sebaik-baiknya”[8] Salam daripada orang yang mengucap selamat tinggal tanpa jemu. Jika aku pulang, bukan kerana jemu dan jika aku tinggal, bukan kerana sangkaan jahat dengan janji Allah kepada mereka yang bersabar. Sesungguhnya kesabaran itu cantik. Jika tidak kerana kemenangan pihak penguasa, nescaya aku telah menjadikannya maqam dan tinggal beriktikaf [di sisinya] pada masa yang lebih lama dan menanggung penderitaan di atas bencana yang mulia. Dengan mata Allah, anak perempuan anda dikapan secara rahsia, dirampas haknya dan dihalang pusakanya sedangkan masa belum lama [daripada kematian anda] dan Dia tidak menciptakan daripada anda anak lelaki (yang hidup). Dan kepada Allah, wahai Rasulullah, sebaik baik ucapan takziah, selawat dan salam kepada anda dan di atasnya (Fatimah) salam dan keredaan”.

       (814)-4. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammd bin Isa, daripada Ahamd bin Muhammad bin Abi Nasr, daripada ‘Abd al-Rahman bin Salim, daripada al-Mufadhdhal, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Aku telah berkata kepada Abu Abdillah a.s: Siapakah yang telah memandikan [jenazah Fatimah? Beliau telah berkata: Amir al-Mukminin-seolah-olah aku telah membesar-besarkan kata-katanya-, maka beliau telah berkata: Seolah-olah anda tidak senang hati dengan apa yang aku telah ceritakan kepada anda? Aku telah berkata: Ia memang begitu, aku telah menjadikan diriku tebusan anda, maka beliau telah berkata: Janganlah anda merasa tertekan kerana Fatimah adalah siddiqah, lantaran itu, ianya akan dimandikan [jenazahnya] oleh siddiq, tidakkah anda telah mengetahui bahawa Maryam tidak dimandikan [jenazah]nya melainkan oleh Isa.

       (815)-5. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Muhammad bin Isma‘il, daripada Salih bin ‘Uqbah, daripada Abdullah bin Muhammad al-Ju‘fi, daripada Abu Ja‘far  dan Abu Abdillah a.s, mereka berdua telah berkata: Sesungguhnya Fatimah a.s-manakala telah berlakulah urusan mereka-telah mengambil baju Umar, lalu menariknya kepadanya, kemudian telah berkata: Demi Allah, wahai Ibn al-Khattab, jikalaulah aku tidak benci bahawa bala akan menimpa orang yang tidak bersalah, nescaya anda mengetahui bahawa aku akan bersumpah ke atas Allah [untuk anda], kemudian aku akan mendapatiNya cepat menerima [doaku].

       (816)-6. Dengan sanad-sanad ini, daripada Salih bin ‘Uqbah, daripada Yazid bin ‘Abd al-Malik, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Manakala Fatimah a.s dilahirkan, Allah telah mewahyukan kepada malaikat supaya lidah Muhammad menamakannya Fatimah, lalu baginda s.a.w telah menamakannya Fatimah, kemudian beliau telah berkata: Sesungguhnya aku telah membiasakan anda dengan ilmu dan aku telah menjauhkan anda daripada darah haid. Kemudian Abu Ja‘far a.s telah berkata: Demi Allah, sesungguhnya Dia telah membiasakannya dengan ilmu dan manjauhkannya daripada darah haid di dalam perjanjian (al-Mithaq)[9]

       (817)-7. Dan dengan sanad-sanad ini, daripada Salih bin ‘Uqbah, daripada ‘Amru bin Syamar, daripada Jabir, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Nabi s.a.w telah bersabda kepada Fatimah a.s: Wahai Fatimah, berdirilah dan keluarkan mangkuk (al-Sahfah) itu, lalu beliau berdiri dan mengeluarkan mangkuk yang mengandungi bubur daging (tharid)[10] Maka Nabi s.a.w, Ali, Fatimah, al-Hasan dan al-Husain telah memakannya selama tiga belas hari. Kemudian Umm Aiman telah melihat kepada al-Husain bersamanya ada sesuatu, maka beliau telah berkata kepadanya: Dari manakah anda mendapatinya? Beliau telah berkata: Sesungguhnya kami memakannya selama beberapa hari.
       Kemudian Umm Aiman telah datang kepada Fatimah a.s, maka beliau telah berkata: Wahai Fatimah, apabila ada sesuatu di sisi Umm Aiman, maka ia adalah untuk Fatimah dan anak-anaknya dan apabila ada sesuatu di sisi Fatimah, maka ia bukannya untuk Umm Aiman? Lantas Fatimah telah mengeluarkannya untuknya, lalu Umm Aiman telah memakannya dan [makanan] di dalam mangkuk itupun telah habis. Maka Nabi s.a.w telah bersabda kepadanya: Jikalaulah anda tidak memberi makan kepadanya, nescaya anda dan zuriat anda boleh memakannya sehingga hari Kiamat. Kemudian Abu Ja‘far a.s telah berkata: Mangkuk (al-Sahfah) di sisi kami, akan dikeluarkan oleh Qaim kita a.s pada zamannya.

       (818)-8. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada Ahmad bin Muhammad bin Ali, daripada Ali bin Ja‘far berkata: Aku telah mendengar Abu al-Hasan a.s telah berkata: Sebaik saja Rasulullah s.a.w duduk, tiba-tiba malaikat yang mempunyai dua puluh empat muka telah datang kepada Rasulullah s.a.w, lalu Rasulullah s.a.w telah bersabda kepadanya: Kekasihku Jibrail, aku tidak pernah melihat anda di dalam bentuk ini, malaikat itu telah berkata: Aku bukanlah Jibrail, wahai Muhammad, Allah telah menghantar aku supaya aku mengahwinkan cahaya daripada cahaya (uzawwiju al-Nur min al-Nur), baginda s.a.w telah bersabda: Siapa daripada siapa? Beliau telah berkata: Fatimah daripada Ali. Beliau telah berkata: Manakala malaikat itu telah berpaling, tiba-tiba di antara dua bahunya[tertulis] Muhammad Rasulullah, Ali adalah wasinya. Maka Rasulullah s.a.w telah bersabda: Semenjak bilakah ia ditulis di antara dua bahu anda? Maka beliau telah berkata: Dua puluh dua ribu tahun sebelum Allah menciptakan Adam.

       (819)-9. Ali bin Muhammad dan orang lain, daripada Sahal bin Ziyad, daripada Ahmad bin Muhammad bin Abi Nasr berkata: Aku telah bertanya al-Ridha a.s tentang kubur Fatimah a.s, maka beliau telah berkata: Beliau telah dikebumikan di rumahnya, manakala Bani Umayyah telah menambahkan Masjid, maka ia termasuk di dalam Masjid.

       (820)-10. Beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Wasyaa’, daripada al-Khaibari, daripada Yunus bin Zubyaan, daripada Abu Abdillah a.s, berkata: Aku telah mendengarnya berkata: Jikalaulah Allah tidak menciptakan Amir al-Mukminin a.s untuk Fatimah, nescaya tidak ada orang yang layak (kufwun) untuknya di muka bumi daripada Adam dan selain daripadanya.
                                                                              
                                                      Bab 115

☼Kelahiran Al-Hasan Bin Ali A.S (maulid al-Hasan bin Ali a.s)☼

       Al-Hasan bin Ali a.s telah dilahirkan pada bulan Ramadan pada tahun Badr tahun kedua hijrah. Ada riwayat yang menyatakan bahawa beliau dilahirkan pada tahun ketiga hijrah. Beliau telah mati pada akhir bulan Safar pada tahun 49 hijrah ketika berusia 47 tahun dan beberapa bulan. Ibunya Fatimah binti Rasulullah s.a.w.

       (821)-1. Muhammad bin Yahya, daripada al-Husain bin Ishaq, daripada Ali bin Mihziyar, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada Abdullah bin Sinan, daripada orang yang telah mendengar Abu Ja‘far a.s telah berkata: Apabila kematian telah menghampiri al-Hasan a.s, beliau telah menangis, maka dikatakan kepadanya: Wahai anak lelaki Rasulullah s.a.w, kenapa anda menangis sedangkan kedudukan anda daripada Rasulullah s.a.w? Dan baginda s.a.w telah bersabda bermacam-macam kepada anda; anda telah melakukan haji sebanyak dua puluh kali dengan berjalan kaki, anda telah membahagi-bahagikan harta anda sebanyak tiga kali sehingga kasut dengan kasut? Beliau telah berkata: Sesungguhnya aku menangis kerana dua perkara: Permulaan perjalanan [ke alam Barzakh] dan perpisahan dengan orang yang dikasihi.

       (822)-2. Sa‘d bin Abdullah dan Abdullah bin Ja‘far, daripada Ibrahim bin Mihziyar, daripada saudaranya Ali [bin Mihziyar], daripada al-Hasan bin Sa‘id, daripada Muhammad bin Sinan, daripada Ibn Maskan, daripada Abu Basir, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Al-Hasan bin Ali a.s telah mati ketika berusia 47 tahun pada tahun 50 Hijrah, beliau telah hidup selama 40 tahun selepas [kematian]Rasulullah s.a.w.

       (823)-3. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Nu‘man, daripada Saif bin ‘Umairah, daripada Abu Bakr al-Hadhrami berkata: Sesungguhnya Ja‘dah[11] binti As ‘ath bin Qais al-Kindi telah meracuni al-Hasan bin Ali a.s dan seorang hamba perempuannya (al-Hasan a.s). Hamba perempuannya telah terhidu racun, sementara al-Hasan a.s telah termakan racun dan ia telah meresap kedalam perutnya, lalu beliau mati.

       (824)-4. Muhammad bin Yahya dan Ahmad bin Muhammad, daripada Muhammad bin al-Hasan, daripada al-Qasim al-Nahdi, daripada Isma‘il bin Mihran, daripada al-Kinasi, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Al-Hasan bin Ali a.s telah keluar kerana mengerjakan umrah bersama seorang lelaki daripada anak-anak al-Zubair yang telah percaya tentang imamahnya. Mereka telah bermalam di satu tempat di bawah pohon kurma  yang kering, kemungkinan ia telah kering kerana kekurangan air. Lalu beliau telah membentangkan hamparan untuk al-Hasan a.s dan satu hamparan untuk anak lelaki al-Zubair di bawah pohon kurma yang lain.
       Anak lelaki al-Zubair telah berkata dan mengangkat kepalanya: Jikalaulah pohon kurma ini ada buah yang segar (al-Ratab), nescaya kita boleh memakannya, maka al-Hasan a.s telah berkata kepadanya: Adakah anda ingin makan kurma segar? Anak lelaki al-Zubair telah berkata: Ya, lantas beliau a.s telah mengangkat tangannya ke langit dan berdoa dengan kata-kata yang aku tidak dapat memahaminya, lalu pohon kurma itu menjadi hijau, kemudian telah bertukar kepada keadaannya, maka ia telah mengeluarkan daun dan buah kurma yang segar. Al-Jammal telah berkata: [Ini] sihir, demi Allah, maka al-Hasan a.s telah berkata: Celaka anda, ini bukanlah sihir, tetapi doa seorang anak lelaki Nabi dimakbulkan. Beliau telah berkata: Kemudian mereka telah memanjat pohon kurma itu, lalu mereka memotong (mengambil) apa yang ada padanya dan ia telah cukup untuk mereka.

       (825)-5. Ahmad bin Muhammad dan Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad, daripada Muhammad bin al-Hasan, daripada Ya‘qub bin Yazid, daripada Ibn Abi Umar, daripada beberapa orang lelakinya, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya al-Hasan a.s telah berkata: Sesungguhnya bagi Allah dua bandar, salah satunya di timur dan yang satu lagi di barat, di atas kedua-duanya dinding daripada besi dan di atas setiap satu daripadanya beribu-ribu gelanggang tinju dan padanya beribu-ribu bahasa, setiap bahasa bercakap berlainan dengan bahasa sahabatnya. Aku mengetahui semua bahasa-bahasa itu dan apa yang  ada pada kedua-duanya dan di antara kedua-duanya dan Hujjah yang ada di atas kedua-duanya selain daripadaku dan selain daripada al-Husain saudaraku.

       (826)-6. Al-Husain bin Muhammd dan Mu‘alla bin Muhammad, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Muhammad bin Ali bin al-Nu‘man, daripada Sundal, daripada Abi Usamah, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Al-Hasan bin Ali a.s telah keluar ke Makkah selama setahun dengan berjalan kaki, lalu dua kakinya telah menjadi bengkak, maka sebahagian hambanya telah berkata kepadanya: Jika anda menunggang [binatang], nescaya bengkak ini akan berkurangan. Maka beliau a.s telah berkata: Apabila kita sampai di rumah ini, seorang yang berkulit hitam akan menjemput anda dan bersamanya minyak, maka belilah daripadanya dan janganlah anda bertawar-tawaran dengannya.
       Maka hambanya berkata kepadanya: Dengan bapaku, anda dan ibuku, kami telah datang ke sebuah rumah padanya seorang yang menjual ubatnya, maka beliau a.s telah berkata kepadanya: Ya, rumah itu di hadapan anda, bukan rumah tadi, lalu mereka berdua telah berjalan [sejauh] satu batu, tiba-tiba beliau adalah yang berkulit hitam (al-Aswad). Maka al-Hasan a.s telah berkata kepada hambanya: Ambillah minyak daripadanya dan bayarlah harganya, maka lelaki hitam itu telah berkata: Kepada siapa anda maksudkan minyak ini?
       Maka beliau telah berkata: Kepada al-Hasan bin Ali, lantas beliau berkata: Pergilah bersamaku kepadanya, lalu beliau telah pergi dan berjumpa dengannya, maka beliau telah berkata kepadanya: Dengan bapaku, anda dan ibuku, aku tidak mengetahui bahawa anda berhajat kepada ini, aku tidak mengambil harganya. Sesungguhnya aku adalah maula anda, tetapi berdoalah kepada Allah supaya mengurniakan kepadaku seorang anak lelaki yang sempurna yang akan mencintai kamu Ahlu l-Bait, sesungguhnya aku telah meninggalkan isteriku yang sedang sakit bersalin, maka beliau a.s telah berkata: Pulanglah ke rumah anda, maka Allah telah mengurniakan kepada anda seorang anak lelaki yang sempurna dan beliau adalah daripada Syiah kita.


                                                         Bab 116

☼Kelahiran Al-Husain Bin Ali A.S (maulid al-Husain bin ‘Ali a.s)☼

       Al-Husain bin Ali a.s telah dilahirkan pada tahun ke tiga hijrah dan mati pada [hari Isnain10 hb] Muharram tahun 61 hijrah ketika berusia 57 tahun dan beberapa bulan. Beliau telah dibunuh oleh ‘Ubaidillah bin Ziyad yang dilaknati Allah di dalam pemerintahan Yazid bin Mu‘awiyah di dalam perjalanan ke Kufah. Beliau telah dibunuh oleh Umar bin Sa‘d yang dilaknati Allah di Karbala’ ketika menunggang kuda perangnya pada hari Isnain 10 Muharram dan ibunya Fatimah binti Rasulullah s.a.w.

       (827)-1. Sa‘d dan Ahmad bin Muhammad, daripada Ibrahim bin Mihziyar, daripada saudaranya Ali bin Mihziyar, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada Muhammad bin Sinan, daripada Ibn Maskan, daripada Abu Basir, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Al-Husain bin Ali a.s telah mati pada hari ‘Asyura’ (kesepuluh Muharram) ketika berusia 57 tahun.

       (828)-2. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahamad bin Muhammad, daripada al-Hakam, daripada ‘Abd al-Rahman al- ‘Arzami, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Di antara al-Hasan dan al-Husain a.s satu kali suci (tuhrun)[12] dan di antara mereka berdua dari segi kelahiran ialah 6 bulan 10 hari.

       (829)-3. Muhammad bin Yahya, daripada Ahamad bin Muhammad, daripada al-Wasyaa’ dan al-Husain bin Muhammad, daripada Mu‘alla bin Muhammad, daripada al-Wasyaa’, daripada Ahmad bin ‘Aa’idh, daripada Abi Khadijah, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Manakala Fatimah a.s telah mengandungkan al-Husain, Jibrail telah datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata: Sesungguhnya Fatimah a.s akan melahirkan seorang kanak-kanak yang akan dibunuh oleh umat anda selepas anda [mati]. Manakala Fatimah a.s telah mengandungkan al-Husain a.s, beliau tidak sukakan kandungannya dan kelahirannya[13]. Kemudian Abu Abdillah a.s telah berkata: Tidak didapati di dunia ini seorang ibu yang akan melahirkan anak yang tidak disukainya, beliau tidak menyukainya apabila beliau telah mengetahui bahawa anaknya akan dibunuh, beliau telah berkata: Dan padanyalah telah turun ayat: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik (husnan) kepada dua orang ibu bapanya, ibunya mengandungkannya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah. Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga bulan”[14]

       (830)-4. Muhammad bin Yahya, daripada Ali bin Isma‘il, daripada Muhammad bin ‘Amru al-Zayyaat, daripada seorang lelaki daripada sahabat kami, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya Jibrail telah turun ke atas Muhammad s.a.w dan berkata kepadanya: Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah memberi berita gembira kepada anda dengan seorang bayi yang akan dilahirkan oleh Fatimah a.s, tetapi umat anda akan membunuhnya selepas anda [mati]. Maka beliau telah naik [ke langit], kemudian beliau a.s telah berkata kepadanya seumpamanya, kemudian baginda s.a.w telah bersabda: Wahai Jibrail, di atas Tuhanku salam, aku tidak berhajat kepada bayi yang akan dibunuh oleh umatku selepasku, lalu Jibrail a.s telah naik ke langit.
       Kemudian beliau telah turun, maka beliau telah berkata: Wahai Muhammad, sesungguhnya Tuhan anda memberi salam kepada anda dan memberi berita gembira kepada anda bahawa sesungguhnya Dia menjadikan pada zuriatnya imamah, wilayah dan wasiat. Maka baginda s.a.w telah bersabda: Aku telah reda, kemudian baginda s.a.w telah datang kepada Fatimah a.s [bersabda]: Sesungguhnya Allah telah memberi berita gembira kepadaku dengan seorang bayi yang akan dilahirkan oleh anda, umatku akan membunuhnya selepasku, lalu Fatimah a.s telah memberitahu kepadanya: Aku tidak berhajat kepada bayi yang akan dilahirkan olehku, akan dibunuh oleh umat anda selepas anda [mati].
       Kemudian baginda s.a.w telah memberitahu kepadanya bahawa Allah telah menjadikan pada zuriatnya imamah, wilayah dan wasiat, lalu beliau telah memberitahu kepadanya: Sesungguhnya aku telah reda “Ibunya mengandungkannya dengan susah payah (kebencian), melahirkannya dengan susah payah (kebencian). Mengandungkannya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan sehingga  apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun dia berdoa: Ya, Tuhanku, tunjuklah aku  untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku  dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi) kebaikan kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk mereka yang berserah”[15]
       Jikalaulah baginda s.a.w tidak berkata: “berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi) kebaikan kepada anak cucuku” nescaya zuriatnya  telah menjadi para imam semuanya. Al-Husain a.s tidak pernah menerima [air] susu Fatimah a.s dan juga perempuan lain. Nabi s.a.w telah mendatanginya dan meletakkan ibu jarinya s.a.w pada mulutnya, lalu beliau menghisap daripadanya untuk bekalan [selama] dua atau tiga hari. Lalu daging al-Husain a.s telah tumbuh daripada daging Rasulullah s.a.w dan darahnya. Tidak pernah dilahirkan [bayi yang berumur] enam bulan melainkan Isa bin Maryam a.s dan al-Husain bin Ali a.s.
       Di dalam riwayat yang lain, daripada Abu al-Hasan al-Ridha a.s bahawa sesungguhnya al-Husain a.s telah dibawa kepada Nabi s.a.w, lalu baginda s.a.w telah memberi (menghulurkan) lidahnya kepada al-Husain a.s, lalu beliau telah menghisapnya, maka beliau telah memadai dengannya dan beliau tidak menyusu daripada perempuan.

       (831)-5. Ali bin Muhammad secara marfu‘, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w: “Lalu ia memandang sekali pandang ke bintang-bintang. Kemudian ia berkata: Sesungguhnya aku sakit”[16] Beliau telah berkata: Beliau telah mengira, lalu beliau telah melihat apa yang akan berlaku kepada al-Husain a.s, maka beliau telah berkata: Aku sakit di atas apa yang akan berlaku kepada al-Husain a.s.

       (832)-6. Ahmad bin Muhammad, daripada Muhammad bin al-Hasan, daripada Muhammad bin Isa bin ‘Ubaid, daripada Ali bin Asbaat, daripada Saif bin ‘Umairah, daripada Muhammad bin Hamraan berkata: Abu Abdillah a.s telah berkata: Manakala urusan al-Husaian a.s belum berlaku, malaikat telah gempar dan mengadu kepada Allah dengan tangisan dan berkata: Akan dilakukan ini kepada al-Husain pilihan Engkau dan anak lelaki Nabi Engkau? Dia berfirman: Maka Allah telah mendirikan untuk mereka bayangan al-Qaim a.s dan Dia berfirman:  Dengan ini (al-Qaim a.s) Aku membalas dendam dengan ini (al-Husain a.s).

       (833)-7. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Saif bin ‘Umairah, daripada ‘Abd al-Malik bin A‘yan, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Manakala kemenangan telah turun kepada al-Husain bin Ali a.s sehingga di antara langit dan bumi, kemudian diberi pilihan: Kemenangan atau pertemuan dengan Allah (mati), maka beliau a.s telah memilih pertemuan dengan Allah.

       (834)-8. Al-Husain bin Muhammad telah berkata: Abu Kuraib dan Abu Sa‘id al-Asyajj telah memberitahu kepadaku, berkata: Abdullah bin Idris telah memberitahu kepada kami, daripada bapanya Idris bin Abdullah al-Awadi, berkata: Manakala al-Husain a.s telah dibunuh, mereka ingin memijaknya dengan kuda, lalu Fidhdhah berkata kepada Zainab: Wahai sayyidati, sesungguhnya Safinah[17] telah pecah di lautan, lalu beliau telah keluar ke sebuah pulau, tiba-tiba beliau terserempak dengan Asad[18], lalu beliau telah berkata: Wahai al-Harith[19], aku adalah hamba (maula) Rasulullah s.a.w.
       Lalu beliau telah bercakap dengan tidak jelas di hadapannya sehingga beliau telah menunjukkan jalan kepadanya sedang al-Asad menunggu di satu sudut, biarlah aku pergi kepadanya dan aku akan memberitahu kepadanya apakah mereka akan buat besok. Beliau telah berkata: Beliau telah pergi kepadanya: Wahai Abu al-Harith, lalu beliau mengangkat kepalanya, kemudian berliau telah berkata: Adakah anda mengetahui apakah yang akan dilakukan kepada Abu Abdillah a.s besok? Mereka ingin kuda memijak belakangnya. Beliau telah berkata: Lalu beliau telah berjalan sehingga beliau meletakkan dua tangannya di atas tubuh al-Husain a.s, maka kuda telah maju ke depan, manakala mereka melihat kepadanya, lalu Umar bin Sa‘d yang dilaknati Allah berkata kepada mereka: Fitnah, janganlah kamu menggalakkannya, maka pulanglah, kemudian mereka telah pulang.

       (835)-9. Ali bin Muhammad, daripada Sahal bin Ziyad, daripada Muhammad bin Ahmad, daripada al-Hasan bin Ali, daripada Yunus, daripada Musqalah al-Tahhan berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s telah berkata: Apabila al-Husain a.s dibunuh, isterinya dari Bani Kilab (al-Kalbiyyah) telah mengadakan majlis ratapan, lalu beliau menangis dan perempuan-perempuan yang lain dan khadam-khadam telah turut menangis sehingga air mata mereka telah kering. Kemudian beliau (isteri) telah pergi, tiba-tiba beliau telah melihat seorang hamba perempuan daripada hamba-hambanya sedang menangis dan air matanya masih berlinang, lalu beliau telah memanggilnya dan berkata kepadanya: Kenapa anda di kalangan kami air mata anda masih berlinang? Beliau telah berkata: Apabila aku ditimpa kepenatan, aku meminum minumam suwaiq[20] Beliau a.s telah berkata: Kemudian beliau (hamba perempuan) telah menyuruh dengan makanan dan minuman suwaiq, lalu beliau telah memakannya dan meminumnya dan berkata: Sesungguhnya kami mahu sedemikian adalah bagi menguatkan [diri kami] untuk menangis ke atas al-Husain a.s.
       Beliau a.s telah berkata: Dihadiahkan kepada al-Kalbiyyah sapu tangan wangi untuk membantunya di majlis ratapan (ma’tam) al-Husain a.s. Apabila beliau telah melihat kepada sapu tangan wangi itu, maka beliau telah berkata: Apakah ini? Mereka telah berkata: Hadiah yang diberikan kepadanya oleh polan untuk membantu anda di majlis ratapan al-Husain a.s, lalu beliau telah berkata: Kami bukanlah di dalam [majlis] perkahwinan, apakah kita akan buat dengannya? Kemudian beliau telah menyuruh mereka supaya dikeluarkan dari rumah. Manakala mereka dikeluarkan dari rumah, kami tidak merasa apa-apa (bau-bauan) seolah-olah kami telah berterbang di antara langit dan bumi dan tidak nampak kesan mereka selepas mereka keluar dari rumah.

                                                                      Bab 117
  
[1] Hadis ini dikira mursal kerana Ja‘far bin al-Muthanna adalah daripada sahabat al-Ridha a.s dan beliau tidak sempat berjumpa dengan Abu Abdillah a.s. Lantaran itu, hadis ini dikira majhul ataumursal. Justeru, penyeliaan kubur Nabi s.a.w atau para imam a.s adalah tidak dilarang, malah digalakkan.

[2] Kekayaan negeri Farsi

[3] Abu Talib telah mengetahui bahawa anak lelakinya Ali a.s akan menjadi wasi Rasulullah s.a.w.

[4] Pertalian bapa saudara sebelah ibu.

[5] Kemungkinan suara daripada malaikat.

[6] Kubur al-Jabanah

[7] Supaya kuburnya tidak diketahui oleh musuh-musuhnya yang diketui oleh Abu bakr, Umar dan pengikut-pengikut mereka berdua.

[8] Surah al-A‘raaf (7): 87

[9] Perjanjian di alam roh.

[10] Bubur daging

[11] Isteri al-Hasan a.s

[12] Menurut kiraan manusia biasa, tetapi Fatimah a.s tidak mempunyai darah haid seperti Maryam ibu nabi Isa  a.s. Justeru, mereka berdua dipanggil al-Batul.

[13] Sebelum berita imamah kepada zuriatnya melalui (al-Husain) a.s.

[14] Surah al-Ahqaaf (46):15 Di dalam mashaf Uthman dibaca ihsaanan sementara Abu Abdillah a.s membaca husnan.

[15] Surah al-Ahqaaf ( 46):15

[16] Surah al-Safaat (37): 88-89

[17] Safinah adalah gelaran hamba Rasulullah s.a.w, dipanggil Abu Dujaanah, namanya Qais.

[18] Al-Asad adalah Abu Harith

[19] Asad

[20] Daripada tumbuhan-tumbuhan.

Penulis : Unknown ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini, w. 328/29 H (bab112-116) ini dipublish oleh Unknown pada hari 13 Julai 2011. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Kitab al-Hujjah (penghujahan Imamah) oleh al-Kulaini, w. 328/29 H (bab112-116)
 

0 comments:

Catat Ulasan